Saturday, May 21, 2011

Meraih Pahala dengan Memaafkan Orang Lain

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. 

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi 19 hb Mei 2011 yang lepas; saya dianugerahi Allah SWT seorang lagi cucu lelaki dinamakan Ahmad Farhan, semoga menjadi penyejuk hati keluarga kami, serta anak yang soleh, insyaAllah.

Di bawah ini saya salin beberapa ganjaran pahala apabila kita memaafkan kesilapan orang lain


Semuanya ini dirujuk dalam buku Amalan Meraih Ganjaran Pahala, Antaranya ialah:

1) Mendapat keampunan daripada Allah SWT.

وَلۡيَعۡفُواْ وَلۡيَصۡفَحُوٓاْ‌ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ

"..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani". (An-Nuur [24] : 22)
2)  Mendapat redha Allah SWT.

فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
"...sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim". (Asy-Syura [42] : 40)
Maksud أَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ ialah ganjaran pahala yang dikurniakan sendiri oleh Allah SWT, bukan oleh manusia seperti raja atau pemimpin dan sebagainya, malah ganjaran itu datang daripada raja sekelian raja iaitu Allah SWT. Maka apakah yang kita mahukan lebih daripada itu? Allah memberi jaminan dengan ganjaran yang begitu besar.

3)  Mendapat keuntungan yang besar (حَظٍّ عَظِيمٍ۬)

وَلَا تَسۡتَوِى ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُ‌ۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِى بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُ ۥ عَدَٲوَةٌ۬ كَأَنَّهُ ۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ۬
وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ۬
"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.  Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat". (Fussilat [41] : 34 - 35)

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kita supaya membalas kejahatan yang dilakukan oleh manusia dengan melakukan kebaikan semampu yang boleh. Dengan kata lain kita perlu membalas setiap dosa orang kepada kita dengan kemaafan, kemarahan dibalas dengan kesabaran, tidak mengambil kira kesilapan yang telah berlaku serta rela menanggung keperitan daripada perlakuan orang lain terhadap kita.

Mujahid al-Farra' berkata بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ ialah membalasnya dengan kesejahteraan dan keselamatan bagi kejahatan yang diterima dan bermaaf-maafan ketika bertemu. Dan ayat  فَإِذَا ٱلَّذِى بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُ ۥ عَدَٲوَةٌ۬ كَأَنَّهُ ۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ۬ (orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib); menjelaskan hasil yang diperoleh daripada tindakan memaafkan atau dengan kata lain membalas dengan kebaikan bagi apa-apa kejahatan yang dilakukan terhadap kita; dengan sendirinya dia akan bertukar daripada musuh kepada rakan karib.

Imam az-Zajjaj berkata, ayat ini وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ  bermaskud tidak dianugerahkan sifat ini (membalas kejahatan dengan kebaikan) kecuali kepada orang-orang yang sabar menanggung kemarahan dan keperitan.

Ayat ini pula وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ۬ bermaksud ganjaran dan kebaikan yang diperoleh daripada orang yang mengamalkan sifat-sifat di atas adalah orang-orang itu sangat beruntung. Qatadah berkata "Keuntungan yang besar itu ialah balasan syurga"

4)   Mendapat ganjaran pahala kerana meneladani salah satu sifat Allah iaitu al-'afwu.

Al-'afwu bermaksud Allah Maha Memaafkan kesalahan. Allah mengampunkan dosa yang dilakukan oleh hambaNya yang menderhaka dan Allah tidak membalas kesalahan hambaNya semasa berada di dunia dengan menyegerakan hukuman.

إِن تُبۡدُواْ خَيۡرًا أَوۡ تُخۡفُوهُ أَوۡ تَعۡفُواْ عَن سُوٓءٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّ۬ا قَدِيرًا
"Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa". (An-Nisa' [4] : 149)

Ayat ini bermaksud Allah memaafkan dan mengampunkan dosa orang-orang yang melakukan kejahatan walaupun Allah Berkuasa membalas dengan segera. Oleh itu contohilah sifat Allah ini.

5)  Mendapat pahala kerana mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

Para nabi dan rasul tidak pernah memabalas kejahatan kaum mereka. Para nabi dan rasul menyerahkan urusan tersebut kepada Allah SWT. Siapakah kita sehingga kita tidak sanggup bersifat pemaaf dan menganggap sifat pemaaf itu hina dan rendah?

6)  Mendapat kelebihan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang memaafkan kesilapan dan kejahatan orang lain terhadap kita dan mendapat ganjaran syurga 'Adn.

