Friday, November 9, 2012

Al-Muntaqimu

Sumber

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluaraga dan para sahabat serta pengikut setia.

Hari ini mencatat serba sedikit hasil dengar kuliyah tentang asmaul husna. Al-Muntaqimu, nama Allah asmaul husna yang ke 81. Kalimah arab ini terambil daripada huruf nun qaf dan mim (naqama, intaqama, yantaqimu) yang makna asalnya/makna harfiyah ialah:

1)  Tidak menyetujui sesuatu
2)  Memberikan sesuatu dengan kemarahan
3)  Membalas kejahatan

Jadi maknanya al-Muntaqimu sebagai nama Allah ialah : Allah zat yang tidak menyetujui sesuatu balasan seksa yang diberi terhadap kejahatan hamba kerana Allah menganggap itu adalah sesuatu yang memberikan keburukan. 

Allah membalas kejahatan hamba dengan seksa bagi kejahatan yang dilakukan oleh hamba ialah intiqaam.

Walaupun Allah menurunkan bencana contohnya tsunami ataupun taufan sandy di AS pada beberapa hari yang lepas namun kita tidak boleh menganggap itu sebagai balasan kejahatan. Ini boleh jadi intiqaam kepada sebahagian namun pada sebahagian yang lain bencana itu mungkin merupakan nikmat. Allah adalah ar-Rahman jadi bila ditimpakan bencana atau musibah tidaklah boleh kita katakan 100% Allah murka/intiqaam. 

Sekali Allah timpakan bencana pasti banyak tujuannya, mungkin intiqaam dan mungkin nikmat. Allah Maha Pengasih. Bencana ni sebenarnya tak elok namun Allah tetap Maha Pengasih.

Disebabkan nama ini memberi makna yang tidak baik maka kita tidak temukan kalimah sebagai nama Allah al-Muntaqimu dalam al-Quran. Yang kita temukan dalam bentuk jamak iaitu muntaqimun diulang sebanyak 3 kali tiada dalam bentuk mufrad, tiada dalam bentuk musanna, 6 kali dalam bentuk feel madhi dan 1 kali dalam bentuk feel mudhari'

Mengapa al-Muntaqimu sebagai bentuk mufrad (nama Allah tidak ditemukan dalam al-Quran)?

Allah memang bersifat muntaqim. Kenyataan ini benar, namun Allah mengajar kita kesopanan atau adab terhadap Allah SWT. Allah mengajar kita jika ada keburukan yang berlaku di dunia, walaupun Allah yang mencipta; jangan kembalikan (menisbahkan) kepada Allah. Wajib dikembalikan kepada Allah perkara yang baik-baik sahaja. Contoh yang paling mudah Allah ajar kita ucap yang baik-baik terdapat dalam apa yang kita ucapkan dalam solat sekurang-kurangnya 17 kali iaitu:
Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang telah dimurkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (Al-Faatihah 1 : 6-7)
Dalam ayat di atas Allah ajar kita sebut yang baik iaitu nikmat kita nisbahkan kepada Allah. Allah tidak ajar kita sebut jalan orang-orang yang Engkau murkai  dan orang-orang yang Engkau sesatkan sebaliknya Allah ajar kita sebut jalan orang-orang yang telah dimurkai dan jalan orang-orang sesat (walaupun Allah yang  memurkai dan menyesatkan). Mereka dimurkai dan sesat adalah disebabkan perbuatan sendiri/pilihan sendiri). 

Jadi sebab itulah tidak ada kalimah muntaqimu sebagai nama Allah. Yang ada dalam bentuk jamak 3 kali. Dalam ayat di atas juga Allah menyebut dalam bentuk jama'. Kenapa Allah gunakan dalam bentuk jamak? Jawapannya menurut pakar bahasa arab dan al-Quran ialah; untuk menerangkan perbuatanNya; itu nak menunjukkan bahawa Allah melibatkan makhluk dalam melaksanakan perbuatanNya.

Ini samalah seperti apabila Allah kata "Kami memberi rezeki". Allah tak pernah kata Aku beri rezeki. Maknanya Allah melibatkan malaikat yang menurunkan hujan, angin yang bertiup dan sebagainya. Berbeza dengan kalimah taubat. Allah selalu kata "Aku menerima taubat" tidak kata "Kami menerima taubat". Ini kerana masalah taubat Allah tak libatkan makhluknya kecuali Dia dan orang yang bertaubat.

