Thursday, December 23, 2010

Al-Bayaan ( ٱلۡبَيَانَ )

Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala Puji Bagi Allah Tuhan sekalian alam yang PenguasaanNya meliputi segala alam yang zahir, ghaib dan juga alam-alam yang tidak pernah dikenali manusia. Di atas RahmatNya juga, kita muslimin tidak teraba-raba mencari persoalan Siapakah Dia yang patut kita sembah dan berterima kasih kerana kita telah pun dianugerahkanNya dengan Islam yang membawa kita mengenal Pencipta kita.


Dengan RahmatNya juga kita dianugerahkan dengan Al-Quran sebagai panduan hidup dan penggerak kemajuan bagi setiap Muslim yang benar-benar beriman. Al-Quran, wahyu yang diturunkan Allah melalui perantaraan Ruhul Quddus kepada Nabi Muhammad s.a.w. Rahmatan lil 'Alamin, membentuk peribadi Rasullullah s.a.w. menjadi contoh manusia teragung yang seharusnya dijadikan ikutan semua yang bergelar muslim.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih berpeluang menulis lagi kali ini.. Apa yang dikongsikan ini ialah hasil pembacaan dan mendengar ceramah.. Pengetahuan penulis blog ini amatlah terbatas sebenarnya untuk membincangkan perkara-perkara sebegini.. apa-apapun semoga Allah tetap memberikan hidayah...Amiin.

Allah berfirman:

A001

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani 

 A001

 (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.(1)

 A002

Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. (2)

 A003
Dialah yang telah menciptakan manusia. (3) 

 A004
Dialah yang telah mengajar manusia bercakap berhubung dengan semua keterangan (tentang semua perkara itu dengan jelas). (4)

 A005
Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu. (5)

 A006

Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya. (6)

 A007
Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan. (7)

 A008
Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. (8) 

A009 
Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang." (9) - (Surah Ar-Rahman [55] ayat 1 hingga 9)



Allah SWT menjadikan alam ini sebagai pentas ilmu pengetahuan supaya manusia meneroka kemajuan. Disebabkan alam ini milik Allah maka Allah SWT telah menyediakan sebuah kitab yang sangat penting bagi membolehkan manusia meneroka alam ini. Itulah al-Quran, di dalamnya terdapat sumber segala ilmu, menjadi rujukan sepanjang zaman.


Allah telah memperkenalkan kepada manusia petunjuk di dalamnya bagi memastikan manusia mencapai matlamat hidup yang sejahtera. "Dialah yang telah menciptakan manusia. (3)  Dialah yang telah mengajar manusia bercakap berhubung dengan semua keterangan (tentang semua perkara itu dengan jelas). (4).


Yang dimaksudkan dengan Al-Bayaan ( ٱلۡبَيَانَ ) ialah percakapan dan kefahaman. Dua perkara ini kurniaan yang istimewa daripada Allah SWT yang membezakan manusia dengan makhluk lain.


Ada mufassir mengatakan manusia yang dimaksudkan itu adalah Nabi Adam as dan ada juga mengatakan Nabi Muhammad saw. Nabi Adam as diajar pelbagai nama dan sifat-sifat benda. Nabi Muhammad saw diajar untuk berbicara dan menyampaikan khabar tentang orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian. Memberitahu tentang halal haram serta hukuman dan juga tentang hari akhirat dan pembalasan.

Al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi untuk diambil pengajaran daripadanya. Al-Quran penuh khazanah di dalamnya, bukan hanya menerangkan tentang cara hidup di dunia seperti pentadbiran, perundangan dan kehakiman, ekonomi, akhlak dan sosial sahaja. Juga bukan hanya mengajar manusia untuk hidup di akahirat, malah al-Quran menerangkan segala kejadian alam yang melibatkan bidang-bidang lain yang tidak kurang pentingnya.


