Monday, February 25, 2013

"NUSABBIHU" dan "NUQADDISU"


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini sambung tulis tentang nama Allah Al-Quddus iaitu nama Allah yang keempat dalam asmaul husna. 

Dalam N3 lepas dinyatakan bahawa Quddus membawa makna suci. Al-Quddus maksudnya kesucian yang tidak menimpa padanya perubahan, kekotoran, sebaliknya terus menerus dalam keadaan suci iaitu tersuci dan bersih daripada segala cacat cela dan kekurangan, bebas daripada segala kesilapan, kealpaan dan tidak berkeupayaan atau kurang kesempurnaan. 

Allah Subhanahu wa ta'aala mempunyai sifat quddus. Dalam perbuatan Allah, dalam Zat Allah dan dalam sifat-sifatNya pasti ada 3 unsur iaitu: Benar, indah dan baik.

Allah berfirman:

23:115
23:116
"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) saja-saja (suka-suka/ sia-sia) dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"(Al-Mu'minuun 23:115) Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia".(Al-Mu'minuun 23:116
Di sini Allah menyatakan bahawa segala ciptaanNya adalah hak dan Allah Subhanahu wa ta'aala mencipta langit, bumi dan segala isinya bukan suka-suka tetapi adalah al-haq/benar. Dalam surah al-Mulk ayat 3 pula; Allah mencabar kita  kalau-kalau kita dapat mencari cacat cela dalam penciptaanNya.
"Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? "(Al-Mulk 67:3)
Amalan kita pula mungkin sudah benar tetapi belum tentu baik (menyampaikan nasihat tetapi dengan cara yang tidak betul), mungkin sudah baik tetapi belum tentu benar. Baik diukur dengan akhlak manakala benar diukur dengan agama. Jika setiap perbuatan itu benar, indah dan baik barulah dikira suci.

Islam amat menitikberatkan keindahan. Kita pasti selalu mendengar kisah seorang sahabat yang datang ke majlis Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan keadaan rambut kusut masai, janggutpun tak terurus lalu nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan kepadanya. Sahabat itu pula faham lalu pulang dan memperkemaskan dirinya dan datang semula ke majlis nabi. Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam terus memberikan komen bahawa bukankah itu lebih baik daripada kamu datang berjumpa sahabat dalam keadaan kusut masai seolah-olah syaitan. Nabi tak menegur solatnya tetapi nabi tegur tentang estiteka. Banyak lagi kisah-kisah seperti ini yang telah diketahui ramai berlaku di kalangan para sahabat.

Makna al-Quddus ialah  Maha Suci.

Ada perbezaan antara Qa Da Sa dan Sa Ba Ha.

Kedua-duanya bermaksud suci.

2:30
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih (mensucikanMu) dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (Al-Baqarah 2:30)
Dalam ayat di atas ada "NUSABBIHU" dan "NUQADDISU"

Kedua-duanya bermaksud mensucikan tetapi mengapa ada DUA istilah dalam ayat itu?

Jawapannya ialah, TASBIH ialah mensucikan Allah Subhanahu wa ta'aala dengan menjauhkan perkara-perkara yang tak layak bagi Allah. Untuk menambah kefahaman tentang ini elok baca Bertasbihlah Mensucikan Nama Tuhanmu

Makna asal SABAHA ialah berenang, sebab orang berenang akan semakin jauh daripada tempat dia bermula. 

Dalam surah Yasiin hujung ayat 40, maksudnya beredar / bergerak semakin jauh.

 وَكُلٌّ۬ فِى فَلَكٍ۬ يَسۡبَحُونَ
(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. (Yaa Siin 36:40)
Apabila kita bertasbih kepada Allah Subhanahu wa ta'aala kita hendaklah bersangka baik kepada Allah jika sebaliknya maka kita tidak dikatakan bertasbih. Jadi bila ucap Subhaanallah dengan berburuk sangka maka subhaanallah yang diucapkan itu sudah tidak ada maknanya lagi.

Dalam ayat al-Quran perintah mensucikan Allah Subhanahu wa ta'aala dengan kalimah SABBIH banyak kali namun tidak ada perintah mensucikan Allah Subhanahu wa ta'aala dengan kalimah QADDIS.

Kenapa begitu?

Ini kerana kita hanya dapat menghilangkan sifat tak baik kepada Allah Subhanahu wa ta'aala tetapi kita tak berupaya / tak mampu memberikan sifat yang sesuai kepada Allah Subhanahu wa ta'aala  Kalau kita nak memberikan nama kepada Allah Subhanahu wa ta'aala kita tak mampu. Allah yang memberikan namanya sendiri.

Mudah-mudahan sedikit sebanyak membantu kita menambah kefahaman dalam asmaulhusna.

Tuesday, February 12, 2013

Dialah al-Quddus


Sumber
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah subhanahu wa ta'aala (selepas ini ditulis dengan SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (selepas ini ditulis SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini ingin kongsikan serba sedikit hasil dengar ceramah tentang nama Allah Al-Quddus iaitu nama Allah yang keempat dalam asmaul husna. 

Sebelum itu elok kita ketahui dahulu mengapa nama-nama Allah dalam asmaul husna disusun seperti selepas ar-Rahman adalah ar-Rahim, kemudian al-Malik, selepas itu al-Quddus dan lain-lainnya. Allah SWT sendiri yang meletakkan al-Quddus selepas al-Malik. 

