Wednesday, August 24, 2011

Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi

Gambar Hiasan daripada Google images
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian hanya milik Allah Tuhan yang mencipta sekelian makhluk. Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kita Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut setia yang istiqamah mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Nama Allah yang ke 36 yakni nama Allah selepas as-Syakur ialah Al-'aliyy yang bermaksud MAHA Tinggi. 

Al-'aliyy; 9 kali diulang dalam al-Quran; 7 kali merujuk kepada nama Allah dan 2 kali merujuk kepada manusia.

Mari kita lihat DUA kali untuk manusia terlebih dahulu :

1) Dalam surah Maryam [19] ayat 50

A050
"Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia". (Maryam 19:50)
Di sini Allah bagi tahu bahawa Allah kurniakan kepada Nabi Ibrahim dan keluarga, sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia. Maksudnya orang-orang selepas Nabi Ibrahim akan menyebut-nyebut kebaikan Nabi Ibrahim dan keluarga. Benar kan! bila kita selawat kepada nabi Muhammad SAW kita sebut nama nabi Ibrahim, bila tunaikan haji, bila berkorban dan banyak lagi, memang benar apa yang Allah katakan.

2) Dalam surah Maryam [19 ] ayat 57

A057
"Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya". (Maryam 19:57
Ayat  ini  menyatakan bahawa Allah mengangkat Nabi Idris ke tempat yang tinggi darjatnya (syurga).

Dua ayat ini sahaja yang dinisbahkan oleh Allah kepada manusia yakni Nabi Ibrahim as dan Nabi Idris as selebihnya yang 7 kali merujuk kepada sifat Allah SWT.

Apa maknanya 'aliyy?

'aliyy berasal daripada 3 huruf  'ain lam dan wau ('alaa - ya'lu)

Makna asal :

Pertama - tinggi (lawan daripada rendah)
Kedua mengalahkan, menakluki
Ketiga -  sombong

Ini bermaksud Allah Maha Tinggi, Maha mengalahkan, menakluki sesiapa yang ingin melawannya atau menentangnya.

Allah sombong dalam erti kata Allah tidak tunduk kepada kemahuan sesiapa. Tak ada siapapun yang boleh mempengaruhi Allah. Allah mutlak kehendak, iradah dan masyi'ahNya.

Nama Allah sendiri itu 'aliy


Bukan sekadar zat dan sifat sahaja yang Maha Tinggi, namaNya sendiri juga Maha Tinggi.

Mari lihat dalam ayat pertama surah Al-A'laa

A001
"Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan)", - (Al-A'laa 87:1)
al-A'laa yang Allah sebut dalam ayat ini bermaksud Yang Maha Tinggi, ini menjadi sifat kepada nama Tuhan Engkau (Allah). Jadi apa maknanya di sini? Ini nak menunjukkan ketinggian nama Allah itu sendiri seperti yang dinyatakan dalam ayat 65 surah Maryam.

A065
"Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadaNya; adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya? (yang empunya nama seperti nama DIA?) " (Maryam 19:65
Maknanya, tiada nama selain Allah yang berhak ada nama seperti nama Allah yang 99 dalam asmaul husna atau dalam erti kata lain hanya Allah yang berhak memiliki nama-nama seperti itu dan nama Allah sangat tinggi. 

Oleh itu kita wajib mensucikan Allah kerana namaNya sahaja pun tinggi. Untuk meninggikan nama Allah kita perlu hindari perkara-perkara berikut:

Pertama: Jangan menggunakan perkataan yang menggambarkan Allah ini serba kekurangan (tidak baik terhadap Allah);

Contohnya ada kalimah "wamakaru wamakarallah" - makara tu memberi makna tidak elok, kalau ikut makna harfiyah "mereka buat tipu daya dan Allah juga membuat tipu daya". Perkataan ini tak baik (tipu daya itu perbuatan tak baik). Manusia memang membuat tipu daya yang tak baik tapi sebenarnya kita kena faham bahawa Allah membatalkan tipu daya mereka (jangan gunakan perkataan yang tak baik - jangan fahami Allah juga membuat tipu daya). Jika kita kata Allah juga buat tipu daya, ini menunjukkan kita tak sabbihis marabbikal a'laa lagi (tidak mensucikanNya lagi). 

