Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang
mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu
banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad
sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia
dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.
N3 ini merupakan sebahagian yang pernah ditulis sebelum ini di SINI
Al-'Adzim ٱلۡعَظِيمُ ialah nama Allah yang ke 33
dalam senarai nama-nama Allah yang baik, Al-Asmaul husna.
Perkataan ٱلۡعَظِيمُ diulang sebanyak 100 kali dalam al-Quran merupakan satu jumlah yang bukanlah sedikit. Terdiri daripada 3 huruf
iaitu 'ain, dza' dan mim.. Makna asalnya
ialah AGUNG ataupun BESAR sama ada berkaitan dengan benda yang
boleh dilihat dan dipegang ataupun yang abstrak seperti 'arasy Allah , akhlak dan
sebagainya.
Tidak semua perkataan ini merujuk kepada nama Allah; ada juga yang
ditujukan kepada sifat makhluk; contoh 'arasy 'adzim ('arasy yang agung) ,
khuluqin 'adzim (akhlak agung), ada ajrun 'adzim (sifat bagi pahala yang besar), sihir, tipu daya dan
sebagainya.
Al-'Adzim ٱلۡعَظِيمُ yang dikaitkan dengan nama
Allah dalam al-Quran ada ketikanya berdiri dengan sendiri dan ada ketikanya dirangkaikan
dengan kalimat lain, sebagai contoh yang dirangkaikan dengan kalimat lain ialah
dalam ayatul kursi surah al-Baqarah ayat 255 yakni ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ
[(Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) ].
"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan
(sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala
yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi
syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa
yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka
tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang
Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan
kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada
Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat
kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya." (al-Baqarah [2] : 255)
Kita perlu memahami bahawa:
1) Allah al-'Adzim bermaksud; Allah Zat yang wajib wujud atau yang kewujudannya wajib dan menjadi
sumber kewujudan segala yang maujud. Allah wajib wujud; wujud benda-benda lain adalah kemungkinan, mungkin boleh
wujud dan mungkin tidak. Allah berfirman dalam surah al-Hadid [57] ayat 3
Maksudnya: "Dialah Yang Awal dan Yang Akhir dan Yang Zahir serta Yang
Batin dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Hadid
[57] : 3)
Di sini kita lihat betapa agungnya Allah. Bagaimana Allah tidak agung jika
sifat Allah itu sendiri berlawanan.
DIAlah yang awal yakni tidak didahului oleh sesiapa dan DIAlah juga yang akhir,
maksudnya DIA sentiasa ada ketika segala yang maujud telah tiada. DIA juga zahir
(nampak) dan (sangat jelas). Mengapa tidak? Segala yang kita lihat dalam alam
ini adalah bukti kewujudanNya pada masa yang sama Allah Maha tersembunyi
(batin - tiada siapa yang dapat melihatNya).
Dalam hal ini semua makhluk yang ghaib kita tak dapat melihatnya kecuali jika
Allah memperlihatkan kepada kita. Contoh; alam barzakh, neraka dan syurga serta
siksaan di alam akhirat. Nabi Muhammad SAW pernah diperlihatkan oleh Allah
syurga, neraka dan alam barzakh semasa Isra' dan mikraj.
SATU SAHAJA yang kita tak boleh lihat walaupun jika diperlihatkan kepada kita yakni
ALLAH SWT YANG MAHA AGUNG.
BETAPA AGUNGNYA ALLLAH. Allah kata DIA bersedia untuk memperlihatkan dirinya
kepada Nabi Musa as. Nabi Musa as pernah meminta kepada Allah SWT untuk melihat
Allah tetapi apabila Allah bertajalli (memperlihatkan) kepada bukit, bukitpun
hancur. Begitulah AGUNGnya Allah SWT.
2. Allah al-'Adzim bermaksud Allah lebih agung daripada yang lainnya,
Allahuakbar pula bermaksud Allah lebih besar.
Ada orang kata Allah berada di langit, jika betul maknanya langit lebih besar
daripada Allah. Maha Suci Allah, Allah tak perlukan tempat sebab DIA AGUNG.
Yang lain-lainnya semuanya kecil. Maqam Allah sangat mulia, ucapanNya
(firmanNya) sangat mulia. Jadi membaca al-Quran lebih mulia daripada membaca surat
khabar. Jangan jadikan al-Quran no 2 yakni lebih mengutamakan membaca surat
khabar daripada al-Quran. Jika ini berlaku maknanya kita tidak mengagungkan
Alllah SWT sebaliknya mengagungkan surat khabar.
3. ALLAH Al-'Adzim ialah Allah yang Agung kerana segala yang ada di langit dan
di bumi tunduk kepadaNya sama ada secara sukarela atau terpaksa termasuk
bayang-bayang.
Bagi memahami perkara ini, mari kita lihat Firman Allah berikut:
"Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk (bernyawa) yang ada di beberapa
langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan
terpaksa dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.
