Tuesday, February 12, 2013

Dialah al-Quddus


Sumber
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah subhanahu wa ta'aala (selepas ini ditulis dengan SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (selepas ini ditulis SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini ingin kongsikan serba sedikit hasil dengar ceramah tentang nama Allah Al-Quddus iaitu nama Allah yang keempat dalam asmaul husna. 

Sebelum itu elok kita ketahui dahulu mengapa nama-nama Allah dalam asmaul husna disusun seperti selepas ar-Rahman adalah ar-Rahim, kemudian al-Malik, selepas itu al-Quddus dan lain-lainnya. Allah SWT sendiri yang meletakkan al-Quddus selepas al-Malik. 

Dalam ar-Rahman dan ar-Rahim iaitu tentang sifat kasih sayang dan sifat rahmat Allah; Allah bukan sekadar memiliki sifat kasih sayang dan rahmat malah Allah ada sifat al-Malik selepasnya iaitu berkuasa untuk memberi kasih sayang kepada makhluk yang Dia kehendaki, sehingga makhluk yang menghendaki kasih sayang daripadaNya mendapat manfaat daripada sifat rahman dan rahim tersebut. Ini berbeza dengan kita sebagai manusia; walaupun kita ada sedikit sifat kasih sayang dan belas kasihan kepada seseorang seperti kasih sayang orang tua kepada anak-anaknya namun seringkali kita tak mampu atau kadang-kadang kita tak berkuasa untuk memberikan manfaat kepada orang yang kita sayang itu; sebagai contoh ketika kita melihat orang yang sakit terlantar, kita kasih, kita kasihan tetapi  kita tidak mampu memindahkan sifat kasihan itu kepada orang yang sakit itu sehingga dia dapat manfaat daripada rasa kasihan kita. Ini kerana kita tidak ada sifat al-Malik.

Allah SWT mempunyai sifat al-Malik, namun begitu Allah SWT tak akan pernah menyalahgunakan kuasanya. Al-Malik bermaksud Yang Maha Menguasai dan Yang Maha Memiliki. Jika Allah SWT memberitahu kita bahawa selepas al-Malik Allah SWT mempunyai sifat al-Quddus iaitu susunannya al-Malikul Quddus seolah-olah Allah mengatakan:

"Wahai hambaKu, walaupun Aku berkuasa terhadap apa yang Aku miliki dan Aku boleh melakukan apa sahaja terhadapnya tanpa ada seorangpun yang dapat menghalangi Aku, kamu tidak perlu khuatir kerana Aku tidak akan menyalahgunakan kekuasaan mutlak yang Aku miliki kerana Aku adalah al-Quddus. Aku Maha Suci yakni suci, terbebas daripada menyalahgunakan kuasa walau sebesar manapun kekuasaan yang Aku miliki."

Ustaz tekankan begitu kerana menurut al-Quran sendiri, manusia cenderung menyalahgunakan kuasa bila dia merasai dia punya kuasa disebabkan dia tidak quddus / tidak suci. Ini kerana sifat quddus boleh menghalang seseorang itu menyalahgunakan kuasa yang ada padanya.

Dalam ayat di bawah ada dinyatakan tentang al-Malik:

27:34
Berkata dia (Raja perempuan /Balqis) : "Sesungguhnya raja-raja / penguasa (al-Malik - orang-orang yang mempunyai kuasa) , apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.(An-Naml 27:34)
Dalam ayat dia atas; Allah menceritakan kebenaran apa yang dikatakan oleh Penguasa Negeri Saba' seorang perempuan, ketika penguasa itu mendapat surat daripada Nabi Sulaiman as yang menyerunya memeluk agama yang dibawanya dan tidak perlu dia menolaknya apatah lagi berfikir untuk menyerangnya kerana Nabi Sulaiman as mempunyai kekuasaan yang jauh lebih hebat daripada kekuasaan yang dimiliknya.

Setelah mendapat surat itulah Balqis memberikan pendapatnya "Sesungguhnya raja-raja ini, apabila masuk ke negeri orang, mereka akan menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itu jugalah Nabi Sulaiman as dan tentera-tenteranya akan lakukan bila mereka masuk ke Negeri Saba'."

Ayat ini merupakan satu pembenaran atau pengakuan Allah SWT terhadap apa yang difikirkan oleh Balqis. Jika tidak betul apa yang difikirkan oleh Balqis pasti Allah akan membetulkannya, tetapi ternyata Allah membenarkannya.