Kedua:  Jangan sebut nama Allah pada tempat atau masa yang tidak sesuai

Rasulullah SAW menanggalkan cincin baginda bila nak qadha hajat, sebab pada cincin baginda ada tertera Muhammad Rasulullah, digunakan sebagai mohor/cop untuk hantar surat, ditulis Allah di atas, Rasul di tengah, dan Muhammad di bawah. Oleh sebab ada nama Allah maka ditanggalkan baginda cincin itu.

Jadi dilarang kita letak kaligrafi nama Allah atau kalimah Allah (ayat-ayat al-Quran) dalam tandas di rumah kita. Di tempat-tempat maksiat juga tidak boleh sebut nama Allah, contoh: bila dinobatkan jadi ratu cantik ucap Alhamdulillah, kebetulan anak orang Melayu Islam. Bila dinobatkan dan diumumkan pula bahawa pada tahun depan akan ke peringkat dunia pula, maka menangis dan kemudian beri ucapan mulakan dengan Bismillah, Alhamdulillah, selawat nabi dll. Ini tak betul, ini salah kerana ini tidak sabbihis marabbikal a'laa. 

Ketiga: Jangan sebut nama Allah tanpa kita sedar akan keagunganNya

Bila kita ucap MasyaAllah, SubhanAllah, BismiLlah dan ucapan baik-baik untuk Allah, hati kita kena sedar akan keagunganNya. Contoh bila kita sebut ar-Rahman, ar-Rahim, ar-Razzak dan lain-lain paling tidak kita kena mengerti atau faham maksud nama-nama Allah tersebut. Dalam solat semasa duduk antara dua sujud kita kaitkan nama-nama Allah al-Husna iaitu al-Ghaffar dan al-Ghafur, ar-Rahman dan ar-Rahim, ar-Raafi', dan seterusnya. Jadi ketika kita berdoa dalam rukun tersebut kita kena faham dan hayati maksudnya semasa memohon barulah kita tahu apa yang kita minta. Jadi dengan itu kita sabbihis marabbikal a'laa dan kita khusyuk.

Keempat: Jangan buat tak kisah atau tak mengendahkan ketika namaNYA disebut

A045

Dan (di antara keburukan orang-orang yang melakukan syirik): apabila disebut nama Allah yang Esa semata-mata (tidak nama yang lain di dalam doa dan sebagainya), merasa jijik/tak suka/mual hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja yang lain dari Allah, mereka dengan serta merta riang dan gembira. (Az-Zumar 39:45)

Perkara-perkara yang boleh dikategorikan sama dengan apa yang Allah beritahu dalam ayat di atas ini ialah;

  • Kadang-kadang terjadi sesuatu perkara dalam rumah contoh ada gangguan maka dinasihati supaya mengamalkan ayat-ayat al-Quran, orang yang mengalami masalah ini tidak suka.
  • Kadang-kadang bila ada orang suka menceritakan kisah-kisah yang baik hasil kuliyah, orang yang mendengar tak suka tetapi bila cerita perkara-perkara selainnya mereka suka sangat.
  • Kadang-kadang ada orang buat salah bila ditegur dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis dia tak suka.
  • Ada juga golongan yang tak mahu gunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis sebaliknya guna pendapat sarjana Barat.

Orang-orang seperti ini mengakui Allah Tuhan mereka tetapi tak suka orang sebut nama Allah. Inilah ciri-ciri orang yang jijik mendengar nama Allah.

Setakat ini dahulu buat kali ini. Semoga kita semua dapat menghayati apa yang dicatat di sini hasil saya dengar kuliyah. Mudah-mudahan memberi manfaat.

12 comments:

ummu said...

assalamualaikum Makcik
apa khabar makcik?moga makcik sihat2 selalu.
subhanallah, indahnya ikan di lautan
indah lagi yang menciptakannya,kan makcik
maha suci Allah dari kekurangan
terima kasih, makcik atas perkongsian tazkirah hati ini.

Ros Illiyyuun said...

Assalamualaikum

Moga dalam Rahmah Allah selalu.

Pada masa kini, kita lihat ramai manusia menggunakan nama pada tempat yang tidak sepatutnya iaitu kategori kedua.

