Thursday, October 7, 2010

Rawatan Prolotherapy

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian bagi Allah, selawat serta salam buat junjungan Nabi Muhammad saw, keluarga serta para sahabat dan pengikutnya.

Lama sebelum ini, lebih daripada setahun rasanya saya diberikan pamplet oleh anak sepupu saya; tentang rawatan sakit sendi tanpa ubat. Baru hari ini terasa nak cari laman webnya http://www.kerakemas.com/antiageing/

Di bawah ini disalin maklumat yang berkaitan dengannya. Rasa seperti ingin mencuba. Manalah tahu kali ini dapat dikurangkan sakit ataupun sakit terus hilang.

Prolotherapy

RAWATAN PEMULIHAN SAKIT SENDI /ARTHRITIS TANPA MEMAKAN UBAT PENAHAN SAKIT

Adalah sejenis rawatan untuk masalah sakit sendi yang akut dan kronik. Rawatan ini amat berbeza dengan rawatan biasa yang hanya mampu memberikan ubat penahan sakit atau pun suntikan penahan sakit atau steroid.

Rawatan ini mampu merawat kebanyakan masalah sakit sendi dan memberikan kesan baik pulih yang kekal malah sendi menjadi 40% lebeh kuat dan stabil .

Prolotherapy adalah sebahagian daripada ilmu kepakaran Perubatan Orthopaedic tetapi di Malaysia tidak ramai doktor yang mengetahuinya. Di Amerika Syarikat rawatan Prolotherapy ini amat popular dan terdapat kira-kira 3000 doktor mengamalkannya.

APAKAH PROLOTHERAPY?

Prolotherapy adalah hasil kombinasi daripada perkataan ‘Prolo’ dan ‘Therapy’. ‘Therapy’ bermakna rawatan, manakala ‘Prolo’ berasal daripada perkataan “Proliferation” yang bermakna proliferasi (pertumbuhan) sel-sel untuk membentuk tisu–tisu ligamen yang baru. Manusia mempunyai kaedah semula jadi untuk proses membaik pulih sebarang kecederaan iaitu dipangggil “inflammatory process” - proses inflammasi.

Konsep rawatan prolotherapy adalah dengan memulakan proses inflammasi setempat melaluai teknik suntikan di kawasan yang mengalami kesakitan akibat dari pada ligamen yang lemah , kendur ataupun tercedera. Suntikan yang di berikan adalah mengandungi ‘hypertonic solution’ yang merupakan ‘diagnostic’ dan ‘therapeutic’. Jumlah suntikan boleh berbeza dari satu suntikan ke dua puloh atau tiga puloh suntikan untuk sekali rawatan, ini tergantung kepada penyakit seseorang.

LIGAMEN
.

Struktur ini biasanya dilupakan oleh doktor-doktor kita. Ligamen adalah bahan yang menghubungkan ataupun pengikat antara tulang-tulang kita. Kestabilan dan kekuatan sendi-sendi kita bergantung kepada ligamen ini. Ligamen berwarna putih dan agak liat, ia tidak elastik serta ia tidak mempunyai bekalan darah yang terus dan ligamen hanya mendapat bekalan makanan, oksigen dan lain-lain keperluan melalui “sequestration” (perahan) hasil daripada pergerakan sendi . Kebanyakan sendi-sendi yang sakit adalah disebabkan masalah kekendoran ligamen. Apabila berlaku kecederaan kepada ligamen , ia sukar untuk pulih 100% kerana biasanya doktor akan merehatkan sendi terlibat dan pastinya memberikan ubat penahan sakit (NSAID) . Kedua-dua cara ini akan menyebabkan proses baik pulih (inflammatory process) terencat dan ligamen akan berlaku kekenduran. Ligamen yang kendur ini akan menyebabkan sendi tidak stabil dan pesakit mengalami kesakitan yang berlarutan dan akhirnya menyebabkan “secondary osteoarthritis”.

