Friday, April 8, 2011

As-siraat al-mustaqim

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang sesat, tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.



Hari ini saya sambung penulisan yang tertunda, alhamdulillah kerana diberikan kekuatan, syukur dalam setiap keadaan.

Kepada pembaca yang follow saya baru-baru ini saya mohon maaf, buat sementara ini saya sedang mencuba untuk follow anda, tapi ada juga yang terdapat masalah untuk meneruskan prosesnya dan jawapannya macam ini " We're sorry... We were unable to handle your request. Please try again or return a bit later". InsyaAllah saya akan cuba lagi dan semoga dipermudahkan Allah. Ada juga yang sememangnya saya tak dapat follow kerana tidak ada maklumat linknya (jadi diharapkan sangat sesiapa yang follow meninggalkan link supaya saya dapat ke sana) Insyaallah.

Pembaca sekalian, dalam solat kita disuruh oleh Allah SWT agar memohon petunjuk kepada sirat al mustaqim. 

Apakah sirat al mustaqim itu?

Daripada pengertian bahasa al-siraat yang kita baca dengan huruf shad, terbina daripada huruf shad ra' ta' itu sebenarnya asalnya sin ra' ta' bahkan boleh dibaca dengan mula daripada huruf zai; 'ziraat'. Maksudnya sama asalnya sarata adalah bermaksud menelan. Sesuatu yang ditelan mestilah kecil daripada jalan yang akan dilaluinya, dengan itu mudahlah dilaluinya. Ini menggambarkan satu jalan yang besar yang mudah dilalui tanpa perlu bersesak-sesak/laluan yang amat besar menampung pelbagai kenderaan tanpa mengelami kesesakan.

Al-Mustaqim pula maknanya besar, lurus. Jadi sirat al-mustaqim ialah jalan yang besar, lurus dan dapat menampung pelbagai kenderaan. Inilah jalan yang lurus menuju kepada Allah SWT. Jalan itu amat dekat, kenapa? Sebabnya jalan tu besar dan lurus cuba kalau besar tapi bengkang bengkok tentu jadi jauh. Jika lurus tapi sempitpun susah juga. Ini juga nak menyatakan bahawa jalan menuju Allah SWT itu sebenarnya sangat mudah. Ini kerana fitrah manusia ialah mudah untuk melakukan perkara yang baik daripada melakukan perkara yang tak baik.

As-sirat yang diulang-ulang sebanyak 45 kali di dalam al-Quran itu tidak ada satupun yang dijamakkan. Ertinya kita hanya jumpa dalam bentuk mufrad, tapi berbeza dengan sabil (jalan), sabil ada dalam bentuk jamak iaitu subul (jalan-jalan). Ini menunjukkan jalan itu banyak jenisnya, ada yang baik dan ada yang tak baik. Dan jalan menuju Allah itu satu iaitu jalan yang lurus dan lebar atau luas dan satu hala.

Sabilillah itu baik, sabilissyaitaan itu tak baik. Ada jalan mujrimin (jalan orang-orang yang berdosa), sabilittaghut beza dengan As-siraat,  As-siraat sentiasa digandingkan dengan zat Allah.

Allah berfirman:
"Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus". (Al-Maaidah 5:16)

Jalan menuju Allah sangat luas dan lurus, siapa yang memasukinya pasti akan sampai kepada Allah SWT, tetapi untuk sentiasa berada di atas jalan ini bukanlah tanpa usaha. Kena berusaha bersungguh-sungguh. Ada juga orang berusaha bersungguh-sungguh tetapi tidak pula menemuinya. Jadi untuk berada di atas jalan lurus ini, orang-orang itu perlu berada di atas jalan-jalan kecil dahulu (sabil) yang banyak tadi. Ini sama seperti jalan yang menuju highway. Ingat dalam jalan-jalan yang banyak tadi ada jalan syaitan, janganlah ikut jalan syaitan itu. 

Dalam ayat al-Maaidah di atas Allah sebut jalan-jalan keselamatan/sejahtera dan semua jalan-jalan keselamatan ini menuju siraat al-mustaqim.

Dalam al-Quran ada 3 ayat yang boleh kita jadikan panduan untuk memahami makna as-siraat al-mustaqim.

A161

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik". 

