Friday, January 27, 2017

Dakwah Nabi Nuh 'alaihis salam

UMUR NABI NUH 'ALAIHIS SALAM 1000 TAHUN?

Sebelum terungkai jawapan kepada soalan di atas, mari kita lihat ayat Al-'Ankabut 29: 14 di bawah:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ ٱلطُّوفَانُ وَهُمْ ظَٰلِمُونَ ﴿١٤﴾

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, dia tinggal di antara mereka SERIBU TAHUN KURANG LIMA PULUH TAHUN. Maka mereka ditimpa banjir besar, dan mereka adalah orang-orang yang zalim."
(Surah Al-'Ankabut 29: 14)

Ayat ini merupakan ayat 'Tasliah' iaitu ayat hiburan kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam dan umatnya. Ayat ini memberitahu kisah Nabi Nuh 'alaihis salam yang tinggal dan berdakwah kepada kaumnya selama SERIBU TAHUN KURANG LIMA PULUH TAHUN. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam bahawa Nabi Nuh 'alaihis salam tinggal bersama dengan kaumnya dalam tempoh yang sangat lama, menyeru kepada agama Allah tetapi bilangan yang beriman hanya sedikit. Namun kesabarannya membuatkan baginda tidak rasa jemu menyeru kaumnya kepada agama tauhid. .

Dalam ayat ini ada kalimah yang perlu dijelaskan.

Dari segi bahasa, kalimah  SANAH  dan 'AAMAN ini kedua-duanya membawa makna TAHUN.

Dalam surah Yusuf 12:47 digunakan kalimah SININ bagi TAHUN.

قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدتُّمْ......َ ﴿٤٧﴾

"Dia (Yusuf) berkata: "Supaya kamu bertanam tujuh TAHUN (berturut-turut) sebagaimana biasa; ............."
(Yusuf 12: 47)

Dalam surah Yusuf juga, ayat 49 digunakan kalimah 'AAMUN bagi TAHUN

ثُمَّ يَأْتِى مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ ٱلنَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ ﴿٤٩﴾

"Kemudian setelah itu akan datang TAHUN yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memerah anggur."
(Yusuf 12: 49)

Di dalam Al-Quran, bila tahun-tahun ditulis dengan SININ bermaksud tahun-tahun SUSAH manakala tahun-tahun yang ditulis dengan kalimah 'AAMUN pula bermaksud tahun-tahun SENANG.

Oleh itu dalam ayat 14 Surah Al-'Ankabut di atas tadi bolehlah kita memahami bahawa Allah utuskan Nabi Nuh 'alaihis salam 1,000 UNTUK BERDAKWAH, iaitu 950 tahun (SANAH) dalam SUSAH dan 50 tahun ('AAMUN) dalam SENANG.

Taufan MEMBINASAKAN kaumnya yang ZALIM termasuk isteri dan anaknya manakala Nabi Nuh 'alaihis salam bersama dengan kaumnya yang BERIMAN DISELAMATKAN di dalam kapal. Oleh itu sempatlah Nabi Nuh 'alaihis salam berdakwah dalam keadaan SENANG lenang selama 50 tahun bersama-sama kaumnya yang beriman itu. Daripada kenyataan ini dapatlah kita faham bahawa Nabi Nuh 'alaihis salam berdakwah 950 tahun dalam keadaan susah dan 50 tahun lagi dalam keadaan senang.

Hadis daripada Anas radhiallahu 'anhu, sanad hasan, "Malakul maut datang menemui Nabi Nuh 'alaihis salam dan berkata, "Wahai Nabi yang paling panjang umurnya! Wahai Nuh! Bagaimana kamu dapati pengalaman hidup di dunia?" Jawab Nabi Nuh, "Wahai malakul maut, aku dapati seperti aku masuk ke rumah yang ada dua pintu, masuk sekejap di tengah-tengah rumah kemudian keluar melalui pintu yang satu lagi.""

Umur Nabi Nuh 'alaihis salam yang 10 abad lebih dirasakan sekejap bila dibandingkan dengan alam akhirat, apatah pula umur kita yang rata-rata hanya antara 60-70 tahun. Tentulah sangat sekejap berbanding kehidupan di akhirat.

Kisah Nabi Nuh 'alaihis salam banyak terdapat dalam Al-Quran dan baginda adalah nabi pertama meluruskan tauhid.

KESIMPULAN: 

Daripada ayat-ayat di atas dan kupasan makna tahun-tahun yang disebutkan dalam ayat-ayat di atas, bolehlah kita buat kesimpulan bahawa umur Nabi Nuh 'alaihis salam ialah lebih dari 1000 tahun.

Wallahu a'lam.

~Catatan kuliyah Ustaz Dr Kariman Abdul Muin di Masjid Bangsar.

Semoga bermanfaat.

Lama tak berblog - sudah 3 tahun lamanya menebabkan terasa kekok mencari 
ikon-ikon yang hendak digunakan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails