Sunday, August 14, 2011

Ambil Iktibar Saidina Uthman bin 'Affan RA berinfak

Bismillahirrahmanirrahim.

Setiap puji dan sanjungan adalah hak Allah Tuhan sekelian makhluk. Mudah-mudahan selawat serta salam dilimpahkan kepada nabi yang termulia, penutup para nabi, Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat dan tabi'in sekeliannya hingga ke hari kiamat.

Gambar Hiasan
Hampir sebulan saya tidak update blog disebabkan beberapa perkara. Hari ini saya berkesempatan untuk sambung kembali menulis. Mudah-mudahan saya diberikan kekuatan dan peluang untuk ziarah blog kawan-kawan selepas ini, insyaAllah.

Kali ini selepas membaca kisah Saidina Uthman ra di blog cemerlang saya terpanggil untuk menulis tentang infak Saidina Uthman ra buat peringatan kepada diri sendiri dan juga sesiapa yang ingin memperbaiki amalan. 

Khalifah Uthman merupakan khalifah Islam yang ketiga selepas Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau dilantik menjadi khalifah melalui persetujuan orang ramai (syura).

Nama sebenarnya ialah Uthman b. ‘Affan b. Abul-As yang mana beliau dilahirkan ketika baginda Nabi Muhammad SAW berumur 5 tahun. Uthman merupakan seorang bangsawan dari golongan Quraisy dari Bani Umayyah.

Beliau terkenal sebagai seorang yang lemah lembut, pemurah dan baik hati dan merupakan salah seorang  saudagar yang terkaya di Tanah Arab, sehingga beliau diberi gelaran “al-Ghani“. Selepas memeluk Islam beliau banyak mendermakan hartanya ke arah kepentingan agama Islam. Contohnya dalam peperangan Tabuk, beliau telah mendermakan sebanyak 950 ekor unta, 50 ekor kuda dan 1,000 dinar. Ketika umat Islam berhijrah ke Madinah, umat Islam menghadapi masalah untuk mendapatkan air minuman; Saidina Uthman telah membeli telaga Ruma daripada seorang Yahudi dengan harga 20,000 dirham untuk digunakan oleh umat Islam dengan percuma. Sebelumnya telaga yang dipunyai Yahudi ini dikenakan bayaran. Apabila Saidina Uthman membelinya beliau memberikan percuma termasuk kepada orang-orang Yahudi.

Suatu ketika Madinah mengalami masa kesusahan  yang sangat parah akibat  kemarau yang berpanjangan. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan banyak yang mati. Ramai penduduk Madinah  mengalami kelaparan. Pada masa kesukaran itu, datang rombongan kafilah dari negeri Syam membawa barang dagangan yang sebahagian besar berupa makanan. Rupa-rupanya barang dagangan itu kepunyaan Ustman bin Affan. Para peniaga Madinah berebut-rebut ingin membelinya dengan maksud dijual kembali kepada masyarakat yang memang sangat memerlukankan dengan harga yang berlipat ganda . Mereka menawar barang dagangan itu dengan harga tiga kali ganda daripada harga pembeliannya.

Tetapi tawaran yang sangat menguntungkan itu ditolak oleh Ustman bin Affan, “Maafkan saya, barang dagangan ini telah terjual dengan harga yang lebih besar dari itu!” 

Tentu saja para peniaga itu menjadi hairan , siapa orang yang berani membeli dengan harga tinggi itu. 

Mereka pun bertanya , “Wahai sahabat, siapakah orangnya yang telah membeli barang daganganmu dengan harga sangat tinggi itu?”

Uthman pun menjawab singkat  ;  “Allah!”.

Dengan kehairanan mereka bertanya lagi ; “Bagaimana caranya Allah memberikan keuntungan itu kepadamu?”

Jawab Uthman, “Allah menjanjikan kepadaku keuntungan tidak kurang dari 700 kali ganda, tidakkah kalian ingat janji Allah itu dalam Al-Quran?” Lalu Uthman membacakan firman Allah SWT  maksudnya : 

“Perumpamaan  (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Al-Baqarah 2:261)

Para peniaga itu bertanya lagi; “ Apakah engkau akan sedekahkan seluruh dagangan yang sangat banyak ini?” 

