Showing posts with label al-Hadi. Show all posts
Showing posts with label al-Hadi. Show all posts

Monday, February 13, 2012

Tunjukilah kami!

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum...

Segala puji bagi Allah, pujian yang menyamai nikmat-nikmatNya dan mencukupi kelebihanNya. Wahai tuhan kami! BagiMu segala pujian sebagaimana layak bagiMu kedudukan keagungan dan kebesaran kekuasaanMu. Maha suciMu yang tak mampu kami mengira berapa banyak puji-pujian ke atasmu seperti yang Engkau puji ke atas diriMu sendiri. Maka layak bagiMu segala pujian sekiranya telah Engkau redhai dan bagiMu juga pujian selepas keredhaan itu.

Ya Allah! Sampaikan selawat serta salam ke atas junjungan nabi Muhammad, keluarganya, sahabatnya dan orang-orang yang mengikutinya sehingga ke hari kiamat.

Hari ini ingin sambung perkongsian pengajian tentang perkara pertama yang Allah suruh kita minta daripadaNya. Itulah doa permohonan kita dalam ayat ke enam surah al-Faatihah.

1:6

Tunjukilah kami jalan yang lurus. (Al-Faatihah 1:6)


Selepas Allah menyuruh kita untuk meminta hanya kepadaNya, Allah suruh kita minta petunjuk iaitu al-hidayah (huda). 

Di sini Allah memberitahu kita bahawa yang paling penting untuk kita minta (selepas iyyakana'budu waiyyaka nasta'iin)  ialah petunjuk (huda). Itulah yang terbesar yang perlu kita minta. Semua keperluan lain Allah dah sediakan tanpa kita mohon dan bila kita mohon Allah bersedia memberi.

Al-hidayah (huda) bermaksud:

1) Sesuatu yang menghantarkan kita kepada apa yang kita harap/hajatkan.
2) Sesuatu yang diberikan dengan cara yang lemah lembut.

Dengan itu pengertian al-hidayah daripada segi bahasa ialah sesuatu yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita dengan lemah lembut bagi mencapai apa yang kita hajatkan.

Dalam pengajian ini ustaz ada menerangkan bahawa dalam bahasa Arab; apa yang boleh kita pelajari daripada segi susunan perkataannya ialah, kadang-kadang selepas perkataan "huda" ada "ila" dan ada juga yang tak ada "ila" selepasnya ; contoh ihdina ni tak ada ila selepasnya tapi terus siraatalmustaqiim.

Jadi menurut ustaz susunan yang berbeza ini mempunyai pengertian yang berbeza.

Pertama: 

Jika ada ila selepasnya menunjukkan hidayah itu bersifat umum sebaliknya jika tak ada ila selepasnya bermaksud hidayah khusus

Kedua:

Yang ada ila, hidayah yang dinisbahkan kepada nabi dan rasul, sebaliknya yang tak ada ila dinisbahkan kepada Allah SWT.

Ketiga:

Yang ada ila  berkaitan dengan pelaku atau pemberi petunjuk bagi mendapatkan kebahagiaan dunia dan akhirat, sebaliknya yang tak ada ila bermaksud tergeraknya hati (terbuka hati) untuk melakukan amal / bukan lagi ditunjuk ajar bahawa ini boleh dan tak boleh kerana orang ini telahpun dapat petunjuk.

Keempat:

Petunjuk yang ada ila (huda ila)  ditujukan kepada mereka yang masih berada dalam kesesatan (atau belum berada di atas jalan yang benar), sebaliknya yang tak ada ila orang itu dah berada di atas jalan yang lurus/benar namun mohon tambahan petunjuk.

Lihat ayat-ayat di bawah ini:

42:52
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, (Asy-Syuura 42:52)

Dalam ayat di atas (Asy-Syuura 42:52) yang tak ada ila 

(Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami); dan yang ada ila 

(Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus)

Hidayah atau petunjuk ke jalan lurus itu bermaksud hidayah bersifat umum (sebab itulah ada ila selepas huda) yang memberitahu bagaimana manusia dapat mencapai kebahagian dunia dan akhirat. Itulah dengan tunjuk ajar apakah amalan yang perlu dibuat untuk ganjaran pahala dan apa yang perlu dielak bagi menjauhkan celaka.Di dalam al-Quran diberikan panduan-panduan. Ada dua perkara sahaja iaitu BUAT dan JANGAN BUAT. 

