Friday, November 9, 2012

Al-Muntaqimu

Sumber

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluaraga dan para sahabat serta pengikut setia.

Hari ini mencatat serba sedikit hasil dengar kuliyah tentang asmaul husna. Al-Muntaqimu, nama Allah asmaul husna yang ke 81. Kalimah arab ini terambil daripada huruf nun qaf dan mim (naqama, intaqama, yantaqimu) yang makna asalnya/makna harfiyah ialah:

1)  Tidak menyetujui sesuatu
2)  Memberikan sesuatu dengan kemarahan
3)  Membalas kejahatan

Jadi maknanya al-Muntaqimu sebagai nama Allah ialah : Allah zat yang tidak menyetujui sesuatu balasan seksa yang diberi terhadap kejahatan hamba kerana Allah menganggap itu adalah sesuatu yang memberikan keburukan. 

Allah membalas kejahatan hamba dengan seksa bagi kejahatan yang dilakukan oleh hamba ialah intiqaam.

Walaupun Allah menurunkan bencana contohnya tsunami ataupun taufan sandy di AS pada beberapa hari yang lepas namun kita tidak boleh menganggap itu sebagai balasan kejahatan. Ini boleh jadi intiqaam kepada sebahagian namun pada sebahagian yang lain bencana itu mungkin merupakan nikmat. Allah adalah ar-Rahman jadi bila ditimpakan bencana atau musibah tidaklah boleh kita katakan 100% Allah murka/intiqaam. 

Sekali Allah timpakan bencana pasti banyak tujuannya, mungkin intiqaam dan mungkin nikmat. Allah Maha Pengasih. Bencana ni sebenarnya tak elok namun Allah tetap Maha Pengasih.

Disebabkan nama ini memberi makna yang tidak baik maka kita tidak temukan kalimah sebagai nama Allah al-Muntaqimu dalam al-Quran. Yang kita temukan dalam bentuk jamak iaitu muntaqimun diulang sebanyak 3 kali tiada dalam bentuk mufrad, tiada dalam bentuk musanna, 6 kali dalam bentuk feel madhi dan 1 kali dalam bentuk feel mudhari'

Mengapa al-Muntaqimu sebagai bentuk mufrad (nama Allah tidak ditemukan dalam al-Quran)?

Allah memang bersifat muntaqim. Kenyataan ini benar, namun Allah mengajar kita kesopanan atau adab terhadap Allah SWT. Allah mengajar kita jika ada keburukan yang berlaku di dunia, walaupun Allah yang mencipta; jangan kembalikan (menisbahkan) kepada Allah. Wajib dikembalikan kepada Allah perkara yang baik-baik sahaja. Contoh yang paling mudah Allah ajar kita ucap yang baik-baik terdapat dalam apa yang kita ucapkan dalam solat sekurang-kurangnya 17 kali iaitu:
Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang telah dimurkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (Al-Faatihah 1 : 6-7)
Dalam ayat di atas Allah ajar kita sebut yang baik iaitu nikmat kita nisbahkan kepada Allah. Allah tidak ajar kita sebut jalan orang-orang yang Engkau murkai  dan orang-orang yang Engkau sesatkan sebaliknya Allah ajar kita sebut jalan orang-orang yang telah dimurkai dan jalan orang-orang sesat (walaupun Allah yang  memurkai dan menyesatkan). Mereka dimurkai dan sesat adalah disebabkan perbuatan sendiri/pilihan sendiri). 

Jadi sebab itulah tidak ada kalimah muntaqimu sebagai nama Allah. Yang ada dalam bentuk jamak 3 kali. Dalam ayat di atas juga Allah menyebut dalam bentuk jama'. Kenapa Allah gunakan dalam bentuk jamak? Jawapannya menurut pakar bahasa arab dan al-Quran ialah; untuk menerangkan perbuatanNya; itu nak menunjukkan bahawa Allah melibatkan makhluk dalam melaksanakan perbuatanNya.

Ini samalah seperti apabila Allah kata "Kami memberi rezeki". Allah tak pernah kata Aku beri rezeki. Maknanya Allah melibatkan malaikat yang menurunkan hujan, angin yang bertiup dan sebagainya. Berbeza dengan kalimah taubat. Allah selalu kata "Aku menerima taubat" tidak kata "Kami menerima taubat". Ini kerana masalah taubat Allah tak libatkan makhluknya kecuali Dia dan orang yang bertaubat.

