Saturday, April 16, 2011

Berfikir Sejenak - Menjawab Persoalan Tentang Firman Allah SWT

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang sesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.

Dalam satu siri kuliyah berkenaan iyyaka na'budu waiyyakanasta'iin إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ; ustaz ada menyuruh ahli jemaahnya berfikir sejenak mencari jawapan kepada persoalan yang dikemukakan oleh seseorang kepada beliau lama dulu; (menurut beliau seorang pelajar yang menuntut di sebuah universiti di luar negara).

Soalannya ialah:

Bagaimana nak memahami bahawa iyyaka na'budu waiyyakanasta'iin إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ yang bermaksud "Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan". Perkataan atau kalimah-kalimah tersebut adalah firman Allah, Allahlah yang mengucapkannya. Malah Al-Quran adalah 100% perkataan atau qalam Allah; sedikitpun tak bercampur dengan ucapan atau perkataan orang lain. Semuanya milik Allah. Lalu bagaimana nak faham bila Allah kata Engkaulah sahaja Yang Kami Sembah (Ini Allah yang kata, lalu kepada Tuhan manakah Allah sembah? Dan kepada Tuhan manakah Allah mohon pertolongan? Engkau itu siapa?)

Tanpa menunggu jawapan daripada para jemaah, ustaz memberikan jawapan kepada persoalan ini iaitu:

Al-Quran adalah 100% firman Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Quran terbahagi TIGA kategori.

Pertama : Kalimat itu adalah firman-firman Allah SWT sekaligus Allahlah yang mengucapkannya dan Allahlah yang memiliki ucapan itu, Contohnya sangat banyak. Antaranya ialah:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (Al-Baqarah 2:30)

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)". (A-li'Imraan 3:195)

Kedua : Al-Quran adalah firman Allah/kalimat Allah tetapi pengucap pertama adalah makhlukNya, yang disampaikan atau diucapkan semula oleh Allah SWT (Allah ceritakan semula). Contohnya ialah:

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah 9:40)

Dalam ayat di atas ungkapan "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita" - Ini Allah yang ucap, namun pengucap pertama ialah Nabi kita Nabi Muhammad SAW ditujukan kepada Abu Bakar ra. Banyak lagi antara contohnya;

Berkatalah Ketua-ketua daripada kaum Firaun: "Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir. (Al-A'raaf 7:109)

Dan Firaun pula berkata: "Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta". (Al-Qasas 28:38)

Kalimat-kalimat dalam ayat-ayat contoh di atas, Allah yang susun bukannya Nabi Muhammad dan juga Firaun yang menyusunnya.


Ketiga :  Al-Quran adalah firman Allah dan Allahlah pemiliknya dan Allahlah pengucapnya tetapi ucapan itu menjadi pengajaran kepada mukhattab (kita) yang jadi orang yang dilawan berbicara. Ini supaya kita dapat belajar mengucapkan sebagaimana yang Allah ajarkan kepada kita untuk mengucapkannya. Contohnya ialah:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ yang bermaksud "Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan" dan banyak lagi seperti 

"Aku mohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam"..


"Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;) (Al-Ikhlaas 112:1 dan banyak lagi.

Menurut ustaz; kategori ketiga inilah yang paling banyak. Ini seperti seorang guru mengajar pelajarnya satu persatu dan pelajar ikut mengucapkan apa yang dituturkan oleh gurunya.

Kata ustaz lagi; ada juga orang yang keliru tentang ayat ini, bila Allah kata ; "Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan". seolah-olah ada Tuhan lain selain Allah dan Allah menyembah dan memohon pertolongan daripada Tuhan lain.. Subhanallah.

Mudah-mudahan menambah pengetahuan kita dan dapat membantu kita untuk menjawab bila persoalan ini diajukan kepada kita.

22 comments:

Ros Illiyyuun said...

Assalamualaikum

Alhamdulillah,entri ini amat bermanfaat.

Walaupun keyakinan terhadap al-Qur'an sebagai kalam Allah tidak pernah ragu di hati, namun pening juga mahu menerangkan kepada yang kurang memahami.

Dengan entri ini, insyaAllah dapat disebarluaskan lagi agar semua umat Islam (juga bukan Islam-insyaAllah) akan dapat menerima al-Qur'an sebagai kalam Allah secara total. InsyaAllah.

Jazakillah.

Abd Razak said...

Assalamualaikum Kak Werdah...

Moga kakak sihat hendaknya serta sentiasa dalam redha Allah Taala.

Sesungguhnya al-Qur’an adalah kalam Allah, dari~Nya ia muncul sebagai perkataan, tanpa boleh dipertanyakan kaifiyah (bentuk)nya. Allah telah turunkannya kepada Rasul~Nya sebagai wahyu. Kaum Mukminin mempercayai al-Quran benar-benar demikian keadaannya, dan mereka meyakini bahawa al-Quran kalam Allah yang sebenarnya; ia bukan makhluk seperti perkataan manusia.

zulkbo said...

Salam Kak..
moga selalu sihat dan di berkati
Allah jua hendaknya..perkongsian yang berguna memberi kefahaman bahawa tiada yang lain melainkan kembali kepada Al Quran dan sunnah dalam membentuk keperibadian seorang muslim sejati..jazakallah khairan..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ros

Alhamdulillah, kita tak pernah ragu, kita beriman dengan kitabullah. Namun ada sesetengah orang inginkan penjelasan bila mereka mengkaji kalam-kalam Allah, lalu dengan penjelasan ustaz ni dapatlah memudahkan kita menerangkannya jika ditanya soalan yang serupa.

