Tuesday, September 28, 2010

BERTEMU ALLAH SWT

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

MELIHAT WAJAH ALLAH TA'ALA YANG MAHA MULIA dengan jelas dan terang tanpa ditabiri dan secara berhadap-hadapan langsung tiada penghalang merupakan satu kenikmatan yang PERLU/WAJIB dijadikan cita-cita oleh setiap manusia yang beriman.

Sudah pasti semua orang ingin melihat wajah Allah yang selama ini sukar untuk dibayangkan rupa bentukNYA, hanya sekadar mengetahui melalui sifat-sifatNYA yang mulia.

Allah berfirman maksudnya:

"Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatat semuanya). (Al-Insiqaq [ 84 ] : 6)

Nikmat di akhirat bukanlah semata-mata nikmat kebendaan; yang paling utama ialah BERTEMU DENGAN ALLAH TA'ALA. Tujuan ayat di atas adalah untuk menyeru manusia suapaya giat berusaha, bekerja keras setekun-tekunnya dalam kehidupan. Di samping itu manusia juga dituntut supaya berusaha keras dan tekun dalam beramal supaya pada akhirnya dapat bertemu dengan Allah. Ini selaras dengan maksud manusia diciptakan untuk dibebani tugas yang berat yakni memakmurkan alam ini, manusia juga dimuliakan dengan menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi ini. Justeru itu untuk membolehkan manusia BERTEMU ALLAH tentu banyak kesulitan yang terpaksa ditempohi. Jika di dunia pun kadang-kadang sukar bagi orang bawahan untuk bertemu dengan orang yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi; inikan pula untuk BERTEMU ALLAH SWT.

Allah telah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah jalan yang wajib diikut, dilalui supaya dapat bertemu dengan Allah. Antaranya ialah dengan mengerjakan amal soleh dan sama sekali jangan mempersekutukanNYA. Firmannya yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". (Al-Kahfi [18] : 110)

Setiap manusia wajib berusaha supaya dapat menempuh jalan yang telah ditetapkan oleh Allah ini. BERTEMU ALLAH merupakan satu kenikmatan yang tak boleh dibandingkan dengan nikmat-nikmat yang lain sama ada yang ada di akhirat lebih-lebih lagi yang ada di dunia.

Ingin bertemu Allah untuk melihat wajahNYA yang mulia seakan-akan keghairahan kita untuk bertemu atau melihat bakal wajah isteri/tunang sewaktu ingin dipertemukan oleh kedua-dua orang tua, tentu sekali tidak sabar sambil membayangkan rupa parasnya siang dan malam.

Allah SWT berfirman:

"(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya". (Yunus [10] : 25 -26)

Diriwayatkan bahawa ketika Nabi Muhammad saw membaca ayat yang bermaksud "Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya"; baginda bersabda mafhumnya; "Jikalau para ahli syurga sudah masuk semuanya ke dalam syurga dan para ahli neraka sudah masuk semuanya ke dalam neraka, berserulah seorang penyeru: "Hai para ahli syurga, sesungguhnya umatmu semua ada suatu janji daripada Allah yang kini Allah hendak melaksanakannya untuk kamu semua." Mereka berkata: "Bukankah Engkau ya Allah sudah membuat berat timbangan amal kebaikan kita, juga memutihkan yakni membuat bersih cemerlang akan wajah kita, serta memasukkan kita dalam syurga dan menghindarkan kita daripada siksa api neraka? Seterusnya baginda saw bersabda: "Kemudian dibukakan tabir daripada pemandangan mereka lalu dapat melihat ALLAH, tiada satu kurniapun yang telah dilimpahkan oleh Allah kepada ahli syurga yang dianggap lebih disenangi daripada melihat wajah Allah, juga tiada satupun yang mereka nilai lebih sedap bagi pandangan mata mereka daripada itu". (H.R Imam Muslim)

Melihat zatNYA dengan mata kepala juga dijelaskan dalam al-Quran; firmannya yang bermaksud:

"Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya). Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya. (Al-Qiyaamah [75] : 20-23)

Pada hari kiamat nanti Allah swt akan menyingkap tabir antara zatNya dengan melihat secara berhadap-hadapan. Ini merupakan suatu pemandangan yang belum pernah dialami oleh satu makhluk apapun di dunia ini baik seorang manusia sama ada Nabi-nabi atau rasul-rasul atau malaikat atau jin. Jika Allah bersediapun untuk memperlihatkan wajahNya kepada manusia atau makhluk lainnya sudah tentu tak mampu nak melihatNYA; Allah berfirman:

"Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)." (Al-A'raf [ 7 ] : 143)

Ahli sunnah wal jamaah mengatakan bahawa tidak ada satu makhlukpun yang mampu melihat zat ALLAH di dunia ini, manakala bagi orang-orang yang beriman; mereka dapat melihat wajah ALLAH pada hari akhirat nanti. Oleh sebab itu amatlah rugi jika ada yang tidak mahu berusaha untuk MELIHAT atau BERTEMU ALLAH di akhirat kelak.

Allah dengan tegas menegur orang-orang yang cenderung kepada dunia sahaja yakni yang merasakan bahawa cukuplah dengan merasai kenikmatan hidup di dunia tetapi enggan berusaha untuk mencapai kebahagiaan hidup yang kekal. Allah berfirman maksudnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang redha (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan". (Yunus [ 10 ] : 7-8)

Dalam ayat yang lain pula, Allah swt menjelaskan bahawa balasan bagi orang-orang yang tidak menghendaki untuk dapat BERTEMU ALLAH ialah Allah akan membiarkan sahaja mereka itu dalam keadaan sesat:

"Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya". (Yunus [ 10 ] : 11)

Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh supaya kita berada di dalam golongan orang-orang yang istiqamah untuk bertemu Allah. Mohon perkenan Ya Allah! Amiin.

6 comments:

Abd Razak said...

Salam kak..:)

Moga kakak sihat hendaknya...

Melihat Allah di akhirat nanti adalah pasti kebenarannya dan barangsiapa yang mengingkarinya bererti kafir. Orang-orang mukmin akan melihatNya pada hari kiamat dan ketika mereka berada di dalam jannah sebagaimana dikehendaki oleh Allah. Keyakinan seperti ini berdasarkan ijma' Ahlus Sunnah. Dasarnya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala.

"Ertinya : Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Mereka melihat RabbNya". [Al-Qiyamah : 22-23]

Terima kasih kak..:)

cemomoi said...

orang yang bercinta tentu nak melihat kekasih hatinya... berbahagialah orang yang mendapat rahmat Ilahi di kala pada hari yang tiada syafaat melainkan dengan sifat al-Rahman dan al-Rahim Allah jua

Werdah said...

Salam Abd Razak.

Alhamdulillah kak sihat, semoga Abd Razak juga sihat.

Kak percaya ramai di kalangan yang menyedari hakikat pengakhiran hidup di dunia ini ialah kematian dan kebangkitan semula selepas kematian dan menerima balasan pasti percaya pertemuan dengan Allah. Ada yang dapat melihat dan ada yang tidak. Yang dapat melihat pastinya yang masuk syurga, syurga yang tingkat mana, Allah sahaja yang mengetahuinya.

Sukar untuk dibayangkan bagaimana keadaannya nanti, dengan suasana hiruk pikuk, yang dihalau ke neraka yang dijemput ke syurga.

Mudah2an kita mendapat rahmat Allah dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

Werdah said...

Salam Cemomoi.

Mudah2an kita termasuk ke dalam golongan yang dirahmati Allah dengan berusaha menanamkan rasa cinta kepadaNya. Amiin

atie said...

salam kak werdah...

Semoga kita antara yang dapat bertemu dengan Allah SWT..... dan mendapat redhanya...

Werdah said...

Salam Atie.

InsyaAllah dengan syarat kita berusaha bersungguh-sungguh dan dapat rahmatNya.

Related Posts with Thumbnails