Jadi ketika Allah nak memberikan balasan; bila Allah muntaqim, Allah melibatkan makhluk lain, paling tidak malaikat, mungkin angin, semut, kuman, virus dan lain-lain ( ini semua adalah tentera Allah).

Contoh : dalam ayat berikut, Allah sebut Inna tidak Inni:

A022

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas. (As-Sajdah 32 : 22)
Bila Allah nyatakan Dia membalas siksaan, Dia hanya memberi balasan selepas diberikan peringatan atau teguran. Teguran pula berulang-ulang, bila diengkari barulah Allah membalasnya dengan siksaan. Siksaan hanya akan berlaku di akhirat bukan di dunia. Di dunia ini sekeras manapun, sedahsyat manapun bencana masih ada kasih sayang Allah. Tenggelam dalam tsunami tidak sama terbakar di dalam api neraka.


Kesimpulan penting bagi nama al-Muntaqimu ini ialah:

1) Kita tidak menemukan dalam al-Quran al-Muntaqim sebagai nama Allah; ini memberi kesan makna bahawasanya apabila al-Muntaqim ini dinisbahkan kepada Allah SWT ia tidak menimbulkan istilah sesuatu yang kurang baik terhadap Allah SWT sebab makna al-Muntaqim ialah yang Maha Mengancam/Memberi Ancaman; yang Maha Menimpakan balasan sedangkan biarpun Allah SWT yang akan menimpakan balasan, balasan itu dilakukan demi kasih sayangNya. Kalimah al-Muntaqim dalam bentuk mufrad tidak ditemukan dalam al-Quran, yang ada hanya dalam bentuk jamak adalah untuk menunjukkan bahawa ketika Allah SWT hendak menimpakan balasan kepada hambaNya yang patut diazab Allah akan melibatkan makhluk lain untuk melaksanakannya contohnya para malaikat.

2)  Sifat Allah al-Muntaqim ini atau ancaman hendak menimpakan balasan dalam al-Quran semuanya berkaitan dengan pembalasan pada hari kiamat kelak sama ada dalam bentuk mudhari', bentuk madhi atuapun dalam isim jamaknya. Ancaman seksa ini semuanya berkaitan dengan balasan yang akan dilakukan di akhirat. Itupun ancaman tadi diberikan oleh Allah SWT setelah manusia berulang-ulang kali melakukan kejahatan dan berulang-ulang kali pula mereka diberikan peringatan bahkan berulang-ulang kali juga Allah memberi kemaafan. Berdasarkan kepada pemahaman seperti ini; memang sepatutnyalah hamba seperti ini diancam dengan balasan yang keras. Pertama pernah diberikan peringatan, kedua kerana telah dimaafkan kerana telah bertaubat tapi dibuat sekali lagi.


Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 95

 عَفَا ٱللَّهُ عَمَّا سَلَفَ‌ۚ وَمَنۡ عَادَ فَيَنتَقِمُ ٱللَّهُ مِنۡهُ‌ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ۬ ذُو ٱنتِقَامٍ (٩٥)

Maksudnya; 
"Allah maafkan apa yang telah lalu dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa". (95)

3)  Disebabkan al-Muntaqim adalah tentang ancaman balasan seksa, kadang-kadang Allah tunaikan kadang-kadang Allah tidak tunaikan.

Jadi berbeza dengan wa'dun (janji kebaikan/pahala/syurga/keampunan) pasti Allah tunaikan, tapi bila balasan itu merupakan ancaman/azab kadang-kadang Allah tunaikan kadang-kadang Allah tidak tunaikan.


Sekian, mudah-mudahan menambah ilmu.

9 comments:

Abd Razak said...

السلم عليكم ورحمة الله

Moga kakak sentiasa dikurniakan Allah SWT kebaikan yang banyak dan dalam rahmat kasih sayang~Nya...aamiin

Begitu teruja saya membaca nota kakak kali ini, ia dapat memberi kefahaman yang bermakna dalam memahami nama Allah.

