Wednesday, June 8, 2011

"Dan apabila aku sakit DIA yang menyembuhkan"

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. 

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.





Alhamdulillah semalam (7hb jun 2011) buat beberapa prosedur dengan Dr Murali di Hospital Klang (Bahagian Paint Management) bagi pesakit kronik. Doktor yang memperkenalkan Dr Murali kepada saya ialah Dr Nizar Abdul Jalil (HUSM Kubang Kerian). (terima kasih ya Dr Nizar).  Akan menemui beliau lagi akhir bulan nanti insyaAllah. Kita berusaha Allah menentukan. "Dan apabila aku sakit DIA (Allah) yang menyembuhkan".

Ikhtiar dalam perkataan 'Arab sebenarnya bermaksud pilihan yang selalu kita terjemahkan sebagai berikhtiar atau berusaha, Sama ada kita berusaha atau tak berusaha itulah  pilihan kita. Bila sembuh atau tak sembuh itu qadar dan qadha'. Kita hanya tahu sama ada sakit kita sembuh atau tak hanya selepas kita buat pilihan. Ada orang berusaha berubat dan sembuh serta ada yang tidak, ada pula tidak berusaha untuk berubat tapi sembuh juga. Sama ada kita sembuh atau tidak dalam dua-dua pilihan itu, adalah dengan kehendak Allah dengan hikmahNya. Dua-dua pilihan ini adalah takdir Allah. Jika kita berusaha berubat bukan bermaksud kita lari daripada takdir Allah tetapi kita berada dalam takdir Allah sebagaimana kisah Saidina Umar Ibnul Khattab dalam perjalanan ke Syam bertembung dengan Abu Ubaidah bin Jarrah.

Berubat mencari rawatan bagi segala penyakit yang dialami bukanlah usaha yang bertentangan dengan qadar dan qadha' Allah SWT malah berusaha mengubah daripada yang tak baik kepada yang baik itu adalah selari dengan ketentuan Allah. Kalau dikatakan menolak qadha', itu adalah benar kerana usaha boleh menolak Qadar dan Qadha' Allah untuk mendapatkan qadar dan qadha' Allah yang lain sebagaimana dalam penjelasan kisah saidina Umar sebelum ini.

Bukan sekadar usaha berubat malah apa-apa ikhtiar sekalipun, contoh bodoh nak jadi pandai, susah nak jadi senang semuanya itu tidak bertentangan dengan ketentuan Allah. Orang yang rajin berusaha itulah yang selari dengan ketentuan Allah. Justeru yang tidak berusaha contohnya : "Ya lah buat apa nak berubat, dah Allah takdirkan aku begini, aku sabar je lah".  Ini tidak benar kerana selagi pintu usaha masih terbuka manusia wajib berusaha walaupun kadang-kadang dengan kaedah menurut sunnatullah seolah-olah tidak berjaya.


"Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak". (Maryam 19:25)

Begitulah Allah menyuruh Maryam yang dikasihi Allah, selepas Maryam bersalin melahirkan nabi Isa as berada dalam kesedihan, ketakutan serta lapar dan dahaga, Allah suruh goncangkan pokok tamar. Pada ketika itu Maryam sangat lemah. Pada masa Maryam masih remaja segala nikmat diberikan tanpa berusaha, ertinya pada ketika itu Allah berkehendak Maryam tidak perlu berusaha, mengapa ketika berada dalam keadaan lemah Allah menyuruhnya berusaha. Ini nak menunjukkan bahawa Allah suruh berusaha selebihnya Allah yang uruskan. Maryam tak boleh kata ya Allah! aku lemah. Rupa-rupanya bila Maryam goncangkan sedikit sahaja dengan tenaganya yang lemah buah tamar luruh. Subhanallah! Dengan sedikit tenaga Allah bantunya.

Orang yang berputus asa sebenarnya dia ada peluang untuk berusaha tetapi dia tak mahu. Ini dikatakan zalim atau kufur.

"Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir". (Yusuf 12:87)

23 comments:

Ros Illiyyuun said...

Assalamualaikum...

Shafaakillah ya ukhtie al-mmahbubah.

Abd Razak said...

Assalamualaikum Kak Werdah..

Moga Allah limpahkan kesihatan buat kakak dan kesembuhan pada penyakit yang kakak alami...amin

Makbonda said...

Assalamualakum,
Semoga kak Werdah sentiasa diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini.

cemomoi said...

assalamualaikum kak werdah

moga tabah atas ujian Allah... hanya orang yang sakit tau tentang penderitaan, kami yang sihat ni hanya mampu memujuk... ada ganjaran di sisi Allah bagi orang yang sabar dan redha... moga cepat sembuh!

Kamsiah said...

salam kak werdah
penyakit yg datang,menguji ketabahan dan keimanan kita..

werdah said...

Wa'alaikumussalam Ros

Terima kasih ya atas doamu.. semoga kita semua dikasihi dan disyangiNya.. Amiin

werdah said...

Wa'alaikumussalam Abd Razak

Allahumma amiin, semoga doa kita semua dimakbulkan, insyaAllah.

werdah said...

Wa'alaikumussalam Makbonda

InsyaAllah, kepadaNya kak bermohon semoga tetap diberikan kekuatan.

Juga berdoa semoga akan ramai doktor muslimah yang mempelopori bidang perubatan supaya kita yang permpuan ni dapat manfaat daripadanya.

werdah said...