"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu. (ar-Ra'd [13] : 22 - 24)

7)  Kemaafan yang kita berikan adalah kebaikan yang kita lakukan dan akan dapat balasan yang baik.
هَلۡ جَزَآءُ ٱلۡإِحۡسَـٰنِ إِلَّا ٱلۡإِحۡسَـٰنُ
"Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?" (ar-Rahmaan [55] : 60)

Allah membalas hamba-hambaNya dengan balasan yang setimpal dengan kebaikan yang dilakukan. Jika hambaNya memaafkan kesalahan orang maka Allah akan memaakan dan mengampuni dosanya.

8)  Mendapat kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT pada hari Isnin dan Khamis.

Rasulullah SAW bersabda;

"Dibukakan pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis bagi setiap hamba yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali (bagi) lelaki yang di antaranya dan saudaranya permusuhan maka dikatakan; Lihatlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdua berdamai". (Direkodkan oleh Muslim)

9)  Dicintai Allah SWT

فَٱعۡفُ عَنۡہُمۡ وَٱصۡفَحۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

"Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berbuat baik". (al-Maaidah [5] : 13)


10) Ditinggikan kedudukan oleh Allah SWT baik di dunia mahupun di akhirat atau kedua-duanya.

Rasulullah SAW menyebut:

"Allah tidak menambah (kepada) seseorang hamba yang (bersifat) pemaaf kecuali kemuliaan dan tidak merendah diri seseorang kepada Allah kecuali diangkat oleh Allah". (Direkodkan oleh Muslim).

Harapan dan cita-cita kita ialah untuk mendapat cinta Allah. Sesungguhnya jika seseorang itu dikasihi atau dicintai Alllah, para malaikat dan semua manusia turut mengasihinya.

Orang yang sentiasa mendahului orang lain dalam melakukan amal kebajikan adalah orang yang mendapat kejayaan dan kelebihan.

Sekian, mudah-mudahan memberikan manfaat.

18 comments:

Ros Illiyyuun said...

Assalamualaikum :)

Didoakan agar Makcik sihat sentiasa. Ameen :)

Memaafkan sangat mudah, tetapi bab melupakan itu yang payah.

Sekarang ini memang sentiasa memaafkan orang yang bersalah ke atas saya. Terpaksa bermujahadah dengan nafsu untuk meleraikan segala kekusutan sekalipun pihak yang sana nyata bersalah.

Memandangkan sifat 'pihak sana' yang terlalu ego dan sukar meminta kemaafan biarlah saya mengalah.

Mengalah tidak semestinya kalah, tapi ia tanda kita menang mengalahkan syaitan yang sentiasa mencari jalan agar manusia sentiasa berbalah dan berkelahi.

Mungkin di mata sesetengah orang kita bersalah kerana mengalah, namun lambat laun Allah pasti akan tunjukkan kebenarannya. Hanya sabar yang jadi penawarnya. Doa pula senjata utama, semoga Allah tunjukkan jalan-Nya.

-Sentiasa berusaha belajar mengalah sekalipun saya tidak bersalah :)

P/S: Terlalu panjang hendak di'bebelkan' tentang perkara ini.Tapi cukuplah sekadar ini sahaja. :)

Makbonda61 said...

Assalamualaikum,

Memaafkan dan melupakan kesalahan orang lain adalah satu jihad bagi saya,antara akal dan nafsu masih meronta-ronta dan terkial-kial.masih sentiasa berdoa untuk mendapat kekuatan,semoga sentiasa ada peningkatan. Terimakasih atas perkongsian ini.

Anonymous said...

Assalamualaikum Kak Werdah,

Semoga sihat selalu.

Tahniah kak dapat cucu baru. Semoga dia sihat.

Susah nak cari orang yang berhati tulus nak memaafkan seseorang dengan ikhlas. Tapi mungkin bila dia mengetahui betapa besar ganjaran pahala jika bersedia memaafkan seseorang, akan berubah pendiriannya menjadi seorang yang pemaaf.

Unknown said...

alhamdulillah, tahniaaah!!

nur said...

