Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum...
Segala puji bagi Allah, pujian yang menyamai nikmat-nikmatNya dan mencukupi kelebihanNya. Wahai tuhan kami! BagiMu segala pujian sebagaimana layak bagiMu kedudukan keagungan dan kebesaran kekuasaanMu. Maha suciMu yang tak mampu kami mengira berapa banyak puji-pujian ke atasmu seperti yang Engkau puji ke atas diriMu sendiri. Maka layak bagiMu segala pujian sekiranya telah Engkau redhai dan bagiMu juga pujian selepas keredhaan itu.
Ya Allah! Sampaikan selawat serta salam ke atas junjungan nabi Muhammad, keluarganya, sahabatnya dan orang-orang yang mengikutinya sehingga ke hari kiamat.
Hari ini ingin sambung perkongsian pengajian tentang perkara pertama yang Allah suruh kita minta daripadaNya. Itulah doa permohonan kita dalam ayat ke enam surah al-Faatihah.
Tunjukilah kami jalan yang lurus. (Al-Faatihah 1:6)
Selepas Allah menyuruh kita untuk meminta hanya kepadaNya, Allah suruh kita minta petunjuk iaitu al-hidayah (huda).
Di sini Allah memberitahu kita bahawa yang paling penting untuk kita minta (selepas iyyakana'budu waiyyaka nasta'iin) ialah petunjuk (huda). Itulah yang terbesar yang perlu kita minta. Semua keperluan lain Allah dah sediakan tanpa kita mohon dan bila kita mohon Allah bersedia memberi.
Al-hidayah (huda) bermaksud:
1) Sesuatu yang menghantarkan kita kepada apa yang kita harap/hajatkan.
2) Sesuatu yang diberikan dengan cara yang lemah lembut.
Dengan itu pengertian al-hidayah daripada segi bahasa ialah sesuatu yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita dengan lemah lembut bagi mencapai apa yang kita hajatkan.
Dalam pengajian ini ustaz ada menerangkan bahawa dalam bahasa Arab; apa yang boleh kita pelajari daripada segi susunan perkataannya ialah, kadang-kadang selepas perkataan "huda" ada "ila" dan ada juga yang tak ada "ila" selepasnya ; contoh ihdina ni tak ada ila selepasnya tapi terus siraatalmustaqiim.
Jadi menurut ustaz susunan yang berbeza ini mempunyai pengertian yang berbeza.
Pertama:
Jika ada ila selepasnya menunjukkan hidayah itu bersifat umum sebaliknya jika tak ada ila selepasnya bermaksud hidayah khusus.
Kedua:
Yang ada ila, hidayah yang dinisbahkan kepada nabi dan rasul, sebaliknya yang tak ada ila dinisbahkan kepada Allah SWT.
Ketiga:
Yang ada ila berkaitan dengan pelaku atau pemberi petunjuk bagi mendapatkan kebahagiaan dunia dan akhirat, sebaliknya yang tak ada ila bermaksud tergeraknya hati (terbuka hati) untuk melakukan amal / bukan lagi ditunjuk ajar bahawa ini boleh dan tak boleh kerana orang ini telahpun dapat petunjuk.
Keempat:
Petunjuk yang ada ila (huda ila) ditujukan kepada mereka yang masih berada dalam kesesatan (atau belum berada di atas jalan yang benar), sebaliknya yang tak ada ila orang itu dah berada di atas jalan yang lurus/benar namun mohon tambahan petunjuk.
Lihat ayat-ayat di bawah ini:

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, (Asy-Syuura 42:52)
(Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami); dan yang ada ila
(Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus)
Hidayah atau petunjuk ke jalan lurus itu bermaksud hidayah bersifat umum (sebab itulah ada ila selepas huda) yang memberitahu bagaimana manusia dapat mencapai kebahagian dunia dan akhirat. Itulah dengan tunjuk ajar apakah amalan yang perlu dibuat untuk ganjaran pahala dan apa yang perlu dielak bagi menjauhkan celaka.Di dalam al-Quran diberikan panduan-panduan. Ada dua perkara sahaja iaitu BUAT dan JANGAN BUAT.
Rasul dah beritahu (yang ada ila selepas huda) perkara-perkara BUAT dan JANGAN BUAT ini, cuma ada yang menerima dan ada yang tidak. Ayat yang ada ila ini ditujukan kepada orang-orang yang masih berada dalam kesesatan.
Lihat ayat di bawah ini pula:

Dan Kami berikan hidayah petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus. (As-Saaffaat 37:118)
Dalam ayat (As-Saaffaat 37:118) di atas tak ada ila, yang dimaksudkan keduanya itu ialah nabi Musa dan nabi Harun sememangnya dah ada hidayah dan Allah berikan tambahan hidayah.
Lihat pula ayat di bawah:

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (Al-Qasas 28:56)
Dalam ayat di atas (Al-Qasas 28:56) ini tak ada ila dinisbahkan kepada Allah SWT. Allah yang berkuasa memberikan hidayah.
Allah dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim telah memberikan petunjuk ajar bukan sahaja sekadar disuruh memohon kepadaNya tetapi Allah memberitahu kita tentang apa yang terpenting yang perlu diminta. Ini kerana manusia mempunyai banyak keperluan dan Allah bagi tahu kita yang terpenting untuk kita minta ialah supaya Allah bukakan hati untuk menjalankan ibadah kepadaNya. Ini kerana walaupun manusia memohon dengan penuh keikhlasan dan Allah mengabulkan permohonan tetapi adakalanya belum tentu perkara yang dipohon itu baik buat manusia sebab bagi Allah dengan sifat rububiyyahNya akan bagi apa sahaja yang diminta sama ada baik ataupun tidak baik buat hambaNya.
NOTA: Mengambil masa yang agak panjang menyiapkan tulisan ini.. bimbang sukar difahami... tetapi intipatinya ialah perkara yang paling penting untuk kita lakukan ialah ialah selalulah kita mohon tambahan petunjuk daripada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.. supaya kita mendapat hidayah taufiq Allah.. supaya kita menjadi rajin beramal. Berilmu tanpa amal menyebabkan kerugian dan penyesalan...dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang ini.