Monday, April 23, 2012

Siapakah Orang-orang Kafir itu?


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji bagi Allah yang selayaknya dipuji. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan sekelian yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Dalam kuliyah tafsir surah al-Balad ayat 19 dan 20 Ustaz Kariman menerangkan siapakah orang kafir yang dimaksudkan oleh Allah dalam al-Quran.

Allah berfirman:

90:19
Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. - (Al-Balad 90:19) 
 90:20
Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya). (Al-Balad 90:20) 
Di dalam al-Quran Allah menyebut bahawa orang-orang kafir akan disiksa atau diazab dengan siksaan yang amat pedih dan kekal di dalam neraka. Jadi kafir yang mana?

Ustaz menyatakan bahawa orang kafir golongan pertama ialah orang yang memang  tidak percaya langsung akan ajaran Islam dan kerana dia tak percaya dia engkar dan dia tolak. Manakala golongan kedua ialah orang yang mengengkari ajaran Islam sama ada dengan ucapan ataupun perbuatan tetapi hati kecilnya membenarkan.

Menurutnya Imam Arrahib asfahani membuat kajian bahawa terdapat 6 makna kafara dalam al-Quran.

Dalam surah al-Baqarah ayat 89 Allah berfirman:

2:89
Dan tatkala telah datang kepada mereka sebuah Kitab (Al Quran) dari sisi Allah , yang mengesahkan/membenarkan (Kitab Taurat) yang ada pada mereka , sedangkan mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Dan tatkala telah datang kepada mereka apa yang mereka telah sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka mengingkarinya (kufur) dengannya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa ke atas orang-orang yang kafir ingkar itu. (Al-Baqarah 2:89
Dalam ayat ini 3 kali perkataan kafir diulang iaitu:

1)  عَلَى ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ
atas kaum kafir musyrik 

2)  ڪَفَرُواْ بِهِۦ‌ۚ
mengingkarinya (kufur) dengannya

3)  ٱلۡكَـٰفِرِينَ
orang-orang yang kafir ingkar itu

Makna kafir bagi ketiga-tiga perkataan di situ tak sama;

1)  عَلَى ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ

Sebenarnya ayat ini menceritakan tentang ahli kitab di Madinah. Sebelum turunnya al-Quran, sebelum lahirnya nabi Muhammad SAW, ahli-ahli kitab sentiasa berdoa kepada Allah supaya Allah percepatkan janjinya menurunkan nabi terakhir dan al-Quran. Ini kerana telah tercatat dalam kitab mereka bahawa nabi terakhir sahajalah yang dapat membebaskan mereka daripada ditindas oleh orang-orang kafir musyrik.

Jadi orang-orang kafir yang dimaksudkan dalam kalimah di atas ialah orang-orang kafir musyrik yang telah lama memperhambakan dan menindas ahli-ahli kitab. Jadi ahli-ahli kitab ingin supaya terlepas daripada aniaya orang-orang musyrik.

Kafir pertama ini mereka langsung tak percaya agama, tak percaya hari kemudian, tak percaya syurga dan neraka.

2)  ڪَفَرُواْ بِهِۦ‌ۚ

Manakala kafir yang disebut dalam kalimah kedua ialah orang-orang yahudi dan nasrani (ahli kitab). Apabila nabi lahir dan al-Quran pun diturunkan; mereka ni kufur kepada nabi. Ini maknanya mereka percaya Nabi Muhammad sebab sebelum lahirnya Nabi Muhamad SAW, mereka dahpun dengar namanya disebutkan dalam kitab mereka, dan mereka nanti-nantikan tapi bila dah datang mereka kufur. Mereka enggan mengaku dengan mulut walaupun mereka tahu nabi itu betul-betul nabi. Inilah kufur kedua, mereka engkar walaupun hati mereka membenarkan.

Tak kiralah kafir yang mana, dua-dua jenis ini sama sahaja akan dilaknat oleh Allah SWT kerana satunya tak percaya agama, hari kiamat, syurga dan neraka manakala yang kedua dia percaya kerasulan nabi Muhammad tapi mengingkarinya atau menentangnya. Kepercayaan kepada kerasulan tak memberi apa-apa manfaat kerana sikap mereka, perbuatan mereka menentangnya. 

3)  ٱلۡكَـٰفِرِينَ

Kalimah ini bermaksud orang-orang yang tidak mengamalkan ajaran Islam walaupun orang itu membenarkan dalam hatinya.Ini kafir jenis ketiga.

Apa beza yang ketiga ini dengan yang kedua tadi?

Yang kedua tadi; dia mengingkari ajaran agama walaupun hati dia membenarkan. Manakala yang ketiga ini pula dia tak mengingkari, hatinya membenarkan, ucapan, perbuatan tak menentang cuma tak mengamalkannya. Kufur seperti ini ramai. Ramai percaya nabi, bersyahadah, percaya bahawa maksiat boleh bawa masuk neraka tapi dia tidak meninggalkan amalan yang membuat dia masuk neraka. Orang seperti inipun kafara. Orang begini tidak melakukan amalan yang membolehkannya masuk syurga.