Menurut kajian pakar al-Quran yang mengkaji bilangan ayat-ayat berkaitan bidang-bidang tertentu mereka mendapati bahawa: ADA


134 ayat berkaitan Biologi.
114 ayat berkaitan Fizik.
11 ayat berkaitan Kimia.
113 ayat berkaitan Falak dan Angkasa. 
104 ayat berkaitan Geografi. 
90 ayat berkaitan Pertanian. 
6 ayat berkaitan Perubatan cara Islam. 
141 ayat berkaitan Perubatan rohani. 
5 ayat berkaitan Perubatan bayi. 
9 ayat berkaitan Perubatan penuaan. 
37 ayat berkaitan Perubatan pencegahan. 
73 ayat berkaitan perubatan dan Matematik. 
9 ayat berkaitan Pembedahan perubatan. 
22 ayat berkaitan Pembedahan mayat.
59 ayat berkaitan Peranan anggota dan saraf.
15 ayat berkaitan penyakit hidung dan kerongkong.
9 ayat berkaitan penyakit kulit.
10 ayat berkaitan penjagaan pesakit.
69 ayat berkaitan penyembuhan.
69 ayat berkaitan rangsangan kepada membuat kajian.
25 ayat berkaitan Asal usul kejadian manusia.
17 ayat berkaitan Keturunan atau baka.
4 ayat berkaitan Mata.
32 ayat berkaitan wanita dan kelahiran bayi.
37 ayat berkaitan Janin.
60 ayat berkaitan Kaji bumi.
30 ayat berkaitan Kenderaan alat perhubungan.
36 ayat berkaitan laut dan sungai.
27 ayat berkaitan Sains Sosial.
24 ayat berkaitan Sains Pemakanan.
18 ayat berkaitan sains Umum.
8 ayat berkaitan bahasa-bahasa binatang dan burung.

(Semua ini adalah petikan daripada buku Mukjizat Al-Quran & amp; Fakta-Fakta Saintifik terbitan al-Hidayah Publication).

Ada lagi lain-lain bidang yang masih belum diketahui. Hanya Allah yang Tahu semua perkara. Ilmu yang dimiliki oleh manusia berbanding ilmu Allah ibarat setitik air yang melekat di jari kita apabila dicelup dan diangkat daripada lautan.

Sehubungan dengan apa yang saya tulis di atas, saya ingin kongsikan ceramah tentang cerita artis.

Melihatkan tajuk Youtube : Artis Malaysia timbul hasrat ingin mendengar.. apakah sebenarnya yang cuba disampaikan oleh Ustaz Kazim.

Pada peringkat pengenalan ustaz memaparkan kisah 4 orang para artis veteran yang pada ketika ceramah ini diadakan, mereka berkeadaan uzur. Ustaz bandingkan dengan keadaan mereka dalam filem-filem yang pernah mereka lakunkan. Sebenarnya ceramah ini tentang Majlis Maulud Nabi.. Namun ada menyentuh tentang  tentang Al-Quran yang bijaksana yang memberikan petunjuk.. Siapa yang mengikut al-Quran dia akan mendapat cahaya keimanan. Kita kena jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai teladan dan sebagainya.. Agak lama juga nak habiskan sesi mendengar ceramah di bawah ini. Jika ada kesempatan dengarlah...banyak pengajarannya.. banyak yang disentuh dalam kehidupan.. Di bawah saya hanya tuliskan beberapa petikan ayat-ayat yang di baca... jika nak dihuraikan satu-satu pasti panjang. 


Allah berfirman dalam Surah YaSiin [ 36 ] ayat 5 dan 6 bermaksud:
"Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani, (5) Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai." (6)
Di sini Allah memberitahu kita bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw supaya baginda memberi peringatan dan amaran kepada kaumnya yang telah lama tidak diberi peringatan.
(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan  dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. (Al-Baqarah [2] : 151)
Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima agama tauhid itu dan memberi hidayat petunjuk kepada agamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat). (As-Syura [42] : 13)
Syari'at yang mula-mula diturunkan ialah kepada Nabi Nuh as (8000 tahun jarak masanya dengan Nabi Muhammad saw). Allah turunkan syari'at kepada Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Nabi Muhammad saw (Nabi Ulul 'Azmi)

Allah berfirman dalam Surah YaSiin [ 36 ] ayat 66 hingga 70 yang bermaksud seperti di bawah:
(Mata hati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya? (66)
(Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang. (67) 
Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? (68) 
(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan; (69) 
Supaya dia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya) dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar. (70)
Al-Quran al-hakim.. Al-Quran bijaksana.. Allah tak sebut cerdik tetapi Allah sebut bijaksana.. al-Quran boleh menyelesaikan masalah.

Mudah2an kita menjadikan al-Quran bacaan seharian dan semoga kita dapat mentadabbur... dan mengambil pelajaran... Terima kasih kepada Tinie kerana memberikan award ini:


Monday, December 20, 2010

Tentang Hati

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat.

Di bawah ini ditulis sedikit tentang HATI/QALBUN.

Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis membicarakan tentang fungsi hati dalam kehidupan kita sebagai manusia.Ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang hati [klik]

Dalam al-Quran kalimah Qalbun Salim diulang hanya sebanyak 2 kali:

Pertama : Dalam surah as-Syu'araa ayat 89.



"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang  selamat sejahtera ; (Asy-Syu'araa [26] : 88 - 89)

Ayat ini merupakan ketetapan Allah, bahawa syarat yang Allah letakkan kepada kita ialah apabila kita menemui ajal hendaklah membawa hati yang sejahtera. Andainya orang itu sedar bahawa dia mempunyai penyakit hati maka lebih mudah baginya mendapatkan rawatan. Namun jika dia tidak sedar atau sengaja mahu melewatkan untuk mengubati maka semasa dia menemui ajalnya dia membawa hati yang berpenyakit, maka syarat yang Allah tetapkan itu tidaklah dapat dia penuhi. (Na'uzubillahi min zaalik).

Kedua : Dalam ayat 84 surah as-saffaat


Allah berfirman: Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan (ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim. Tatkala ia (nabi Ibrahim) datang menemui Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera (qalbun salim) (As-Saaffaat [37] : 83 - 84)

Dalam ayat ini dinyatakan bahawa nabi Ibrahim adalah contoh manusia yang paling ideal yang harus diteladani, kerana Nabi Ibrahim datang menemui Tuhannya dengan hati yang sejahtera. Ini bukanlah bermakna Nabi-nabi lain tidak ada hati yang sejahtera sebagaimana nabi Ibrahim as. Semua nabi-nabi mempunyai hati yang sejahtera.

Kalimah Qalbun dalam al-Quran, diulang:

i) Qalbun dalam bentuk mufrad (singular) disebut 6 kali.

ii) Qalbun dalam bentuk musyanna 1 kali.

iii) Dalam bentuk plural/jamak 21 kali.

Pengertian QALBUN

Sesungguhnya bahasa Arab adalah bahasa yang paling tepat untuk menunjukkan hakikat sesauatu nama. Contoh langit, Allah beri nama sama' yang bermaksud tinggi. Qalbun pula maksudnya berbolak balik, berubah-ubah, sekali rasa susah hati, sekali rasa senang, sekejap rasa rajin sekejap malas, sekejap bimbang sekejap tidak, sekejap yakin sekejap tidak dan sebagainya. Kenapa terjadi sedemikian. Jawapannya ialah sifat semula jadi Qalbun itu ialah sentiasa berubah-ubah (iaitu berpotensi untuk tidak konsisten). Allah cipta hati mempunyai keupayaan untuk memiliki sifat-sifat mahmudah dan juga mazmumah.

Qalbun/hati sangat berpotensi untuk tidak konsisten. Sebab itulah susah untuk menjaga hati. Nak jaga telinga atau mata dan lain-lain anggota adalah lebih mudah dibandingkan hati. Al-Quran yang menggambarkan sedemikian. Di bawah ini beberapa contoh ayat-ayat al-Quran yang menyatakan sifat hati:

Ayat di bawah ini menyatakan bahawa hati sangat berfungsi untuk memperoleh peringatan dan ia sangat positif.



Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya lagi pula ia menjadi saksi. (Qaaf [50] : 37)

Dalam ayat-ayat di bawah pula, menunjukkan bahawa hati boleh diisi dengan perasaan belas kasihan dan gerun. Ini juga bermakna bahawa hati berpotensi untuk berubah-ubah.



Kemudian Kami iringi sesudah - mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). Dan (perbuatan mereka beribadat secara) "Rahbaniyyah" - merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredhaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik - derhaka. (Al-Hadiid 57:27)

Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim. (A-li'Imraan 3:151)

Hati boleh menerima peringatan, hati yang tertarik kepada rasa  kasih sayang dan belas kasihan serta rasa gerun, cemas malah dalam ayat di bawah Allah SWT menyatakan bahawa:




Dan ketahuilah bahawa rasul Allah adalah di kalangan kamu. Jika dia mentaati kamu dalam kebanyakan urusan, kamu akan menderita; tetapi Allah menjadikan cinta pada keimanan kepada kamu, menampakkannya indah di dalam hati kamu, dan Dia menjadikan kamu benci pada ketidakpercayaan (kekafiran), dan kefasiqan, dan keingkaran. Mereka itu, merekalah yang berfikiran waras.(Al-Hujuraat 49:7)
 
Allah SWT menjadikan seseorang cinta kepada keimanan dengan menampakkan keindahan sehinggakan menjadi begitu indah sementara itu, ada pula hati yang terlalu kotor dan gelap kerana dipenuhi dengan kekufuran. 

Ini bermakna Hati ibarat satu wadah kosong, boleh diisi dan boleh dikeluarkan isinya (Dimasukkan ke dalamnya dan dikeluarkan dari dalamnya)

Hati/qalbun dapat menampung segala perkara yang disedari oleh orang yang memilikinya. Apa sahaja yang ada dalam hati seseorang itu adalah dengan kesedaran (berkait rapat dengan amalan yang disedari oleh orang itu). Setiap apa yang terlintas dalam hati sudah tentu dengan penuh kesedaran. Daripada sinilah kita faham bahawa Allah hanya menyiksa seseorang apabila ia melakukan sesuatu kesalahan dengan penuh kesedaran.

"Allah hanya menyiksa kamu dengan sebab apa yang diusahakan oleh hati-hati kamu. Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam diri kamu".

Justeru Nabi saw sering memperbanyakkan doa ini,

يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك 

Maksudnya : Ya Allah Tuhan yang membalik-balikkan hati maka tetapkanlah hati kami pada agamamu ? 

Sebuah hadis Ahmad daripada At-Tabrani bersumberkan daripada Abu Sa'id al-Khudri; Nabi membahagikan hati kepada 4:

1) HATI yang bersih yang di dalamnya ada cahaya yang sentiasa bersinar-sinar. Itulah hati orang Mukmin.
2) HATI yang hitam dan terbalik kedudukannya (ATAS KE BAWAH dan SEBALIKNYA). Itu adalah hati orang-orang kafir.
3) HATI yang tertutup dan terikat dengan penutup. Itu hati orang munafik.
4) HATI yang musfah (melintang) tidak berdiri tegak dan tidak terjungkir. Di situ ada keimanan dan di situ ada kemunafikan. Mana yang lebih banyak di situlah dia tergolong.

Kita hanya mahu HATI yang pertama iaitu hati yang bersih kerana itulah syarat yang Allah tetapkan bagi kita untuk menemuiNya.

Dalam keratan ayat 24 surah al-Anfaal, Allah berfirman:

وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ يَحُولُ بَيۡنَ ٱلۡمَرۡءِ وَقَلۡبِهِۦ

"...ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat (Allah menjadi pendinding) di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya .."