Rasul dah beritahu (yang ada ila selepas huda) perkara-perkara  BUAT dan JANGAN BUAT   ini, cuma ada yang menerima dan ada yang tidak. Ayat yang ada ila ini ditujukan kepada orang-orang yang masih berada dalam kesesatan.

Lihat ayat di bawah ini pula:

37:118

Dan Kami berikan hidayah petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus. (As-Saaffaat 37:118)

Dalam ayat (As-Saaffaat 37:118di atas tak ada ila, yang dimaksudkan keduanya itu ialah nabi Musa dan nabi Harun sememangnya dah ada hidayah dan Allah berikan tambahan hidayah.

Lihat pula ayat di bawah:

28:56
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (Al-Qasas 28:56)
Dalam ayat di atas  (Al-Qasas 28:56ini tak ada ila dinisbahkan kepada Allah SWT. Allah yang berkuasa memberikan hidayah.


Allah dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim telah memberikan petunjuk ajar bukan sahaja sekadar disuruh memohon kepadaNya tetapi Allah memberitahu kita tentang apa yang terpenting yang perlu diminta. Ini kerana manusia mempunyai banyak keperluan dan Allah bagi tahu kita yang terpenting untuk kita minta ialah supaya Allah bukakan hati untuk menjalankan ibadah kepadaNya. Ini kerana walaupun manusia memohon dengan penuh keikhlasan dan Allah mengabulkan permohonan tetapi adakalanya belum tentu perkara yang dipohon itu baik buat manusia sebab bagi Allah dengan sifat rububiyyahNya akan bagi apa sahaja yang diminta sama ada baik ataupun tidak baik buat hambaNya.

NOTA: Mengambil masa yang agak panjang menyiapkan tulisan ini.. bimbang sukar difahami... tetapi intipatinya ialah perkara yang paling penting untuk kita lakukan ialah  ialah selalulah kita mohon tambahan petunjuk daripada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.. supaya kita mendapat hidayah taufiq Allah.. supaya kita menjadi rajin beramal. Berilmu tanpa amal menyebabkan kerugian dan penyesalan...dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang ini.

Friday, February 19, 2010

Orang-Orang Yang tidak diberi petunjuk


Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluaraga dan para sahabat.

Ada beberapa ayat di dalam al-Quran yang menyatakan siapa yang tidak diberi hidayah, daripada situ kita akan dapat tahu siapa pula yang diberikan hidayah. Ada ayat-ayat yang ada kalimah LA YAHDI لَا يَہۡدِى (Allah tidak memberi hidayah). Terdapat 26 ayat namun diulang2 dan rumusannya ada beberapa golongan yang Allah tak beri hidayah.

1) Az-Zaalimin; orang-orang yang zalim. Lihat al-Baqarah penghujung ayat 258

وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

"Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim". (al-Baqarah : 258)

Kategori zalim pula ada 3 :
  • Zalim kepada Allah; yakni syirik iaitu merampas hak2 Uluhiyah dan sifat rububiyah Allah lalu memberikan kepada makhluk lain.
  • Zalim kepada diri sendiri, yakni meninggalkan perintah Allah dan mengerjakan larangan Allah.
  • Zalim kepada makhluk lain.

2) Al-Kafiriin; orang-orang yang kufur, lihat penghujung ayat 264 surah al-Baqarah.

وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ

"Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir". (al-Baqarah : 264)


Contoh orang-orang kafir yang Allah tidak beri hidayah ialah seperti dalam ayat 89 surah al-Baqarah.

"Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab daripada Allah (Al-Quran), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al-Quran), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu". (al-Baqarah : 89)

Dalam ayat ini, orang-orang Yahudi memang telah tahu bahawa akan datang seorang Nabi membawa risalah yakni al-Quran, sebab telah diberitakan di dalam kitab Taurat namun keranakekufuran mereka menolak, mereka engkar (hati mereka mengaku itu benar tetapi mereka tak mahu nyatakan dengan lidah.. inilah kufur).

Hal ini samalah dengan raja Namrud yang bertanya kepada Nabi Ibrahim as, siapakah yang memusnahkan patung2 berhala mereka, ketika nabi Ibrahim menyuruh raja itu bertanya kepada salah satu patung di situ, dia menjawab, bukankah kamu tahu patung itu tidak boleh berkata-kata. (Dia tahu patung berhala itu tidak berkuasa tetapi kerana kufur, dia masih menyembah berhala). Hati tertutup kepada kebenaran.