Terima kasih kak..:)

aby said...

salam k werdah ..
aby tertarik dgn istilah Kami ..
tentang kerajaan Allah yg pusat pentadbiran nya Sidratul Muntaha ..
wlupun tanpa malaikat2 seperti raqib dan atid, allah masih tau apa yg kita buat dan apa yg hati berkata, namun dgn kementriannya semua semua malaikat diberi portfolio2 sendiri ..
tanpa malaikat ni allah pun masih boleh berkata Aku, bukan kami ...

aby said...

teringat aby seorg alim bg tau tentang bencana allah saw ..
kematian adalah langkah pertama utk menuju kpd nya , dan utk melihat hasil daripada amalan dan usha didunia ..
dgn bencana , ramai dapat dejemput balik menemuinya utk melihat amalan baik nya berbanding dengan kematian biasa seorg demi seorg ..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Abd Razak

Terima kasih atas doamu.. semoga dirimu juga beroleh kebaikan yang banyak dan dalam rahmat kasih sayang Allah SWT...aamiin

Syukur kerana dapat juga mengongsikan apa yang telah didengar. Syukur kerana diberikan kekuatan mencatat. Hanya sedikit perkongsian..semoga bertambah pengetahuan pembaca yang sudi membaca . Apa-apapun doa-doa sahabat-sahabat memberikan motivasi..

Bila dengar huraian tentang asmaul husna ni, banyak betul yang tak pernah diketahui. Semua 99 nama tu terkandung dalam ALLAH itu sendiri. ALLAH tu menghairankan, tiada nama seperti itu bagi makhluk lain jika kita buang salah satu hurufnya mula dengan alif namanya tetap Allah.

Bila kita nak seru Ya Allah atau Wahai Allah kita kata Allahumma tapi nak seru nama lain tak dapat kita nak kata ma dibelakangnya.. Allah Maha Segala Kemuliaan.

Terima kasih kembali :))

Werdah said...

Wa'alaikumussalam aby

Itulah Allah...Dia an-Naafi' ad-Dhaar (mendatangkan manfaat dan mudharat) .. Dia Hayyu Qayyum (mentadbir bersendirian)

Sesetengah pakar bahasa Arab dan al-Quran mengatakan bahawa Kalimah Allah daripada A LA HA maksudnya menakjubkan, mengahirankan kerana semakin kita memikirkanNya kita semakin rasa kagum, semakin mengkaji segala ciptaanNya semakin bertambah kagum kepadaNya. Jadi tidak hairanlah jika para pengkaji bukan Islam bila mengakaji alam semesta ramai yang memeluk Islam.

Pemilihan kalimah dan kosa kata firmanNya juga mengagumkan hingga penyair dan sasterawan terkemuka pada masa-masa kalamNya disampaikan kepada Nabi Muhammad tidak dapat mengarang sepertinya walaupun pernah mencuba.

Tentang bencana tu betullah ia musibah buat sesetengah orang dan barangkali nikmat bagi sesetengah orang sama seperti yang Allah ajar kepada Nabi Musa as melalui Nabi Khidir as.

Allahua'lam.

Terima kasih aby

ngasobahseliman said...

Salam Werdah. Akak banyak tak faham mendalam tentang semua nama Allah. Bersyukur dapat perkongsian. Doakan akak sentiasa tambah Ilmu.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam kak

Saya pun kurang ilmu kak.. dah pencen baru dapat belajar sikit-sikt, sambil santai (baring dan tulis sikit-sikt di buku catatan).

InsyaAllah kak, doa saya untuk kak.

Sama-sama kita dapatkan ilmu daripada orang-orang alim. Sekarang banyak kemudahan kan, cuma saya tak dapatlah nak berkunjung ke taman-taman syurga secara live.

Semoga Allah mengampuni.

Makbonda61 said...

Assalamualaikum,

"Di dunia ini sekeras manapun, sedahsyat manapun bencana masih ada kasih sayang Allah. Tenggelam dalam tsunami tidak sama terbakar di dalam api neraka."MasyaaAllah.

Saya membaca berualangkali Post ini,baru sedikit jelas,Alhamdulillah dengan perkongsian.

Jazakillahikhairankathira

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Hasimah

Begitulah kasih sayang Allah.. rahman dan rahimNya di dunia dan di sana.. di sana hanya ada "Maaliki" iaitu Maaliki yaumiddin. Itulah keadilan Ilahi. Dia tidak menzalimi sebaliknya kitalah menzalimi diri sendiri..

Related Posts with Thumbnails