Diharapkan perkongsian ini memberi manfaat. InsyaAllah dengan pertolongan Allah jua. Amiin.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Abd Razak

Kak alhamdulillah 'ala kulli haal. Tidak bertambah mudharat, dapat juga duduk menghadap komputer dan menulis sikit-sikit. Syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaanNya. Semoga Abd Razak juga sihat dan sentiasa dalam rahmatNya.

Alhamdulillah, dengan mempelajari dan mengenali bentuk-bentuk kalimah Allah di dalam kitabNya kita menerima sepenuh hati tanpa mempersoalkannya. Harapan kita, ialah agar kita dengar dan taat sebagaimana Nabi-nabi dan Rasul-rasul terdahulu.

Diharapkan dengan penjelasan ini; orang-orang yang keliru atau yang tidak memahaminya dapat menjadikannya sebagai sesuatu yang memadamkan kekeliruannya. InsyaAllah.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Zul

Alhamdulillah kak sihat dan tidak bertambah mudharat. Terima kasih mendoakan kak di sini.

Alhamdulillah kerana Allah mengajarkan kita sehingga apa yang patut kita ucapkan dalam solat / doa dan apa-apa sahaja yang ingin kita lakukan dengan kalamNya. Syukur kerana kita diberikan taufik dan hidayah. Semoga kita kekala di atas jalanNya sehingga sampai kepadaNya.. Amiin

Anonymous said...

Assalamualaikum Kak Werdah,

Semoga akak sihat.

Saya singgah baca. Nanti saya singgah lagi.

terokai seni said...

Assalamualaikum

info yang baik, kekadang musuh Islam menggunakan taktik begini untuk kelirukan umat Islam, namun soalan tu memberikan semangat untuk kita lebih menggali mukjizat al-Quran

ummu said...

assalamualaikum kak werdah
apa khabar kak?semoga sihhat sejahtera.
alhamdulillah,jazakillah atas tazkirah akak ni.amat kena dgn apa yg berlaku sya hari ini.

Werdah said...

Assalamu'alaikum Ani

Alhamdulillah kak sihat.. tadi ke Hospital TAR di Klang.. injection proloteraphy lagi.. mulanya doktor nak ulang buat radiofrekuensi tetapi kak menolaknya..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam cemomoi

Alhamdulillah, syukur kerana ada ustaz yang mahu menyebarkan ilmunya, jika tidak teraba-raba juga mencari jawapannya..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam ummu

Alhamdulillah syukur.. seperti yang makci khabarkan.. semoga ummu juga sihat dan tabah dalam menghadapi kehidupan.. semoga sentiasa dalam limpahan rahmat kasih sayangNya..amiin

ainhany said...

salam kak,a

alhamddulillah...legaa bila dengar kata akak dah semakin sembuh dan boleh buat sikit2 keje..tak per laa buat setakat terdaya anggap jer sebagai terapi/...

Ain da baca info nie..betapa ia amat2 dikagumi..betapa bertuahnya jika kita saling mnjadikan ilmu sebagai sandaran dan kembali kepada quran...banyaknya ain tak tahu...maalunya mngadap ALLAH...Doakan ain yer kak muga mantap ilmu dan amal

Anonymous said...

Assalamualaikum Kak Werdah,

Semoga akan sihat. Terima kasih kak kerana sudi berkongsi perkara yang sangat penting ini supaya kita tidak keliru.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ainhany

Alhamdulillah, la hawla walaa quwwata illa billaah.

InsyaAllah makcik doakan Ain sentiasa dalam rahmat kasih sayang dan diredhai Allah. Semoga ilmu yang bertambah dapat kita amalkan untuk kebaikan kita juga.. insyaAllah, kepadaNYa kita bermohon. Amiin

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ani

Berkat pertolongan Allah jua kita diberikan nikmat.. semoga kita sentiasa berada di atas jalan petunjuk, akan disinari cahaya dan dapat amalkan apa yang kita pelajari, insyaAllah.

Terima kasih atas doa yang selalu dipohon semoga Ani juga diberikan kekuatan dan kesihatan. Ammin

aby said...

salam k werdah,
memang banyak tuhan2 lain yg wujud,
tuhan hindu saja dah banyak..
tp Tuhan segala tuhan tuhan ni tetap
Allah SWT ..

2.“Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
[3]
“Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
[4]
“Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

Al-Ikhlas

Unknown said...

Assalamualaikum wbth...
su manje singgah buat pertama kalinya...
salam kenal dari sumanje

Werdah said...

Wa'alaikumussalam aby

Tuhan bentuk berhala memang banyak.. dan tuhan bentuk abstrakpun banyak contoh niat kita tidak lillahi ta'aala.. atau jika kita anggap bila kita tak berduit hidup jadi susah, jadi kena usaha keras untuk cari duit, atau makan tidak berniat untuk ibadah.. tapi bagi orang-orang yang tak mahu mengaku Uluhiyah Allah mereka peduli untuk katakan siapakah Tuhan yang disembah Allah Yang Esa itu.. Semoga kita dilindungi daripada berbuat demikian.

Werdah said...

>>sumanje

Wa'alaikumussalam warahmatullah wabarakaatuh.

Salam kenal juga.. terima kasih singgah.

Makbonda61 said...

Assalamualaikum.

Semoga Allah membalas kebaikan anda,mengongsikan ilmu yang sangat bermunafaat. Teruskan.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Makbonda

Terima kasih kerana mendoakan kak di sini. Semoga Allah memberikan kita semua kekuatan dan kesihatan insyaAllah bolehlah sambung menulis sikit-sikit.

Related Posts with Thumbnails