Sunday, February 26, 2012

Yang Memulai dan Mengulangi

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.


Segala puji bagi Allah yang selayaknya dipuji. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan sekelian yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Hari ini ingin kongsikan tentang asmaul husna al-Mubdiu dan al-Mu'iidu. Kedua-dua nama ALLAH (sifat-sifat ALLAH) ini perlu difahami secara serentak; maksudnya kena bincang sekaligus bagi memudahkan pemahaman dan perlu ingat bahawa Allah memberikan sendiri namaNya dan pasti ada hikmah Allah meletakkan nama-nama ini secara berdampingan. Lihat ayat-ayat di bawah:

A034
Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): "Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan/mengulangi adanya semula (pada hari kiamat)? "Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk kemudian Ia mengembalikan adanya semula (untuk menerima balasan); oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?" (Yunus 10:34
A004
KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya/mengulangi (hidup semula sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur. (Yunus 10:4)
Kalimah ini tidak diketemukan dalam al-Quran, namun yang dapat kita temui ialah dalam bentuk fe'el (kata kerja).

Al-Mubdiu asal daripada 3 huruf iaitu ba' dal dan hamzah (ba da aa) yang maksudnya:

1)  Memulai sesuatu pekerjaan
2)  Sesuatu yang terpenting
3)  Nasib

Al-Mu'iidu pula asal daripada 3 huruf 'ain waw dan dal ('aada, ya'uudu, 'uud) yang maksudnya:

1) Mengulangi/kembali
2) Pendua bagi sesuatu/duplicate iaitu diulangi lagi, dibuat lagi... seterusnya dibuat lagi

Untuk memahami sifat atau nama-nama baik ini mari baca seterusnya:

PERTAMA: Al-Mubdiu iaitu memulai; ALLAHlah yang memulai segala ciptaan, ALLAHlah yang memberi kesan tidak ada, ALLAHlah sahaja yang menjadi penyebab segala yang maujud. Bila ALLAH kehendaki ada maka adalah.
"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi". (Yaa Siin 36:82)
Kita wajib yakin bahawa Allah sahajalah yang menjadi penyebab segala kejadian, jika tidak bermakna kita syirik kepada sifat Rububiyyah Allah. Syirik kerana yakin selain Allah yang menjadi penyebab berlaku sesuatu perkara.

KEDUA: Al-Mubdiu juga bermaksud Allah sahajalah yang MEMILIKI segala yang maujud (INNA LILLAHI WAINNA ILAIHI RAAJI"UUN) yakni segala sesuatu adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Jika DIA Menghidupkan DIA jugalah yang mematikan.

KETIGA; Allah akan mengulangi apa yang DIA telah ciptakan (Al-Mu'iidu). Contoh; jika pada hari ini ada seorang yang lahir dan ada seorang yang lain mati; bagaimana Allah ciptakan yang lahir itu begitulah pula sama caranya Allah ciptakan orang yang mati itu. Cara bekerja organ-organ dalam badan orang-orang terdahulu sama dengan cara bekerja organ-organ dalam badan orang yang ada pada hari ini. Sebab itulah organ boleh didermakan. Orang-orang dahulu perlukan Oksigen orang sekarangpun begitu. Bayangkan jika cara ciptaan Allah tak sama yakni sentiasa berubah-ubah apakah yang akan berlaku?. Jika berubah-ubah bagaimana akan ada pakar dalam bidang-bidang tertentu?. Jika hari ini pakar hidung buat kajian untuk masa kini tiba-tiba hari esok hidung tak sama lagi maka kepakaran itu tak dapat digunakan lagi.

Allah berfirman maksudnya:
"...... Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi " Sunnatullah " (undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan " Sunnatullah " itu. (Faatir 35:43
KEEMPAT: Allah bukan sahaja mengulangi ciptaan bahkan Allah juga mengulangi FUNGI ciptaan. Kulit dicipta untuk merasa cuaca (panas atau sejuk) nanti di akhirat Allah akan cipta kulit dengan fungsi yang sama.
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (An-Nisaa' 4:56)
Dalam ayat di atas Allah tak kata hidung, mulut sebabnya kulitlah yang boleh rasa panas dan sejuk, maknanya jika di dunia kulit yang merasa panas dan sejuk maka di akhirat nanti fungsinya tetap sama. Inilah juga salah satu tanda atau sifat kebesaran Allah yang Memulai dan Mengulangi (Harap baca di sini) untuk penjelasan pakar tentang struktur kulit.

