Friday, October 29, 2010

Nak Bawa Masalah atau Tak dalam Solat



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini ingin berkongsi tentang tajuk 'Khusyuk'. Semuanya ini adalah hasil mendengar ceramah tafsir berdasarkan tajuk (tafsir maudhu'i) yang bertajuk memahami makna khusyuk.

Istilah khusyuk ini sebenarnya bukan hanya kepada solat meskipun yang sering kita dengar kalimah ini kerap digunakan untuk solat.

Sebenarnya erti yang luas ialah merangkumi semua ibadah namun di sini ditulis dahulu tentang khusyuk dalam solat.

Orang-orang yang khusyuk dalam solat tanda-tandanya jelas kelihatan daripada ekspresinya yang tenang, tidak begitu tergesa-gesa dan kelihatan begitu sabar dalam melaksanakannya.

Dalam ayat di bawah ini khusyuk ialah ciri utama orang mukmin yang berjaya. Klik orang yang berjaya dan beruntung ialah orang khusyuk dalam solat.


Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (al-Mukminun [23] : 1- 2)

Kita boleh muhasabah diri kita, sama ada kita boleh mendapatkan khusyuk dalam solat atau tidak bedasarkan ayat-ayat yang akan diterangkan berikut:


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya". (al-Baqarah [2] : 45-46)

Ayat di atas ini boleh memberi makna khusyuk. Ada beberapa POIN penting untuk memahami khusyuk seterusnya mencapai khusyuk.

POIN PERTAMA adalah berkait rapat dengan perasaan amat memerlukan. Seseorang yang sedang merasakan amat memerlukan Allah, ibadah solatnya, puasanya dan zikir dan wiridnya sangat khusyuk. Ini berdasarkan:

وَٱسۡتَعِينُواْ
"Mintalah pertolongan"

MINTALAH, itu bermaksud hanya orang yang memerlukan sahaja akan meminta, jika dah boleh berdikari orang itu tak akan meminta.

Oleh sebab itu tanamkan sifat sangat memerlukan Allah, apatah lagi kita ini manusia yang lemah dan kita sangat memerlukan Allah.


"(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji". (Fatir [35] : 15)

ٱلۡفُقَرَآءُ

Ayat ini memberitahu kita kedudukan kita yang sebenar di sisi Allah. Al-Fuqara' ini maksudnya kita ini faqir dan amat berhajat kepada Allah. Seandai tulang belakang kita patah bayangkan apa yang kita boleh buat, makan, minum, bergerak semuanya memerlukan pertolongan orang lain. Faqir di sini bukan setakat memerlukan makan minum tetapi segalanya hinggakan nak mengerdipkan mata sekalipun kita tak berdaya jika tidak digerakkan Allah.

Allah Maha Kaya tak memerlukan atau berhajat kepada yang lain. Jadi janganlah kita merasakan kita boleh berdikari, bila malam kita boleh tidur janganlah terlalu yakin kita akan bangun esok harinya. Begitulah jika pada hari ini kita masih boleh mengetuk keyboard jangan terlalu yakin esok kita masih lagi dapat mengetuknya.

Jadi di sini, orang yang tidak ada keperluan payah untuk khusyuk, mungkin bila berdoapun seperti nak tak nak sahaja, laju dan tak fahampun apa maksudnya.

Kita kena merasa yang kita ini ada masalah. Mana mungkin kita tidak ada masalah cuma mungkin kita tidak peka kepada masalah. Contoh A, B, C dan D masing-masing ada anak. Semua perangai anak-anak mereka sama tidak ambil peduli tentang agama. A pandang ini masalah besar dan amat risau, B pula kurang sikit risaunya, C lagi kurang risaunya daripada B, manakala D langsung tak risau apa-apa dan D inipun sama seperti anak-anaknya.

Masalah kita sebenarnya terlalu banyak, apatah lagi kita banyak melakukan dosa. Hari-hari kita buat dosa. Sedangkan taubat kita entahkan cukup atau tidak. Bila kita bermuhasabah dengan ikhlas antara dosa dan taubat dan mendapati taubat kita kurang itulah masalah besar kita. Jadi bila nak mula solat dan merasakan dosa terlalu banyak daripada taubat sepatutnya kita dah rasa takut jadi bila berdoa dalam solat contoh bila berdoa dalam duduk atara dua sujud ketika kita kata Rabbighfirli kita rasa bergetar memohon keampunan daripada Allah.

Sebelum ini kita sering dengar, ketika kita angkat takbiratul ihram 'Allahu Akbar' tinggalkan masalah di belakang. Sepintas lalu ada kebenarannya, tetapi kena lihat apa masalah yang nak kena tinggal. Jika masalah makan tengah hari tadi tak sedap, atau masalah tadi bergaduh di jalan raya, itu tak bolehlah dibawa dalam solat.

Oleh itu kita perlu rakam dulu dalam memori kita apa masalah yang nak dibawa menghadap Allah, jika dosa ingat satu-satu perkataan yang kita ucapkan dalam solat, jika kita kata Allahu akbar segala rasa sombong, pandai dan hebat, semuanya hancur. Bila berdoa dalam duduk antara dua sujud ingat kesemua nama Allah asmaul husna, Allah al-Ghafur (Maha Pengampun), Allah ar-Rahman, Allah al-Jabbar, Allah ar-Rafi', Allah ar-Razzak, Allah al-Hadii, Allah al-'Afuww. Masalah kita mesti ada dalam 7 doa ini. Allahpun menyuruh kita memohon dengan menyebut namaNya dalam asmaul husna.