(Ar-Ra'd [13] : 15)
Sujud secara terpaksa di sini contohnya ialah dilahirkan lelaki atau wanita,
kulit putih atau hitam, Melayu, Cina dll, mengantuk, terjaga; semuanya ini
terpaksa. Yang dimaksudkan dengan bayang-bayang kitapun turut sujud pada waktu
pagi dan petang ialah bila pagi bayang-bayang panjang, kemudian tengah hari
menjadi pendek, bila petang kembali panjang semula. Inipun terpaksa kerana tak
boleh dipinda atau diubah mengikut cita rasa kita. Begitulah patuhnya makhluk
sama ada yang bernyawa atau tidak bernyawa kepada kehendak Allah.
"Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di
bumi, daripada makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka
(malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan
sujud kepadaNya)." (An-Nahl [16] : 49)
BETAPA KERDILNYA KITA... ALLAHU! Perbanyakkanlah mensucikan Allah Yang Maha Agung, Maha Tinggi, Bertasbihlah dengan Nama Tuhnmu Yang Maha Tinggi dan dengan segala kepujian.
8 comments:
salam k werdah ..
tertarik dengan ayat kurysi tu ..
penegasan Allah swt tentang keesaanNya utk disembah dan penegasan kekuasaanNya yang maha Tinggi, maha Besar dan Maha Agung ..
setiap detik, Allah mentadbir bukan saja utk kita manusia, malah Allah mengatur perjalanan kehidupan di atas bumi, didalam bumi, dilaut, atas langit, menjaga peredaran planet2 dan bintang2 dilangit ..
segala makhluk2 lain yg tk terfikir oleh kita tentang kewujudan nya ..
memang selayak nya dia lah yg Maha Agung ..
Wa'alaikumussalam aby
Ya aby, segala urusan-Nya, pemeliharaan-Nya adalah dengan penuh rahmat dan pengampunan beserta dengan kebijaksanaan lagi terpuji.
Tanggungjawab kita pula ialah untuk mendapatkan redha-Nya. Mudah2an kita dapat berusaha dengan sebaik-baiknya untuk menggapai keredhaan-Nya...aamiin
Assalamualaikum Kak Werdah,
Moga kak sentiasa dalam lindungan Allah SWT dan dikurniakan kesihatan yang baik...aamiin
Allahu Akhbar, betapa kerdilnya kita di alam ciptaan Allah ini. Namun, ada lagi di kalangan manusia yang berani menentang~Nya dan sanggup mengaku dirinya tuhan.
Terima kasih kak!
Wa'alaikumussalam Abd Razak
Terima kasih kerana mendoakan kak..Semoga dirimu juga dikurniakan kesejahteraan dan keselamatan dan sentiasa dalam redha Allah SWT..aamiin
Begitulah terjadi apabila mereka tidak berusaha untuk keluar daripada kegelapan menuju cahaya. Perkhabaran terhadap kebinasaan yang berlaku terdahulu tidak dijadikan iktibar.
Mudah-mudahan hijab yang menyelubungi mereka berakhir dan sempat bertaubat.
Semoga kita juga sentiasa berada di atas jalan yang diredhai Allah.
Assalamu'alaikum Kak Werdah... kakak asyik-asyik klik blog lagi satu tengok kucing mengantuk tu, sebab tak terklik pun blog yg satu ini. Allah... baru terbaca ni.
Banyak dah Allah berikan tapi masih lagi lalai. Moga kita tak lupa diri. Kita ni terlalu lemah dan tak ada upaya tanpa redhanya kan kak.
Alahai terkilan juga kakak sebab tak dapat bertemu Kak Werdah. Lain kali 2-3 hari sebelum ke JB inform kakak dulu ye Kak Werdah...
Wa'alaikumussalam kakzakie.
Begitulah harapan dan cita-cita dan agar kita sentiasa diberikan kekuatan mengerah usaha agar kita tidak dilupai-Nya disebabkan kelalaian kita.
Kak ke sana secara mengejut..jangka pagi hari itu kami lima beranak nak ke Perak atas urusan tukar nama pemilik tanah peninggalan ibu bapa kepada anak-anak. Tiba-tiba dapat tahu besan sakit tenat. Jadi batalkan urusan di Perak lalu kami ke Johor.
Tidak menjadi rezeki..insyaAllah masa-masa akan datang berjumpalah kita.
Assalamualaikum..
betul tu seruan dizahirkan oleh Allah SWT selaku tuhan sekalian alam yg memanggil hamba2Nya tanpa mengira warna kulit, pangkat, rupa dan sebagainya utk mengajak dgn suruhan/larangan tertentu...namun bkn mdh utk kita memahami dan menghayati seruan Ilahi trsbt kerana terbatas ilmu dan masa...wbpn sbg umat Islam sdh menjadi kewajipan utk mempelajari...Tkasih N3 yg sgt bermanfaat...
Wa'alaikumussalam Saridah
Benar, menjadi kewajipan bagi kita untuk menimba ilmu kerana ilmu menunjuk kepada kita apa yang benar dan apa yang salah..namun begitu ada juga yang tersalah memahami dan tidak dapat membezakan yabg hak dan batil lalu tersesat. Mudah2an kita di kalangan orang - orang yang diberikan petunjuk..aamiin
Post a Comment