Monday, December 6, 2010

Dua Bola Mata Akan Layu


Bismillahirrahmanirrahim.

Petang ini ingin kongsikan satu riwayat. Kisah Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz yang masyhur, tatakala diberi nasihat oleh kubur, beliau menyampaikan kepada semua yang hadir.

Abu Farwah berkata: "Pada suatu ketika Umar bin Abdul Aziz menghadiri sebuah acara penyelenggaraan jenazah dari Bani Umayyah. Ketika mayat itu telah disembahyangkan dan dikuburkan Umar bin Abdul Aziz berkata kepada orang ramai: "Berdirilah kamu".

Kemudian Umar bin Abdul Aziz berdiri di belakang mereka dan berlambat-lambat sehingga orang ramai bertanya kepadanya.

"Wahai Amirul Mukminin, kamu telah berlambat-lambat, apakah yang menahanmu?".

Dia menjawab: "Aku telah datang ke kubur orang-orang yang tercinta, iaitu kubur nenek moyangku, Bani Umayyah.

Lalu aku mengucapkan salam kepada mereka tetapi mereka tidak menjawabnya. Ketika aku telah melangkah satu langkah tanah memanggilku.

"Wahai Umar, apakah kamu akan bertanya kepadaku tentang apa-apa yang dialami oleh golongan terkasih (Bani Umayyah)?".

Aku bertanya kepada tanah: "Ya, apakah yang dihadapi oleh orang-orang terkasih?"

Tanah menjawab; "Kain kafan telah aku robekkan dan badan-badan mereka sudah ku telan".

Setelah itu aku melangkah selangkah lagi, tanah menyeruku; "Wahai Umar apakah kamu hendak bertanya tentang apakah yang dihadapi oleh dua mata?"

Aku bertanya: "Ya, apakah yang dialami oleh dua mata?

Tanah menjawab; "Aku layukan dua bola matanya dan aku makan selaput pelanginya".

Setelah aku melangkah satu langkah lagi, tanah menyeruku: "Wahai Umar, apakah kamu hendak bertanya tentang apa-apa yang dihadapi oleh badan?.

Umar bertanya: "Ya, apakah yang dihadapi oleh badan?

Dia menjawab : "Aku telah memutuskan dua tapak tangan daripada pergelangan tangan. Pergelangannya itu telah aku potong daripada lengannya. Lengannya aku putuskan daripada sikunya. Pangkal lengannya aku putuskan daripada bahunya. Tengkuknya telah ku putuskan daripada punggungnya. Punggungnya telah ku putuskan daripada sulbinya. Sulbinya telah ku putuskan daripada dua pahanya. Dua pahanya telah ku putuskan daripada dua lututnya. Dua lututnya telah ku putuskan daripada tulang keringnya dan dua tulang keringnya telah ku putuskan daripada dua tapak kakinya".

Setelah melangkah setapak lagi, tanah menyeruku, "Wahai Umar hendaklah kamu menyiapkan kain kafan yang tidak akan hancur".

Aku bertanya: "Apakah kain kafan yang tidak akan hancur itu?"

Dia menjawab; "Ia adalah takut kepada Allah dan amalkan ketaatan kepadaNya".

Hal ini telah diriwayatkan daripada beberapa riwayat yang saling menguatkan.

Dalam riwayat lain terdapat tambahan seperti berikut. Kemudian Umar menangis dan berkata kepada mereka :

"Bukankah dunia adalah masa menetap yang sebentar?

Kemegahan dunia sebenarnya hanyalah satu kehinaan, kayanya adalah satu kemiskinan, masa mudanya akan tua, kehidupannya akan mati. Janganlah kamu terpedaya dalam mengejarnya sedangkan kamu tahu betapa cepat ia berlalu. Hakikatnya orang yang tertipu dan rugi adalah orang yang tertipu dan terpedaya oleh dunia.

Di manakah para penduduknya yang dulu membangun kota-kota yang megah, yang menggali sungai dan menanam pepohonannya? Mereka bermukim sebentar sahaja di sana. Mereka tertipu dan terpedaya oleh masa sihat dan merasa gagah dan megah kepada apa yang mereka miliki kemudian mereka melakukan banyak kemaksiatan.