3) Al-Faasik. Lihat ayat 108 al-Maaidah

وَٱللَّهُ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِينَ

"...dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang fasik". (al-Maaidah : 108)

Orang-orang yang fasik ini biasanya tahu mana yang benar dan mana yang salah tetapi tak mahu mengaku kebenarannya. Jika mereka bersumpah, sumpahnya palsu jika menjadi saksi mereka berbohong.

4) Khianat, lihat ayat 52 surah Yusuf

وَأَنَّ ٱللَّهَ لَا يَہۡدِى كَيۡدَ ٱلۡخَآٮِٕنِينَ

"..dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat". (Yusuf : 52)

Dalam ayat ini Nabi Yusuf berharap sangat supaya al-Aziz yakni suami kepada Zulaikha tidak mempercayai bahawa dia (yusuf) telah berlaku khianat kepada tuannya. Zulikhalah yang sebenarnya menggodanya dan Allah telah berkata bahawa Allah tidak akan menjayakan tipudaya orang-orang yang khiant. Ini bermaksud pelaku-pelaku khianat untuk menjatuhkan orang lain tidak akan ditolong oleh Allah SWT.

5) Orang-orang yang sesat. Lihat dalam surah An-Nahl ayat ke 37.

فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يَہۡدِى مَن يُضِلُّ‌ۖ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ

"maka sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang berhak disesatkanNya; dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan".(An-Nahl : 37)

Untuk tidak sesat ambillah pengajaran daripada surah al-'Asr. Sambil memberi nasihat janganlah menyesatkan orang lain. "Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya". (al-Baqarah : 42).


6) Pendusta. Lihat ayat 3 surah az-Zumar

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِى مَنۡ هُوَ كَـٰذِبٌ۬ ڪَفَّارٌ۬

"Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)." (az-Zumar : 3)

dan juga dalam ayat 28 surah al-Mu'minun

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَہۡدِى مَنۡ هُوَ مُسۡرِفٌ۬ كَذَّابٌ۬

"Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta". (al-Mu'minun/Ghafir : 28)


Dalam pengertian agama dusta ialah munafiq, lihat ayat pertama surah al-Munafiqun : "Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta". (al-Munafiqun : 1).

7) Orang-orang Musyrik.

Diriwayatkan dalam sahih Bukhari, daripada Ibnul Musayyab, bahawa bapanya berkata: "Ketika Abu Thalib akan meninggal dunia, maka datanglah Rasulullah s.a.w., dan pada saat itu Abdullah bin Abi Umayyah, dan Abu Jahal ada di sisinya, lalu Rasulullah bersabda kepadanya: "Wahai pamanku, ucapkanlah “la Ilaha Illallah” kalimat yang dapat aku jadikan bukti untukmu di hadapan Allah". Tetapi Abdullah bin Abi Umayyah dan Abu Jahal berkata kepada Abu Tholib: "Apakah kamu membenci agama Abdul Muthalib?", kemudian Rasulullah mengulangi sabdanya lagi, dan mereka berduapun mengulangi kata-katanya pula. Maka ucapan terahir yang dikatakan oleh Abu Thalib adalah: bahawa ia tetap masih berada pada agamanya Abdul Muthalib, dan dia menolak untuk mengucapkan kalimat la ilah illallah, kemudian Rasulullah bersabda: "sungguh akan aku mintakan ampun untukmu pada Allah, selama aku tidak dilarang", lalu Allah menurunkan firmanNya: “Tidak layak bagi seorang Nabi serta orang-orang yang beriman memintakan ampunan (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik” (At-Taubah : 113). Dan berkaitan dengan Abu Thalib, Allah menurunkan firmanNya: “Sesungguhnya kamu (hai Muhammad tidak sanggup memberikan hidayah petunjuk) kepada orang-orang yang kamu cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya” ( Al Qasas: 57)

Mudah2an kita dapat pengajaran daripada ayat-ayat dan hadis yang dinyatakan ini ; banyak lagi ayat-ayat tentang petunjuk Allah di dalam al-Quran seandainya kita mencari, menemukannya dan mengkaji sebagai iktibar kepada diri serta keluarga kita. Allahu'alam.
Related Posts with Thumbnails