Contohnya kalangan artis: mengucapkan Alhamdulillah apabila memenangi sesuatu pertandingan nyanyian yang bukan saja pertandingan yang disertai itu melampau tahap hiburannya, bahkan disertai jua dengan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Begitu juga dengan pertandingan ratu cantik yang memperagakan aurat masing-masing.

Kalau nak ditulis satu persatu terlalu panjang rasanya. Cukup dulu ...:)

Ros Illiyyuun said...

...menggunakan nama Allah...

(tertinggal perkataan Allah :) )

Makbonda61 said...

Assalamualaikum Kak Werdah,

Maha suci Allah sesungguhnya DIAlah yang Maha Tinggi.

Ada juga golongan yang sangat fobia dengan kalimah Allah,lebih selasa menggunakan nama 'tuhan'

Dan bila ada insan yang cuba bercakap tentang ilmu cepat-cepat di patahkan dan menutup peluang.

Saya pernah terdengar seorang artis dengan gembiara berkata "Alhamdulillah,anak saya mengikut jejaklangkah saya"

Semoga Allah terus memberi kekuatan pada Kak Werdah untuk berkongsi ilmu.

Anaasuria said...

selalu dengar artis2 kita terima award mula kan ucapan dengan ALhamdulillah...rasa macam tak ok je...

terokai seni said...

assalamualaikum kak werdah

no. 1 tu banyak juga orang guna time berpolitik tanpa sedar akan kesilapan dalam huraian dan terjemahannya

no. 2 tu dah jadik kelaziman agaknya... hatta kumpulan nasyid yang terima award di majlis yang tempatnya pon bercampur-baur dengan masalah sosial

n3 yang baik untuk kita muhasabah diri

terokai seni said...

bersua muka tidak, tapi tetap setia; beramah-tamah tidak, tapi tetap mesra; bersenda ikut suka jee, tak tau plak ada yang terasa; mengomen macam le hebat, tak prasan rakan rasa kena sebat; duhai sahabat duhai pelawat, kususun ruas jari yang karat, mohon ampun ke hadrat, agar kita semua beroleh rahmat, Allah limpahi dengan berkat

Werdah said...

wa'alaikumussalam ummu

makcik alhamdulillah sihat, semoga ummu juga beroleh kekuatan dan kesihatan yang baik.

jika kita kaji atau tadabbur ayat-ayat al-Quran, Allah bagi tahu segala apa yang ada di beberapa langit dan bumi dan antara keduanya, semuanya mensucikan Allah SWT.

betapa pula kita yang diberikan aqal dan segala kelengkapan yang sempurna.

"Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;" - (Asy-Syams 91:7-8)

semoga kita dapat manfaat.

Werdah said...

wa'alaikumussalam Ros

ya, nampaknya begitulah. Ini mungkin timbul disebabkan kurang faham ataupun ikut hawa nafsu. Mudah2an mereka akan dapat hidayah taufik daripada Allah SWT. Dan untuk kita pula semoga Allah beri tambahan hidayah agar kita tetap berada di atas jalan yang lurus (al-siraat al-mustaqim).. amiin

Werdah said...

wa'alaikumussalam Makbonda

Ada ustaz ni sebut, Allah tu untuk semua bahasa, jadi janganlah nak sebut tuhan atau god, selalu kan orang sebut oh my god... dalam bahasa inggeris sebutlah oh Allah.. dalam bm dab bahasa arab pula ya Allah..

terima kasih kerana mendoakan kak di sini.. mudah2an Allah kabulkan permohonan kita ya.. amiin

Werdah said...

wa'alaikumussalam Anaa

memang tak ok.. semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang tidak mengetahui.. amiin

Werdah said...

wa'alaikumussalam cemomoi

benar tu.. bila fikir begini kadang-kadang naik cuak juga sebab kita ni bukanlah banyak belajar tafsir. kak bersyukur sangat kerana Allah menemukan kak dengan pengisian ustaz ni.. dapat buat perbandingan.. w/p begitu masih kena kuat berusaha baikkan diri.. banyak sungguh yg tak tahu.

kak juga mohon maaf jika ada komen-komen kak yang mungkin menyinggung perasaan cemomoi.. pada pihak cemomoi pula memang tak ada apa yang salah.

selamat ber'idul fitri bersama keluarga tercinta serta rakan taulan. semoga Allah berkati kita semua, amiin

Related Posts with Thumbnails