Tuesday, October 5, 2010

Pada penciptaanNya terdapat tanda-tanda .......


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini ingin kongsikan tentang penciptaan Allah SWT oleh al-Khaliq, al-Bari' dan al-Musawwir.

Air, udara dan cahaya merupakan keperluan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Kita tidak akan dapat hidup tanpa tiga jenis ciptaan Allah SWT yang merupakan nikmat dan rahmatNya kepada kita.

Dalam merenung dan berfikir tentang manfaat air, udara dan cahaya kita juga pasti tertanya-tanya kenapa air begitu banyak diciptakan Allah di permukaan bumi ini dan air masin pula yang paling banyak mengatasi air tawar sehingga air masin itu menjadi lautan yang luas lagi dalam. Mengapakah Allah mencipta sedemikian rupa?

Sejak bumi tercipta terbentang luas berjuta-juta tahun dahulu, segala sampah sarap serta kotoran najis makhluk yang hidup berupa manusia, haiwan dan pokok-pokok akan hanyut ke dalam lautan, semuanya akan bercampur dalam lautan yang masin dan Allah SWT memproses segala kekotoran itu lalu dinaikkan air yang tawar dengan sinaran cahaya matahari sehingga air itu dapat mengelowap dan naik ke udara menjadi awan yang tebal. Kemudian setelah awan itu tebal Allah SWT memerintahkan pula angin untuk menghalau awan tersebut bagi menyebarkan hujan untuk kegunaan kita.

Allah berfirman maksudnya:

"Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatNya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halau ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). (Al-A’raf [7] : 57)

Subhanallah, inilah keagungan Allah SWT dengan menurunkan hujan maka daerah yang tandus menjadi tanah yang mengeluarkan hasil buah-buahan. Namun pada satu sisi, perhatikan pula dalam Surah Al-An’am [6] ayat 6 maksudnya :

"Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain? " (Al-An’am [6] : 6)

Mari perhatikan ayat-ayat Allah SWT tersebut, bahawa (1) hujan dapat menghidupkan tanah tandus atau kering kontang, (2) hujan yang lebat menyebabkan aliran sungai di bawah. Pertanyaan kita adalah bagaimana hujan tersebut boleh menyebabkan kedua perkara tersebut berlaku?.

Air hujan dapat masuk ke bawah permukaan tanah secara graviti yang sering disebut infiltrasi (infiltration). Infiltrasi air hujan ini akan dipengaruhi oleh sifat tanahnya.

Mari kita perhatikan tentang kitaran hidrologi yakni Kitaran air ; tiada titik permulaan, tetapi tempat permulaan yang agak baik ialah lautan. Matahari, yang menggerakkan kitaran air, memanaskan air dalam lautan, yang tersejat sebagai wap ke dalam udara. Arus udara yang naik akan membawa wap ke atas atmosfera. Suhu sejuk di atmosfera akan menyebabkan wap tersebut terpeluwap membentuk awan. Arus udara memindahkan awan-awan mengelilingi bumi, dan titisan-titisan awan akan berlaga, berkembang besar, dan kemudian jatuh keluar dari awan sebagai kerpasan (ialah hasil pemeluwapan wap air atmosfera yang ditarik ke bawah oleh graviti lalu termendap pada permukaan bumi).

Sebahagian kerpasan jatuh sebagai salji dan kemudian berlonggok sebagai kemuncak ais dan glasier. Salji pada iklim lebih panas akan cair apabila musim bunga tiba, dan air yang tercair itu mengalir di atas permukaan bumi sebagai air larian salji cair. Hampir semua kerpasan akan jatuh semula ke lautan atau daratan, dan akibat tarikan graviti, kerpasan ini akan mengalir pada permukaan bumi sebagai air larian permukaan. Tetapi bukan semua daripada air larian ini akan mengalir ke dalam sungai kerana sebahagian besar daripadanya akan menyerap ke dalam tanah sebagai infiltrasi ( proses masuknya air dari permukaan tanah ke dalam tanah).

Sebahagian daripada air ini akan berada hampir dengan permukaan bumi, dan akan menyerap ke dalam sumber-sumber air permukaan seperti sungai, tasik dan akhirnya ke lautan. Terdapat juga air yang akan memancar keluar sebagai 'mata air' daripada celah-celah permukaan bumi. Air permukaan yang cetek pula diserap oleh akar-akar tumbuhan dan akan disingkirkan dari permukaan daun melalui proses transpirasi tumbuhan. Sedikit sebanyak air ini akan diserap semakin mendalam ke dalam tanah dan akan mengisi 'Akuifer' (batuan sub-permukaan) yang dapat menyimpan air dalam kuantiti yang besar untuk jangka masa yang lama. Tetapi melalui tindakkan masa, air ini akan sentiasa bergerak untuk kembali semula ke dalam lautan, dan di sinilah kitaran air akan tamat dan juga bermula.