Dalam surah al-Baqarah 104 Allah berfirman:

2:104
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu berkata: "raa'ina", (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: "unzurna", dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Al-Baqarah 2:104)
Ayat ni ditujukan kepada orang yang beriman bukan yang lain (khas untuk orang beriman). Di sini Allah menasihatkan orang-orang beriman jangan kata "raa'ina" sebaliknya katakanlah "unzurna".

Daripada segi makna jika ini bahasa Arab maksud raa'ina ialah jagalah kami, peliharalah kami, unzurna pula bermaksud lihatlah kami, pandanglah kami atau perhatikan kami.

Pada masa al-Quran diturunkan di Madinah khususnya ramai ahli-ahli kitab. Mereka mempunyai bahasa sendiri. Ada perkataan yang sama diucapkan oleh orang Arab dan oleh ahli kitab. Kalimah sama, tetapi maknanya berbeza. Ayat-ayat al-Quran diturunkan dalam perkataan Arab. Perkataan Arab dengan perkataan Yahudi kadang-kadang sama perkataan tetapi maksud lain, contoh raa'ina dalam bahasa Arab bermaksud  jagalah kami, peliharalah kami, unzurna pula bermaksud lihatlah kami, pandanglah kami atau perhatikan kami. tapi raa'ina bagi Yahudi maksudnya lain. Kalimat ini digunakan oleh yahudi untuk memaki-maki orang. Bila marah orang dia kata raa'ina.

Jadi Allah nasihatkan kepada orang mukmin jangan kata raa'ina walaupun dalam bahasa kamu maknanya baik tapi dalam bahasa Yahudi tak baik, nanti Yahudi dengar mesti dia kata orang mukmin ni kenapa pula maki-maki orang. Allah nasihatkan katalah unzurna, pandanglah kami ya Allah. 

Setelah orang-orang mukmin dilarang kata demikian; Allah perintahkan pula orang-orang mukmin "dengarlah oleh kamu (sami'na waat'ana)".

Seterusnya Allah kata "bagi orang-orang kafir siksa yang sangat pedih". Siapakah kafir dalam ayat ini? 

Di sini ustaz mengatakan bahawa jika dalam satu ayat; bila Allah sebut tentang orang-orang beriman pada awalnya dan sebut pula orang-orang kafir pada hujungnya; itu bukan bermakna ada dua golongan, bukan juga kafir Quraisy. Kafir di sini ialah dia mukmin yang percaya ajaran agama, dia tidak mendustakan tetapi dia tidak mengamalkan suruhan Allah. Orang mukmin seperti ini juga disebut kafir yang akan disiksa dengan azab yang pedih. Dia mukmin tapi kafir dalam istilah dipanggil kufur kecil tapi dosanya besar.

Golongan pertama dan kedua tadi dipanggil kufur besar. Akidahnya rosak, amalannya hancur, kufur yang ketiga digelar kufur kecil, percaya Allah, percaya ajaran agama tidak menentangnya tapi tidak mengamalkannya.

Maksud kafir yang lain (ke empat) ialah tidak mensyukuri nikmat Allah, suka menyembunyikan, dalilnya dalam surah Ibrahim ayat 7:

14:7
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".(Ibrahim 14 :7) 
Menyalahgunakan nikmat Allah itupun kufur lawannya syukur. Pengertian syukur antaranya menggunakan nikmat sesuai dengan kehendak pemberi nikmat, nikmat mata digunakan sesuai dengan tujuan Allah kehendaki, umur atau waktu itu nikmat, jadi isikan dengan perbuatan yang dikehendaki Pemberi nikmat. Jika kita gunakan berlawanan dengan kehendak pemberi, itulah kufur. Ini banyak berlaku. Buktinya ketika mata masih terang, lidah masih fasih, bersila masih tahan, berdiri lama masih kuat, tak buat, bila mata dah tak nampak dah tak boleh baca al-Quran, keinginan datang meluap-luap, sering keinginan datang lambat, ketika banyak harta keinginan bersedekah berkongsi tak ada, bila bangkrup baru teringat, timing tak tepat . Lalu ketika dah tak boleh buat semuanya itu maka wiridlah kalau.. kalau.. dia ingat dengan hitung kalau dia dapat pahala..Subhanallah.

Makna  kelima : Kufur dalam erti kata tidak merestui / menyetujui, menyukai, perbuatan, orang buat benda tak elok (menyalahi agama) wajib kufur. Contoh orang tua yang tak merestui perbuatan mungkar anaknya itu wajib.

Lihat dalam surah al-muntahanah ayat 4 :

60:4

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur/tidak mengiktiraf/ ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali! (Al-Mumtahanah 60:4 
Orang mukmin kata kepada orang kafir bahawa kami tak setuju dengan kamu, kami tak suka perbuatan kamu atau perbuatan orang mukmin yang menyalahi agama. Hukumnya wajib.