Mengapa orang yang memiliki kuasa cenderung melakukan kerosakan atau menyalahgunakan kuasa mereka? Itu kerana mereka tidak ada sifat quddus.

Betapa indahnya nama-nama Allah sehinggakan selepas Allah sebut Dialah al-Malik dinyatakan pula bahawa Dialah al-Quddus. Ini untuk menghilangkan andaian daripada kita bahawa disebabkan Allah SWT mempunyai kuasa yang tidak terhad Dia boleh buat apa sahaja yang disukaiNya. Jika begitulah sifat Allah SWT susahlah kita.

Kita tak perlu khuatir akan dianiayai oleh Allah SWT, tidak perlu khuatir atau takut Allah SWT menyalahgunakan kuasaNya untuk menganiayai hambaNya sebab Allah kata Dia al-Quddus.

Al-Quddus terambil daripada akar kata Qaf Dal Sin - Qa Da Sa

Dua kali sahaja disebut dalam al-Quran iaitu:

1)  Dalam surah al-Hasyr:

59:23
Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya. (Al-Hasy-r 59:23)
 2)  Dalam Surah al-Jumu'ah:

62:1
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Maha Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Jumu'ah 62:1)

Quddus membawa makna suci. Al-Quddus maksudnya kesucian yang tidak menimpa padanya perubahan, kekotoran, sebaliknya terus menerus dalam keadaan suci iaitu tersuci dan bersih daripada segala cacat cela dan kekurangan, bebas daripada segala kesilapan, kealpaan dan tidak berkeupayaan atau kurang kesempurnaan.

Allah SWT mempunyai sifat quddus. Dalam perbuatan Allah, dalam Zat Allah dan dalam sifat-sifatNya pasti ada 3 unsur iaitu:
  1. Benar
  2. Indah
  3. Baik
Saya rasa setakat ini dahulu catatan kali ini, insyaAllah saya akan sambung lagi menulis tentang al-Quddus ini pada masa akan datang.

Mudah-mudahan menambah pengetahuan kita tentang sifat-sifat Allah SWT. Allahumma Aamiin


4 comments:

ngasobahseliman said...

Salam Werdah.
Setiap kali akak baca N3 Werdah sering rasa sayu kerana rasa amat jauh dari matlamat yang hendak dicapai. Doakan akak.

Abd Razak said...

السلم عليكم ورحمة الله

Kakak yang dikasihi Allah SWT, moga dirimu sentiasa dalam perlindungan~Nya dan dalam limpahan kasih sayang~Nya...aamiin

Maha Suci Allah yang memiliki Sifat Al-Quddus, bersih dari segala kekurangan dan aib, meliputi kesucian mutlak.

Seharusnya kita sebagai seorang muslim perlu melakukan perbaikan atau meningkatkan kebersihan hatinya sehingga menjadi orang saleh. Yakni muslim yang lurus dan benar imannya. Kebersihan yang dimaksud bukan hanya bersih secara lahir, tapi juga bersih secara batin.

Terima kasih kak..:)

Werdah said...

Wa'alaikumussalam kak Ngasobah

Semoga kak sentiasa beroleh kesejahteraan dan dalam redha Allah SWT.. aamiin

Begitu jugalah dengan diri saya kak, mudah-mudahan dengan merasakan kita kekurangan, kita akan lebih memerhatikan diri kita ya kak.

Bila saya membaca N3-N3 kakak, rasanya saya boleh membuat perbandingan antara usaha kak dengan diri saya yang terlalu jauh kurang berbanding apa yang kak usahakan. InsyaAllah didoakan agar kak diberikan kebaikan yang banyak oleh Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang..aamiin ya Rabbal 'aalamiin.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Abd Razak yang dikasihi Allah SWT.

Semoga dirimu juga sentiasa dalam perlindungan~Nya dan dalam limpahan kasih sayang~Nya...aamiin

Benar tu, kerana Allah telah meletakkan syarat kepada kita iaitu apabila kita menemui ajal hendaklah membawa hati yang selamat sejahtera.

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera ; (Asy-Syu'araa [26] : 88 - 89)

Mudah-mudahan kita sentiasa dapat memperbaiki diri.. aamiin

Related Posts with Thumbnails