Dalam ayat 24 surah al-Anfal di atas, Allah memperingatkan kita bahawa Allah yang membatasi kita dengan hati kita yang menyebabkan kita tidak tahu atau tidak sedar apa yang dilakukan. Jelasnya Allah berkuasa mematikan hati seseorang sehingga terlepas peluang yang baik. Allah juga berkuasa menjadikan hati kita hidup.

Ini bermaksud hati kita  berada dalam diri kita, namun antara hati kita dengan diri kita Allah yang menjadi pendinding. Allahlah yang menguasai hati kita. Dialah yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita. Jadi langkah yang pertama untuk mendapat qalbun salim ialah kita kina bina hubungan baik dengan Allah SWT. dan sentiasa memohon perlindungan denganNya.

Usaha membersihkan hati/untuk mendapatkan QALBUN SALIM: 

Ada 3 proses yang perlu dibuat iaitu takhalli (melawan dan membuang terus semua kehendak2 nafsu yang keji) kemudian diikuti dengan tahalli yakni mengisikan dan menghiasinya dengan sifat2 terpuji seterusnya tajalli yakni mengekalkan sifat2 terpuji tersebut.. kena berilmu dan sebaik2nya faham sifat2 Allah... dan berusaha meneladaninya sebagaimana Rasulullah saw meneladani semua sifat2 Allah. 

Sekian Allahua'lam. Mudah2an memberi manfaat.

Monday, December 6, 2010

Dua Bola Mata Akan Layu


Bismillahirrahmanirrahim.

Petang ini ingin kongsikan satu riwayat. Kisah Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz yang masyhur, tatakala diberi nasihat oleh kubur, beliau menyampaikan kepada semua yang hadir.

Abu Farwah berkata: "Pada suatu ketika Umar bin Abdul Aziz menghadiri sebuah acara penyelenggaraan jenazah dari Bani Umayyah. Ketika mayat itu telah disembahyangkan dan dikuburkan Umar bin Abdul Aziz berkata kepada orang ramai: "Berdirilah kamu".

Kemudian Umar bin Abdul Aziz berdiri di belakang mereka dan berlambat-lambat sehingga orang ramai bertanya kepadanya.

"Wahai Amirul Mukminin, kamu telah berlambat-lambat, apakah yang menahanmu?".

Dia menjawab: "Aku telah datang ke kubur orang-orang yang tercinta, iaitu kubur nenek moyangku, Bani Umayyah.

Lalu aku mengucapkan salam kepada mereka tetapi mereka tidak menjawabnya. Ketika aku telah melangkah satu langkah tanah memanggilku.

"Wahai Umar, apakah kamu akan bertanya kepadaku tentang apa-apa yang dialami oleh golongan terkasih (Bani Umayyah)?".

Aku bertanya kepada tanah: "Ya, apakah yang dihadapi oleh orang-orang terkasih?"

Tanah menjawab; "Kain kafan telah aku robekkan dan badan-badan mereka sudah ku telan".

Setelah itu aku melangkah selangkah lagi, tanah menyeruku; "Wahai Umar apakah kamu hendak bertanya tentang apakah yang dihadapi oleh dua mata?"

Aku bertanya: "Ya, apakah yang dialami oleh dua mata?

Tanah menjawab; "Aku layukan dua bola matanya dan aku makan selaput pelanginya".

Setelah aku melangkah satu langkah lagi, tanah menyeruku: "Wahai Umar, apakah kamu hendak bertanya tentang apa-apa yang dihadapi oleh badan?.

Umar bertanya: "Ya, apakah yang dihadapi oleh badan?

Dia menjawab : "Aku telah memutuskan dua tapak tangan daripada pergelangan tangan. Pergelangannya itu telah aku potong daripada lengannya. Lengannya aku putuskan daripada sikunya. Pangkal lengannya aku putuskan daripada bahunya. Tengkuknya telah ku putuskan daripada punggungnya. Punggungnya telah ku putuskan daripada sulbinya. Sulbinya telah ku putuskan daripada dua pahanya. Dua pahanya telah ku putuskan daripada dua lututnya. Dua lututnya telah ku putuskan daripada tulang keringnya dan dua tulang keringnya telah ku putuskan daripada dua tapak kakinya".