Wa'alaikumussalam cemomoi

Nikmat hanya disedari bila ia telang hilang. Semoga kita selalu ingat nasihat supaya hargai nikmat kesihatan dan masa lapang yang diberikan kepada setiap daripada kita. Dan semoga kak diberikan kekuatan untuk syukur dan sabar.

Terima kasih atas doa.

werdah said...

Wa'alaikumussalam Kamsiah

Terima kasih ya atas nasihat ini, semoga kak lebih tabah. Amiin

Kamsiah said...

salam kak..
hanya sakit menghadapi mati ja yg tiada penawarnya....

nur said...

AsSalam kak werdah..
Sabar hadapi ujian kak, saya doakan kesihatan kembali pulih seperti sediakala. Usaha dan ikhtiar merawat, dengan izin Allah cepat sembuh..aminn

ainhany said...

salam kak,

insyaALLAH mudahan akak temui kesembuhan. Ikhtiar disertai dengn doa...ALLAH pasti tak mngecewakan..Don wory adik mayamu turut mdoakan akak.

jaga diri yer kak.

luahfikiran said...

SALAM,
MENDOAKAN KEMBALI SIHAT ! AMIN

werdah said...

Wa'alaikumussalam Kamsiah

InsyaAllah, kita berusaha Allah menentukannya. Terima kasih

werdah said...

wa'alaikumussalam nur

InsyaAllah, semoga kesabaran tetap dimiliki.. amiin

werdah said...

Wa'alaikumussalam ainhany

Terima kasih kerana mendoakan kak di sini. Mudah2an Allah izinkan sembuh. amiin

werdah said...

Wa'alaikumussalam LF

Terima kasih ya, semoga LF juga diberikan kesembuhan, amiin

Kunang-Kunang said...

Assalamualaikum Kak Werdah,

Semoga Allah berikan akak kesihatan yang baik dan merestui usha dan ikhtiar yang akan laku. InsyaAllah.

DIA yang mendatangkan penyakit dan DIA jugaklah yang menyembuhkannya.

werdah said...

Wa'alaikumussalam Ani

Terima kasih atad doanya ya.. semoga Ani juga beroleh kesihatan yang baik.. amiin

semut merah said...

Salam kak werdah,

Baca cerita akak telah menguatkan azam saya..saya mengalami slipped disc di lumbar L4/L5, L5/S1 dan juga di cervical - C4/C5 Untuk kes lumbar saya alami sejak dari Januari 2011 dan utk cervical rasa sakit sejak Jun 2011 dan baru dapat confirmed lepas MRI bulan ogos yang lepas..

Sehingga komen saya ini ditulis, saya telah lebih sebulan tidak bekerja dan untuk tahun ini telah habis 3 bulan cuti sakit saya gunakan.

Saya telah cuba kaedah prolotheraphy dengan DR ZUL, Alhamdulilah.Rasa sakit tu berkurangan - cuma ia bukan completely go away..saya tak pasti sama ada injection yang saya ambil tu belum mencukupi atau sebab sakit saya ni bertambah..wallahualam. Untuk Lumbar sahaja - lebih 20 injection dan untuk cervical, saya baru ambil 8 dan 3 di lutut (sbb ada juga OA di lutut kanan). Allahu Rabbi! Maha kaya Allah memberikan nikmat sakit ini - mudahan menjadi asbab untuk menebus dosa2 dan saya sedar saya sedang diujiNya..

Saya tidak menjalani apa2 prosedur pembedahan, setakat ini hanya fisio dan prolotheraphy. Ada juga perancangan nak buat disc decompression tapi harga agak mahal dan perlu diulang beberapa kali..pakej termurah 24 sesi dengan harga RM 5K++..Allahu musta'an!

Cuma saya bimbang suami/keluarga akan jadi bosan utk terus mendorong saya - menjalani rawatan..saya juga bimbang menjadi bahan fitnah rakan2 sepejabat, saya juga foresee rasa sakit berterusan ini akan menyebabkan saya hilang pekerjaan. Saya jadi takut kerana tidak pasti berapa lama jangkamasa untuk menanggung sakit ini. Justeru saya Ikat diri saya kemas dan sekemasnya penggantungan ini hanya kepada Allah. Saya yakin hikmahya besar - cuma tidak berupaya untuk membuat orang lain faham. Kemelut yang sebeginilah adakalanya membuat saya tewas..dan mengalirkan airmata kesedihan...

Semoga akak tabah dan saya juga tabah - kerana saya belajar dari blog dr sarah shukor - TABAH ADALAH AKHLAK MULIA.

Werdah said...

Semut Merah

Wa'alaikumussalam

Kak baru membaca komen di atas pada pagi ini sambil dengar tafsir al-Quran oleh ustaz hj zahazan di IKIM.

Apa yang adik alami sama sperti yang kak alami, yang beza ialah kak c5 dan c6 ...dan sakit kak asalnya cuma l4 dan l5 je, bila buat pembedahan bermulalah sakit yang lain-lain tu.

S1 akak tersumbat, itulah yang menekan saraf sekarang ni.. sakitnya sama seperti yang adik nayatakan.

Didoakan agar segala kebimbangan adik hilang, serta orang-orang keliling akan memahami..hanya orang yang sakit sahaja mengetahui kesakitan yang dirasanya.

InsyaAllah kita jadikan nikmat sakit ini sebagai jalan buat kita sentiasa muhasabah diri.

nurbaizura Zulkifli said...

as salam kak. saya nk bertanya berkenaan dengan dr murali dr hospital klang. secara general dr ni buat treatment mcm mana ye. sb saya ada prolapsed disc l5 s1. nk cari second opinion untk buat treatment apa.

Related Posts with Thumbnails