AsSalam kak Werdah..
Alhamdulillah..tahniah atas kelahiran cucu baru.. comel nyer, geram tengok! :)

Sama2 forgive n forget kan kak.. tak rugi kita maafkan orang, tak dapat untung kalau berdegil taknak maafkan..
*bagus entri tu kak werdah..

terokai seni said...

assalamualaikum kak werdah...

rasulullah gembira dengan ramainya mat baginda.. tahniah atas kedatangan warga muslim yang baru. moga dia juga akan menjadi pejuang agama yang meneruskan kesinambungan risalah dakwah

memaafkan kesalahan orang lain tu perbuatan yang sangat mencabar. barangkali memaafkan bule dilakukan, tapi nak menjernihkan semula tu sangat susah... tapi bagi orang yang berlapang dada ganjaran di sisi Allah yang menjadi impian

zulkbo said...

salam Kak..
semoga sihat dan di berkati Allah selalu hendaknya..tahniah atas kelahiran cucu yang baru..agar bertambah meriah keluarga :)
dengan cucu-cucu yang semakin membesar..memaafkan orang mungkin mudah di lafazkan tetapi perkara yang paling susuh untuk di ikhlaskan di sudut hati..semoga kita menjadi hamba Allah yang berusaha memaafkan sesama manusia dan mendapat tempat di sisi Allah yang Maha Pengampun..amin..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ros

Terima kasih kerana selalu doakan makcik di sini.. semoga Allah mengabulkan permohonan kita dan memberi kebaikan yang banyak buat ros, serta semoga ros juga sihat sentiasa dalam rahmat Allah.

Alhamdulillah kerana Ros dapat memaafkan biarpun sukar melupakan.. begitulah yang selalunya kita dengar daripada ramai orang.. makcikpun begitu.. hari ini kata dah maafkan esok bila kisah itu tertimbul terasa pula kesan marahnya, begitulah ujiannya kan, sebab syaitan tu selalu ingin mengajak kita supaya tergelincir dari jalan perjuangan ..sebab itulah kita disaran supaya selalu ingatkan Allah kala sedang dibujuk rayu syaitan.(kita tidak akan terlepas daripada ujian.. itu janji Allah kepada kita kerana selepas lulus ujian barulah dikatakan kita orang yang sabar)

Banyak ayat perintah dalam al-Quran gayanya sama sahaja seperti dirikan solat, keluarkan zakat, berbaktilah kepada kedua ibu bapa dan sebagainya, kata ustaz sebab gayanya sama jadi itu merupakan suatu kewajipan kita melakukannya jika tidak maknanya kita melanggar perintahNya. Jadi memaafkan orangpun satu kewajipan.

Semoga kita dapat melakukan riadah yang bersungguh-sungguh dalam melatih diri memaafkan kesalahan orang dan kitapun semungkin boleh elakkan melakukan kesilapan kepada orang. Ya Allah bantulah kami.

Allahumma Amiin

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Makbonda

Benar tu, perlukan kekuatan jiwa sebagaimana orang-orang soleh terdahulu, sebagaimana Abu Bakar ra ditegur Allah dalam ayat An-Nuur [24] : 22 seperti dalam N3. Selepas beliau ditegur, tindakan yang segera diambil dengan memerdekakan semua hambanya dan merneruskan memberi bantuan kepada saudaranya yang memfitnah ummul mukminin saiyyidatina 'Aisyah. Hebatnya orang-orang terdahulu, sebaik menerima perintah terus sahaja melaksanakannya dengan serta merta.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ani

Terima kasih atas doa Ani.. semoga Allah memperkenankan doa kita ya.. dan semoga Ani juga diberi kekuatan dan kesihatan serta dalam rahmat kasih sayangNya.. amiin

Kakpun berpendapat seperti itu, sebab dulupun kak tak tahu juga bab memaafkan kesalahan orang ni, baru tahu beberapa tahun kebelakangan ni, itupun selepas berjinak-jinak dengan ceramah, masa bekerja dulu tak sempat ke kuliah. Kak ingat juga Ani ada keluarkan N3 seperti ini suatu ketika dulu.

InsyaAllah bila kita tahu kita cuba praktikkan sedaya upaya kita. Mudah2an Allah bantu kita..

Werdah said...

>>Khairul Hakimin B. Muhammad

Terima kasih atas tahniahnya.. alhamdulillah..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Nur

Alhamdulillah, terima kasih, tu cucu ke enam semuanya lelaki.. sedang menunggu seorang lagi jangka november ni.

Betul tu, tak rugi, Bila kita dapat maafkan dan melupakan pasti janji Allah yang begitu indah dapat kita peroleh. Jika tidak di dunia akan dapat di sana nanti. Namun perlu jihad yang sebenar-benarnya.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam cemomoi,

Ya Allah perkenankanlah doa sahabatku ini, semoga kelahiran ini membawa kjeberkatan dalam hidup kami sekeluarga dengan anugerahMu juga ya Allah.. Allahumma Amiin.

