Tuesday, April 20, 2010

Kuat Sangatkah Kita?

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kenikmatan kita menghirup udaranya dan banyak lagi nikmatNya sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Marilah kita berselawat buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Syukur kepada Allah SWT kerana memberi kekuatan untuk menulis catatan, dan di sini dikongsikan hasil catatan tentang Al-Qawiyyu - Yang Maha Kuat.

11 kali diulang dalam al-Quran. 9 kali sebagai asma' Allah SWT , dan 2 kali kepada makhluk. Al-Qawiyyu terambil daripada huruf Qaf waw dan ya, makna asal kuat, keras seperti kekuatan fizikal, rohani, iman dan apa sahaja.

2 kali kepada makhluk (1 kali sebagai sifat manusia dan 1 kali sebagai sifat jin).

1 kali untuk manusia:


"Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. (Al-Qasas [28] : 26)

Dalam ayat di atas ini Allah memberitakan bahawa anak Nabi Syuaib as mencadangkan kepada bapanya supaya ambil Nabi Musa as bekerja kerana ada dua sifat yakni kuat lagi amanah.

1 kali sebagai sifat jin:


"Berkatalah Ifrit daripada golongan jin: Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah". (An-Naml [27] : 39)

Maksud bagi ayat ini Ifrit berkata bahawa dia akan membawakan singgahsana ratu Saba' (Permaisuri Balqis) daripada Yaman ke Palestin dalam sekelip mata yakni sebelum majlis bersurai kerana dia gagah lagi boleh dipercayai. Tidak semua jin sanggup menjalankan tugas ini kecuali Ifrit.

Daripada dua ayat di atas, bermaksud dua-dua sifat ini iaitu kuat dan amanah tidak boleh dipisahkan semasa menjalankan tugas. Apa sahaja yang mahu dilaksanakan mestilah mempunyai dua sifat ini iaitu berkeupayaan dan amanah. Jika seseorang itu tidak mempunyai dua-dua sifat ini tentulah tidak sempurna hasil pekrjaannya. Jika dia amanah namun tak mempunyai keupayaan tentu hasil kerjanya tidak sempurna, begitu juga jika berkeupayaan tetapi tidak amanah tentu kurang sempurna hasil kerjanya.

Al-Qawiyyu yang dinisbahkan kepada Allah SWT: (Hanya 7 ayat sahaja yang dapat dicatat)

Al-Qawiyyu yang dinisbahkan kepada dengan Allh SWT dikaitkan dengan al-Aziz (Qawiyyun Aziz) - Kuat lagi Perkasa/Berkuasa. Allah hanya tunjukkan kekuatanNya kepada makhluk yang menentangNya, yang tidak mempercayai keKuasaanNya dan janji-janjiNya.

"Maka ketika datang azab kami, kami selamatkan Soleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka daripada azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa". (Hud [11] : 66)

Seperti umat lainnya, umat Nabi Saleh as, iaitu kaum Tsamud, juga dihancurkan karena mereka tidak mau beriman kepada Allah SWT dan tidak mengakui Nabi Saleh as sebagai seorang Nabi. Mereka dihancurkan oleh Allah SWT dengan petir yang dahsyat sehingga meruntuhkan bangunan tempat tinggal mereka. Boleh baca kisah Nabi Saleh as dengan kaumnya dalam surah al-'araf (71 - 80), Surah Hud (61 - 68) dan al-Qamar (23 - 32).


Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Al-Hajj [22] : 40)

Orang-orang yang teraniaya yang dimaksudkan di sini ialah orang-orang mukmin yang dihalau oleh orang-orang Musyrik Mekah; setengahnya disiksa sedangkan mereka tidak berdosa. Kemudian Allah anjurkan supaya mereka berperang supaya orang-orang mukmin dapat menegakkan syariat Islam, supaya rumah-rumah ibadat tidak dirobohkan. Dan Allah SWT menyatakan bahawa DIA akan menolong orang-orang yang menolong menegakkan agama Islam dan sesungguhnya Allah Maha kuat lagi Berkuasa.