Di sini Allah suruh kita kaji jalan yang ditempuh oleh Nabi Ibrahim as, kena kaji sejarah Nabi kekasih Allah SWT ini. Kekasih Allah ini ketika menghadapi ayahnya musuh Allah berdakwah, baginda bercakap dengan bapanya; "Wahai bapa kesyanganku (ya abati) walhal bapanya musuh Allah, pengukir patung dan Allah tahu bahawa bapanya akan mati dalam keadaan musyrik dan bapanya amat membenci nabi Ibrahim, hinggakan bapanya berkata:  'kalaulah engkau tidak berhenti sesungguhnya aku akan rejam', ertinya sangat jahat. Ini adalah satu contoh apa yang patut dilakukan untuk menuju jalan lurus, Nabi Ibrahim tak kata hai musuh Allah. Inilah suri teladan yang luar biasa, malah nabi Ibrahim kata lagi "salamun 'alaika mudah-mudahan Allah mengampunimu, sesungguhnya Tuhanku amat baik kepadaku".

"Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus

Maksud ayat ini, mengabdi hanya kepada Allah SWT. Bila dah buat semuanya kerana Allah maknanya dah berada di atas jalan yang lurus. Maknanya senyum ke marah ke, benci ke, sayang ke dan apa-apa sahaja dalam masa 24 jam kita buat adalah berdasarkan ibadah lilllahi ta'ala.

CERITA tentang lillahi ta'aala:

Rasanya ramai orang dah dengar tentang kisah Saidina 'Ali bin Abi Talib yang berlawan dengan seorang yahudi dalam perang khaibar. Saat 'Ali berada di atas yahudi dan bila-bila masa sahaja dia boleh menikam dengan pedangnya 'Ali tak berbuat demikian. 'Ali dapat menindih tapi saat itu yahudi meludahnya, 'Ali boleh sahaja menikamnya tapi sebaliknya dia melepaskannya. Kenapa? Bila ditanya oleh yahudi itu kenapa tidak menikam sahaja dia,  'Ali berkata saat itu dia marah bukan kerana Allah tetapi kerana ludah yahudi tersebut, jika yahudi mati dalam keadaan dia marah bukan kerana Allah tentulah bukan lillahi ta'aala.'Ali benar-benar menjaga ibadahnya.




A006

"Tunjukilah kami jalan yang lurus". 

A007

"Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat". 

Dalam ayat ini Allah kata jalan yang lurus itu ialah jalan yang dilalui oleh orang-orang yang Allah  beri nikmat, bukan jalan yang dilalui oleh orang-orang yang telah dimurkai dan jalan orang-orang yang sesat.

Nikmat berasal daripada nun ain mim (na'ima) 

Allah berfirman:

 A074

"Serta mereka berkata:" Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal". (Az-Zumar 39:74)

Ayat ini menyatakan nikmat yang diperoleh manusia dengan terciptanya mereka ke bumi, manusia bersyukur kerana Allah telah menunaikan segala janji, Allah memberikan peluang untuk manusia menggunakan bumi bagi menempah tempat di syurga. Untuk menempah tempat di nerakapun Allah sediakan jalan (wal'iyazubillah). Selagi kita tidak diciptakan dan hidup di muka bumi kita tak berpeluang untuk menempah syurga. Kadang-kadang hidayah ada di hadapan kita tetapi kita tidak cukup berusaha. Banyak contoh yang boleh dipelajari seperti isteri nabi Nuh, isteri nabi Lut (orang-orang yang tak dapat hidayah untuk menuju jalan lurus), sedangkan isteri Firaun Asiah mohon didirikan istana di syurga walaupun berada di kalangan orang yang sesat lagi derhaka.

Allah berfirman:

"Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. Jelasnya: Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya);  Serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga). Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya; ) Serta dia mendustakan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan;" (Al-Lail [92 ] : 4 - 10)

"Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu! (As-Saffaat [37] : 96)

Maksudnya bila kita pilih yang baik atau yang tak baik semuanya Allah mempermudahkan.

Di hadapan kita banyak takdir, pilihlah takdir yang baik. Allah akan menolong mempermudahkan segala-galanya. 

Gunakanlah kebebasan memilih yang Allah beri untuk meraih keredhaanNya. Buat baik Allah redha buat jahat Allah tak redha.

Ya Allah tetapkanlah kami atas petunjukMu, di atas jalanMu. Allahumma Amin.

16 comments:

abu muaz said...

Salam. T.kasih atas pemberitahuan makna Siraat itu.shad dan sin pun sudah nampak hebatnya bahasa arab ni.

Anonymous said...