Jadi ketika Allah nak memberikan balasan; bila Allah muntaqim, Allah melibatkan makhluk lain, paling tidak malaikat, mungkin angin, semut, kuman, virus dan lain-lain ( ini semua adalah tentera Allah).

Contoh : dalam ayat berikut, Allah sebut Inna tidak Inni:

A022

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas. (As-Sajdah 32 : 22)
Bila Allah nyatakan Dia membalas siksaan, Dia hanya memberi balasan selepas diberikan peringatan atau teguran. Teguran pula berulang-ulang, bila diengkari barulah Allah membalasnya dengan siksaan. Siksaan hanya akan berlaku di akhirat bukan di dunia. Di dunia ini sekeras manapun, sedahsyat manapun bencana masih ada kasih sayang Allah. Tenggelam dalam tsunami tidak sama terbakar di dalam api neraka.


Kesimpulan penting bagi nama al-Muntaqimu ini ialah:

1) Kita tidak menemukan dalam al-Quran al-Muntaqim sebagai nama Allah; ini memberi kesan makna bahawasanya apabila al-Muntaqim ini dinisbahkan kepada Allah SWT ia tidak menimbulkan istilah sesuatu yang kurang baik terhadap Allah SWT sebab makna al-Muntaqim ialah yang Maha Mengancam/Memberi Ancaman; yang Maha Menimpakan balasan sedangkan biarpun Allah SWT yang akan menimpakan balasan, balasan itu dilakukan demi kasih sayangNya. Kalimah al-Muntaqim dalam bentuk mufrad tidak ditemukan dalam al-Quran, yang ada hanya dalam bentuk jamak adalah untuk menunjukkan bahawa ketika Allah SWT hendak menimpakan balasan kepada hambaNya yang patut diazab Allah akan melibatkan makhluk lain untuk melaksanakannya contohnya para malaikat.

2)  Sifat Allah al-Muntaqim ini atau ancaman hendak menimpakan balasan dalam al-Quran semuanya berkaitan dengan pembalasan pada hari kiamat kelak sama ada dalam bentuk mudhari', bentuk madhi atuapun dalam isim jamaknya. Ancaman seksa ini semuanya berkaitan dengan balasan yang akan dilakukan di akhirat. Itupun ancaman tadi diberikan oleh Allah SWT setelah manusia berulang-ulang kali melakukan kejahatan dan berulang-ulang kali pula mereka diberikan peringatan bahkan berulang-ulang kali juga Allah memberi kemaafan. Berdasarkan kepada pemahaman seperti ini; memang sepatutnyalah hamba seperti ini diancam dengan balasan yang keras. Pertama pernah diberikan peringatan, kedua kerana telah dimaafkan kerana telah bertaubat tapi dibuat sekali lagi.


Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 95

 عَفَا ٱللَّهُ عَمَّا سَلَفَ‌ۚ وَمَنۡ عَادَ فَيَنتَقِمُ ٱللَّهُ مِنۡهُ‌ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ۬ ذُو ٱنتِقَامٍ (٩٥)

Maksudnya; 
"Allah maafkan apa yang telah lalu dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa". (95)

3)  Disebabkan al-Muntaqim adalah tentang ancaman balasan seksa, kadang-kadang Allah tunaikan kadang-kadang Allah tidak tunaikan.

Jadi berbeza dengan wa'dun (janji kebaikan/pahala/syurga/keampunan) pasti Allah tunaikan, tapi bila balasan itu merupakan ancaman/azab kadang-kadang Allah tunaikan kadang-kadang Allah tidak tunaikan.


Sekian, mudah-mudahan menambah ilmu.

Monday, July 30, 2012

Panduan Bagi Orang Yang Ditimpa Musibah


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, pagi ini dapat mendengar kuliyah hadis oleh Ustaz  Dr Abdul Basit . Benar-benar memberikan motivasi kepada diri ini. 

************
Di bawah ini sebahagian daripada catatan buat sesiapa yang menghadapi ujian.. Mudah-mudahan Allah merahmati kita semua.. Allahumma Amiin.

Bila ditimpa musibah kita perlu tangani dengan baik. Jika tidak rugilah kita.
Lagi besar bencana lagi besar pahala. Allah nak tengok siapa yang terima ujian dia redha, berdoa, berikhtiar dan itulah takdir Allah. Kita tak boleh lari daripada ketentuan Qadar dan Qadha' Allah. Kita tak boleh salahkan takdir. Kita ada aqal, ada panduan al-Quran dan hadis.
Siapa yang terima ujian dia marah, dia akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Orang yang redha akan selamat.