Dalam ar-Rahman dan ar-Rahim iaitu tentang sifat kasih sayang dan sifat rahmat Allah; Allah bukan sekadar memiliki sifat kasih sayang dan rahmat malah Allah ada sifat al-Malik selepasnya iaitu berkuasa untuk memberi kasih sayang kepada makhluk yang Dia kehendaki, sehingga makhluk yang menghendaki kasih sayang daripadaNya mendapat manfaat daripada sifat rahman dan rahim tersebut. Ini berbeza dengan kita sebagai manusia; walaupun kita ada sedikit sifat kasih sayang dan belas kasihan kepada seseorang seperti kasih sayang orang tua kepada anak-anaknya namun seringkali kita tak mampu atau kadang-kadang kita tak berkuasa untuk memberikan manfaat kepada orang yang kita sayang itu; sebagai contoh ketika kita melihat orang yang sakit terlantar, kita kasih, kita kasihan tetapi  kita tidak mampu memindahkan sifat kasihan itu kepada orang yang sakit itu sehingga dia dapat manfaat daripada rasa kasihan kita. Ini kerana kita tidak ada sifat al-Malik.

Allah SWT mempunyai sifat al-Malik, namun begitu Allah SWT tak akan pernah menyalahgunakan kuasanya. Al-Malik bermaksud Yang Maha Menguasai dan Yang Maha Memiliki. Jika Allah SWT memberitahu kita bahawa selepas al-Malik Allah SWT mempunyai sifat al-Quddus iaitu susunannya al-Malikul Quddus seolah-olah Allah mengatakan:

"Wahai hambaKu, walaupun Aku berkuasa terhadap apa yang Aku miliki dan Aku boleh melakukan apa sahaja terhadapnya tanpa ada seorangpun yang dapat menghalangi Aku, kamu tidak perlu khuatir kerana Aku tidak akan menyalahgunakan kekuasaan mutlak yang Aku miliki kerana Aku adalah al-Quddus. Aku Maha Suci yakni suci, terbebas daripada menyalahgunakan kuasa walau sebesar manapun kekuasaan yang Aku miliki."

Ustaz tekankan begitu kerana menurut al-Quran sendiri, manusia cenderung menyalahgunakan kuasa bila dia merasai dia punya kuasa disebabkan dia tidak quddus / tidak suci. Ini kerana sifat quddus boleh menghalang seseorang itu menyalahgunakan kuasa yang ada padanya.

Dalam ayat di bawah ada dinyatakan tentang al-Malik:

27:34
Berkata dia (Raja perempuan /Balqis) : "Sesungguhnya raja-raja / penguasa (al-Malik - orang-orang yang mempunyai kuasa) , apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.(An-Naml 27:34)
Dalam ayat dia atas; Allah menceritakan kebenaran apa yang dikatakan oleh Penguasa Negeri Saba' seorang perempuan, ketika penguasa itu mendapat surat daripada Nabi Sulaiman as yang menyerunya memeluk agama yang dibawanya dan tidak perlu dia menolaknya apatah lagi berfikir untuk menyerangnya kerana Nabi Sulaiman as mempunyai kekuasaan yang jauh lebih hebat daripada kekuasaan yang dimiliknya.

Setelah mendapat surat itulah Balqis memberikan pendapatnya "Sesungguhnya raja-raja ini, apabila masuk ke negeri orang, mereka akan menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itu jugalah Nabi Sulaiman as dan tentera-tenteranya akan lakukan bila mereka masuk ke Negeri Saba'."

Ayat ini merupakan satu pembenaran atau pengakuan Allah SWT terhadap apa yang difikirkan oleh Balqis. Jika tidak betul apa yang difikirkan oleh Balqis pasti Allah akan membetulkannya, tetapi ternyata Allah membenarkannya.

Mengapa orang yang memiliki kuasa cenderung melakukan kerosakan atau menyalahgunakan kuasa mereka? Itu kerana mereka tidak ada sifat quddus.

Betapa indahnya nama-nama Allah sehinggakan selepas Allah sebut Dialah al-Malik dinyatakan pula bahawa Dialah al-Quddus. Ini untuk menghilangkan andaian daripada kita bahawa disebabkan Allah SWT mempunyai kuasa yang tidak terhad Dia boleh buat apa sahaja yang disukaiNya. Jika begitulah sifat Allah SWT susahlah kita.

Kita tak perlu khuatir akan dianiayai oleh Allah SWT, tidak perlu khuatir atau takut Allah SWT menyalahgunakan kuasaNya untuk menganiayai hambaNya sebab Allah kata Dia al-Quddus.

Al-Quddus terambil daripada akar kata Qaf Dal Sin - Qa Da Sa

Dua kali sahaja disebut dalam al-Quran iaitu:

1)  Dalam surah al-Hasyr:

59:23
Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya. (Al-Hasy-r 59:23)
 2)  Dalam Surah al-Jumu'ah:

62:1
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Maha Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Jumu'ah 62:1)

Quddus membawa makna suci. Al-Quddus maksudnya kesucian yang tidak menimpa padanya perubahan, kekotoran, sebaliknya terus menerus dalam keadaan suci iaitu tersuci dan bersih daripada segala cacat cela dan kekurangan, bebas daripada segala kesilapan, kealpaan dan tidak berkeupayaan atau kurang kesempurnaan.

Allah SWT mempunyai sifat quddus. Dalam perbuatan Allah, dalam Zat Allah dan dalam sifat-sifatNya pasti ada 3 unsur iaitu:
  1. Benar
  2. Indah
  3. Baik
Saya rasa setakat ini dahulu catatan kali ini, insyaAllah saya akan sambung lagi menulis tentang al-Quddus ini pada masa akan datang.

Mudah-mudahan menambah pengetahuan kita tentang sifat-sifat Allah SWT. Allahumma Aamiin


Related Posts with Thumbnails