Monday, October 31, 2011

Apakah dia jalan yang mendaki itu?


Bismillahirrahmanirrahim

Segala pujian hanya bagi Allah, selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, keluarga serta para sahabat dan pengikut setia.

Dalam N3 lepas ada dijanjikan untuk menulis bagaimana kita boleh bertahalluk (berakhlak - meneladani) sifat al-'Aliyy.

Caranya ialah dengan menghiaskan diri dengan sifat-sifat yang terpuji bagi memperoleh kemuliaan dan ketinggian darjat serta mertabat.

Ketinggian darjat serta mertabat seorang hamba di sisi Allah terletak pada setinggi mana, sebesar mana kesedarannya akan kehambaannya. Maksudnya semakin besar rasa kehambaan kita di hadapan Allah SWT semakin tinggilah maqam dan darjat kita. Berbeza dengan hubungan sesama manusia, sebab semakin kita memperhambakan diri kepada manusia lain semakin rendah martabat kita. Kita perlu menyedari bahawa andai sesaat Allah lupa kita, kita akan binasa. Jika kita ingin sentiasa didekati Allah atau untuk sentiasa bersama Allah SWT atau berada di tempat yang tinggi serta mulia tentulah kita kena berusaha mendapatkannya.

Bagaimana? Tentulah kita kena tempuh jalan yang menaik, perlu tenaga yang lebih berbanding jalan yang menurun. Allah bagi tahu kita; salah satu cara untuk untuk dapat ketinggian darjat ialah melalui jalan mendaki.

Allah berfirman:
Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?(Al-Balad 90:10)
A011
Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh (jalan yang mendaki) masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; (Al-Balad 90:11)
A012
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Al-Balad 90:12
A013
(Di antara amal-amal itu - bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi; (Al-Balad 90:13)
A014
Atau memberi makan pada hari kelaparan - (Al-Balad 90:14)
A015
Kepada anak yatim daripada kaum kerabat, (Al-Balad 90:15
A016
Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah. (Al-Balad 90:16)
Setiap manusia diberikan pilihan untuk memilih satu daripada dua jalan hidup oleh Allah SWT iaitu sama ada jalan kebaikan atau keburukan. Jalan keburukan adalah jalan yang sangat mudah dan memberikan kenikmatan. Manakala jalan kebaikan amat sukar, memerlukan tuntutan pengorbanan yang amat tinggi.

Makna asal   عَقَبَةَ ialah jalan mendaki di lereng bukit, jalan itu pula berliku-liku, ada pula batu-batu tajam. Juga bermaksud batu tajam dalam (pada dasar) perigi yang mengakibatkan timba pecah. Jadi jalan ini bukan sahaja mendaki di lereng bukit, berliku-liku pula serta ada batu-batu yang tajam. Begitulah keadaan seorang hamba yang ingin meraih kemuliaan dan darjat yang tinggi.  Makna  عَقَبَةَ jalan mendaki ini adalah bahasa majasi (kiasan), bukanlah kita diminta mendaki.

Maksud yang sebenarnya ialah; untuk mendapatkan ketinggian maqam atau darjat di sisi Allah SWT bukanlah senang. Sesiapapun yang menempuhnya akan sentiasa diuji dengan pelbagai mehnah dan masalah yang berat.

Apakah jalan yang mendaki itu? Berikut adalah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk meraih maqam yang mulia di sisi Allah SWT seperti dalam ayat-ayat di atas:

1)  Membebaskan hamba sahaya  (ayat 13)       

Perkara ini tak dirasai oleh kita pada masa ini. Ini adalah amalan orang-orang Quraisy pada masa dulu. Perkara ini amat sukar bagi mereka apatah lagi memiliki hamba adalah lambang status, lebih ramai hamba yang dimiliki lebih tinggai status mereka. Jadi untuk membebaskan hamba bagi mereka amatlah sukar. Dulu hamba bukan dianggap manusia kerana mereka menjual, hamba hilang hak sebagai manusia. Jadi, bila dapat membebaskan hamba maknanya manusia ini dapat menegakkan keadilan sosial dengan meletakkan manusia setaraf dengan manusia lain. Ini tidak mudah kerana manusia terpaksa menentang amalan biasa.

Allah memberikan pilihan iaitu jika tidak dapat memerdekakan hamba; seseorang itu boleh memberikan makan kepada orang miskin daripada kaum kerabat.

2)  Memberi makan kepada orang miskin daripada kaum kerabat (ayat 14 hingga 16)

Orang-orang miskin yang terlantar (yang tidurnya pun hanya beralaskan tanah, tak adapun tikar untuk dialas memerlukan bantuan daripada orang yang mampu. Andainya kita beri makanan kepada mereka semasa kita susah, itulah jalan yang mendaki. Bukan senang nak beri hak kita kepada orang lebih-lebih lagi ketika kita susah.Ini kerana seseorang itu merasakan bahawa dia telah bersusah payah untuk mendapatkan harta; kenapa pula hendak memberikan kepada orang lain.