Setelah melangkah setapak lagi, tanah menyeruku, "Wahai Umar hendaklah kamu menyiapkan kain kafan yang tidak akan hancur".

Aku bertanya: "Apakah kain kafan yang tidak akan hancur itu?"

Dia menjawab; "Ia adalah takut kepada Allah dan amalkan ketaatan kepadaNya".

Hal ini telah diriwayatkan daripada beberapa riwayat yang saling menguatkan.

Dalam riwayat lain terdapat tambahan seperti berikut. Kemudian Umar menangis dan berkata kepada mereka :

"Bukankah dunia adalah masa menetap yang sebentar?

Kemegahan dunia sebenarnya hanyalah satu kehinaan, kayanya adalah satu kemiskinan, masa mudanya akan tua, kehidupannya akan mati. Janganlah kamu terpedaya dalam mengejarnya sedangkan kamu tahu betapa cepat ia berlalu. Hakikatnya orang yang tertipu dan rugi adalah orang yang tertipu dan terpedaya oleh dunia.

Di manakah para penduduknya yang dulu membangun kota-kota yang megah, yang menggali sungai dan menanam pepohonannya? Mereka bermukim sebentar sahaja di sana. Mereka tertipu dan terpedaya oleh masa sihat dan merasa gagah dan megah kepada apa yang mereka miliki kemudian mereka melakukan banyak kemaksiatan.

Demi Allah sesungguhnya mereka di dunia bergembira dengan harta dan kenikmatan yang banyak. Mereka mengumpulkannya dengan penuh perasaan dengki. Apakah yang telah diperbuat tanah terhadap badan mereka? Apakah yang telah diperbuat pasir terhadap badan mereka?.

Apakah yang telah diperbuat cacing dan ulat terhadap daging, tulang dan sendi-sendi mereka? Pada hal ketika di dunia mereka berada di tengah-tengah keluarga yang serba ada, dengan permaidani yang terhampar, dengan para khadam yang selalu melayani, para penduduk yang memuliakan, para tetangga yang selalu menyukai?

Jika engkau lalu di kubur mereka, sapalah mereka apabila engkau boleh menyapa. Panggilah jika engkau boleh memanggil. Tanyalah orang kaya daripada mereka, apakah yang tinggal daripada kekayaannya?

Tanyalah orang fakir di antara mereka apakah yang tersisa daripada kemiskinan mereka? Tanyalah kepada mereka tentang lidah yang mereka biasa gunakan untuk berbicara, tentang mata yang biasa mereka gunakan untuk melihat, tentang kulit yang lembut, tentang wajah yang tampan dan cantik dan badan yang molek. Apakah yang dibuat oleh ulat dan cacing sehingga kulit mereka terhapus, daging menjadi nanah? Apa yang dibuat hinggakan kecantikan berubah menjadi buruk dan begitu menakutkan, tulang punggung dipecahkan dan anggota bercerai berai?

Di manakah makhkota mereka? Di manakah kubah-kubah bangunan mereka? Di manakah para pelayan dan hamba mereka? di manakah keseluruhan kekayaan yang telah mereka kumpulkan? Demi Allah, Di sana (di kubur) mereka tidak diberi alas tidur. Mereka tidak diberi tempat bersantai dan tidak pula ditanamkan buat mereka walaupun sebatang pokok.

Mereka tidak akan dibuatkan tempat yang lapang di dalam lahad itu. Bukankah mereka berada di rumah yang sepi dan keseorangan? Bukankah siang dan malam sama sahaja bagi mereka? Bukankah mereka berada dalam kegelapan yang pekat? Mereka dipisahkan daripada amal.

Mereka telah berpisah dengan orang yang dikasihi. Betapa banyak kaum lelaki dan kaum perempuan yang cantik dan lembut kini wajah mereka berubah menjadi hancur dan busuk, badan dengan kepala berpisah, bola mata telah hancur dan meleleh ke pipi, mulut dipenuhi nanah dan darah, binatang berkeliaran di tubuh mereka.

