Mari berzikir sambil membaca.. sila klik

Thursday, September 3, 2009

Tadabbur ayat-ayat al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.


KELIBAT 10 hari pertama Ramadan telah berlalu meninggalkan umat Islam. Kalangan tetamu Ramadan antaranya terus melaksanakan ibadah solat fardu masing-masing di samping menghidupkan waktu siang dan malam Ramadan dengan melipat-gandakan amalan-amalan sunat yang lain.



Pelbagai aktiviti Ramadan berbentuk praktikal barangkali turut dilakukan seperti kunjung mengunjung mengeratkan tali silaturrahim sesama Muslim, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, fakir miskin dan anak-anak yatim.



Sewajarnya umat Islam melakukan penilaian sama ada setiap hari atau setidak-tidaknya seminggu sekali terhadap puasa yang telah dijalani. Nilaian terhadap puasa yang dilakukan berdimensi amal lahiriah dan batiniah.



Amalan lahiriah berdimensikan sosial, manakala amalan batiniah berdimensikan niat ikhlas kerana Allah ke arah mencapai ketaqwaan yang sebenar. Di sinilah tersiratnya pengertian sabda baginda yang bermaksud, Sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran nescaya diampuni dosa-dosanya yang lalu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Menilai tingkat tadabbur terhadap ayat-ayat al-Quran



Ramadan al-Mubarak pastinya menggamit memori sejarah besar bagi seluruh Umat Islam lantaran di dalam bulan inilah berlakunya penurunan al-Quran atau disebut sebagai Nuzul al-Quran.



Firman Allah SWT yang bermaksud: 


"Bulan Ramadan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)". (al-Baqarah: 185)



Al-Quran diturunkan untuk dihayati setiap perkatan dan bait-bait maksudnya. 


Firman Allah yang bermaksud: 


"(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), Kitab yang mempunyai banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayat-Nya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna sebagai peringatan dan iktibar". (Shaad: 29)


Kefahaman yang tepat dan mendalam terhadap isi kandungan al-Quran akan menjadikan seseorang hamba itu bertambah teguh keimanannya kepada Allah SWT. 


Dr. 'Aid Ibn Abdullah Al Qarni mengatakan: "Seseorang itu tidak dianggap membaca al-Quran jika tidak menghayati (tadabbur) apa yang dibacanya kerana tadabbur merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia. Tadabbur melahirkan iman, menanamkan keikhlasan dalam hati dan memberikan ruang dan dapatan ilmu kepada manusia tentang ketauhidan.



"Keyakinan dan keutuhan seseorang itu kepada Allah SWT akan semakin bertambah cantik sekiranya menghayati setiap untaian kalam Allah SWT". (Sejenak Bersama Hidangan Al-Quran)



Selain itu, hafalan ayat-ayat Allah SWT di samping tadabbur merupakan usaha yang sangat efektif untuk mengecapi roh al-Quran. Natijah istiqamah dalam gerak kerja murni ini akan memberi kekuatan bagi setiap hamba dalam mengharungi mehnah dan tribulasi yang menimpa dalam kehidupan.



Namun persoalannya adakah setiap dari kita berusaha memperoleh nikmat kefahaman dan tadabbur yang dinyatakan dalam setiap tilawah yang dibaca, tidak berusaha memahami dan memikirkan isi al-Quran?



Firman Allah SWT yang bermaksud: 


"(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?" (Muhammad: 24)



Berapa ramai pembaca al-Quran yang membaca ayat-ayat al-Quran, namun akhlaknya tidak meneladani akhlak nabi SAW serta kehidupannya jauh dari garapan dan ajaran al-Quran al-Karim. Mereka membaca al-Quran sebagaimana puak al-khawarij membaca al-Quran.



Bacaan al-Quran mereka tidak meruntun dan menyelinap masuk ke dalam hati sanubari dan hanya mengikut desakan hawa nafsu semata-mata.



Ali r.a pernah berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Pada akhir zaman kelak akan muncul kaum yang muda usia dan lemah akalnya. Mereka berkata-kata seolah-olah mereka adalah manusia yang terbaik. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan. Apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya, membunuh mereka akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah pada hari kiamat. (riwayat al-Imam al-Bukhari, Muslim, al-Nasai, Abu Daud)



Tadabbur ayat doa



Mengisi bingkisan bicara sunnah Ramadan al-Mubarak kali ini, melalui kupasan tafsiran ringkas dan beberapa hadis Rasulullah, sama-sama kita mentadabbur intisari ayat doa (al-Baqarah: 186) dalam potongan ayat puasa dalam al-Quran.



Tadabbur bermaksud usaha memahami setiap ayat-ayat al-Quran yang dibaca atau didengar, disertai kekhusyukan hati dan anggota badan seterusnya dibuktikan dengan cara mengamalkannya atau mempraktikkannya.



