Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang
mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu
banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad
sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia
dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.
Alhamdulillah pagi ini berkesempatan mendengar kuliyah Ustaz Nouman Ali Khan seperti di bawah. Saya dapati kebanyakan isi kuliyah beliau ada persamaannya dengan Kuliyah Ustaz Kariman pada sebahagiannya dan ada juga perspektif yang berbeza. Bagi kuliyah di bawah ini saya dapati ada persamaan pendapat tentang pintu Syurga dan pintu Neraka.
Lama dulu pernah dengar ceramah oleh ustaz Kariman tentang keberkatan Bulan
Ramadhan dan saya pernah menulis di blog ini. Dalam mukaddimahnya ustaz huraikan hadis yang popular iaitu hadis
sahih Abu Hurairah:
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari: Nabi bersabda : “Apabila tiba bulan Ramdahan
dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu”..
Ustaz berkata sepintas lalu kita boleh bertanya apakah bila Ramadhan belum tiba
pintu-pintu syurga tidak dibuka? Dan neraka tidak ditutup manakala syaitan
bebas. Cuba fikir katanya; terbuka pintu syurga dan tertutup pintu neraka dalam
hadis ini berlawanan dengan ayat al-Quran dalam Surah Az-Zumar ayat 71
menunjukkan bahawa pintu neraka sentiasa ditutup apabila calun ahli neraka
sampai ke pintu neraka barulah pintu itu dibuka. Dalam ayat 73 pula dinyatakan
pintu syurga sentiasa terbuka. Syurga sentiasa terbuka dan pintu neraka
sentiasa ditutup walaupun dunia belum kiamat. Ini bermakna sekarang dan dulu
lagi perkara ini berlaku.
“Dan orang-orang kafir akan dihalau ke Neraka Jahanam dengan berpasuk-pasukan,
sehingga apabila mereka sampai ke Neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan
berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu
Rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu
ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?
Mereka menjawab: Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas
orang-orang yang kafir”. (Az-Zumar [39] : 71)
Maksud ayat ini ialah pintu neraka sentiasa tertutup, apabila ahli-ahli neraka
yang digiring ke neraka sampai barulah pintu neraka dibuka. Dan ayat di bawah
pula menyatakan bahawa pintu syurga telah sedia terbuka dan penjaga pintu
syurga mengalu-alukan ketibaan ahli-ahli syurga.
“Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan
berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya
sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:
Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam
Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk)”.
(Az-Zumar [39] : 73)
Kata ustaz lagi Hadis yang diakui sahih ini nampak seperti berlawanan dengan
ayat-ayat al-Quran jadi sudah tentu ada sesuatu yang Nabi nak beritahu kita.
Syaitan dibelenggu, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka apabila
Ramadhan tiba. Ini bermakna syaitan tak berdaya / tak ada kemampuan lagi /
lemah untuk menyesatkan manusia apabila tiba bulan Ramadhan.
Kenapa? Sebab semua amalan manusia (umat Islam) pada bulan Ramadhan mengarah ke
syurga, iaitu bulan ibadah mendekatkan diri kepada Allah. Ramai yang bersolat
terawih, beriktikaf, bertadarus, bersedekah dan sebagainya. Amalan-amalan ini
mendapat ganjaran berlipat ganda dengan kemurahan Allah SWT; bukan kerana bulan
Ramadhan itu musuh syaitan. Selain itu kata ustaz lagi bukan syaitan lemah
kerana bulan Ramadhan tetapi kerana amalan ikhlas umat Islam. Jikalau kita
berpuasa kita tak beritahu orang, tak ada siapa yang tahu. Ini berbeza dengan
amalan lain seperti solat, zakat, haji bersedekah. Jadi puasa ini adalah amalan
ikhlas. Syaitan dan Iblis tidak akan dapat menyesatkan hamba Allah yang ikhlas
seperti yang dinyatakan oleh Allah swt dalam surah al-Hijr ayat 39 hingga 42.
“Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang ikhlas Allah berfirman: Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). (al-Hijr [15] : 39 - 42)
Ustaz Nouman Ali Khan juga bercakap tentang pintu syurga. Dengarlah kerana pendapatnya juga sama dengan apa yang diberitahu oleh Ustaz Kariman cuma Ustaz Nouman tak kaitkan dengan hadis.
Allah berkehendakkan semua manusia memasuki Syurga sebab itulah Allah membaeritahu bahawa pintu Syurga sentiasa terbuka dan nanti dialu-alukan masuk ke dalamnya. Manakala ahli Neraka dihalau, diasak/ditolak ke dalamnya selepas pintu dibuka. Betapa Allah tidak mahu kita masuk Neraka dan dengan sebab itu pintu Neraka sentiasa tertutup. Sungguh indah kalamullah.
Iaitu beberapa buah Syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka;
(Penjaga neraka berkata kepada ketua-ketua golongan kafir dan penderhaka itu): " Ini ialah serombongan (orang-orang kamu) yang masuk berasak-asak bersama-sama kamu ". (Ketua-ketua itu berkata): " Mereka tidak perlu dialu-alukan, kerana sesungguhnya mereka pun akan menderita bakaran neraka ".
Semoga bermanfaat.