Tidak lama setelah itu semua daging dan tulang akan menjadi tanah kembali. Mereka telah berpisah daripada taman-taman yang indah ke tempat yang sempit. Para isteri telah berkahwin dengan lelaki lain. Anak-anak mereka berjalan ke hulu ke hilir di jalanan. Warisan harta dan rumah dibahagi-bahagikan. Demi Allah di antara mereka ada yang dilapangkan bagi melihat segala kenikmatan.

Wahai para penghuni kubur esok hari, apakah yang menyebabkan kamu tertipu oleh dunia? Apakah kamu tahu bahawa engkau akan kekal atau dunia itu akan kekal untukmu? Di manakah nanti rumah kamu yang luas dan mewah?

Di manakah sungaimu yang berair banyak? Di manakah pakaian untuk musim panas dan musim dinginmu? Di manakah pakaianmu yang halus itu? Di manakah wangi-wangianmu? Di manakah buah-buah yang sudah masak itu?

Bukankah kalian sudah mengetahui bahawa apabila kematian sudah hadir, kita tidak akan dapat mempertahankan diri daripadanya. Pada waktu itu kita bermandikan keringat, merasa sangat hina, dirundung sakaratul maut dengan berguling.

Telah datang perintah dan ketentuan dari langit dan telah datang qadha' dan qadar, ajalnya telah datang tanpa boleh ditolak. Tidak mungkin, tidak mungkin, wahai orang yang memandikan bapa, saudara atau anak dan penutup rahsia aurat mereka. Wahai orang yang mengafani, wahai para peletak mayat dalam liang lahad, tidak mungkin semuanya dapat menahan kematiannya.

Alangkah baiknya jika aku mengetahui bagaimana nanti aku telah berada di dalam tanah yang kasar. Alangkah baiknya jika aku mengetahui pada pipi yang mana kehancuran itu akan dimulai dariku. Alangkah bainya jika aku mengetahui apabila aku berada di tempat mayat. Alangkah baiknya sekiranya aku mengetahui apa yang diperbuat oleh malaikat maut ketika ruhku keluar daripada dunia dan apa yang datang kepadaku daripada keputusan Tuhanku".

Setelah itu Umar berkata dalam sebuah syair:

"Engkau disenangkan oleh sesuatu yang fana dan hanya disibukkan oleh waktu yang awal (dunia).
Sebagaimana orang yang terpedaya oleh lazatnya mimpi.
Siang harimu, wahai orang yang tertipu, penuh kelupaan dan kelalaian.
Dan malammu penuh dengan tidur, sedangkan kematianmu adalah sesuatu yang pasti.
Engkau berbuat untuk sesuatu yang engkau dipaksa untuk meninggalkannya.
Maka, seperti itu pulalah hidupnya binatang di dunia."

Menurut riwayat ini, selepas mengatakan kata-kata penuh hikmah ini, Umar bin Abdul Aziz meninggal dunia, rahimahullah. Wallahu a'lam.

Tentang kezuhudan Umar Abdul Aziz memang telah diketahui umum. Daripada kisah ini diharapkan kita juga dapat mengambil pengajaran dan berusaha mendapatkan hati yang sejahtera.

Allah berfirman:

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera ; (Asy-Syu'araa [26] : 88 - 89)

Hati yang selamat sejahtera di dalam ayat di atas bermaksud orang yang meninggal dunia dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt, bersih daripada segala sifat mazmumah, akhir kehidupannya dapat mengucap kalimah syahadah, kehidupan mereka di akhirat nanti akan mendapat kebahagiaan dan keredhaan Allah swt. Itulah kesudahan bagi mereka yang memiliki hati yang sejahtera ( qalbun salim).
Ya Allah! Anugerahkanlah kami hati yang sejahtera, hati yang baik yang dapat memimpin kami ke jalan yang yang Engkau redhai.
Related Posts with Thumbnails