Demi Allah sesungguhnya mereka di dunia bergembira dengan harta dan kenikmatan yang banyak. Mereka mengumpulkannya dengan penuh perasaan dengki. Apakah yang telah diperbuat tanah terhadap badan mereka? Apakah yang telah diperbuat pasir terhadap badan mereka?.

Apakah yang telah diperbuat cacing dan ulat terhadap daging, tulang dan sendi-sendi mereka? Pada hal ketika di dunia mereka berada di tengah-tengah keluarga yang serba ada, dengan permaidani yang terhampar, dengan para khadam yang selalu melayani, para penduduk yang memuliakan, para tetangga yang selalu menyukai?

Jika engkau lalu di kubur mereka, sapalah mereka apabila engkau boleh menyapa. Panggilah jika engkau boleh memanggil. Tanyalah orang kaya daripada mereka, apakah yang tinggal daripada kekayaannya?

Tanyalah orang fakir di antara mereka apakah yang tersisa daripada kemiskinan mereka? Tanyalah kepada mereka tentang lidah yang mereka biasa gunakan untuk berbicara, tentang mata yang biasa mereka gunakan untuk melihat, tentang kulit yang lembut, tentang wajah yang tampan dan cantik dan badan yang molek. Apakah yang dibuat oleh ulat dan cacing sehingga kulit mereka terhapus, daging menjadi nanah? Apa yang dibuat hinggakan kecantikan berubah menjadi buruk dan begitu menakutkan, tulang punggung dipecahkan dan anggota bercerai berai?

Di manakah makhkota mereka? Di manakah kubah-kubah bangunan mereka? Di manakah para pelayan dan hamba mereka? di manakah keseluruhan kekayaan yang telah mereka kumpulkan? Demi Allah, Di sana (di kubur) mereka tidak diberi alas tidur. Mereka tidak diberi tempat bersantai dan tidak pula ditanamkan buat mereka walaupun sebatang pokok.

Mereka tidak akan dibuatkan tempat yang lapang di dalam lahad itu. Bukankah mereka berada di rumah yang sepi dan keseorangan? Bukankah siang dan malam sama sahaja bagi mereka? Bukankah mereka berada dalam kegelapan yang pekat? Mereka dipisahkan daripada amal.

Mereka telah berpisah dengan orang yang dikasihi. Betapa banyak kaum lelaki dan kaum perempuan yang cantik dan lembut kini wajah mereka berubah menjadi hancur dan busuk, badan dengan kepala berpisah, bola mata telah hancur dan meleleh ke pipi, mulut dipenuhi nanah dan darah, binatang berkeliaran di tubuh mereka.

Tidak lama setelah itu semua daging dan tulang akan menjadi tanah kembali. Mereka telah berpisah daripada taman-taman yang indah ke tempat yang sempit. Para isteri telah berkahwin dengan lelaki lain. Anak-anak mereka berjalan ke hulu ke hilir di jalanan. Warisan harta dan rumah dibahagi-bahagikan. Demi Allah di antara mereka ada yang dilapangkan bagi melihat segala kenikmatan.

Wahai para penghuni kubur esok hari, apakah yang menyebabkan kamu tertipu oleh dunia? Apakah kamu tahu bahawa engkau akan kekal atau dunia itu akan kekal untukmu? Di manakah nanti rumah kamu yang luas dan mewah?

Di manakah sungaimu yang berair banyak? Di manakah pakaian untuk musim panas dan musim dinginmu? Di manakah pakaianmu yang halus itu? Di manakah wangi-wangianmu? Di manakah buah-buah yang sudah masak itu?

Bukankah kalian sudah mengetahui bahawa apabila kematian sudah hadir, kita tidak akan dapat mempertahankan diri daripadanya. Pada waktu itu kita bermandikan keringat, merasa sangat hina, dirundung sakaratul maut dengan berguling.