Uthman pun menjawab , “Benar. Seluruhnya aku sedekahkan kepada masyarakat yang menderita kerana kesusahan yang parah ini!”

Kisah ini memberikan gambaran orang-orang yang memiliki kepercayaan penuh pada janji Tuhannya. Tidak ada sedikitpun ragu-ragu diatas janji-janji Allah SWT kepada sesiapa sahaja yang sanggup menginfakkan hartanya dijalan Allah SWT. 

Saidina Uthman yakin sungguh-sungguh bahawa Zat Yang Maha Suci, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Tidaklah mungkin akan ingkar janji-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : 

“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan”. (Al-Baqarah 2:245)

Firman Allah SWT maksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya) (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang besar”. (As-Saff 61:10-12)

Oleh kerana manfaat memberi sedekah sama ada sedekah wajib ataupun sedekah sunat adalah cukup besar maka janganlah kita abaikan sedekah yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Latihlah diri kita untuk mengeluarkan zakat dan juga bersedekah. Jangan tangguh-tangguh untuk bersedekah, mulakanlah dengan sedikit setakat kemampuan kita. Jangan fikir kita akan rugi kerana rezeki yang datang daripada Allah SWT itu kita tidak tahu dari mana puncanya. Dia akan beri rezeki dari jalan yang tidak di sangka-sangka apabila kita sahut seruan Allah SWT untuk sedekah dan infaq di jalan-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : 
“ .. dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”. (At-Talaaq 65:2-3) 
Seharusnya juga kita mengambil pengajaran daripada Firman Allah seperti berikut:
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (A-li'Imraan 3:92)
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (A-li'Imraan 3:133)
 Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?" (A-li'Imraan 3:180)
Sekian, semoga memberi manfaat.

Sumber Rujukan : blog cemerlang dan Pelbagai Sumber.

17 comments:

Unknown said...

SALAM,
TERIMA KASIH ATAS PERKONGSIAN. SELAMAT BERIBADAH RAMADHAN DAN BULAN2 SETERUSNYA

Unknown said...

SALAM SEKALI LAGI,
TERIMA KASIH ATAS KOMEN YANG CUKUP BERMAKNA DAN TERPERINCI DI BLOG MUSOLLAH EHSAN.

abu muaz said...

sangat tepat dalam suasana rakyat Somalia hampir mati kerana kebuluran

Anonymous said...

Assalamualaikum Kak Werdah,

Selamat berblog kembali Kak Werdah. Semoga akak sihat.

Terima kasih berkongsi cerita tentang Othman Affan yang juga menantu Rasulullah.

Abd Razak said...

Assalamualaikum Kak Werdah..

Moga kakak dikurniakan Allah SWT kesihatan yang baik lebih-lebih lagi di bulan yang penuh barakah ini.

Sesunggunya melakukan sesuatu iaitu sedekah walaupun sedikit tapi dengan istiqamah akan menjadi sempurna dan memperolehi barakah pada waktunya.

Terima kasih atas nasihat dan tazkirah yang sangat bermakna..

aby said...

salam k werdah ..
rasenya aby pun mcm k werdah juga ..
lama tk update blog ...

kesibukan yg teramat juga ..

becakap psl sedekan ni ..
memang mulia klu ada sifat2 mcm saidina othman tu ..
klu kita bersedekah dijalan allah sama la seperti kita membeli ASA,
Amanah Saham Akhirat ..
yg untung pelaburannya hanya dapat dirasai dan dinikmati dialam sebelah sana ..

sama la kita bersedekah, mudah mudahan ia dapat menjadi bekalan dalam membantu perjalanan kita dialam sana nanti ...

Werdah said...

Wa'alaikumussalam LF

Terima kasih juga untuk LF kerana datang membaca dan meninggalkan komen di sini. Sama-sama saling mengingatkan.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Abu Muaz

Ada tak tabung untuk disalurkan derma ke sana ya! Dan kalau adapun bolehkah dikenalpasti benar-benar ke sana...