Assalamualaikum Kak Werdah,

Semoga akak sihat. Seronoknya dapat melihat kak werdah menulis semula.

Cerita-cerita tentang keadaan orang-orang yang meniti siraat al-mustaqim sudah cukup menakutkan. Kita tak tau cara mana pula kita melintasinya nanti.

Semoga kita tidak termasuk orang-orang yang Allah zalimi.

Abd Razak said...

Assalamualaikum Kak Werdah..

Moga kakak sihat hendaknya serta sentiasa dalam perlindungan~Nya...

Siapa yang mengikuti Al-Qur'an maka ia berada pada jalan yang lurus dan siapa yang mengingkarinya atau mengingkari sebahagian isinya maka ia tersesat.

terokai seni said...

Assalamualaikum Kak Werdah

sehalus rambut dibelah tujuh... kalau ada binatang qurban/aqiqah yang dierima Allah harap dapat le menjadi tunggangan kelak

aby said...

salam k werdah ..
alhamdullillah k werdah dapat menyambung tulisan balik.

bercakap psl sirat ni,
klu balajar akidah ianya dalam as sam'iyyat kerana ia adalah sesuatu yg diluar jangkauan pemikiran kita kecual melalui pengkabaran alquran dan hadis..

sirat ni pun terbagi pada 2.
sirat dunia adalah membawa pengertian prinsip2 yg telah ditetapkan oleh allah swt utk dijadikan panduan oleh hamba2 nya ..
sirat yg kedua adalah titian yg merentangi api nerakan sebagai jalan menuju kesyurga.
tiap2 manusia pasti akan melalui nya ...

namun ada perkaitan nya antara kedua sirat ni ..
kelancaran perjalanan sirat akhirat bergantung kpd kepatuhan manusia kpd sirat dunia yg telah ditetapkan oleh swt kpd manusia ...

aby said...

dalam kelas aby ada perbincangan psl sirat ni.

ada pelajar yg sudah mendengar CD dr Hassan Din, kata nya sirat perlu dibuat pentafsiran semula.
kate mereka, dr hassan Din kata, sirat adalah sebelum penghakiman.
lps jatuh hukum manusia akan kesyurga atau neraka. tidak melalui titian sirat .. Kenapa pula lps jatuh hukum manusia perlu meniti titian siraat lg ..

waullahuaklam..
aby pun blm mendengar CD tu lg,
tp 3 pelajar dari kelas aby dah dengar CD tu ..
dan kata2 mereka ..
tu ckp dari dr Hassan Din.
sedikit sebanyak depa percaya juge ..
k werdah bagi komen sikit psl ni

Werdah said...

wa'alaikumussalam Abu Muaz

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata dalam Ringkasan Iqtidha As-Sirat al-Mustaqim: “Sesungguhnya Allah SWT menurunkan kitab-Nya dengan bahasa Arab dan menjadikan Nabi-Nya penyampai Al-Quran dan As-Sunnah dari-Nya dengan bahasa Arab, menjadikan orang yang pertama kali masuk Islam berbicara dengan bahasa itu. Maka tidaklah agama difahami dengan baik dan benar kecuali dengan mempelajari bahasa Arab (petikan daripada : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PelajaribahasaArabtingkatpemahamanal-Quran/Article

Kak juga belum banyak memahami Bahasa Arab, menurut Ustaz kariman, bahasa 'Arablah yang paling tepat untuk meghuraikan sesuatu perkara, sebab itulah Allah pilih bahasa ini sebagai wahyuNya kepada Nabi Muhammad SAW.

Werdah said...

wa'alaikumussalam Ani

Benar menakutkan bila kita baca kisah-kisah meniti sirat menyeberangi kawah api neraka (di akhirat nanti).

Semoga kita tetap berada di atas sirat al-mustaqim semasa kita masih berada di dunia. Dengan sentiasa berusaha tidak tergelincir di atas jalan lurus asemasa hayat kita insyaAllah kita tak tergelincir di sana dengan syafaat dan rahmat Allah juga.

Jika kita tersasar hendaklah kita kembali membuat U Turn, patah balik untuk berasa di atas jalan yang lurus.

Werdah said...

wa'alaikumussalam Abd Razak

Terima kasih kerana mendoakan kak di sini. Semoga Abd Razak juga sihat dan dalam redha Allah SWT.

Itulah yang perlu kita buat, mengikut ajaran Allah dan Rasul semuanya, tidak sebahagiannya. Jika tidak memang kita bukan berada di atas jalanNya yang lurus.