Betapa banyak kita ketemui perkara seperti itu kan.. ada yang langsung tak mahu maafkan ada yang maafkan tapi tak mahu lupakan. Mungkin kerana kejahilan atau ada juga kerana ego. Kata ustaz bila satu sahaja sifat mazmumah ada pada diri kita maka akan berkait-kita pula sifat mazmumah yang lain. Sungguh ngeri bila mengenangkan bagaimana nak bawa hati yang sejahtera semasa menghadapNya nanti. Semoga kkita sama-sama dapat menjernihkan hati dalam hal ini, semoga kita sentiasa menggilap diri dengan sifat sabar.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Zul

Terima kasih atas doa dan ucapan Zul tu.. semoga Allah memperkenankan doa kita dan semoga Zul juga diberikan kebaikan yang banyak amiin.

Pagi ni anak dan cucu masih lagi di wad belum boleh keluar, ada 'kuning' lagi pada bayi. Memang meriah sebab semuanya lelaki.

Benar Zul, memaafkan dengan penuh keikhlasan itulah yang dituntut. Semoga Allah memabantu kita menetapkan dalam hati kita yang sentiasa berbolak balik ini dengan keikhlasan, ketenangan dan seterusanya kita dapat mengamalkan segala amalan soleh dan menjauhkan amalan yang mendatangkan mudharat kepada kita.. amiin

ummu said...

assalamualaikum makcik
memaafkan itu memang susah
namun hati akan tenang dan bahagia
bila memaafkan orang lain
mungkin itu berkat memaafkan
tahniah makcik
atas kelahiran cucu lelaki lagi.
ibu saya pun, cucunya lelaki belkaa,;)

Werdah said...

Wa'alaikumussalam ummu

apa lagi yang kita mahu kan, jika itu membuatkan kita tenang lebih baik kita maafkan dan lupakan.. janji Allah itu benar.

Terima kasih ya ummu.. kata ustaz, kita boleh berusaha untuk memilih jantina anak kita walaupun Allah menentukan dan berkuasa tetapi ada kaedahnya.. jika berusaha tak dapat juga itulah takdir yang Maha Esa.. apa-apun bersuykur ke hadrat Ilahi kerana memberikan kita segala-galanya.

Abd Razak said...

Assalamualaikum Kak...

Moga Allah kurniakan kesihatan yang baik buat kakak di sana..

Memaafkan kesalahan seseorang adalah tanda orang yang bertakwa.

Wajib memberi maaf jika telah diminta dan lebih baik lagi memaafkan meskipun tidak diminta.

Sifat ‘tak kenal maaf’ atau ‘tiada maaf bagimu’ adalah sifat syaitan. Ia akan membawa keretakan dan kerosakan dalam pergaulan bermasyarakat.

P/S : Tahniah dapat cucu..:)

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Abd Razak.

Terima kasih kerana selalu mendoakan kak di sini.. semoga Abd Razak juga diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dalam rahmat kasih sayangNya.. amiin.

Allah menyenaraikan sifat2 yang perlu ada pada 'ibadul Rahmaan (hamba2 yg sentiasa mendpt rahmat/keredhaan) dlm ayat 63 surah al-Furqan Allah berfirman:


وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنً۬ا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَـٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَـٰمً۬ا (٦٣


yang bermaksud : "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang dirahmati/diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di atas muka bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan ucapan salam (perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini); (63)


Allah memerintahkan kita memberi salam (bercakap yang baik2) hatta kepada org2 yang berbuat tidak baik kepada kita.. ini memang berat.


Berbuat BAIK kepada org yang berbuat BAIK kepada kita adalah PERKARA BIASA,
Berbuat JAHAT kepada org yang berbuat JAHAT kpd kita adalah DENDAM,
Berbuat JAHAT kepada org yang berbuat baik kepada kita adalah ZALIM,
Berbuat BAIK kpd orang yg berbuat JAHAT kepada kita inilah AKHLAK.


Untuk berakhlak berbuat baik kepada yang berbuat jahat ini kena diusahakan bersungguh2 krn ini fardhu 'ain bkn fardhu kifayah.. memaafkan orang adalah sifat orang yang berakhlak mulia.

Terima kasih ya atas segala-galanya. :)

Related Posts with Thumbnails