3) Beriman dengan disertai amal soleh (menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang)

Jika beriman tapi tak peka dengan masalah umat sukarlah untuk mendapat maqam yang tinggi.



Selain (tidak mengerjakan amal-amal) itu, dia (tidak pula) menjadi daripada orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang. (Al-Balad 90:17
Orang yang beriman dalam ayat ini ialah orang mukmin yang bukan sahaja percaya kepada Allah, malaikat dan kesemua rukun Iman tetapi di sini Allah menyatakan bahawa untuk mendapat kemuliaan atau darjat yang tinggi di sisi Allah, orang beriman ini bukan sahaja kena beriman tapi kena beramal soleh, juga bukan sahaja semata-mata beramal daripada segi ibadah ritual seperti solat, puasa, zakat dan haji; tapi manusia kena menjaga hubungan sesama manusia. Kena cakap benar, sabar, tawadhuk dan berakhlak dengan sifat-sifat mahmudah. Jaga hubungan dengan manusia dengan berpesan-pesan. Jika orang kafir melakukan tanggungjawab sosial seperti ini di dunia, di akhirat nanti mereka hanya melihat fatamorgana.

Tentu payah bagi manusia nak mengamalkan semuanya ini. Dengan sebab itulah Allah kata jalan mendaki. Manusia kena bersusah payah dan bekerja keras.

Contoh doa menggunakan wasilah al-'Aliyy: Ya Allah! Engkaulah Yang Maha Tinggi, Yang Maha Bebas dan Terlepas daripada segala batas dan arah, suci daripada segala wahan dan imaginasi, Engkau telah menganugerahi NabiMu Nabi Muhammad yang mulia  darjah yang setinggi-tingginya dan menjadikan baginda pembuka seluruh pintu, anugerahilah kami habuan dan warisan yang banyak serta bernilai daripada baginda serta kemuliaan yang sangat tinggi. Allahumma Amiin

Tuesday, October 25, 2011

Bertasbihlah Memuji TuhanMu Yang Maha Tinggi (SIRI 2)



Bismillahirrahmanirrahim

Segala pujian hanya bagi Allah, selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, keluarga serta para sahabat dan pengikut setia.

Lama sungguh tak menulis dan memberi komen kepada rakan-rakan blog  (kalian sentiasa dalam ingatan, insyaAllah); sesekali ada juga menjengah blog kawan-kawan  , namun tak menurunkan komen sebab terhad masa untuk berlama duduk di kerusi (masih dalam rawatan). Ada tempat yang lebih selesa iaitu katil atau day bed. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui hikmahNya sakit begini.

Kali ini ingin sambung tentang Allah al-'Aliyy yang pernah dituliskan di SINI. Jika dulu namaNYApun tinggi sekarang menyatakan tentang al-'Aliyy Allah daripada segi ZAT-Nya.

Allah berfirman:

A091


Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersamaNya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu. (Al-Mu'minuun 23:91)

Dalam ayat ini Allah menyatakan sekali-kali tidak akan berlaku ada tuhan lain selain Allah. Kalaulah ada tuhan lain selain DIA dan masing-masing membawa apa yang dicipta nescaya akan saling mengalahkan satu sama lain dan akhirnya yang menang hanya SATU. Yang menang itulah al-'Aliyy. Perkara ini tak mungkin terjadi. MAHA SUCI ALLAH daripada apa yang orang-orang musyrik katakan.

A003

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu - setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya? (Yunus 10:3


Inilah 'aliyy Allah, kita manusia jangankan nak tolong orang, nak tolong diri sendiripun tak mampu jika tanpa pertolongan Allah. Kita nak bergerak ke sana ke mari semuanya dengan izin Allah, tanpa pertolonganNya kita tak mampu.

Allah Maha Tinggi maksudnya tak ada lebih tinggi. Maha Tinggi juga bermaksud mengalahkan, menakutkan siapa yang menentangNya. 

Allah mengalahkan manusia yang menentangNya dengan cara yang kita sendiri tidak dapat membayangkannya. Contoh ketika Raja Namrud membuat perancangan nak membinasakan Nabi Ibrahim as, raja itu membuat perancangan yang sangat rapi, pada peringkat permulaan tak satupun yang dibuat oleh raja itu Allah gagalkan, semuanya Allah izinkan. Masa menangkap Allah izinkan, cari kayu api, bakar kayu api, semuanya tak gagal. Allah boleh sahaja gagalkan dengan pelbagai cara namun tidak digagalkan. Malah ketika Nabi Ibrahim dilemparkan ke dalam apipun Allah masih belum gagalkan. Nampak seperti 100% rancangan raja yang zalim itu berjaya.