Selain itu sifat kebesaran Allah yang Memulai dan Mengulangi; Allah sentiasa mengadakan sesuatu daripada lawannya; api lawannya air; hidup lawannya mati, malam lawannya siang. Dalam al-Quran Allah selalu nyatakan bahawa Dia ciptakan malam daripada siang, hidup daripada mati. Dalam ayat 80 surah Yaasiin Allah beritahu kita bahawa Dia ciptakan api daripada air yang sejuk; Allah berfirman:
"Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang berwarna hijau basah (hidup/basah/ada air) untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu".(Yaa Siin 36:80)
Dalam ayat di bawah:
"Daripada bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi." (Taha 20:55
Allah memberitahu tentang al-Mubdiu dan al-Mu'iidu bahawa Dia cipta kita daripada bumi dan akan masukkan kita ke dalam bumi dan kemudian akan keluarkan pula kita kali kedua daripada bumi. Kita hanya muncul sekejap sahaja atas bumi. Oleh itu Allah suruh manusia mainkan watak utama (khalifah) di atas muka bumiNya bukan sebagai pelakon tambahan. Jika berjaya mainkan watak utama di dunia, bila masuk semula ke dalam tanah manusia akan mulia. 

Kita berasal daripada air yang hina; jika tidak tertumpah dalam rahim tak ada siapapun yang suka. Sebab itulah Allah suruh bila dengan iradahNya dah jadi manusia; jadilah manusia yang mulia. Allah bagi kesempatan untuk memuliakan diri kita sangat sekejap. Sebelum kita ada di atas muka bumi ini kita tak tahu berapa lama berada di alam roh, kemudian berapa lama pula di alam barzakh. Di akhiratpun kita tak tahu berapa lama, yang kita tahu hanya semasa berada di dunia; itupun yang telah kita guna.

Sekarang al-Mubdiu dan al-Mu'iidu yang berkaitan dengan amalan: "Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!" (As-Saaffaat 37:96). Allah bukan sahaja sekadar cipta kita tetapi amalan kita juga. Apa sahaja perbuatan kita tak kiralah baik atau buruk Allah yang ciptakan, tinggal lagi pilihan di tangan kita. Jika kita buat baik balasannya baik; jika kita buat jahat balasannya tentulah hukuman. Mati bunuh diri atau mati kerana sakit semuanya dengan izin Allah tapi ingat! bila orang tu bunuh diri bermakna Allah cipta perbuatan tu tapi orang tu yang pilih dan bunuh diri natijahnya dosa besar.

Tentang balasan di akhirat; Allah akan ulangi apa yang berlaku di dunia, ingat semasa nabi Isra' mi'raj; nabi nampak manusia yang disiksa salah satunya hantuk kepala ke batu, sebaik sahaja berkecai Allah cantumkan seperti asal kemudian hantuk lagi, bila ditanya kenapa? Itu untuk orang-orang yang tak solat. Menurut ustaz  kepala yang dihantuk bukan anggota lain ialah kerana solat ni amalan berfikir. Semua orang mampu buat tapi kenapa tak nak buat. Solat tak seperti zakat yang perlukan duit, haji yang perlukan tenaga dan wang, puasa juga perlu sihat tubuh badan tapi solat bila sakitpun kena buat. Jika tak nak buat maknanya meringan-ringankan arahan Allah, otaknya yang kata tak perlu buat; saja-saja tak nak buat. Sebab itulah kepalanya yang dihantuk. Inilah pengulangan yang dimaksudkan, sunnatullah tak berubah..

Kemudian nabi berjalan lagi nampak pula orang yang potong lidah, lidah cantum kemudian balik potong lidahnya; perkara ni berlaku berulang-ulang . Ini kesalahan yang amat berat iaitu bercakap tak serupa bikin.
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (As-Saff 61:2 - 3)
Tentang harta pula Allah sebut dalam surah at-Taubah bahawa dahi, rusuk dan belakang diseterika. Harap dapat baca di link yang diberi ini, jika tulis di sini lagi panjanglah N3 kali ni. Ini menunjukkan apa yang akan berlaku di akhirat kepada orang yang bakhil sama seperti yang berlaku di dunia. Biasanya manusia bila didatangi peminta, reaksi mula-mula yang ditunjukkannya ialah dahi, berkerut-kerut menunjukkan tak suka orang datang meminta kemudian berpaling kiri atau kanan dan seterusnya membelakangi peminta.