Rawatan Prolotherapy ini mampu merangsangkan semula proses inflamasi di ligamen
yang kendur dan dalam masa 6 minggu ligamen tersebut akan menjadi 40% lebih tebal dan regang semula untuk mengikat tulang-tulang dengan kuat. Kesakitan yang kronik itu akan terus hilang.

BOLEHKAH PROLOTHERAPY MEMBANTU ANDA?

Rawatan suntikan prolotherapy didapati berkesan untuk penyakit yang berikut:
  • Arthritis
  • Back Pain
  • Barre-Lieou Syndrome
  • Capal Turnal Syndrome
  • Cluster headache
  • Deep aching
  • Degenerative Arthritis
  • Degenerative Disc disease
  • Neck pain
  • Fibromyalgia
  • Kecederaan sukan
  • Whiplash injury
  • Partially torn tendons, ligament and cartilage
  • Herniated discs
  • TMJ
  • Sciatica

PROLOTHERAPY ADALAH SATU-SATUNYA CARA MEMBAIK PULIH SENDI-SENDI ANDA YANG SAKIT TANPA MEMAKAN SEBARANG UBAT PENAHAN SAKIT.

Pantangnya
apabila mengambil rawatan prolotherapy adalah jangan ambil ubat-ubat penahan sakit atau sebarang steroid.

Maklumat tambahan
- disalin daripada pamplet

  • Anda perlu membuat temujanji melalui telefon sebelum datang ke klinik.
  • Sebaik-baiknya jangan ambil sebarang ubat penahan sakit atau suntikan steroid 3 hari sebelum datang ke klinik.
  • Doktor akan terlebih dahulu memeriksa dan menentukan berapa suntikan yang diperlukan.
  • Rawatan untuk seorang pesakit mengambil masa kira-kira 30 minit hingga 1 jam.
  • Sila datang awal supaya temujanji dapat dipenuhi.
  • Selepas 2/3 hari rawatan, kesakitan menjadi lebih kuat lagi. Demam panas adalah reaksi biasa dan kesakitan akan berkurangan setelah seminggu.

Sesiapa yang tahu tentang rawatan ini atau yang telah pernah menjalani rawatan ini diharapkan dapat berkongsi maklumat.

Tuesday, October 5, 2010

Pada penciptaanNya terdapat tanda-tanda .......


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini ingin kongsikan tentang penciptaan Allah SWT oleh al-Khaliq, al-Bari' dan al-Musawwir.

Air, udara dan cahaya merupakan keperluan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Kita tidak akan dapat hidup tanpa tiga jenis ciptaan Allah SWT yang merupakan nikmat dan rahmatNya kepada kita.

Dalam merenung dan berfikir tentang manfaat air, udara dan cahaya kita juga pasti tertanya-tanya kenapa air begitu banyak diciptakan Allah di permukaan bumi ini dan air masin pula yang paling banyak mengatasi air tawar sehingga air masin itu menjadi lautan yang luas lagi dalam. Mengapakah Allah mencipta sedemikian rupa?

Sejak bumi tercipta terbentang luas berjuta-juta tahun dahulu, segala sampah sarap serta kotoran najis makhluk yang hidup berupa manusia, haiwan dan pokok-pokok akan hanyut ke dalam lautan, semuanya akan bercampur dalam lautan yang masin dan Allah SWT memproses segala kekotoran itu lalu dinaikkan air yang tawar dengan sinaran cahaya matahari sehingga air itu dapat mengelowap dan naik ke udara menjadi awan yang tebal. Kemudian setelah awan itu tebal Allah SWT memerintahkan pula angin untuk menghalau awan tersebut bagi menyebarkan hujan untuk kegunaan kita.

Allah berfirman maksudnya:

"Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatNya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halau ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). (Al-A’raf [7] : 57)

Subhanallah, inilah keagungan Allah SWT dengan menurunkan hujan maka daerah yang tandus menjadi tanah yang mengeluarkan hasil buah-buahan. Namun pada satu sisi, perhatikan pula dalam Surah Al-An’am [6] ayat 6 maksudnya :

"Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain? " (Al-An’am [6] : 6)

Mari perhatikan ayat-ayat Allah SWT tersebut, bahawa (1) hujan dapat menghidupkan tanah tandus atau kering kontang, (2) hujan yang lebat menyebabkan aliran sungai di bawah. Pertanyaan kita adalah bagaimana hujan tersebut boleh menyebabkan kedua perkara tersebut berlaku?.

