Sunday, December 18, 2011

Yang Maha Menemukan


Bismillahirrahmairrahim.

Asaalamu'alaikum.

Petang ini ingin kongsikan serba sedikit berkenaan:

Nama Allah yang ke 64 iaitu al-Waajid.  Al Waajid  terdiri daripada 3 huruf iaitu waw, jim dan dal; wajada.

Al-Waajid bermaksud: Maha Mendapatkan/ Maha Menemukan

Al-Waajid; bila dinisbahkan kepada Allah SWT yakni bila kita kata Allah al-Waajid ialah: 

1) Allah yang Maha mendapatkan atau Maha Menemukan apa yang DIA perlukan sehingga membawa maksud Allah Maha Kaya. Ini tak mungkin dimiliki oleh manusia. Sama seperti  dalam nama Allah al-Ghaniyy.

2) Allah yang tidak menemukan hambaNya dalam satu keadaan melainkan Allah SWT ambil tindakan sesuai dengan keadaan hamba tadi. Contoh bila seseorang yang sakit memerlukan kesihatan Allah sembuhkan. Sikap Allah mengambil tindakan semasa hambaNya ditemui itulah al-Waajid.

Ini bereti ketika kita menghadapi masalah yang menghimpit, atau merasa bersendirian; atau  tidak ada kawan yang menemani, sebenarnya kita tidak pernah sendiri. Ini kerana selalu ada Allah Al-Waajid bersama-sama kita.

A006
"Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?" (Adh-Dhuha 93:6)

A007
"Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?"(Adh-Dhuha 93:7)

A008

"Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan? "(Adh-Dhuha 93:8

Untuk memahami Al-Waajid elok kita renungi maksud Firman Allah dalam ayat-ayat di atas. 

Kisah Nabi Muhammad SAW:

Pada saat Rasulullah SAW gundah gulana kerana wahyu yang tidak kunjung datang dan baginda bimbang Allah telah meninggalkannya ; Allah mewahyukan ayat daripada Surat Adh-Dhuha ini. Baginda  mendapat jaminan bahawa dirinya tidak akan pernah ditinggalkan olehNya.

Bukankah Dia 'mendapatkan/menemukan engkau (wahai Muhammad)' sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu? Dan Dia 'menemukanmu' sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk? Dan Dia 'menemukanmu' sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan?

Apabila kita bersandar kepada Allah al-Waajid kita akan rasa bahagia dan tidak akan kecewa.

Kisah Nabi Ayub as:

A044

"Dan (Kami perintahkan lagi kepadanya): " Ambilah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukulah (isterimu) dengannya; dan janganlah engkau merosakkan sumpahmu itu ". Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; ia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya)". (Saad 38:44

Nabi Ayub as pernah bersumpah, bila sembuh daripada sakit baginda akan pukul isterinya dengan 100 kali pukulan. Apabila baginda sembuh tidak boleh melanggar sumpahnya. Nak pukul dengan 100 pukulan terlalu banyak. Allah Maha Mengetahui, dan Allah mendengar Nabi Ayub nak melaksanakan sumpah tetapi baginda tersangat sayang kepada isterinya.

Jadi ayat di atas Allah perintahkan nabi Ayub mengambil seikat jerami yang jumlahnya 100, pukul sekali sahaja, dan ini tidak mendatangkan mudharat kepada isteri nabi Ayub. 

Di sini menunjukkan sikap wajada Allah, Allah akan memberikan penyelesaian yang sesuai terhadap apa sahaja keadaan hambaNya. 

Ayat di atas adalah contoh wajada Allah kepada orang yang berbuat baik, sekarang kita lihat contoh wajada Allah kepada orang yang berbuat jahat.

Kisah Orang yang menentang ajaran Allah SWT:

A101
"Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata (mukjizat), sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah meteraikan di atas hati orang-orang yang kafir". (Al-A'raaf 7:101)

A102
"Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik". (Al-A'raaf 7:102
Di dalam  dua ayat di atas; Allah mengutuskan para rasul kepada kaum-kaum yang tidak beriman yakni yang menentang ajaran rasul-rasul. Lalu Allah melihat mereka atau memberikan penilaian tehadap mereka sebagai orang-orang yang fasik.

Jadi penilaian Allah adalah berdasarkan keadaan hambaNya. Bila derhaka Allah kata fasiq bila beriman dan beramal soleh Allah kata orang-orang solihin.

Begitulah serba sedikt tentang nama Allah al-Waajid dan marilah kita berdoa dengan menggunakan wasilah al-Waajid:

Ya Allah! Ya Waajid!

Tuhan yang Maha Menemukan!

