Saturday, February 6, 2010

Ar-Rahman dan Ar-Rahim



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Ar-Rahman dan Ar-Rahim keduanya terambil daripada akar kata yang sama iaiatu ra', ha', dan mim. Dalam banyak sifat (nama) Allah, nama yang terpilih dalam kalimah basmalah hanya dua sifat iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Agaknya sifat ini dipilih, kerana sifat itulah yang paling dominan. Dalam hal ini Allah dalam Al-Quran menegaskan:

"Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu. Allah berfirman: AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami. (al-A'raf [7] : 156)

Sebuah hadis Qudsi menyebutkan bahawa rahmat Allah mengalahkan amarah-Nya.

Kedua kata tersebut, Ar-Rahman dan Ar-Rahim, berakar dari kata Rahm, yang bererti peranakan atau kandungan. Apabila disebut kata Rahim, maka yang terlintas di dalam benak adalah ibu dan anak, dan ketika dapat terbayang betapa besar kasih sayang yang dicurahkan sang ibu kepada anaknya. Tetapi, jangan disimpulkan bahawa sifat Rahmat Tuhan sepadan dengan sifat rahmat ibu kerana kasih sayang dan rahmat Allah berganda-ganda daripada kasih sayang ibu terhadap anaknya.

Abu Hurairah meriwayatkan sabda Rasulullah saw yang mendekatkan gambaran besarnya rahmat Tuhan: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, “Allah SWT menjadikan rahmat itu seratus bahagian, disimpan di sisi-Nya sembilan puluh sembilan dan diturunkan-Nya ke bumi itu satu bahagian. Satu bahagian inilah yang dibahagi kepada seluruh makhluk. (begitu ratanya sehinggakan satu bahagian yang dibahagikan itu diperoleh pula oleh) seekor binatang yang mengangkat kakinya kerana dorongan kasih sayang, khuwatir jangan sampai memijak anaknya”. (HR. Muslim)

Dalam ungkapan lainnya disebutkan bahawa kata Rahman adalah merupakan sifat kasih sayang Allah kepada seluruh makhluk-Nya yang diberikan di dunia, baik manusia beriman atau kafir, binatang dan tumbuh-tumbuhan serta makhluk lainnya. Bukankah kita; dengan kasih sayang-Nya, telah diberikan kehidupan, diberikan kemudahan menghirup udara, kemudahan berjalan, berlari dan melakukan segala aktivitinya, walaupun sangat sedikit daripada kita mau merenungkan apa lagi mensyukuri segala nikmat tersebut? Allah sentiasa memberikan kasih sayang-Nya kepada manusia sekalipun mereka ingkar kepada-Nya.

Sementara itu kata Rahim diberikan secara khusus oleh Allah kelak nanti di alam akhirat iaitu hanya bagi mereka yang beriman dan mensyukuri segala kenikmatan yang telah dianugerahkan kepada mereka. Kasih sayang-Nya secara khusus diberikan kepada hamba-hamba-Nya yang mengabdikan dirinya kepada Allah dan yakin bahawa semua kenikmatan adalah bersumber daripada Allah. Bahkan yakin bahawa segala amal ibadahnya, perbuatan baiknya tidak akan menjamin akan dirinya masuk ke syurga-Nya kecuali kerana Rahmat-Nya.

Suatu hari Rasulullah saw berpesan kepada para sahabatnya, “Bersegeralah kalian berbuat baik dan perkuatlah hubungan kepada Allah. Dan ketahuilah bahawa amal kalian tidak menjamin kalian masuk syurga. Sambil kehairanan para sahabat bertanya, “Termasuk Engkau wahai Rasulullah”? Rasulullah saw menjawab, “Betul, termasuk saya.. kecuali jika Allah menganugerahkan rahmat-Nya dan kurnia-Nya kepadaku”.

Contoh Anugerah Ar-Rahman kepada kita ialah sihat dan kaya, jadi kita kena sedar bahawa anugerah itu hanya sementara. Jadi apabila kita sihat dan kaya umpamnya; gunakanlah nikmat itu sebagai wasilah untuk mendapatkan anugerah daripada Ar-Rahim yakni nikmat yang kekal. Alangkah ruginya jika kita hanya inginkan nikmat yang sementara manakala melepaskan peluang mendapatkan nikmat yang kekal.

Wallahu a’lam.

4 comments:

Unknown said...

Salam Werdah. N3 yang terkesan di jiwa. Mudah-mudahan kesan itu lama bertapak di hati. Amin...

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Samsudin.

Amiin.. mudah2an kita tetap mengingati dan bersyukur tehadap kasih sayang Allah kpd kita melalui semua sifat2NYa yang agung dan mulia.

Imanisa riana @ sarimah said...

Salam..
Dengan Rahmat dan RahimNya kita dpt hidup di dunia yg sementara ini. Udara yg kita sedut juga pinjaman buat kita dan tanpa belas kasihNya pasti kita tidak menjadi seperti kita sekarang ni. Moga hidup kita diberkati Allah.

Werdah said...

Salam Shaniza.

Mudah2an kita jadi hamba yang selalu sedar dan insaf atas segala nikmat yang Allah berikan kepada kita dan kenal akan sifat2 Allah yang begitu agung dan mulia, supaya kita sentiasa bersyukur. Amiin.

Related Posts with Thumbnails