Air hujan dapat masuk ke bawah permukaan tanah secara graviti yang sering disebut infiltrasi (infiltration). Infiltrasi air hujan ini akan dipengaruhi oleh sifat tanahnya.

Mari kita perhatikan tentang kitaran hidrologi yakni Kitaran air ; tiada titik permulaan, tetapi tempat permulaan yang agak baik ialah lautan. Matahari, yang menggerakkan kitaran air, memanaskan air dalam lautan, yang tersejat sebagai wap ke dalam udara. Arus udara yang naik akan membawa wap ke atas atmosfera. Suhu sejuk di atmosfera akan menyebabkan wap tersebut terpeluwap membentuk awan. Arus udara memindahkan awan-awan mengelilingi bumi, dan titisan-titisan awan akan berlaga, berkembang besar, dan kemudian jatuh keluar dari awan sebagai kerpasan (ialah hasil pemeluwapan wap air atmosfera yang ditarik ke bawah oleh graviti lalu termendap pada permukaan bumi).

Sebahagian kerpasan jatuh sebagai salji dan kemudian berlonggok sebagai kemuncak ais dan glasier. Salji pada iklim lebih panas akan cair apabila musim bunga tiba, dan air yang tercair itu mengalir di atas permukaan bumi sebagai air larian salji cair. Hampir semua kerpasan akan jatuh semula ke lautan atau daratan, dan akibat tarikan graviti, kerpasan ini akan mengalir pada permukaan bumi sebagai air larian permukaan. Tetapi bukan semua daripada air larian ini akan mengalir ke dalam sungai kerana sebahagian besar daripadanya akan menyerap ke dalam tanah sebagai infiltrasi ( proses masuknya air dari permukaan tanah ke dalam tanah).

Sebahagian daripada air ini akan berada hampir dengan permukaan bumi, dan akan menyerap ke dalam sumber-sumber air permukaan seperti sungai, tasik dan akhirnya ke lautan. Terdapat juga air yang akan memancar keluar sebagai 'mata air' daripada celah-celah permukaan bumi. Air permukaan yang cetek pula diserap oleh akar-akar tumbuhan dan akan disingkirkan dari permukaan daun melalui proses transpirasi tumbuhan. Sedikit sebanyak air ini akan diserap semakin mendalam ke dalam tanah dan akan mengisi 'Akuifer' (batuan sub-permukaan) yang dapat menyimpan air dalam kuantiti yang besar untuk jangka masa yang lama. Tetapi melalui tindakkan masa, air ini akan sentiasa bergerak untuk kembali semula ke dalam lautan, dan di sinilah kitaran air akan tamat dan juga bermula.

Allah berfirman maksudnya:
"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (al-Anbiyaa' [21] : 30) ;
Mari kita bayangkan jika air laut tidak masin dan segala kekotoran tidak diproses. Tentu seluruh dunia ini berbau busuk. Begitu juga dengan matahari jika Allah tidak benarkan ia menyinarkan cahayanya ke permukaan bumi dan lautan tentu awan tidak mengandungi hujan. Begitu juga jika angin tidak diizinkan bergerak bagaimana pula manusia boleh mendapat udara untuk bernafas.

Begitulah Allah al-Khaliq (Allah yang Maha Pencipta) mencipta seluruh alam ini dengan segala kesempurnaan, keindahan dan keagungan.

Dengan itu tidak ada alasan bagi manusia untuk mengingkari perintah Allah SWT.

Nota: Teringat sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah dulu mengajar mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam, tajuk kitaran hidrologi ini adalah dalam Bab Sumber Bekalan Air. Namun ketika itu belum lagi mendapat ilmu sebegini. Saya yakin dalam Geografi juga ada penekanan kepada kitaran hidrologi ini. Jadi kepada guru-guru yang masih mengajar bolehlah menerapkannya dalam sesi p&p. Betapa kamal, jamal dan jalalnya ciptaan Allah SWT.
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab Neraka". (Ali Imran [3] : 190 - 191)
Mungkin akan ada sambungannya lagi, insyaAllah.