Pada waktu itu raja dan pembesar dan pengikutnya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa usaha yang dia lakukan telah berjaya. Memang wajar bagi mereka seronok. Namun, Allah al-'Aliyy ; Yang Maha Mengalahkan, menggagalkan bukan semasa menyalakan api. Katalah jika Allah turunkan hujan semasa menyalakan api pasti raja Namrud akan berkata; "nasib baik hujan turun" ataupun masa mencari kayu api, semua penebang mati ditimpa pokok yang ditebang pasti meraka mengatakan nasib menyebelahi nabi Ibrahim as. Tengok Allah al'Aliyy gagalkan (Allah tunjukkkan al-'Aliyy) ketika nabi Ibrahim berada dalam api.

A069
Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ". (Al-Anbiyaa' 21:69)


Waktu inilah Allah tunjukkan al-'AliyyNya namun Namrud tetap tidak mahu percayakan Allah. Namrud makin angkuh. Pertolongan Allah akan datang juga akhirnya. Yakinlah kepada Allah al-'Aliyy. 

InsyaAllah jika ada kekuatan akan sambung bagaimana kita boleh bertahalluk dengan sifat al-'Aliyy ini.

Wednesday, August 24, 2011

Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi

Gambar Hiasan daripada Google images
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian hanya milik Allah Tuhan yang mencipta sekelian makhluk. Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi kita Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut setia yang istiqamah mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Nama Allah yang ke 36 yakni nama Allah selepas as-Syakur ialah Al-'aliyy yang bermaksud MAHA Tinggi. 

Al-'aliyy; 9 kali diulang dalam al-Quran; 7 kali merujuk kepada nama Allah dan 2 kali merujuk kepada manusia.

Mari kita lihat DUA kali untuk manusia terlebih dahulu :

1) Dalam surah Maryam [19] ayat 50

A050
"Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia". (Maryam 19:50)
Di sini Allah bagi tahu bahawa Allah kurniakan kepada Nabi Ibrahim dan keluarga, sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia. Maksudnya orang-orang selepas Nabi Ibrahim akan menyebut-nyebut kebaikan Nabi Ibrahim dan keluarga. Benar kan! bila kita selawat kepada nabi Muhammad SAW kita sebut nama nabi Ibrahim, bila tunaikan haji, bila berkorban dan banyak lagi, memang benar apa yang Allah katakan.

2) Dalam surah Maryam [19 ] ayat 57

A057
"Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya". (Maryam 19:57
Ayat  ini  menyatakan bahawa Allah mengangkat Nabi Idris ke tempat yang tinggi darjatnya (syurga).

Dua ayat ini sahaja yang dinisbahkan oleh Allah kepada manusia yakni Nabi Ibrahim as dan Nabi Idris as selebihnya yang 7 kali merujuk kepada sifat Allah SWT.

Apa maknanya 'aliyy?

'aliyy berasal daripada 3 huruf  'ain lam dan wau ('alaa - ya'lu)

Makna asal :

Pertama - tinggi (lawan daripada rendah)
Kedua mengalahkan, menakluki
Ketiga -  sombong

Ini bermaksud Allah Maha Tinggi, Maha mengalahkan, menakluki sesiapa yang ingin melawannya atau menentangnya.

Allah sombong dalam erti kata Allah tidak tunduk kepada kemahuan sesiapa. Tak ada siapapun yang boleh mempengaruhi Allah. Allah mutlak kehendak, iradah dan masyi'ahNya.

Nama Allah sendiri itu 'aliy


Bukan sekadar zat dan sifat sahaja yang Maha Tinggi, namaNya sendiri juga Maha Tinggi.

Mari lihat dalam ayat pertama surah Al-A'laa

A001
"Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan)", - (Al-A'laa 87:1)
al-A'laa yang Allah sebut dalam ayat ini bermaksud Yang Maha Tinggi, ini menjadi sifat kepada nama Tuhan Engkau (Allah). Jadi apa maknanya di sini? Ini nak menunjukkan ketinggian nama Allah itu sendiri seperti yang dinyatakan dalam ayat 65 surah Maryam.

A065
"Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadaNya; adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya? (yang empunya nama seperti nama DIA?) " (Maryam 19:65
Maknanya, tiada nama selain Allah yang berhak ada nama seperti nama Allah yang 99 dalam asmaul husna atau dalam erti kata lain hanya Allah yang berhak memiliki nama-nama seperti itu dan nama Allah sangat tinggi. 