Tiada tempat di dunia ini yang terlindung dari Mu
Engkau tetap menemukan kami
Kerana Engkau menyayangi dan mengasihani kami
Berikanlah kami peringatan 
ketika Engkau mendapati kami lalai
Tunjukkan kami jalan kemudahan
ketika Engkau dapati kami tersilap melangkah ke lorong kesukaran
Tunjukkan kami jalan kebenaran
ketika Engkau mendapati kami tersilap melangkah ke lorong kebatilan
Kami bersandar kepada Mu ya Allah! ya Waajid!
yang sentiasa prihatin dengan situasi yang kami lalui
dalam pengembaraan kehidupan di alam ini.

Thursday, December 1, 2011

WASAYAH Al-'AYSRU - WASIAT 10


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamu'alaikum,

Saya sempat mendengar kuliyah tafsir daripada CD sambil mencatat. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dalam keadaan seperti ini ada sahabat yang sudi menghadiahkan beberapa siri kuliyah Ustaz Kariman. Kali ini saya dihadiahkan 1 set CD (6 keping) bertajuk WASAYAH Al-'AYSRU (10 WASIAT ALLAH). Mudah-mudahan Allah membalas kebaikannya dengan kebaikan jua. Amiin.

Dalam ayat 151 hingga 153 surah al-An'aam Allah sentiasa menutup firmanNya dengan  ذَٲلِكُمۡ وَصَّٮٰكُم بِهِۦ    "Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu (Dia Tuhan kamu mewasiatkan kepada kamu)

Begitu penting wasiat ini hingga ulama' tafsir mengatakan perkara yang disebut dalam ayat-ayat ini dikenali sebagai WASIAT 10 dan dalam hadis daripada Abdullah bin Mas'ud ra (HR Imam Termizi) katanya: "Sesipa sahaja yang suka hendak melihat kepada wasiat Rasulullah SAW yang terakhir hendaklah dia membaca ayat-ayat ini". Menariknya juga kesemua 10 wasiat yang ada dalam ayat-ayat ini merupakan pembuka kitab suci Taurat. Banyak riwayat mengatakan bahawa wahyu yang diturunkan kepada Nabi Musa as adalah sebagai pembuka kitab Taurat. Jadi di sini ada persamaan antara apa yang terkandung dalam kitab Taurat dan juga al-Quran.

Ayat-ayat itu adalah :

 قُلۡ تَعَالَوۡاْ أَتۡلُ مَا حَرَّمَ رَبُّڪُمۡ عَلَيۡڪُمۡ‌ۖ أَلَّا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡـًٔ۬ا‌ۖ وَبِٱلۡوَٲلِدَيۡنِ إِحۡسَـٰنً۬ا‌ۖ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَوۡلَـٰدَڪُم مِّنۡ إِمۡلَـٰقٍ۬‌ۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُڪُمۡ وَإِيَّاهُمۡ‌ۖ وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلۡفَوَٲحِشَ مَا ظَهَرَ مِنۡهَا وَمَا بَطَنَ‌ۖ وَلَا تَقۡتُلُواْ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ (١٥١) وَلَا تَقۡرَبُواْ مَالَ ٱلۡيَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ حَتَّىٰ يَبۡلُغَ أَشُدَّهُ ۥ‌ۖ وَأَوۡفُواْ ٱلۡڪَيۡلَ وَٱلۡمِيزَانَ بِٱلۡقِسۡطِ‌ۖ لَا نُكَلِّفُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۖ وَإِذَا قُلۡتُمۡ فَٱعۡدِلُواْ وَلَوۡ ڪَانَ ذَا قُرۡبَىٰ‌ۖ وَبِعَهۡدِ ٱللَّهِ أَوۡفُواْ‌ۚ ذَٲلِڪُمۡ وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ (١٥٢) وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٲطِى مُسۡتَقِيمً۬ا فَٱتَّبِعُوهُ‌ۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّڪُمۡ تَتَّقُونَ (١٥٣)

Maksudnya : Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaituyang diwajibkan ke atas kamu ialah janganlah kamu sekutukan Allah dengan sesuatupun dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu (Dia Tuhan kamu mewasiatkan kepada kamu), supaya kamu memahaminya. (151) Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu) dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu (Dia Tuhan kamu mewasiatkan kepada kamu), supaya kamu beringat (mematuhiNya). (152) Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu (Dia Tuhan kamu mewasiatkan kepada kamu), supaya kamu bertakwa. (153) (Al-An'aam [6]  : 151-153).

10  wasiat tersebut ialah :

Pertama : Larangan menyekutukan Allah.

Jaminan luar biasa diberikan kepada orang yang tidak menyekutukan Allah bahawa dia akan masuk syurga walaupun menanggung dosa-dosa. 

Dalam Hadis Sahih Bukhari dan Muslim daripada Abu Dzar:

"Jibril datang menemuiku dengan memberi khabar gembira bahawa sesungguhnya barang siapa yang meninggal dunia daripada kalangan umatmu dan tidak menyekutukan sesuatupun dengan Allah, maka dia akan masuk syurga! Aku (Rasulullah) katakan sekalipun dia berzina dan mencuri? Dia berkata : Sekalipun dia berzina dan mencuri! Aku (Rasulullah) katakan sekalipun dia berzina dan mencuri? Dia berkata : Sekalipun dia berzina dan mencuri! Aku (Rasulullah) katakan sekalipun dia berzina dan mencuri? Dia berkata : Sekalipun dia berzina dan mencuri! Walaupun dia minum minuman keras!"