Antara doa yang disarankan baca sebelum dapat ujian;

1) Dalam satu hadis, Nabi ajar kita satu doa, iaitu doa pagi dan petang ..


"Allahumma inni asaluka 'afwu wa asaluka 'afiatan fiddunia wal aakhirah"
Aku minta kemaafan dan afiat. Janganlah uji aku ya Allah. 
Bila kita kena uji tak tahan, bila datang fitnah pasti ada yang gagal tanganinya.

2) Doa daripada ayat 286 surah al-Baqarah yang kita disarankan doa tiap-tiap kali lepas solat.

(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (al-Baqarah : 286)

Orang yang sakit bila ada orang ziarah bertanya; Apa keadaanmu, jawablah aku berada dalam nikmat.. Allahu Akbar. Nikmat apakah bila sakit?

Sakitnya di kaki, mulut tak sakit, mata tak sakit, sakitnya satu je. Nikmat Allah banyak lagi. Ya Rabbi.. Alhamdulillah 'alaa kullihaal.. jawapan begini kita kena jawab

(Abtyir!) bergembiralah! engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa..

Allah perintah kepada malaikat kiraman katibin.. Aku telah mengikat hambaKu ini (duduk terjelepek di  atas katil, tak dapat berjalan ke rumah sahabat, nak pergi ke masjid pun tak dapat, nak pergi dengar kuliyah pun tak dapat) dan Aku telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya.. (wahai malaikat, kamu lihatlah catatan jadual orang ini, jadualnya lima waktu dia akan ke masjid, ada ceramah, ada kuliyah dia akan belajar, ada orang minta tolong dia akan bantu, orang minta derma dia akan infak, ini perangai ketika dia sihat,) Allah perintahkan malaikat tulis sebagaimana yang orang itu biasa lakukan semasa sihat dahulu) Allahu Akbar.. Ini pahala penuh walaupun dah sakit.. inilah dikatakan seperti makan duit pencen... Oleh itu wahai manusia sekelian! berlumba-lumbalah buat kebaikan ketika masih sihat, bila sakit dapat pencen.
Hadis di atas (Imam Ahmad sanad hassan)

Ada satu lagi hadis; Anas berkata; "Rasulullah SAW bersabda, jangan sesekali bercita-cita nak mati kerana sesuatu bencana yang menimpa". (Hadis Bukhari Muslim). Tak boleh minta nak mati, tapi sabarlah. Contoh orang perempuan dimadukan, selalu kata "tak guna hiduplah", jangan begitu. 

Kalau keadaan mendesak nak mati juga, nabi ajar doa begini : "Wahai Tuhanku, hidupkanlah aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku"...
(Allahumma ahyini maa kaanatilhayatul khairanli, watawwafani izaa kaannatil wafaatul khairanli)
Jangan pula bila jatuh sakit terus minta nak mati. 

(Catatan Penulis, elok cari sendiri doa-doa di atas yang ditulis dalam bahasa Arab - jawi)

Doa ini seolah-olah kita kata  : "Ya Allah! Kalau aku hidup aku lebih banyak  berzikir dan buat kebajikan yang lain, eloklah aku hidup, tetapi jika aku hidup lalu aku buat maksiat maka matikanlah aku". Ataupun mintalah mati dalam iman, kita bimbang jika kita nak mati kerana dunia.

Umar Ibnul Khattab pernah berdoa...Ya Allah aku nak mati syahid di negeri rasul Engkau di Madinah.. MasyaAllah.. kabul doa dia, walaupun dah tak ada peperangan masa tu dia syahid kerana mati ditikam.

Yang dicatat ini hanya sehingga minit ke 32.. Tontonlah kerana ada banyak doa-doa yang disarankan untuk kita baca selain doa yang ditulis di atas tadi.

******

يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك 
Ya Allah Tuhan yang membalik-balikkan hati maka tetapkanlah hati kami pada agamamu

"Allahumma a'inni 'ala Zikrika washuyrika wahusni 'ibadatik. (Ya Allah bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan memperbaiki 'ibadatku kepadaMu).

Ya Allah ampunilah daku........

Thursday, July 19, 2012

Mari Jiwai Rasa Syukur Kurniaan ar-Rahman



Dan Dia lah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang; (Ar-Rahmaan 55:24)


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji bagi Allah yang selayaknya dipuji. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan sekelian yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Lama sangat tak update blog. Hari ni sambung tentang *** Nikmat yang tidak dapat didustakan yang pernah ditulis lama dahulu. Itu adalah sebahagian daripada N3 *** memanglah hanya sedikit sahaja orang yang bersyukur.

Sebelum tu tak salah kita dengar dulu bacaan surah ni.. sangat indah bacaan Imam Masjid Masjidil Haraam ini..


Surah ini merupakan surah Madaniyyah yang menyentuh aspek aqidah iaitu berhubungkait dengan persoalan ketuhanan dan limpahan nikmat. Surah ini terdiri daripada 78 ayat dan 31 daripadanya merupakan pengulangan. Satu jumlah yang bukan sedikit yang Allah tanya kepada manusia dan jin "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?" (Ar-Rahmaan 55:13)




Pengertian *** ar-Rahman sememangnya sangat luas untuk dikaji. Maknanya meliputi  rahmat, kasih, sayang, pemurah, cinta dan seumpamanya. Kepada individu yang hakikat hidupnya bersandarkan kepada hidup bertuhan tentu dapat menyelami bahawa hidupnya dan segala fenomena yang dikecapinya bertitik tolak daripada limpahan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Surah ini dimulakan dengan ar-Rahman memberi keinsafan bahawa kita manusia begitu hina dan kerdil. Ketika kita dalam kesedihan ditimpa pelbagai masalah, Allah yang bersifat ar-Rahman terus menerus melimpahkan rahmatNya; menjadikan kita tidak berputus asa menyelesaikan segala permasalahan dan bergantung harap padaNya.

Ayat pertama ini merupakan satu bentuk penyampaian mesej daripada Allah SWT tentang kesempurnaan Allah ar-Rahman. DIA yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, jauh daripada sifat cacat cela dan serba kepincangan meminta kita menyedari bahawa kehidupan yang hakiki ialah kehidupan yang bernilai ta'abbudi dan *** menjiwai rasa syukur, redha, qanaah serta penuh tawadduk dan mempuyai sifat-sifat mahmudah yang lain.Ini kerana kita seharusnya dapat meyakini segala percaturan hidup bermula daripadaNya dan akan kembali kepadaNya dan segala peraturan alam adalah dengan rahmat Allah SWT jua.

Dalam lafaz *** Bismillahirrahmanirrahim ternyata ada kalimah ar-Rahman. Di sini ternyata apabila mula hendak melakukan sesuatu pekerjaan, lafaz ini menjadi satu pintu utama untuk meraih rahmat Allah. Kita diperintahkan memulai pekerjaan dengan membesarkan Allah yang mengelolakan perjalanan kehidupan kita. Dengan itu rahmat Allah akan tercurah kepada segala tindak tanduk kita. Tatkala kita lafazkan bismillah pada permulaan tindakan kita pasti Allah SWT akan memandang dan memelihara kita lantaran kita mengagungkanNya. Mengagungkankan Allah sambil mensyukuri segala nikmatnya semestinya diparaktikkan oleh setiap manusia. Dengan ini akan ternyata bahawa manusia mengaku kelemahan diri, hinanya dia di sisi Allah SWT. Ini menunjukkan dia sedar bahawa setiap perjalanan hidupnya adalah berpunca daripada limpahan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Di sinilah letaknya rahsia ar-Rahman.

Ar-Rahman; satu sifat Allah yang selalu kita sebut.
Ar-Rahman; salah satu daripada 99 nama Allah.
Di dalam al-Quran Allah kita seru dengan nama ar-Rahman ar-Rahim.
Itulah Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Sifat ar-Rahman Allah itu hanya berlaku di dunia.
Berlaku kepada semua makhluk tak kira jin atau manusia.
Manusia pula tak kira mukmin atau kafir.
Apabila mukmin pula tak kira dia itu mukmin soleh atau mukmin asi (derhaka).

Ini bererti sifat Pemurah Allah SWT itu adalah kepada semua yang ada di muka bumi.
Segala nikmat Allah yang begitu banyak di dunia ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan pelbagai rupa.
Tidaklah Allah tentukan untuk satu golongan makhluk sahaja.
Tidaklah dikhususkan kepada manusia sahaja atau jin sahaja atau binatang sahaja.
Tidak juga dianugerahkan kepada umat Islam sahaja manakala yang kafir tidak diberiNya.
Juga tidak dikhususkan kepada mukmin yang bertaqwa sahaja.

Ada sebuah keterangan hadis yang mengatakan bahawa dunia ini tidak ada nilai pun pada sisi Allah walaupun sebesar sayap nyamuk. 