Allah berfirman maksudnya:
"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (al-Anbiyaa' [21] : 30) ;
Mari kita bayangkan jika air laut tidak masin dan segala kekotoran tidak diproses. Tentu seluruh dunia ini berbau busuk. Begitu juga dengan matahari jika Allah tidak benarkan ia menyinarkan cahayanya ke permukaan bumi dan lautan tentu awan tidak mengandungi hujan. Begitu juga jika angin tidak diizinkan bergerak bagaimana pula manusia boleh mendapat udara untuk bernafas.

Begitulah Allah al-Khaliq (Allah yang Maha Pencipta) mencipta seluruh alam ini dengan segala kesempurnaan, keindahan dan keagungan.

Dengan itu tidak ada alasan bagi manusia untuk mengingkari perintah Allah SWT.

Nota: Teringat sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah dulu mengajar mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam, tajuk kitaran hidrologi ini adalah dalam Bab Sumber Bekalan Air. Namun ketika itu belum lagi mendapat ilmu sebegini. Saya yakin dalam Geografi juga ada penekanan kepada kitaran hidrologi ini. Jadi kepada guru-guru yang masih mengajar bolehlah menerapkannya dalam sesi p&p. Betapa kamal, jamal dan jalalnya ciptaan Allah SWT.
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab Neraka". (Ali Imran [3] : 190 - 191)
Mungkin akan ada sambungannya lagi, insyaAllah.

Hayatilah nasyid ini, anda akan dapat merasakan jamal, kamal dan jalal pada gambar-gambar yang dipaparkan di dalamnya.. MasyaAllah! La Hawla Wa la Quwwata illa biLlah!, SubhanaLlah, walhamduliLlah wala iLaaha illaLlah Alllahu Akbar:



8 comments:

Abd Razak said...

Salam Kak Werdah...

Semoga kakak sihat hendaknya di sana..

Subhanallah, Maha Suci Allah Dia menciptakan segala-galanya untuk makhluk ciptaanNya tiada yang sia-sia melainkan mendatangkan kebaikan kepada setiap makhluk...

Terima kasih, kak..:)

zai said...

Salam Kak Werdah...

Lama zai tak datang komen ke blog akak kan ???? bukan tak baca cuma tak komen jer hehehe..sbb kadang2 tu banyak jadi pengunjung sepi jer kat mana2 blog pun..kadang2 bila dah selalu sangat menaip setiap hari..bila pulang ke rumah...jari jemari ni dah jadi malas utk menaip pulak...apa2pun..zai ttp akan kenang seluruh kebaikan akak kepada zai selama kita berkenalan..

Semoga Allah SWT merahmati akak selalu..dan mudah2an segala kesakitan yg akak alami selama ni akan menjadi kifarah atas dosa2 yg lalu..amin

Terima kasih atas info yang diberikan diblog akak banyak sangat info yg sgt baik utk direnungkan kembali oleh kita semua yg sering alpa..

cemomoi said...

maha agung Allah menciptakan sesuatu tanpa ada kelemahan...

Werdah said...

Salam Abd Razak.

Alhamdulillah kak sihat, semoga Abd Razak juga sihat di sana.

Menyedari hakikat ini terasa amat kerdil diri..

Maha Suci Allah menjadikan semuanya untuk kegunaan manusia.

Werdah said...

Salam Zai.

Memang lama betul Zai tak tinggalkan kata-kata di blog kak.. kadang-kadang rasa rindu.

Hari ini nampak gambar Zai tu, alhamdulillah hilang sedikit kerinduan:)))

Rasa rugi tak bertemu hari tu, tapi kita ada alasan tertentu kan.

Takpa, insyaAllah suatu hari nanti kita tetap dipertemukan.

Terima kasih atas segala doa permohonan Zai buat kak. Allahumma Amiin.

Semoga Zai sentiasa diberi kelapangan, kesihatan dan kekuatan dalam menjalankan tugas seharian.

Werdah said...

Salam cemomoi.

Setuju sangat.. mudah2an kita dalam golongan orang-orang yang sentiasa memujiNya. Amiin

abu muaz said...

Salam. Manusia sangat sombong menerima amanah sebagai pentadbir bumi. Sebenarnya ia satu tugas yang berat yang tak tertanggung oleh bukit bukau dan gunung ganang.

Werdah said...

Salam Abu Muaz.

Sangat besar kerosakan yang dilakukan oleh manusia yang telah diamanahkan kepadanya untuk memakmurkan bumi, sedangkan makhluk lain bertasbih kepadaNya

Allah berfirman dalam surah Sad [38] maksudnya : "Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya; pada waktu petang dan ketika terbit matahari. (18) Dan (Kami mudahkan juga) unggas turut berhimpun (untuk bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya); tiap-tiap satunya mengulangi tasbih masing-masing menurutnya. (19)

Related Posts with Thumbnails