Hayatilah nasyid ini, anda akan dapat merasakan jamal, kamal dan jalal pada gambar-gambar yang dipaparkan di dalamnya.. MasyaAllah! La Hawla Wa la Quwwata illa biLlah!, SubhanaLlah, walhamduliLlah wala iLaaha illaLlah Alllahu Akbar:



Sunday, October 3, 2010

Yang Maha Mencipta, Maha Mengadakan dan Maha Memberi Bentuk

Sumber Gambar : iloveislam

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini ingin berkongsi hasil mendengar ceramah tentang nama Allah Al-Khaliq , Al-Bari' dan Al-Musawwir

Al-Khaliq , Al-Bari' dan al-Musawwir mempunyai akar kata yang berbeza tetapi mempunyai persamaan daripada segi maknanya, kerana ketiga-tiga nama Allah ini mempunyai hubungan antara satu dengan yang lainnya yakni kerana ketiga-tiganya ada perkaitan tentang penciptaan dan pengadaan.

Al-Khaliq, nama Allah yang ke sebelas dalam senarai asmaul husna. Al-Khaliq (kalimat yang terbentuk daripada al-Khaliq seperti khaaliq - Yang Maha Mencipta diulang 8 kali sebagai nama Allah dan 150 kali yang berkaitan dengan makhluk (Khalaqa, yakhluqu, khaaliqun dan lain-lain).

Al-Bari' nama Allah yang ke dua belas disebut 1 kali sebagai nama Allah yang bermaksud Yang Mengadakan.

Al-Musawwir nama Allah yang ke tiga belas disebut 1 kali sebagai nama Allah yang bermaksud Yang Maha Memberi Bentuk Rupa (Yang Maha Membentuk).

Ketiga-tiga nama ini tidak boleh dipisahkan walaupun boleh dibezakan. Dalilnya ialah dalam ayat di bawah; ketiga-tiga nama itu Allah sebut secara tertib.

Allah berfirman dalam surah al-Hasyr [59] ayat 24

هُوَ ٱللَّهُ ٱلۡخَـٰلِقُ ٱلۡبَارِئُ ٱلۡمُصَوِّرُ‌ۖ لَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ‌ۚ يُسَبِّحُ لَهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ

Bermaksud:
"Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Maha Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Maha Memberi Rupa Bentuk (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi dan Dialah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana."
Makna asal Khaliq yang berasal daripada akar kata kha la qa (Kha' Lam Qaf) ialah:
  1. mengukur atau menyukat,
  2. mengatur
  3. dan menciptakan daripada tiada
Allah berfirman dalam surah Al-A'la:

ٱلَّذِى خَلَقَ فَسَوَّىٰ

"Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya". (Al-A'la [87] : 2)

Khalaqa di situ ialah mencipta kemudian sawwa itu memberi rupa bentuk. Dalam erti kata lain ; sebelum makhluk ini dicipta, Allah SWT telah menentukan ukuran, sukatan (berapa kadar) dan menentukan bagaimana kewujudan penciptaanNya. Katalah jika Allah hendak menciptakan kita, Allah dah ukur, sukat dan menetukan bagaimana rupa kita sebelum kita wujud. Ini bermaksud bahawa setiap yang dicipta itu telah ada dalam ilmu Allah bagaimana rupanya apabila maujud nanti. Boleh diumpamakan seorang jurutera atau seorang arkitek yang telah ada dalam fikirannya rumah yang akan dibina. Mereka telah tahu di mana bilik-bilik, berapa tiang, berapa bilik tidur, apa bahan-bahan yang akan digunakan. Inilah yang dikatakan peringkat Khalaqa iaitu dalam peringkat berada dalam ilmu sebelum tercipta.