Malangnya ada yang menilai dunia ini indah dan cantik lalu berlakulah perebutan, guling mengguling, belakunya pergaduhan hingga berlaku pertumpahan darah dan bunuh membunuh.

Semua ini berlaku kerana manusia menilai dunia terlalu tinggi dan berharga. Dengan itu timbul perasaan tamak, hasad dengki, ingin berkuasa dan pelbagai ragam yang lain.

Dalam merebut untuk mendapatkan dunia yang Allah kata tak ada nilai tentulah ada yang berjaya dan ada yang tidak, ada yang terkorban dan ada terus mengejar dunia hingga mati. Namun dunia yang dikejarnya tak juga dapat. Akhirnya dia lupa pada Allah dan Allah lupa padanya dan akibatnya dia menerima seksa dalam neraka, wal'iyazubillah.

Walaupun sifat ar-Rahman atau pemurahnya Allah itu berlaku kepada semua manusia, Allah membuat peraturan. Peraturan itu dinamakan sunnatullah bahawa nikmat Allah akan berjaya diperolehi jika ikut peraturan tersebut.

Untuk orang-orang Islam Allah membuat peraturan bahawa jika orang-orang Islam ingin mendapat kejayaan hingga dapat menguasai dunia ini mereka hendaklah berusaha mendapatkan 'taqwa'.

Maksudnya bagi umat Islam; jalan untuk mewujudkan satu umat yang bertamadun, seluruh umatnya kena berusaha mendapatkan 'taqwa'.

Taqwa bererti melaksanakan seluruh perintah Allah dan meniggalkan segala larangan Allah.

Selain itu umat Islam perlu memiliki sifat-sifat terpuji dan menjauhi sifat-sifat keji.

Untuk melahirkan taqwa menurut pengertiannya nampak seperti mudah namun pelaksanaannya dapatlah kita bayangkan betapa beratnya.

Namun itulah jalan bagi mendapatkan kejayaan.

Allah SWT menjelaskan dalam firmanNya:

 وَٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلۡمُتَّقِينَ

"....Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa".(Al-Jaathiyah 45:19)

 وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُ ۥ مَخۡرَجً۬ا

"....dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)",(At-Talaaq 65:2)

Ertinya kepada orang-orang yang bertaqwa Allah akan berikannya pertolongan dan pembelaan. 

Allah akan bebaskan dia daripada kesusahan dan berikannya rezeki yang dia tidak tahu daripada mana puncanya.

Pertolongan yang Allah beri tentulah dalam pelbagai bentuk seperti menjayakan pembangunan ekonomi, menjayakan bidang pendidikan, pentadbiran, pengurusan, bidang politik dan sebagainya.

Jika umat Islam bertaqwa tentulah Allah melepaskan daripada musuh.

Jika musuh nak hancurkan ekonomi umat Islam pasti tidak berjaya kerana umatnya bertaqwa.

Jika dengan taqwa kita dijamin Allah untuk meraih *** kejayaan hidup di dunia dan di akhirat mengapa pula kita tidak mahu berusaha mendapatkan taqwa?.

Mari sama-sama berusaha meraihnya.

Dengan sifat RahmanNya Allah menyajikan kalamNya sebagai hidangan untuk manusia; itulah al-Quran..menjadikan manusia dan makhluk lainnya untuk kegunaan manusia. Hakikatnya segala penciptaan Allah menandakan rahmat Allah kepada semua. Dalam surah ini dinyatakan nikmat dunia dan nikmat syurga. Jadi sayugialah kita yang dianugerahkan nikmat pancaindera untuk merenungi setiap kejadian, bertafakkur akan sunnatullah yang telah disusun atur dengan sempurna oleh Allah SWT yang Maha Berkuasa serta Maha Pemurah dengan sifat ar-RahmanNya kepada semua makhluk.

Mohon maaf kepada rakan-rakan blog jika ada perkataan-perkataan saya yang menyinggung perasaan kalian semasa berurusan. Semoga semuanya diberikan kesejahteraan dan keupayaan menempuh bulan yang mulia ini. Amiin. Selamat menyambut Ramadhan Kareem.

Semoga Ramadhan yang bakal menjelma dan bulan-bulan berikutnya menjadikan kita berusaha keras untuk meraih takwa. Allah ar-Rahman tentu menolong kepada hamba-hambanya yang berusaha. InsyaAllah.

NOTA : Tanda *** tu adalah link N3 sebelum ini.. boleh klik jika perlu..




Related Posts with Thumbnails