Maka janganlah kita menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun dan dengan apa alasan sekalipun. 

Kedua : Berbuat baik kepada kedua orang tua.

Berbuat baik kepada orang tua merupakan kewajipan dalam kehidupan setiap manusia. Nabi Muhammad Saw mengatakan kepada kita bahwa sesungguhnya redha kedua orang tua akan menjadikan Allah redha dan kemurkaan keduanya akan membuat Allah murka kepada kita. Allah juga berfirman maksudnya:

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)". (Luqman [31] : 14) 

Ketiga : Allah melarang keras membunuh anak-anak kita.

Jangan beralasan bahawa dengan mempunyai anak yang ramai maka kemiskinan, kesusahan dan kesulitan akan menimpa kita. Orang-orang yang membunuh anak-anaknya itu telah membiarkan rasa takut dalam berkembang dalam dirinya hingga menumbuhkan benih-benih pesimis.  Mereka ini tidak yakin  bahawa sesungguhnya yang memberikan rezeki dan mentadbir segala sesuatu  adalah Allah SWT. Dialah Ar-Razzaq, Al-Ghani, Al-Mughni, Al-Baasith yang tanganNya tidak pernah berhenti memberi.

Keempat : Allah melarang kita melakukan tindakan-tindakan keji baik yang zahir (tampak)  mahupun yang batin (tersembunyi).

Yang zahir adalah perbuatan yang dilakukan dengan terang-terangan. Para pelakunya tidak takut mendapat cela, manakala yang batin pula adalah perbuatan yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Para pelakunya bimbang mendapatkan celaan daripada orang-orang yang melihatnya. 

Kelima : Larangan membunuh manusia tanpa alasan yang diperkenankan oleh agama.

Tidak ada alasan apapun membunuh orang lain kecuali dengan tiga alasan yang Rasulullah sebutkan :

Tidaklah halal darah seorang muslim yang bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku sebagai utusan Allah kecuali dengan salah satu daripada tiga alasan berikut : Seorang duda yang berzina, kerana membunuh orang lain dan orang yang meninggalkan agama ini dan memisahkan diri dari jamaah kaum muslimin (HR. Bukhari- Muslim).

Keenam : Janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri). 

Tidak boleh makan harta anak yatim dengan cara menggunakan harta anak yatim itu kesemuanya.

Penjaga anak yatim adalah bertanggungjawab menjaga harta anak yatim yang ditinggalkan oleh orang tuanya. Tugasnya adalah menjaga harta tersebut sebaik-baiknya, sehingga anak yatim itu matang. Penjaga boleh mengembangkannya sehingga harta anak yatim  bertambah tatkala berada di tangan penjaga. Kemudian penjaga perlu serahkan setelah usia anak itu telah sampai pada usia matang. Penjaga boleh mengambil upah sekadar yang berpatutan.

Ketujuh : Sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil.

Allah berfirman:

"Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), (1) Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, (2) Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. (3) (Al-Mutaffifin [83] : 1-3)
Wasiat ini sangat perlu  kerana kebanyakan manusia cenderung untuk melakukan penipuan apa lagi dalam masalah sukatan dan timbangan. Kecenderungan untuk melakukan kecurangan ini akan menimbulkan kekacauan dalam sesebuah masyarakat. Dengan wasiat ini diharapkan akan lahir sebuah masyarakat yang bersikap adil. 

KelapanApabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, 

Allah menekankan agar kita sentiasa berkata jujur dan jangan ada dusta yang disengajakan. Orang-orang beriman sebenarnya tidak ada pilihan lain kecuali jujur apabila berbicara, apabila jadi saksi, apabila berjanji kerana itulah sifat seorang mukmin.

Kesembilan : Perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan

Janji adalah hutang yang perlu kita tunaikan jangan pula mengengkari. Janji adalah satu ikatan yang perlu kita jaga dan junjung tinggi. Ini samalah dengan kita ucap syahadah maknanya kita janji. 



Kesepuluh : Ikutilah jalan Allah yang lurus as-siraat al-mustaqim dan jangan mengikuti jalan lain selain jalan Allah.


Jalan Islam, jalan kebenaran yang menghantarkan manusia pada kedamaian.

Begitulah intipati 10 wasiat Allah ini, sebenarnya banyak lagi kupasan dalam ke semua wasiat tersebut.

Semoga kita dapat merenung dan menghayati 10 wasiat ini dengan sebaik-baiknya agar kita kembali kepada Allah dengan mebawa hati yang sejahtera.
Related Posts with Thumbnails