Kena berusaha keras.

Werdah said...

wa'alaikumussalam Cemomoi


InsyaAllah bila amalan di dunia betul-betul ikut analan yang Allah tunjukkan dalam 3 contoh ayat dalam N3 ini manusia akan dapat melepasi titian di sana dengan mudah.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam aby


Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal daripada Abdullah bin Mas'ud ra:Pada suatu hari Rasullullah saw membuat garis lurus di atas pasir lalu berkata: "Inilah jalan Allah, jalan yang lurus." Kemudian baginda membuat banyak garis yang bersimpang siur ke kanan dan ke kiri, ke utara dan ke selatan, lalu berkata ; "Ini semua adalah jalan-jalan syaitan, setiap garis atau jalan itu ada syaitan yang menyeru kepadanya. Kemudian bagindapun membaca ayat al-Quran
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٲطِى مُسۡتَقِيمً۬ا فَٱتَّبِعُوهُ‌ۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّڪُمۡ تَتَّقُونَ
yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa. (al-An'am [6] : 153) - Riwayat Ahmad bin Hambal daripada Ibnu Mas'ud.
Dengan alasan tersebut di atas para ulama' berpendapat bahawa jalan ke syurga itu hanya satu, iaitu jalan yang ditetapkan oleh Allah yang dinamai siratul Mustaqim, iaitu ajaran-ajaran Allah dengan perantaran Nabi-nabi dan rasul-rasulNya, sejak nabi Adam as hinggalah Nabi Muhammad saw yang semuanya itu terdapat dalam al-Quran al-karim. Jalan-jalan yang menyimpang daripada ajaran al-Quran dan para Rasul adalah jalan-jalan syaitan dan semuanya menujuk ke neraka

Apa yang dinyatakan dalam hadis dan ayat di atas ialah jalan lurus semasa kita masih berada di dunia yakni berkaitan dengan apa yang kak tulis dalam N3, iaitu kita kena berusaha supaya tidak sesat dan supaya kita akan dapat menemui Allah nanti dan seterusnya masuk ke syurga.

Werdah said...

aby,

as-siraat al-mustaqim di akhirat nanti ialah titian/jalan yang kita akan lalui untuk kita sampai ke syurga, banyak hadis-hadis menerangkan akan hal ini, ada yang menyatakan syurga berada di hujung. Setiap orang pasti akan menyeberanginya termasuk para nabi.

Apa yang kita dengar kita kena yakin. Tentang 'ainul yakin' bila kita lihat dengan mata kepala sendiri, tapi pemberitaan perkara-perkara besar yang akan berlaku di akhirat nanti memang kita tak pernah dengar dan lihat. Jadi bila kita bayangkan dengan keadaan di dunia sekarang ini adalah sebagai langkah meyakinkan kita. Maknanya jika contoh sakit di dunia tersentuh api yang kecil dan sekejappun kita sakit bagaimana pula dengan api yang membakar sepanjang masa dan kuli pula sentiasa diganti baru.

aby, adakah menjawab persoalan aby ini.

Ya, as-siraat al-mustaqim ada dua, satu di dunia satu di akhirat.. maka yang kita selalu pohonkan dalam solat kita "Ihdinaassiratalmustaqim" ialah jalan lurus di dunia untuk kita buat persediaan untuk tidak tergelincir di atas siraat di akhirat.

Che Mid said...

Salam, pertama kali singgah. harap2 akan selalu singgah..

Werdah said...

Salam, mudah2an dipermudahkan Allah...

Ros Illiyyuun said...

Assalamualaikum

Tertarik dengan cerita tentang 'Lillahi taala'.

Bukan senang nak mengikhlas hati, namun kita wajib berjihad bersungguh-sungguh agar segala amal perbuatan yang dilakukan benar-benar 'lillahi taala.

Moga saya dipermudahkan Allah.InsyaAllah.

Terima kasih entri ini ya :)

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ros

Benar Ros. Mudah diungkapkan tetapi sukar bertahan. Kadang-kadang bila berbuat sesuatu tak sempat memikirkannya lagi, malah bila kita sebut 'aku ni ikhlas nak tolong'atau bla..bla..; itupun dah jadi tak ikhlas.. Allah sahaja yang tahu niat ikhlas kita kan.. Subhanallah.. Mudah2an kita dapat berusaha keras dan semoga Allah mempermudahkan kita ke arah kebaikan.. amiin

Related Posts with Thumbnails