Daripada sini kita faham bahawa apa yang kita buat di dunia; akan diulangi di akhirat seperti yang diterangkan serba sedikit tadi. Allah beri balasan tentang apa yang kita buat bukan tentang apa yang kita minta. Jadi bila kita minta nak masuk syurga dan nak jauh daripada neraka maka amalan kita perlulah sesuai dengan syarat-syarat yang Allah letakkan.. jangan pula kita minta nak masuk syurga tapi amalan kita macam tak sabar-sabar nak masuk neraka (wal'iyazubillah).

Bagi yang buat baik pula elok kita lihat apa yang Allah ceritakan dalam surah al-Waaqi'ah, Allah berikan balasan kepada orang-orang yang menyebarkan salam, maknanya yang berbuat baik kepada sesama insan semasa di dunia, maka di akhirat mereka berada dalam syurga berhadap-hadapan, tak ada perkataan buruk selain perkataan baik-baik, masing mengucapkan salam. Sama tak apa yang berlaku di sana dengan di sini? jadi bila nak dapat yang baik maka kebaikan jugalah yang perlu kita buat. Kalau di dunia tak berupaya nak sebarkan salam, nak bagi kesejahteraan kepada orang maka tak dapatlah ucapan salam di sana nanti.

Sekian semoga memberi manfaat.

10 comments:

Abd Razak said...

Assalamualaikum Kak Werdah..:)

Moga kakak sentiasa dalam limpahan kasih sayang Allah SWT serta dikurniakan~Nya kesihatan yang berpanjangan...aamiin

Subhanallah, indahnya nama Allah sesuai dengan kebesaran~Nya, Dialah Maha Pencipta.

Tak boleh saya bayangkan balasan Allah kepada hambanya di akhirat kelak, kerana bila cakap mengenai amal yang baik balasannya amat besar dan begitulah di sebaliknya azabnya amat pedih.

Terima kasih Kak!

atie said...

Salam kak werdah...

baru baca separuh nanti sambung lagi...

Werdah said...

>>Abd Razak

Wa'alaikumussalam wrt wbt

Terima kasih kerana sentiasa mendoakan kak di sini. Semoga dirimu juga sentiasa dalam limpahan kasih sayang dan redha Allah SWT .. Amiin.

Begitulah kasihnya Allah kepada kita, disuruh kita bayangkan betapa banyaknya rahmatnya, jika baik berganda-ganda balasan baik dan jika buruk amat pedih seksaannya. Biarpun kita tak pernah lihat dan dengar tapi kita diminta bina keyakinan melalui nama-namaNya (asmaul husna) bahawa ALLAHlah Maha segala-galaNya.

Kita mohon agar Allah bagi kekuatan untuk kita raih yang baik... amiin

Werdah said...

>>atie

Wassalam

Panjang sangat ya...itupun ada lagi yang berbaki belum tertulis.. tak mengapa, mudah-mudahan Allah berikan kemudahan buat atie datang lagi membacanya.. insyaAllah

Terima kasih atie

Anonymous said...

Assalamualaikum Kak Werdah
Semoga akan sihat.

Pendek katanya apa yang kita lakukan di dunia ini, itulah yang akan kita dapat balasannya di akhirat.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ani

Alhamdulillah kak sihat.. semoga Ani juga sihat di sana.

Itulah kan Ani, Allah jadikan makhlukNya berpasang-pasangan semuanya.. dan kita diberi dua pilihan kita kena pilih satu..

dan Allah memberikan peringatan serta khabar gembira melalui nama-namaNya; sifat-sifatNya dan itulah hikmahNya barangkali supaya kita bijak buat keputusan.. Allah Maha Bijaksana.

LadyBird said...

salam akak..

sunnatullah memang tidak akan berubah andai Allah tidak merubahnya..

subhanallah.. suke entry ini.. perbincangan yang luas.. mula2 ingt sal sunnatullah jerk.. tp merangkumi semua.. terima kasih kak atas ilmunya.. panjang tp intipatinya sangat2 banyak.. tp bile byk2 tak leh nak fkus sgt kak.. otk lady jadi blur..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Lady

Benar tu dik.. seperti Maryam melahirkan Nabi Isa as, Nabi Ibrahim tak terbakar dan banyak lagi..

Maaflah ya.. nanti jika berpeluang menulis lagi kak nak cuba rengkaskan.. InsyaAllah

Terima kasih kerana membacanya.. :)))

Anonymous said...

Assalamualaikum Kak,

Tarikh N3 ni hari lahir saya.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ani

Ya ke.. semoga bertambah keberkatan dalam penambahan usia ya Ani..

Related Posts with Thumbnails