Telah datang perintah dan ketentuan dari langit dan telah datang qadha' dan qadar, ajalnya telah datang tanpa boleh ditolak. Tidak mungkin, tidak mungkin, wahai orang yang memandikan bapa, saudara atau anak dan penutup rahsia aurat mereka. Wahai orang yang mengafani, wahai para peletak mayat dalam liang lahad, tidak mungkin semuanya dapat menahan kematiannya.

Alangkah baiknya jika aku mengetahui bagaimana nanti aku telah berada di dalam tanah yang kasar. Alangkah baiknya jika aku mengetahui pada pipi yang mana kehancuran itu akan dimulai dariku. Alangkah bainya jika aku mengetahui apabila aku berada di tempat mayat. Alangkah baiknya sekiranya aku mengetahui apa yang diperbuat oleh malaikat maut ketika ruhku keluar daripada dunia dan apa yang datang kepadaku daripada keputusan Tuhanku".

Setelah itu Umar berkata dalam sebuah syair:

"Engkau disenangkan oleh sesuatu yang fana dan hanya disibukkan oleh waktu yang awal (dunia).
Sebagaimana orang yang terpedaya oleh lazatnya mimpi.
Siang harimu, wahai orang yang tertipu, penuh kelupaan dan kelalaian.
Dan malammu penuh dengan tidur, sedangkan kematianmu adalah sesuatu yang pasti.
Engkau berbuat untuk sesuatu yang engkau dipaksa untuk meninggalkannya.
Maka, seperti itu pulalah hidupnya binatang di dunia."

Menurut riwayat ini, selepas mengatakan kata-kata penuh hikmah ini, Umar bin Abdul Aziz meninggal dunia, rahimahullah. Wallahu a'lam.

Tentang kezuhudan Umar Abdul Aziz memang telah diketahui umum. Daripada kisah ini diharapkan kita juga dapat mengambil pengajaran dan berusaha mendapatkan hati yang sejahtera.

Allah berfirman:

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera ; (Asy-Syu'araa [26] : 88 - 89)

Hati yang selamat sejahtera di dalam ayat di atas bermaksud orang yang meninggal dunia dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt, bersih daripada segala sifat mazmumah, akhir kehidupannya dapat mengucap kalimah syahadah, kehidupan mereka di akhirat nanti akan mendapat kebahagiaan dan keredhaan Allah swt. Itulah kesudahan bagi mereka yang memiliki hati yang sejahtera ( qalbun salim).
Ya Allah! Anugerahkanlah kami hati yang sejahtera, hati yang baik yang dapat memimpin kami ke jalan yang yang Engkau redhai.

30 comments:

noormiey said...

MasyaAllah, begitu hinanya kita tanpa amal. moga kita dijauhkan dari azab kubur...

Abd Razak said...

Assalamualaikum Kak Werdah..

Moga kakak sihat hendaknya serta sentiasa dalam rahmat kasih sayang~Nya..

Betapa, apabila memikirkan diri yang banyak dosa, apakah bisa terselamat dari azab kubur nanti...Subhanallah!

Moga hari-hari mendatang kita sama-sama penuhkan dengan amalan ibadah agar mendapat redha Allah Taala...

kak Erna said...

salam ka werdah..semoga kita sentiasa dilindungi yang maha esa..

zulkbo said...

Salam maal hijrah 1432H..
harapan semoga hijrah tahun
ini lebih bermakna dari tahun
tahun sebelumnya..

abu muaz said...

Assalamualaikum T.Kasih atas coretan ini. Salam maal hijrah buat puan.

tehr said...

salam maal hijrah
semoga kita kekal dalam islam dan sentiasa menjadi hamba yang bersyukur

Kunang-Kunang said...

Salam Kak Werdah,

Semoga Kak Werdah sihat sentiasa. Lama sungguh tidak ke sini.

Terima kasih membawa cerita Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz .Kagum dengan sifat amanah beliau terutama dengan harta negara dan hak rakyat. Satu sikap yang baik untuk dicontohi oleh pemimpin2 kita pada hari ini.

