Friday, May 7, 2010

Dekat di sisiNya

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kenikmatan kita menghirup udaranya dan banyak lagi nikmatNya sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Marilah kita berselawat buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Syukur kepada Allah SWT kerana memberi kekuatan untuk menulis catatan, dan di sini dikongsikan hasil catatan tentang DEKATNYA ALLAH SWT dengan makhlukNya.


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul". (Al-Baqarah [2] : 186)


Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya (uarat nadi), (Qaf [50] : 16)

Dekatnya Allah yang diperbincangkan di sini ialah daripada maksud Al-Wali (Yang Maha Memerintah, Yang maha Menguasai), iaitu nama Allah ke 77.

Kata dasarnya ialah waw lam alif terambil daripada wala yali yang membawa maksud:

1. Dekat.
2. Mengikuti.
3. Melindungi/memelihara/menjaga/menguasai.
4. Mengasihani/menyayangi/mencintai.

Al-Wali; maknanya Allah SWT dekat dengan makhlukNya seperti yang digambarkan oleh Allah SWT dalam 2 ayat di atas.

Istilah yang selalu kita dapati digunakan dalam al-Quran bagi menggambarkan kedekatan Allah dengan hambaNya ataupun sebaliknya ialah berperingkat seperti berikut:

1. Muhit مُّحِيطً۬
2. Ma'a مَعَ
3. Qarib قَرِيبٌ
4. 'inda atau 'indi عِندَ atau عِندِ
5. Aslama, yuslimu dan islam

Peringkat pertama Muhit, مُّحِيطً۬ di dapati dalam ayat-ayat yang berkahir dengan Wallahu Muhitum bil kaafirin atauAllahu bikulli syaim muhita (susahnya nak cari dalam ayat-ayat al-Quran, cuba juga tetapi agak lambat), contoh ayat di bawah:

وَلِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۚ وَڪَانَ ٱللَّهُ بِكُلِّ شَىۡءٍ۬ مُّحِيطً۬ا


"Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan Allah sentiasa Meliputi (pengetahuanNya dan kekuasaanNya) akan tiap-tiap sesuatu". (An-Nisaa' [4] : 126)

Maknanya Allah meliputi segala sesuatu, seperti dinyatakan dalam surah al-Baqarah ; kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, keadilanNya berada di mana-mana. Di mana sahaja makhlukNya berada di situ ada Allah.

"Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui". Al-Baqarah [ 2 ] : 105)

Tidak ada ruang di alam semesta ini yang terlepas daripada kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, keadilanNya dan pengetahuanNya. Kedekatan Allah kepada makhlukNya seperti inilah yang dinamakan Muhit. Tidak ada bezanya antara semua makhluk yakni manusia, haiwan dan syaitan dan lain-lainya.

Peringkat kedua pula ialah Ma'a مَعَ

Ini lebih tinggai daripada Muhit. Siapakah yang didekati oleh Allah dengan مَعَ ini. Contoh

إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ


"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar". (al-Baqarah [2] : 153)


"Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah dia dari pengikutku dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya dia dari pengikutku, kecuali orang yang mencedok satu cedokan dengan tangannya. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". (al-Baqarah [2 ] : 249)

Maknanya bukan semua Allah bersedia 'dekat' denganNya. Tentu ada syaratnya bagi peringkat yang kedua ini; itulah orang-orang yang beriman dan orang-orang yang bersabar. Jika tahap pertama tadi semua orang Allah dekat, tetapi peringkat kedua ini ialah orang-orang yang sabar. Kena diusahakan supaya kita berbeza dengan tahap pertama tadi.

Peringkat ketiga pula Qarib قَرِيبٌ


Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah [2] : 186)

Allah menyatakan 'AKU' amat dekat, 'AKU sentiasa memperkenankan permohonan hambaKU dengan syarat mereka juga menyahut seruanKU, mematuhi perintahKU dan beriman kepadaKU. Jika hambaKu berhajat AKU tunaikan, jika hambaKU dalam ketakutan AKU bantu hilangkan ketakutan dan gantikan dengan ketenangan. Qarib di sini bermaksud dekat daripada segi emosional. Contoh; jika seseorang telah terpaut hatinya dengan seseorang biarpun jauh beribu-ribu kilometer akan terasa amat dekat. Jadi untuk DEKAT dengan Allah kenalah bina rasa terpaut seperti contoh tadi. Jika menyintai Allah pasti bersedia (bermuafaqah); menyesuaikan kehendak kita dengan kehendak Allah. Apa yang disuruh buat hendaklah dibuat dan sebaliknya. Allah berfirman:


"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". (Al-Imran [3] : 31)

Peringkat ke empat عِندَ atau عِندِ

Peringakt kedekatan para wali Allah denganNya, maksudnya maqam mereka lebih tinggi. Untuk mendapatkan kedekatan peringkat ini memerlukan pengorbanan yang benar-benar menunjukkan ia seorang hamba.

Allah berfirman :


Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Al-Baqarah [2] : 262)

Ayat di atas ada عِندَ رَبِّهِمۡ yang bermaksud di sisi Tuhan mereka. Orang yang memberi kemudian tidak mengungkit-ngungkit pemberian yang menyebabkan orang yang menerima sakit hati, kedudukannya tinggi di sisi Allah (dekat dengan Allah).


"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki". (Ali-Imran [ 3 ] : 169)

Tingkatan orang mukmin dengan orang gugur syahid tidak sama di sisi Allah. Syahid berkorban apa sahaja termasuk nyawa. Jadi kedudukan mereka lebih tinggi.

عِندَ ini ada perbezaan antara yang paling rendah yakni orang mukmin, menengah yakni orang mati syahid dan yang paling tinggi ialah para nabi dan rasul serta para solihin, tabiin dan wali-wali.