Ini bermakna dengan sifat khalaqa yang dimiliki oleh Allah SWT; semua makhluk atau ciptaan yang maujud di atas muka bumi ini semuanya telah wujud dalam pengetahuan Allah SWT sebelum tercipta dan apa yang wujud dalam ilmu Allah itu nanti akan wujud dalam kenyataan bila dikehendaki dan telah tiba masanya.

Kemudian peringkat kedua selepas ditentukan oleh Allah SWT, telah diukur dan disukat tentang kewujudan sesuatu yang hendak dicipta berada dalam ilmuNya lalu Allah menggunakan sifat al-Bari'.

Makna asal al-Bari' yang terambil daripada 3 huruf yakni ba' ra' dan hamzah (ba ra a) ialah memisahkan sesuatu daripada sesuatu. Contohnya orang sakit bila sihat maknanya sakit telah berpisah darinya. Sebab itu orang yang sembuh daripada sakit; orang-orang 'Arab akan sebut bari'.

Nabi Ibrahim as pula ketika berkata kepada kaumnya yang menyembah berhala:

قَالَ يَـٰقَوۡمِ إِنِّى بَرِىٓءٌ۬ مِّمَّا تُشۡرِكُونَ

" Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya". (al-An'am [6] : 78).

Maksud bari' di sini ialah s
esungguhnya Nabi Ibrahim berkata; aku membebaskan diriku daripada kamu; maknanya aku tak nak campur, aku pisah, tak mahu ikut terlibat dalam mensyirikkan Allah. Itulah makna ba ra a (bari').

Dalam al-Quran banyak sekali ayat-ayat yang menerangkan tentang kejadian manusia. Apabila manusia diciptakan daripada air yang hina (air sperma lelaki yang mempunyai kekuatan yang memancar) dan dipancarkan bercampur dengan ovum perempuan, asalnya sel itu satu sahaja, kemudian sel berpecah jadi 2, 4, 8, 16, 32 ..... (inilah dipisah, dipisah)... dan seterusnya sel-sel ini ada yang membentuk hidung, kulit, tulang, rambut, kaki dan lain-lain; (siapa yang mengagih-agihkan menjadi semuanya ini?). Ini adalah tugas al-Bari', tanpa sifat al-Bari' mungkin tidak sempurna penciptaan manusia. Mungkin akan ada hanya satu jenis sahaja; hidung sahaja, atau mulut sahaja atau tangan sahaja dan lain-lain lagi. Itulah kuasa al-Bari' - amat hebat al-Bari'. Allahu Akbar WalilLahil Hamd.

Apabila di kawasan keliling rumah ditanam dengan pelbagai tanaman, di sebelah cili ada peria, di sebalah peria ada tebu; kenapa cili pedas, peria pahit dan tebu manis; itulah kerja al-Bari' yang memisahkan rasanya pada tanaman atas tanah di halaman yang sama. Kerjanya sangat halus dan berlaku dengan teratur sekali, yakni memisahkan, jika tadi dalam peringkat khalaqa; Allah merancang dan peringkat al-Bari' dah mula nak wujudkan apa yang telah tercipta dalam ilmuNya. Jika pada peringkat khalaqa baru kita nampak kepala besar dalam beberapa minggu belum lagi sempurna (masih dalam bentuk yang kasar). Masa tu belum nampak cantik. Jika dalam pembinaan rumah pula baru nampak tiang, rangka bangunan yang belum siap lagi, tapi dah nampak ruang dapur dan segala ruang yang akan dibuat.

Selepas itu menjadi tugas Al-Musawwir. Makna asal Al-Musawwir yang berasal daripada akar kata sa wa ra (sad waw ra') pula ialah gambar, ataupun bentuk, rupa, yakni peringkat Allah SWT mencipta juga tetapi peringkat ketiga yakni menghalusi. Di situ janin tadi sudah mulai boleh dikenalpasti sama ada lelaki atau perempuan, telah nampak dengan jelas mata, telinga masyaAllah bila bayi dalam kandungan mencapai 9 bulan 10 hari (purata) ; bukan sahaja penciptaannya yang sempurna malah saraf-sarafnya telah diciptakan dengan amat halus; halus sungguh bentuknya. (Itulah peringkat musawwir) kalau rumah; peringkat memasang grill dan hiasan-hiasan yang lain.