Oleh itu kita wajib mensucikan Allah kerana namaNya sahaja pun tinggi. Untuk meninggikan nama Allah kita perlu hindari perkara-perkara berikut:

Pertama: Jangan menggunakan perkataan yang menggambarkan Allah ini serba kekurangan (tidak baik terhadap Allah);

Contohnya ada kalimah "wamakaru wamakarallah" - makara tu memberi makna tidak elok, kalau ikut makna harfiyah "mereka buat tipu daya dan Allah juga membuat tipu daya". Perkataan ini tak baik (tipu daya itu perbuatan tak baik). Manusia memang membuat tipu daya yang tak baik tapi sebenarnya kita kena faham bahawa Allah membatalkan tipu daya mereka (jangan gunakan perkataan yang tak baik - jangan fahami Allah juga membuat tipu daya). Jika kita kata Allah juga buat tipu daya, ini menunjukkan kita tak sabbihis marabbikal a'laa lagi (tidak mensucikanNya lagi). 

Kedua:  Jangan sebut nama Allah pada tempat atau masa yang tidak sesuai

Rasulullah SAW menanggalkan cincin baginda bila nak qadha hajat, sebab pada cincin baginda ada tertera Muhammad Rasulullah, digunakan sebagai mohor/cop untuk hantar surat, ditulis Allah di atas, Rasul di tengah, dan Muhammad di bawah. Oleh sebab ada nama Allah maka ditanggalkan baginda cincin itu.

Jadi dilarang kita letak kaligrafi nama Allah atau kalimah Allah (ayat-ayat al-Quran) dalam tandas di rumah kita. Di tempat-tempat maksiat juga tidak boleh sebut nama Allah, contoh: bila dinobatkan jadi ratu cantik ucap Alhamdulillah, kebetulan anak orang Melayu Islam. Bila dinobatkan dan diumumkan pula bahawa pada tahun depan akan ke peringkat dunia pula, maka menangis dan kemudian beri ucapan mulakan dengan Bismillah, Alhamdulillah, selawat nabi dll. Ini tak betul, ini salah kerana ini tidak sabbihis marabbikal a'laa. 

Ketiga: Jangan sebut nama Allah tanpa kita sedar akan keagunganNya

Bila kita ucap MasyaAllah, SubhanAllah, BismiLlah dan ucapan baik-baik untuk Allah, hati kita kena sedar akan keagunganNya. Contoh bila kita sebut ar-Rahman, ar-Rahim, ar-Razzak dan lain-lain paling tidak kita kena mengerti atau faham maksud nama-nama Allah tersebut. Dalam solat semasa duduk antara dua sujud kita kaitkan nama-nama Allah al-Husna iaitu al-Ghaffar dan al-Ghafur, ar-Rahman dan ar-Rahim, ar-Raafi', dan seterusnya. Jadi ketika kita berdoa dalam rukun tersebut kita kena faham dan hayati maksudnya semasa memohon barulah kita tahu apa yang kita minta. Jadi dengan itu kita sabbihis marabbikal a'laa dan kita khusyuk.

Keempat: Jangan buat tak kisah atau tak mengendahkan ketika namaNYA disebut

A045

Dan (di antara keburukan orang-orang yang melakukan syirik): apabila disebut nama Allah yang Esa semata-mata (tidak nama yang lain di dalam doa dan sebagainya), merasa jijik/tak suka/mual hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja yang lain dari Allah, mereka dengan serta merta riang dan gembira. (Az-Zumar 39:45)

Perkara-perkara yang boleh dikategorikan sama dengan apa yang Allah beritahu dalam ayat di atas ini ialah;

  • Kadang-kadang terjadi sesuatu perkara dalam rumah contoh ada gangguan maka dinasihati supaya mengamalkan ayat-ayat al-Quran, orang yang mengalami masalah ini tidak suka.
  • Kadang-kadang bila ada orang suka menceritakan kisah-kisah yang baik hasil kuliyah, orang yang mendengar tak suka tetapi bila cerita perkara-perkara selainnya mereka suka sangat.
  • Kadang-kadang ada orang buat salah bila ditegur dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis dia tak suka.
  • Ada juga golongan yang tak mahu gunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis sebaliknya guna pendapat sarjana Barat.

Orang-orang seperti ini mengakui Allah Tuhan mereka tetapi tak suka orang sebut nama Allah. Inilah ciri-ciri orang yang jijik mendengar nama Allah.

Setakat ini dahulu buat kali ini. Semoga kita semua dapat menghayati apa yang dicatat di sini hasil saya dengar kuliyah. Mudah-mudahan memberi manfaat.
Related Posts with Thumbnails