Makna kufur ke enam; ialah petani, peladang, pekebun, penanam (orang ini al-Quran panggil kafir / kuffar)
Kenapa demikian? Lihat ayat di bawah:

57:20

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka/takjub/hairan dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Al-Hadiid 57:20) 

Makna asal kafara ialah menimbus, menutup lubang. Jadi penanam pun dipanggil kafir/kuffar.

Setelah memahami makna kafir seperti yang dijelaskan di atas, mari lihat kepada ayat di bawah:

90:19
Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. - (Al-Balad 90:19) 
Orang kafir dalam ayat ini yang pastinya adalah daripada golongan pertama dan kedua. Itulah golongan kiri.

Kufur jenis ketiga dan keempat dimasukkan juga ke neraka tapi tak kekal dalam neraka. 

Orang yang tak solat sebab malas dan dia tahu dia berdosa, itu kafir golongan ke tiga. Bila sebut mukmin muslim dia solat walaupun kadang-kadang tak selalu, hari Jumaat tak pergi, jemaah tak pergi tapi hari raya dia duduk di belakang iman, inipun tak tak termasuk dalam kategori pertama dan kedua.

Bila disebut  kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, pula ini bermakna ayat yang Dia firmankan / wahyukan, juga ayat yang Dia ciptakan / tidak wahyukan (bumi, langit dan isinya).

Supaya terbebas daripada terjerumus membuat kesalahan Ibnul Qayyim al-Jauziah seorang ulama yang cukup terkenal mengkaji ayat-ayat Allah menyatakan bahawa kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kamiada lima :

Kalau seseorang lakukan salah satu bolehlah dikatakan kufur kepada ayat-ayat Allah.

Mari lihat dalam Surah al-Furqan ayat 30:

25:30
Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu yang ditinggalkan/diabaikan/tidak dipedulikan, tidak dipakai". (Al-Furqaan 25:30 
Rasul ni merujuk kepada Nabi Muhammad SSAW. Kalimah "mahjuraa" pula daripada perkataan hijrah. Hijrah pula maknanya meninggalkan sesuatu yang dibenci. Nabi SAW mengadu bahawa kaumnya meninggalkan al-Quran. Ini berlaku pada zaman turunnya al-Quran.

Ibnul Qayyim al-Jauziah kata maksud ditinggalkan di sini ialah:

1) Tidak mendengar bila dibaca kepadanya dan tidak mempercayainya - ini paling berat kerana jangankan nak mengamalkan nak mendengarpun tak mahu atau tak sudi.

2) Tidak mengamalkannya dan tidak mengetahui yang halal dan haram walaupun dia membaca dan mempercayainya - inipun berat sungguh kerana bila baca wailun likulli humazatill hingga akhir ayat lepas baca sadaqallahul adzim; kemudian orang ini baca pula ayat mahukah kamu makan daging saudara selepas baca dia sambung balik mengumpat, orang ni  mencaci, mengejek, mentertawakan, ancaman Allah sangat berat inipun termasuk al-laziina kafaru.

3) Mengabaikan al-Quran dalam menyelesaikan persengketaan, perbalahan - Contoh: Suami isteri jika berbalah kena kembali kepada al-quran pasti selesai masalah tetapi jika tak buat makna tak percaya 

4) Orang yang tidak melakukan usaha untuk dapat memahami maksud ayat al-Quran - Orang ini daripada dulu tahu baca tapi sampai sekarang tak berusaha untuk memahami. Inipun termasuk orang-orang yang mendustakan ayat-ayat al-Quran. Begitu juga orang yang khatam banyak kali tapi tak faham apa yang dibaca.

5)  Mereka yang tidak menjadikan al-Quran sebagai penawar penyakit rohani (khususnya) dan penyakit jasmani umumnya.

Kelima-lima ini susunannya menurun maknanya yang pertama yang paling berat, ertinya dosa orang yang baca al-Quran tapi tak faham kurang daripada dosa orang yang langsung tak mahu mendengar.. tapi kedua-duanya ini tergolong dalam golongan orang yang kufur dengan ayat-ayat Allah.

Ustaz mengingatkan bahawa bila kita dah baca al-Quran dan cuba memahami makna kita kenalah amal... jika tidak terhumban ke neraka... wal'iyazubillah...

90:20
Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya). (Al-Balad 90:20) 
Api ditutup rapat-rapat, mereka duduk di dalam, tak tutuppun dah teruk inikan pula tertutup kemudian tak berhenti-henti pula, makin bertambah-tambah, kalau dalam oven pasti akan meletup sebab lama.. 

Sekian, semoga bersabar membaca N3 yang panjang ini sambil kita muhasabah diri dalam golongan manakah kita? Sambil itu kita berusahalah memperbaiki diri. Semoga Allah memberikan kekuatan buat kita memperbaiki diri. Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah SWT. 

Related Posts with Thumbnails