Firman Allah SWT:

بَلَىٰ قَـٰدِرِينَ عَلَىٰٓ أَن نُّسَوِّىَ بَنَانَهُ ۥ

Maksud: "Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tetapi Allah SWT mampu mengembalikan semula bentuk garisan yang ada pada ibu jari (si mati)". (4) (Surah al-Qiyaamah [75] : 4 )

Peringkat Musawwir ini hinggakan tanda cap jari antara seseorang tidak sama antara satu dengan yang lainnya sejak nabi Adam as hingga ke hari ini.
Allah dah lukiskan sebelumnya bahawa manusia tak akan sama antara satu sama lain. Kalau kita disuruh melukis gambar 10 orang mungkin senang juga lagi tetapi bagaimana kalau 1 billion, 10 billion bukan itu sahaja malah suarapun tidak sama, paras rupa hinggakan kembarpun ada sedikit perbezaan. Tidak macam kita; jikapun kita seorang pereka fesyen yang hebat sekalipun, tidak mungkin kita dapat cipta busana yang pelbagai, balik-balik kita akan ambil semula pattern yang lama kemudian modify. Subhanallah.

Pada peringkat musawwir; kita akan dapati apa sahaja ciptaan Allah SWT tidak satupun yang tak sempurna. Setiap ciptaanNya kita akan nampak 3 unsur iaitu, kamal (sempurna), jamal (indah) dan jalal (agung). Bukan sahaja kita nampak kesempurnaan malah kita akan nampak keindahan dan juga keagungan Allah SWT.

Kita kena perhatikan setiap makhluk ciptaan Allah dengan 3 unsur tadi. Dengan itu kita akan merasa bahawa setiap ciptaan Allah itu tidak sia-sia, semuanya ada tujuan dan hikmahnya.

Berkaitan dengan khalaqa Allah berfirman maksudnya:

ٱلَّذِىٓ أَحۡسَنَ كُلَّ شَىۡءٍ خَلَقَهُ ۥ‌ۖ وَبَدَأَ خَلۡقَ ٱلۡإِنسَـٰنِ مِن طِينٍ۬
"Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya (memperelokkan) dan dia telah memulakan kejadian manusia berasal dari tanah;" (as-Sajdah [32] : 7)
Ayat ini memberitahu kita hahawa tidak ada satupun ciptaanNya yang tak sempurna. Semuanya 'ahsana' - Allah memperelokkan ciptaanNya, Allah memperindahkannya. Oleh itu apa sahaja ciptaanNya adalah elok sempurna (kamal, jamal dan jalal). Bila kita dah nampak ke tiga-tiga unsur ini, kita akan berjaya memanfaatkannya.

Satu soalan, kenapa bila Allah dah berfirman seperti dalam surah as-sajdah di atas tadi, masih ada orang yang cacat? Jika Allah dah memperelokkan ciptaanNya bererti tidak ada cacat. Bagi menjawab persoalan ini; sebetulnya cacat atau tidak itu hanyalah daripada kacamata kita manusia; daripada pandangan Allah SWT tidak begitu. Cacat atau tidak itu adalah relatif. Sebagai contoh katalah sejak dulu manusia hanya ada sebelah tangan sahaja tidak dua; bila tiba-tiba bayi lahir ada dua tangan tentulah kita akan kata bayi itu cacat. Banyak perkara yang kita nilai tidak sempurna hanya kerana perkara itu lain daripada kebiasaan.

Ini adalah sebahagian daripada penerangan tentang Allah Al-Khaliq , Al-Bari' dan Al-Musawwir. InsyaAllah jika berpeluang akan ada sambungan.

Hayatilah firman Allah dalam surah at-Tiin di bawah :



Maksudnya:
"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Demi buah tiin dan zaitun, (1) Dan gunung Tursina, (2) Serta negeri (Mekah) yang aman ini; (3) Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (4) Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, (5) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. (6) (Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? (7) Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim? (8) "

Sekian semoga memberi manfaat.
Related Posts with Thumbnails