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ani

Kak Alhamdulillah 'alaa kulli haal.. semoga Ani juga sihat dan dan dalam limpahan kasih sayangNya.

Kak ada mendengar kisah cincin Nabi Muhammad saw dipakai oleh Saidina Uthman selepas baginda wafat, dan pada masa Saidina Uthman ambil wudhuk di telaga yang dibelinya tadi cincin yang ditanggalkan dan diletakkan di bibir telaga hilang, lalu beliau menyelam mencarinya, kemudian tak jumpa dikerah supaya menimba perigi hingga kering tapi tak juga ketemui cincin tersebut, berdukacitalah beliau lalu pada suatu malam beliau bermimpi Rasulullah datang kepadanya dan menyuruh jangan cari lagi cincin tersebut kerana cincin itu telahpun dikembalikan Allah kepada baginda. Ini kak dengar daripada salah seorang mutawif di Tanah Suci ketika berpeluang ke perigi Saidina Uthman suatu ketika dulu.

Ya Ani bertuah menjadi sahabat dan menantu Rasulullah kan! dan tentunya antara 10 sahabat yang dah disahkan masuk syurga!

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Abd Razak

Terima kasih atas doa, harapan kak begitulah! Semoga Abd Razak juga dikurniakan Allah SWT kesihatan yang baik dalam bulan yang penuh barakah ini dan seterusnya. Amiin

Sukar mendidik hati jika kita merasakan segala harta kekayaan itu milik kita, walhal keuntungan berlipatganda bila kita menyedarinya dan mengahayati apa yang diperintahkan Allah SWT semata-mata untuk kebaikan kita.

Mudah2an kita dapat berusaha kuat dalam hal menyahut saranan Allah dan RasulNya.. amiin

Werdah said...

Wa'alaikumussalam aby

InsyaAllah kak akan ke blog aby nanti.. sungguh kadang-kadang dah hadap komputer rasa tak dapat tahan kesakitan jadi tutuplah.

Benar aby, sebab itulah dengan keyakinan yang benar; para sahabat cepat bertindak bila turun ayat-ayat memberitahu kebaikan dan keburukan sesuatu perkara.

terokai seni said...

assalamualaikum kak kwerdah...

amat malang umat islam yang menganggap kekayaan daki dunia, sebaliknya malang juga bagi muslim yang kaya raya tetapi bakhil berbelanja di jalan Allah...

kisah saidina Uthman ini perlu kita amik ikhtibar bagaimana untuk menjadi sorang peniaga mukmin yang zuhud tetapi sangat kuat bersedekah

Werdah said...

Wa'alaikumussalam cemomoi

Benar tu, agaknya mereka faham bahawa zuhud tu tak perlu ada harta, pada hal pengertian zuhud yang sebenar ialah mencari, memiliki dan memberi.

Menjadi kewajipan buat kita tidak bermalas-malas dan bila berusaha sedikit sahaja Allah akan berikan rezeki yang di dalamnya ada juga hak orang lain.

Anaasuria said...

Assalamualaikum kak,
lama saya 'lepak' kat blog akak mengutip ilmu.. :).. ni nak sambung lagi..

saya doakan semoga akak berjumpa dengan penawar sakit akak dan sembuh dari kesakitan..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Anaa

Terima kasih kerana mendoakan makcik di sini.. Semoga Allah kabulkan doa kita ya.. lebih2 lagi pada bulan yang penuh barakah ini.. rasanya kena panggail makcik.. makcik dahpun ke blog Anaa dah tengok anak-anak Anaa tu.. jadi layaklah dia orang tu panggil makcik ni nenek..

zulkbo said...

salam..
teruja dengan kesederhanaannya..terasa kerdil nya saya..kita mungkin mampu menginfakkan harta walau sebesar gunung sekali pun tetapi mampukah kita ikhlas..takutnya?

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Zul

Begitu juga dengan diri ini.. amat terasa bila membaca kisah-kisah para sahabat dan para ulama' silam yang begitu ambil berat persoalan hari akhirat..

Related Posts with Thumbnails