Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala yang
mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu
banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.
Selawat serta salam buat junjungan mulia
Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang
yang istiqamah mengikuti Baginda.
Hari ini sambung tulis tentang nama Allah Al-Quddus iaitu nama Allah yang keempat
dalam asmaul husna.
Dalam N3 lepas dinyatakan bahawa Quddus membawa makna suci. Al-Quddus
maksudnya kesucian yang tidak menimpa padanya perubahan, kekotoran, sebaliknya
terus menerus dalam keadaan suci iaitu tersuci dan bersih daripada segala cacat
cela dan kekurangan, bebas daripada segala kesilapan, kealpaan dan tidak
berkeupayaan atau kurang kesempurnaan.
Allah Subhanahu wa ta'aala mempunyai sifat quddus. Dalam
perbuatan Allah, dalam Zat Allah dan dalam sifat-sifatNya pasti ada 3 unsur iaitu: Benar, indah dan baik.
Allah berfirman:


"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) saja-saja (suka-suka/ sia-sia) dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"(Al-Mu'minuun 23:115) Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia".(Al-Mu'minuun 23:116)
Di sini Allah menyatakan bahawa segala
ciptaanNya adalah hak dan Allah Subhanahu wa ta'aala mencipta langit, bumi dan segala isinya
bukan suka-suka tetapi adalah al-haq/benar. Dalam surah al-Mulk ayat 3 pula;
Allah mencabar kita kalau-kalau kita dapat mencari cacat cela dalam
penciptaanNya.
"Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? "(Al-Mulk 67:3)
Amalan kita pula mungkin sudah benar tetapi
belum tentu baik (menyampaikan nasihat tetapi dengan cara yang tidak betul),
mungkin sudah baik tetapi belum tentu benar. Baik diukur dengan akhlak manakala
benar diukur dengan agama. Jika setiap perbuatan itu benar, indah dan baik
barulah dikira suci.
Islam amat menitikberatkan keindahan. Kita
pasti selalu mendengar kisah seorang sahabat yang datang ke majlis Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan keadaan rambut kusut masai, janggutpun tak terurus lalu nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan kepadanya. Sahabat itu pula faham lalu pulang dan memperkemaskan
dirinya dan datang semula ke majlis nabi. Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam terus memberikan komen bahawa
bukankah itu lebih baik daripada kamu datang berjumpa sahabat dalam keadaan
kusut masai seolah-olah syaitan. Nabi tak menegur solatnya tetapi nabi tegur
tentang estiteka. Banyak lagi kisah-kisah seperti ini yang telah diketahui
ramai berlaku di kalangan para sahabat.
Makna al-Quddus ialah Maha Suci.
Ada perbezaan antara Qa Da Sa dan Sa Ba Ha.
Kedua-duanya bermaksud suci.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih (mensucikanMu) dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (Al-Baqarah 2:30)
Dalam ayat di atas ada "NUSABBIHU" dan "NUQADDISU"
Kedua-duanya bermaksud mensucikan tetapi mengapa ada DUA istilah dalam ayat itu?
Jawapannya ialah, TASBIH ialah mensucikan Allah Subhanahu wa ta'aala dengan menjauhkan perkara-perkara yang tak layak bagi Allah. Untuk menambah kefahaman tentang ini elok baca Bertasbihlah Mensucikan Nama Tuhanmu
Makna asal SABAHA ialah berenang, sebab orang berenang akan semakin jauh daripada tempat dia bermula.
Dalam surah Yasiin hujung ayat 40, maksudnya beredar / bergerak semakin jauh.
وَكُلٌّ۬ فِى فَلَكٍ۬ يَسۡبَحُونَ
(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. (Yaa Siin 36:40)
Apabila kita bertasbih kepada Allah Subhanahu wa ta'aala kita hendaklah bersangka baik kepada Allah jika sebaliknya maka kita tidak
dikatakan bertasbih. Jadi bila ucap Subhaanallah dengan berburuk sangka maka
subhaanallah yang diucapkan itu sudah tidak ada maknanya lagi.
Dalam ayat al-Quran perintah mensucikan
Allah Subhanahu wa ta'aala dengan kalimah SABBIH banyak kali namun tidak ada perintah mensucikan
Allah Subhanahu wa ta'aala dengan kalimah QADDIS.
Kenapa begitu?
Ini kerana kita hanya dapat menghilangkan
sifat tak baik kepada Allah Subhanahu wa ta'aala tetapi kita tak berupaya / tak mampu memberikan
sifat yang sesuai kepada Allah Subhanahu wa ta'aala Kalau kita nak memberikan nama kepada Allah Subhanahu wa ta'aala kita tak mampu. Allah yang memberikan namanya sendiri.
Mudah-mudahan sedikit sebanyak membantu
kita menambah kefahaman dalam asmaulhusna.