Friday, March 11, 2011

Nun Jauh Di Sana Kelihatan Api!!!!!

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah masih diberi kesempatan menulis.. kali ini ditulis SATU daripada beberapa rahsia mengapa didahulukan إِيَّاكَ نَعۡبُدُ daripada إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ
 A005
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Al-Faatihah 1:5)
Kenapa didahulukan iyyaka na'budu kemudian diikuti dengan iyyaknasta'iin?

Perlu diingat bahawa ayat kelima dalam surah al-Fatihah ini adalah inti segala pengajaran bagi semua nabi; iaitu melakukan penyembahan kemudian barulah meminta pertolongan


Ada beberapa sebab mengapa didahulukan al-'ibadah kemudian diikuti al-isti'anah. Rahsia "Ibadah" didahulukan daripada "Isti'anah" di dalam Al-Fatihah merupakan gambaran didahulukannya tujuan daripada wasilah/sarana:

PERTAMA: "Al-ibadah" merupakan tujuan penciptaan hamba, sedangkan "al-isti'anah" merupakan wasilah/sarana untuk dapat melaksanakan "Ibadah" itu.

Allah ciptakan manusia dan jin tujuannya ialah untuk beribadah kepada Allah. Jadi tujuan kita hendaklah sama dengan tujuan Allah ciptakan kita. Seandainya tujuan kita tak sama dengan tujuan Allah maka kita dikira gagal.
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Adz-Dzaariyaat [51] : 56 - 58)
Nasta'iin ialah doa, minta itu minta ini, yakni kita mohon daripada Allah iaitu sesuatu yang membolehkan kita melakukan ibadah contohnya kesihatan, ilmu dan sebagainya tetapi ini bukan tujuan sebaliknya wasilah yang boleh kita gunakan untuk capai tujuan.

Rezeki dan makanan merupakan wasilah, keperluan hidup manakala tujuan hidup ialah beribadah. Sebab itulah didahulukan iyyakan'budu daripada iyyakansta'iin. Manusia tak boleh jadikan alasan mencari rezeki bagi mengelakkan beribadah. Allah tak minta rezeki daripada kita sebaliknya Allah lah yang memberi rezeki. Jadi apabila diberikan rezeki janganlah pula mengelak untuk beribadah sebaliknya gunakanlah untuk mencapai tujuan kita dijadikan.

Dalam sesuatu keadaan apabila kita berdepan dengan dua pilihan, pilihlah tujuan yakni sama ada yang Allah suruh ataupun yang nafsu suruh. Kenalah korbankan salah satu.

Ada manusia yang rela berkorban dengan ikhlas segala keperluan hidup untuk mencapai redha Allah SWT.

Mari kita lihat kisah Nabi Musa yang capai tujuan (berada di Wadi Tuwa yang suci). Allah berfirman yang maksudnya:
"Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalanMaka apabila ia sampai ke tempat api itu (kedengaran) ia diseru: "Wahai Musa!"Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi/lembah Tuwa yang suci (Taha [20] : 9 - 12
Ini kisah nabi Musa as yang mencari keperluan hidup. Nabi Musa dalam perjalanan dari Madyan tempat Nabi Syuaib (Bapa mertuanya) ke Mesir. Dalam perjalanan Nabi Musa kesejukan sebab tak ada api, malam itu gelap gelita, kambingnya kesejukan kemudian dengan tiba-tiba nabi Musa nampak api nun di kejauhan, diapun berkata kepada keluarganya, [إِنِّىٓ ءَانَسۡتُ نَارً۬ا] "Sesungguhnya aku ada melihat apiLalu baginda memberitahu isterinya bahawa dia akan ke tempat api itu, manalah tahu di sana ada rumah dan dapatlah mereka menunjukkan jalan atau dapatlah diambil api tersebut untuk memanaskan badan atau keperluan lainnya seperti memasak dan sebagainya. Anastu di situ menunjukkan api tu jauh, tidak digunakan perkataan raa (lihat dari dekat). 


Usaha nabi Musa berjalan ke arah api itulah nasta'iin. Nabi Musa nak cari api. Namun  apabila nabi Musa sampai ke tempat api itu apa yang berlaku?. 


Maha Suci Allah, di sana Nabi Musa tidak berjumpa api sebaliknya (bertemu Allah/suara memanggil); Allah menyerunya; "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi/lembah Tuwa yang suci". 


Apabila nabi Musa bertemu Allah terlupalah baginda akan keluarganya. Nabi Musa as tenggelam dalam keasyikan berdialog dengan Allah SWT (inilah tujuan). Jika tidak kerana Allah bertanya "apakah yang ada di tangan kananmu wahai Musa", nabi Musa tidak akan teringat tentang anak isteri serta kambingnya yang kesejukan. Inilah keasyikan bila baginda berdialog terus tanpa perantaraan Jibril as.
"Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. "Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan.  "Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa. "Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?" Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu". (Taha [20] : 13 - 18)
Lihat bagaimana asyiknya Nabi Musa as, cuba kita bayangkan! jangankan dapat berdialog dengan Allah, seseorang jika sedang dilamun cinta, bila bertemu kekasihnya, hujan ribut, petir menyambar pasti dilupakan.

Dalam kisah di atas, Nabi Musa as lupa akan keluarganya bila bertemu Allah (tujuan). Baginda juga lupa tentang tongkatnya yang digunakan untuk membantunya berjalan, serta dengannya dia memukul daun-daun untuk makanan kambingnya serta lain-lain kegunaannya lagi (keperluan). Penting sangatkah keluarga, kambing bila baginda di sisi Allah? Subhanallah!

Ada beberapa rahasia lagi ini kenapa didahulukannya iyyaka na'budu daripada iyyaka nasta'iin. Terlalu panjang jika nak dihuraikan satu persatu di sini, insyaAllah jika masih diberi kelapangan akan usahakan menulis lagi.

Sekian, semoga memberi manfaat.

4 comments:

aby said...

salam k werdah ...
antara fungsi api ialah supaya ianya menjadi amaran dan ingatan kpd kita betapa dasyatnya kepanasan api neraka,
dikata yg kepanasan api neraka adalah berkali kali ganda api dunia,
bayangkan klu kita menjadi penghuninya ...

Werdah said...

aby

wa'alaikumussalam warahmatullah

Benar tu aby.. berganda2 hebat siksanya.. sekarang ni tercucuh puntung api yang kecil sekejappun dah tak tertahan sakitnya.. apa lagi bila terbakar hangus kemudian kulit diganti baru

terokai seni said...

assalamualaikum

ada yang bagi tau saya kalu kita solah hajat waktu sampai di bacaan ini, doa le dalam hati apa yang kita hajatkan. insyaallah akan dimakbulkan permintaan kita

Werdah said...

Cemomoi

wa'alaikumussalam warahmatullah

InsyaAllah, seluruh bacaan al-Faatihah adalah doa. Berdoalah dalam solat jika di luar solat hayatilah dan mohon sebagai ruqyah untuk segala hajat.

Related Posts with Thumbnails