Begitu juga dengan isterinya,Fatimah. Seorang isteri yang sangat taat kepada kehendak suaminya ketika suami masih hidup dan ketika sudah meninggal.

Werdah said...

Salam noormiey

Mudah2an kita sentiasa diberi kekuatan untuk tambah ilmu dan beramal dengannya..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Abd Razak.

Alhamdulillah kak sihat, cuma pinggang ke belikat tu masih seperti keadaan lama, bertahan untuk duduk lama..

Terima kasih kerana sering mendoakan kak di sini. Semoga Abd Razak juga sihat di sana.

Benar, begitu terasa sekali, bila mengenangkan apa yang akan berlaku nanti dan bandingkan dengan Umar dan para sahabat terdahulu, bagaimanalah nanti kedudukan kita ini.

Terima kasih sekali lagi kerana selalu memberi dorongan untuk menambah amal.. semoga diberi pertolongan oleh Allah SWT... Amiin

Werdah said...

Salam kak Erna.

InsyaAllah kita berusaha bersungguh-sungguh dan semoga Allah mambantu kita dalam setiap amalan kita..

Werdah said...

Salam Zulkbo

Salam Maal Hijrah juga buat zulkbo

Semoga kita dapat mengadakan perubahan dengan bersungguh-sungguh. Amiin

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Abu Mauz.

Salam Maal hijrah juga buat Abu Muaz.. mudah2an apa yang kita baca dapat kita jadikan pedoman.. insyaAllah.

Werdah said...

Salam tehr..

Salam Maal Hijrah juga buat tehr..

Bila ada keyakinan di situ ada kemahuan.. mudah2an kita sentiasa sabar dalam taat dan syukur dalam segala hal.. mudah2an Allah bantu kita bermujahadah..

Werdah said...

Salam Ani.

Kak alhamdulillah sihat, harapan kak juga Ani beroleh kekuatan dan kesihatan..

Benar Ani, sewajarnya pemimpin dan sesiapa sahaja mengkaji dan mengahayati dan mengamalkan apa yang dibuat oleh Amirul Mukminin ini.. diriwayatkan bahawa sebaik sahaja selesai pengkebumian Sulaiman (jika tak silap) Umar (diumumkan)ambil alih pemerintahan beliau terus menulis surat melucutkan jawatan beberapa orang yang diketahuinya tidak menjalankan tugas dengan betul..

Alangkah bahagianya jika dapat didik hati kita sehingga menjadi seperti beliau.

ibuintan said...

as salam kak werdah,

semoga akak terus diberi kesihatan yang baik agar terus dapat menulis dan memberi peringatan ..

aby said...

salam k werdah ...

rasenye surah at thakasur mengingatkan kite kpd mereka2 yg hubbun dunya ...
cinte pd dunia ....

[1]
Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -
[2]
Sehingga kamu masuk kubur.
[3]
Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!
[4]
Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!
[5]
Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).
[6]
(Ingatlah) demi sesungguhnya! – Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.
[7]
Selepas itu – demi sesungguhnya! – kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!
[8]
Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

semoga kite tk terlalai dalam kesibukan mencari dan keindahan harta dunia ...

ckg rash said...

Assalamu'alaikum,

Moga mk cik sihat, panjang umur & dpt terus melaksanakan amanah Allah.

T/kasih atas peringatan demi peringatan... kita sbg insan ini memang kena sentiasa selalu diperingatkan berulang-ulang kali...

Salam Ma'al Hijrah 1432. Maaf zahir bathin...

Werdah said...

Salam ibuintan

Terima kasih kerana mendoakan kesihatan kak.. semoga ibuintan juga diberi kekuatan dan kesihatan dan sentiasa dalam limpahan rahmat Allah.

Mudah2an kita semua dapat ambil pengajaran daripada apa yang kita baca.. kakpun masih mendidik hati.. tersangat kurang...

Werdah said...

Salam aby..