Peringkat ke lima; Para Nabi dan para Rasul paling dekat di sisi Allah kerana mereka 'Asalama' ; berserah diri.


"(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: Berserah dirilah (kepadaKu wahai Ibrahim)! Nabi Ibrahim menjawab: Aku berserah diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam". (Al-Baqarah [2] : 131)

Nabi Ibrahim as 'dengar dan taat' segala perintah Allah SWT, hinggakan disuruh meninggalkan isteri dan anak di tanah yang gersangpun dikutinya dan diperintahkan menyembelih anak kesayangannya pun dituruti. Nabi Ibrahim juga berpesan kepada anaknya Nabi Yaakob supaya tunduk dan patuh kepada perintah Allah, begitu juga Nabi Muhammad SAW juga menyuruh umatnya supaya patuh dan tunduk kepada Allah SWT. Pada peringkat tertinggi ini kedekatan para Nabi dengan Allah menyebabkan mereka patuh dan taat. Nabi Yusuf as kerana takutkan Allah SWT baginda rela dipenjarakan daripada menurutkan hawa nafsu.


Para Nabi dan Rasul yang dekat dengan Allah SWT mereka diberi ilmu yang luas. Sukar untuk kita fahami bagaimana perintah menyembelih anak kesayangan dituruti, dan perintah membocorkan kapal nelayan, membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa dan membaiki tembok yang runtuh di sebuah kampung yang penduduknya rata-rata buruk akhlak oleh Nabi Khidir as. Nabi khidir as adalah seorang yang soleh dan diberi ilmu لَّدُنَّا seperti yang dinyatakan dalam ayat:


"Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami". (Al-Kahfi [18] : 65)

Kita juga pernah mendengar bagaimana Saidina Umar Ibnul Khattab yang sedang berkhutbah di Madinah boleh melihat dan memberi arahan kepada tentera-tenteranya yang jauh daripada pandangannya dan tentera-tenteranya juga boleh mendengar arahan beliau. Inilah anugerah Allah SWT kepada orang-orang yang DEKAT denganNya. Maha Suci Allah, Allah Maha Besar dan Maha Mengetahui.

Begitulah 5 tingkatan kedekatan Allah dengan makhlukNya bergantung dengan usaha makhluk untuk DEKAT denganNya. Jadi amatlah rugi jika tahap dekat seseorang itu sama sahaja seperti yang lain-lain pada tahap pertama.

Orang-orang yang dekat dengan Allah (wali-wali) Allah, mereka tidak ada rasa ketakutan untuk bertemu dengan Allah. Orang-orang salih sangat rindu, ingin segera bertemu dengan Rabb mereka sebagai contoh dikisahkan bahawa Imam 'Ali bin Abu Talib semasa menunggu saat kematiannya selepas ditikam dengan tombak beracun; beliau tersenyum sedangkan sahabat-sahabat yang mengelilinginya menangis. Ketika ditanya mengapa beliau tersenyum, 'Ali ra menjawab dengan bertanya semula; "Kenapa aku mesti sedih sedangkan aku ingin bertemu dengan kekasihku. Bagaimana aku tak gembira kerana aku akan bertemu denganNya yang selama ini aku hanya menyebut namanya".

Sekian, mudah2an memberi manfaat.

Sekadar hiasan

12 comments:

Lynn Nasir said...

salam kenal kak,

insyaallah..marilah kita berdoa agar diberi keberkatan dan kebaikan selama mana kita beribadah kepada-Nya. insyaallah..

terokai seni said...

innallaha ma'ana

semoga Allah sentiasa merahmati kita pada hari kita dilahirkan, hari kita dimatikan dan hari kita dibangkitkan kembali..

Werdah said...

Salam Lynn.

Salam kenal.

InsyaAllah, mudah2an kita termasuk rang-orang yang berusaha.

Werdah said...

Salam Cemomoi.

InsyaAllah, kita perlu berusaha supaya Allah merahmati kita dengan sentiasa 'kembali' kepadaNya.

ummu said...

salam kak werdah

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul". (Al-Baqarah [2] : 186)

syukran kak atas ingatan ini.maaf lama tak kes ini kerana syaa baru balik dari HUSm kak.

Acik said...

Salam..
Abul Hassan al-Zanjani berkata; " Pokok ibadah itu pada tiga tiang; mata, hati dan lisan. Mata mengambil ibarat, hati berfikir dan lisan berkata dengan jujur, bertasbih dan berzikir. Seperti Allah telah berfirman;
" ...ingatlah kepada Allah dengan ingatan yang banyak di waktu pagi dan petang." (Q.S. Al-Ahzab: 41-42)

Ros Illiyyuun said...

Salam Kak...

Harap akak sihat sentiasa.

Sama-sama kita bertaqarrub kepada Allah iaitu dengan melaksanakan yang ma'ruf dan meninggalkan yang mungkar. InsyaAllah...

Werdah said...

Salam Ummu Masyitah.

Semoga dianugerahi kesihatan yang lebih baik buatmu. InsyaAllah.

Mudah2an kita dapat berusaha 'dekat' denganNya insyaAllah.

Kakpun sekarang ni ada masalah kopmputer mouse tak boleh gerak, dah jenuh cari masalah tak jumpa,tukar mousepun tak boleh juga.. ni pinjam laptop anak sekejap..

Werdah said...

Salam Acik.

InsyaAllah, semoga kita berusaha mengingatiNya setiap masa baik ketika susah mahupun ketika senang.

Werdah said...

Salam Ros.

InsyaAllah Ros, semoga kita sentiasa berusaha dan diberikan kekuatan melaksanakannya.

abu muaz said...

wajah baru ya.

Werdah said...

salam Abu Muaz.

ya wajah baru.. :):)

Related Posts with Thumbnails