Kupasan Ringkas



Ayat 186 ini difirmankan oleh Allah SWT setelah ayat perintah berpuasa dan ayat yang menerangkan tentang kelebihan bulan Ramadan, hikmah penurunannya dalam bulan Ramadan serta beberapa hukum berkaitan puasa pada ayat 183,184,185 surah al-Baqarah.



Setelah itu maka datanglah ayat doa iaitu ayat 186 melalui firman Allah SWT yang bermaksud: 


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul". (al-Baqarah: 186)


Doa: manifestasi keimanan kepada Allah



Doa merupakan manifestasi keimanan kepada Allah SWT. Ia secara psikologi berfungsi sebagai sumber harapan dan motivasi yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia dapat menghadirkan cinta hamba kepada Allah SWT dalam rutin kehidupan sehari-hari pembaca, pada setiap langkah dan tarikan nafas hela pembaca yang mendamba cinta Allah dan Rasul-Nya.



Menurut Ibn Kathir, ayat ini diletakkan di antara ayat-ayat hukum puasa sebagai petunjuk agar setiap muslim bersungguh-sungguh dalam berdoa setelah menyelesaikan jumlah hari berpuasa dalam sebulan, bahkan anjuran berdoa pada setiap kali waktu berbuka.



Ketika menafsirkan ayat ini Ibn Kathir telah menukilkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Hatim yang menyatakan bahawa seorang Arab Badawi bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, adakah Tuhan kita itu dekat dan kita dapat bermunajat kepada-Nya atau Tuhan itu jauh dan kita perlu menyeru-Nya? Rasulullah SAW terdiam seketika dan turunlah ayat ini. (Tafsir Ibn Kathir, al-Imam al-Tabari dalam tafsirnya Tafsir al-Tabari menyebutkan riwayat yang sama seperti yang dibawa oleh Ibn Kathir).



Abu Hurayrah r.a berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga golongan yang tidak ditolak doanya iaitu imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka puasa dan doa orang yang dizalimi". (Riwayat Abu Dawud al-Tayalisi dalam musnadnya)



Daripada Abdullah ibn 'Amr dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bagi orang yang berpuasa doanya dimakbulkan (diperkenankan) ketika saat berbuka". (riwayat Abu Dawud al-Tayalisi dalam musnadnya]



Daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a. dia berkata: Kami bersama-sama Rasulullah SAW di dalam perperangan, setiap kali kami menaiki bukit dan mendakinya, serta menuruni lembah, kami akan mengangkat suara dengan bertakbir. Rasulullah SAW mendekati kami dan bersabda: Wahai manusia, bersederhanalah pada diri-diri kamu (tidak terlalu mengangkat suara). Ini kerana kamu tidaklah menyeru sesuatu yang pekak mahupun yang tiada, sesungguhnya yang kamu seru atau doakan adalah yang paling hampir dengan kamu daripada leher unta. Wahai Abdullah ibn Qays hendakkah kamu jika aku ajarkanmu suatu kalimah yang merupakan perbendaharaan syurga? (iaitu) kalimah La Hawla Wa Quwwata Illa Billah. (riwayat al-Bukhari)



Al-Imam Malik r.a meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: Doa seseorang di antara kamu akan dikabulkan selama dia tidak meminta untuk dipercepat dengan mengatakan, "Aku sudah berdoa, namun doaku tidak dikabulkan". (riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Daripada Anas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berfirman, Wahai anak Adam, satu untukmu, satu untuk-Ku, dan satu antara Aku dan kamu. Satu empunya-Ku ialah hendaklah kamu menyembah-Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu. Manakala satu empunyamu ialah apa jua yang kamu amalkan akan Aku tepati. Dan yang satu antara Aku dan kamu ialah, kamu yang berdoa dan Aku yang mengkabuIkannya". (riwayat al-Imam al-Bazzar)



Sebagai kesimpulan, Ramadan al-Mubarak tidak hanya berfungsi sebagai bulan menjalani ibadah puasa semata-mata. Ia merupakan madrasah intensif dan proses perjalanan seseorang hamba menjalani ibadah puasa dengan iringan doa berterusan di samping menghidupkan amalan-amalan sunat pada setiap malamnya.



Tanpa doa, ibadah yang dilakukan seakan-akan tidak mencapai haknya dan barangkali seorang hamba tidak akan mengecapi sesuatu yang dihajati seperti memohon keampunan dan pembebasan dari azab api neraka pada hari kiamat.



Wallahu A'laam.

Sumber QASSAM'S COLLECTIONS

4 comments:

Mak Su said...

salam kunjungan

Werdah said...

salam Mak su, kak dah ziarah Mak su , terima kasih kunjung blog kak ni

a kl citizen said...

memang selalu berdoa...
moga2 Allah makbulkan

Werdah said...

salam kl citizen

ya mudah2an Allah makbulkan sgl permohonan kita.. amiin

Related Posts with Thumbnails