Begitulah Allah mengingatkan kita bahawa harta dan anak pinak, pangkat darjat merupakan fitnah buat kita jika kita tidak dapat menggunakan seluruh kekayaan, pangkat serta anak-anak ke arah yang selayaknya kita gunakan..

Allah berfirman:

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Al-A'raaf 7:31)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. (Al-A'raaf 7:32)

Daripada ayat2 di atas Allah ingatkan bahawa kita berhak mendapatkan kekayaan, namun kita diingatkan agar menggunakannya sebagai tujuan menegakkan agamaNya.

Mudah2an kita selalu berusaha mendidik hati supaya dapat bertemu denganNya dengan membawa hati yang sejahtera.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam ckg Rash.

Salam Maal Hijrah juga buat ckg rash..

Terima kasih atas doa, mudah2an diizinkan Allah dan dengan pertolonganNya juga makcik dapat berusaha mendidik hati hati ini...

Alimaz-Kembara Terasing said...

semoga ada kesedaran dalam diri kita sebelum terlewat...

Werdah said...

Salam Alimaz

Benar tu.. berilmu dan berharta tanpa beramal ibarat pohon yang layu, tidak berbuah dan tidak juga dapat dibuat tempat berteduh.. risau sangat mengenangkannya..

Kamsiah said...

salam kak werdah
sama2 saling ingat mengingatkan..tentang dunia yg sementara...tentang bekalan yg bakal dibawa...

Ros Illiyyuun said...

Salam :)

Terpikat dengan quote ini

"Aku bertanya: "Apakah kain kafan yang tidak akan hancur itu?"
Dia menjawab; "Ia adalah takut kepada Allah dan amalkan ketaatan kepadaNya"."

"Takut kepada Allah, amalkan ketaatan kepada-Nya" merupakan benteng yang kuat dalam menjaga diri daripada kelalaian, kealpaan dan keterlupaan kepada-Nya.

Moga2 kita masih mampu menjadi hamba-Nya yang taaat dan akhirnya kembali kepada-Nya dengan ketaatan jua. Ameen.

HASRUL NIZAM said...

"Kemegahan dunia sebenarnya hanyalah satu kehinaan, kayanya adalah satu kemiskinan, masa mudanya akan tua, kehidupannya akan mati. Janganlah kamu terpedaya dalam mengejarnya sedangkan kamu tahu betapa cepat ia berlalu. Hakikatnya orang yang tertipu dan rugi adalah orang yang tertipu dan terpedaya oleh dunia."

Setuju sangat2... aduhai dunia :(

luahfikiran said...

SALAM,
BIMBANG DAN TAKUT MENGHADAPI ALAM TERSEBUT APABILA MEMBACA N3 INI. SEMOGA KITA SEMUA DIJAUHI DARIPADA KEADAAN INI

Werdah said...

Salam Kamsiah

Maaf lambat respon.. lama tak on9.. ke utara, dan urusan lain-lain..

Mudah2an kita berasa takut dan siapkan bekalan.. insyaAllah, dengan pertolongan Allah juga.

Werdah said...

Salam Ros.

Itulah keutamaannya.. rasa takut bila ingat kematian yang memisahkan roh dan jasad dan mengenangkan pula alam barzakh yang kita tidak tahu apa nasib kita.. menjadikan kita sentiasa ingin mengelakkan kemaksiatan.. mudah2an dapatlah kita beramal sebaik mungkin .. dengan pertolongan Allah juga serta rahmatNya kita pohon.

Werdah said...

Salam Hasrul.

Betapa Allah banyak menyebut tentang dunia yang memperdaya dalam kitabNya.. namun bukan kita harus mengenepikan dunia seratus peratus.. cuma kita boleh ambil sekadar keperluan.. yang lebih daripada keperluan bukan hak kita.. di sana ada hak orang lain.. mudah2an kita tidak jadi orang yang boros dan orang yang bakhil..

Werdah said...

Salam LF

Perasaan bimbang takut menjadikan kita lebih berhati-hati, mudah2an kita tergolong dalam golongan orang-orang yang berusaha menelakkan suul khotimah. Allahumma Amiin

Related Posts with Thumbnails