"(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya".(Al-Anfal [8] : 52)

Ayat ini menerangkan bahawa keadaan orang-orang kafir musyrik yang menentang dalam peperangan Badar tak ubah seperti Firaun dan tenteranya. Sebelum mereka menentang ; Allah telahpun memberitahu, jika mereka menentang pasti mereka tak dapat kalahkan kekuatan Allah SWT.

Orang-orang Mukmin juga diperintahkan supaya menunjukkan kekuatan supaya timbul rasa takut kepada orang-orang kafir yang ada niat untuk memusuhi mereka; tetapi tidaklah disuruh menunjukkan kekuatan kepada orang-orang kafir yang tidak ada niat untuk memusuhi orang-orang Islam.

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya".(Al-Anfal [8] : 60)

Allah memerintahkan supaya bersiap sedia sebelum perang, janganlah bila dah hampir nak perang baru nak beli kuda atau peralatan lainnya. Dalam maksud yang lain ialah perlu berlatih, manusia dan juga kuda perang perlu dilatih, peralatan juga perlu diuji atau dipelajari kaedah menggunanya. Dan apabila sudah mulakan perang janganlah berundur. Tujuannya ialah untuk menimbulkan rasa takut, gerun di kalangan musuh Islam, Islam mesti tunjukkan kekuatan kepada musuh Allah SWT. Bila ada persediaan daripada segi kekuatan sama ada jasmani, rohani pasti Allah menolong. Jika ini dipraktikkan sudah pasti tidak jadi seperti sekarang ini.

Pada zaman dahulu orang-orang Yahudi begitu takut kepada Islam sebab mereka benar-benar menampakkan kekuatan Islam. Tetapi sekarang ini rasanya tidak ada satupun negara Islam yang digeruni oleh orang-orang kafir. Mungkin Islam lemah daripada segi kekuatan senjata tetapi jika ada satu suara, satu matlamat, satu tanggungjawab, yakni semua negara Islam bersatu; tentu orang-orang Islam di banyak negara terutamanya Palestin tidak tertindas.

Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Ar-Ruum [30] : 54)

Ini hakikat kita manusia, Allah menyatakan bahawa kita asalnya lemah, kemudian kita kuat, seterusnya kita kembali lemah (tua). Maksudnya di sini kuat hanya diberi sekali sahaja yakni sebelum dan selepas lemah. Jadi tak perlulah kita nak tunjukkan kita kuat contohnya di jalan raya, bergesel sedikit dah nak bergaduh. Sekarang pula kita dapati ramai di kalangan orang-orang Islam di merata pelusok dunia bergaduh antara satu sama lain.

Jadi sangat jahillah jika manusia yang disifatkan Allah hanya kuat sekejap sahaja hendak menunjukkan kekuatannya kepada yang tidak sepatutnya.

Daripada Abu Hurairah ra; Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah orang yang kuat itu dengan sebab bergaduh/bergusti, hanaysanya kuat itu ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah" (HR Bukahri dan Muslim).

Bila kita dapat kuasai marah bermakna kita dapat mengalahkan syaitan.

Dalam ayat di bawah ini pula Allah menyatakan bahawa malaikat mempunyai kekuatan, kedudukan tinggi di sisi Allah dan mereka dipercayai. Dalam ayat ini tidak digunakan al-Qawiyyu tetapi digunakan ذِي قُوَّةٍ (zi quwwatin). Subhanallah! kekuatan satu perdua, kepercayaan satu perdua. Kita sering lihat, di mana sahaja, manusia cukup hebat membangunkan negara tetapi akhirnya tidak amanah.

"Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai". (At-Takwir [81] : 19 - 21)

Sekarang kita lihat pula kekuatan yang digunakan dengan tidak amanah. Dalam ayat 44 surah Fatir;

(Dan sebagai buktinya): tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara di muka bumi, lalu mereka menyaksikan bagaimana kesudahan orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka, sedang orang-orang itu lebih kekuatannya daripada mereka? Dan (sudah tetap) bahawa kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatupun sama ada di langit atau di bumi; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Fatir [35] : 44]

Dalam ayat ini Allah menyoal orang-orang "Arab Quraisy yang menentang Allah dan RasulNya; tidakkah mereka yakni sebahagian daripada mereka yang berdagang ke Negeri Syam menyaksikan bekas-bekas negeri penduduk (Kaum Tsamud, Kaum 'Ad) yang dibinasakan oleh Allah SWT kerana menentangNya. Sedangkan orang-orang terdahulu itu lebih kuat melebihi kekuatan kaum Arab Musyrik tatkala itu. Tidakkah mereka mahu mengambil pengajaran daripada kisah kaum yang dihancurkan Allah itu. Allah SWT mengingatkan bahawa Kuasa Allah SWT tidak dapat ditentang, jika menentang Allah akan binasakan. Kaum Tsamud ini membina bangunan tinggi-tinggi, memahat gunung, mengukir patung.

Persoalan di sini haruskah kita semua merasakan diri kita kuat? Anai-anai juga boleh membina busutnya beribu-ribu kali ganda ketinggiannya daripada diri anai-anai itu sendiri. Jika dibandingkan dengan anai-anai, makhluk ini (anai-anai) hanya menggunakan kekuatan diri dan tanah sahaja, busutnya tak mudah hancur ditimpa panas dan hujan, manusia pula guna pelbagai alat dan kepakaran dalam pelbagai bidang.

Kesimpulan : Allah hanya tunjukkan kekuatanNya kepada makhluk yang menentangNya supaya membatalkan jika ada niat untuk menentang Allah. Ini kerana jika mereka menentang, mereka akan dikalahkan oleh Allah SWT. Dalam kehidupan pula mesti ada kekuatan dan amanah. Mudah-mudahan kita diberi kekuatan jasmani dan rohani oleh Allah SWT, kerana tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah SWT, dan Allah hanya menolong orang-orang yang menolong agamaNya.

Sumber Gambar : Googles

6 comments:

Abd Razak said...

Salam Kak Werdah...

Moga terlimpah nikmat kesihatan buat kakak..

Alangkah indahnya kalau ramai orang yang kuat lagi amanah! Andaikata digabungkan orang-orang seperti itu maka terbinalah saling lengkap melengkapi dan kuat.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Abd Razak.

Terima kasih krn mendoakan kak, semoga demikian juga buatmu, Amiin.

Benar sangat tu, bila dua sifat ini berjalan seiringan tidaklah nikmat yang Allah berikan itu digunakan secara sia-sia dan secara batil.

Acik said...

Salam..
Kekuatan umat dahulu krn taat dan patuh kpd Allah sepenuhnya, tak mcm umat manusia sekarang yg leka dan lalai dgn nafsu syaitan termasuk tidak amanah.

Werdah said...

Salam Acik,

Itulah Acik, umat akhir zaman, ada yang mahu laksanakan tanggungjawab menurut yang dianjurkan, dan ada pula yang tak mahu, yang ramainya ialah yang tak kuat dan tak amanah, itulah salah satu antara tanda-tandanya bumi kita akan berkhir.

Peringatan Allah ini dah termaktub dalam al-Quran, jika tak ada dua-dua ni Islam akan lemah.

Kunang-Kunang said...

Salam Sis Werdah,

Orang yang kuat ramai tapi yang amanah agak sukar dicari sekarang ni.

Werdah said...

Salam Sis Ani,

Ramai yang kuat daripada segi jasmani tapi kurang daripada segi rohani. Nak cari yang kuat daripada dua-dua segi itulah yang sukar dicari.

Related Posts with Thumbnails