Marilah kita mula menghayati ketika kita duduk di antara dua sujud semasa solat. Dengan rendah hati kita nyatakanlah permohonan ampun kepada Allah. Boleh baca Hayatilah doa antara dua sujud di sini

Ketika ucap Rabbighfirli (Tuhanku!, ampunilah aku). Diamlah sejenak, buka diri kita untuk menerima ampunan daripada Allah.

Warhamni (dan kasihanilah aku). Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih sayang Allah yang tak terhitung besarnya. Ingatlah bahawa Allah Maha Pengasih akan sentiasa memberikan banyak kasih sayangNya kepada kita.

Begitulah berturut-turut sampaikanlah permintaan-permintaan berikut dengan merasakan sebagaimana tersebut di atas, satu persatu.

Wajburnii (tutuplah aib-aibku)

Warfa'nii (angkatlah darjatku)

Warzuqnii (berilah aku rezeki)

Wahdinii (berilah aku petunjuk)

Wa'Aafinii (sihatkanlah aku)

Wa'fuannii (maafkan aku)

Setelah selsai, diamlah sejenak lalu sampaikan rasa syukur kita. Betapa besarnya nilai sebuah doa ini. Jangan kita bazirkan begitu sahaja. Janganlah kita lafazkan dalam keadaan seperti kita tidak sedar atau seperti kita sedang berpura-pura memohon sesuatu sedangkan hati antara mahu dan tidak mahu. Jika begini selayaknyalah Allah menilai kita seperti itu.

Contoh yang mudah, katalah kita ingin berjumpa dengan orang yang kita rasakan hajat kita boleh ditunaikan, dan orang itu bersedia mahu berjumpa kita, namun bila kita bertemu dengannya, kita tak bercakap tentang apa yang kita hajati, kita hanya berbual sekadar menceritakan hal-hal lain. Akhirnya kita pulang dengan tangan kosong.

Kita tak perlulah bawa banyak sangat masalah untuk Allah selesaikan dalam satu solat. Elok cari masalah yang lebih utama. Syaratnya simpan dalam memori kemudian khasnya dalam doa duduk antara dua sujud tu mohon kepada Allah. Subhanallah, sangat makbul sebab Allah dah suruh mintalah pertolongan dengan solat. Tentang doa ini, sebenarnya banyak dalam solat kita apatah lagi solat keseluruhannya adalah doa, mulai daripada doa ifititah sampailah ke salam semuanya doa.

CERITA:

1) Kisah dalam Surah Ali Imran [3] ayat 37 hingga ayat 41


Maka dia (Mariam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Mariam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Mariam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Mariam menjawab; Ia adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira. (37) Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. (38) Lalu dia diseru oleh malaikat sedang dia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah memberi khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua dan juga akan menahan diri dari berkahwin dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh. (39) Nabi Zakaria berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul? Allah berfirman: Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya. (40) Nabi Zakaria berkata lagi: Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung). Allah berfirman: Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi. (41)

Di sini masalah Nabi Zakaria ialah dia tidak ada zuriat, sedangkan dia sedar dia telah tua, isterinya pula mandul, dia pula sebatang kara, dia risau tidak ada pengganti untuk meneruskan ajarannya. Mungkin berbulan-bulan atau bertahun-tahun Nabi Zakaria berdoa, jadi ketika dia nampak Mariam dapat rezeki di dalam Mihrab, dia bertanya kepada Mariam daripada mana semuanya ini. Dan dijawab oleh Mariam ; Ia adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira. Lalu Nabi Zakaria berdoa seperti dalam ayat 38 di atas. Bila Nabi zakaria berdoa yang menariknya doanya disambut dengan jawapan oleh malaikat seperti dalam ayat 39 iaitu Nabi Zakaria masih lagi dalam solat (Nabi Zakaria masih lagi sedang berdiri di Mihrab). Maksudnya Allah bagi tahu kepada Nabi Zakaria ketika dalam solat. Nabi Zakria pula berkomunikasi dengan Allah juga dalam solat dengan bertanya separti dalam ayat 40 dan Allah menjawabnya dalam ayat 41.

Dalam kisah ini bukanlah Nabi Zakaria berdialog secara berhadapan dengan Allah maksudnya melihat Zat Allah, tetapi Nabi Zakaria berdoa dengan begitu khusyuk dalam solatnya dan dapat merasa Allah berkomunikasi dengannya.

2) Kisah dalam ayat (al-Baqarah [2] : 144) . Nabi Muhammad saw pun pernah alami perkara seperti ini. Lihat ayat berikut:


"Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan". (al-Baqarah [2] : 144)

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Kami bersembahyang di Madinah menghadap Baitul Maqdis selama 16 belas bulan, dan setiap kali mendirikan solat menghadap Baitul Maqdis Nabi berharap sangat Allah mengutuskan Jibril as membawa wahyu menukarkan kiblat ke Kaabah dan Allah Maha Mengetahui akan hati Nabi yang sangat merindui Kaabah. Ini dialami oleh Nabi bukan sekali dua bahkan kerap dan agak lama. Sangat luar biasa, ketika Nabi sedang solat turunlah ayat di atas. Lalu Nabi terus menukar kiblat pada ketika itu juga. Jadi itulah doa dalam solat. Ini berlaku dalam Masjid Qiblatain.

Itulah POIN PERTAMA iaitu mintalah pertolongan. Nak dapat khusyuk mestilah ada rasa memerlukan lebih-lebih lagi besar hajatnya. Kita ini faqir, apatah lagi kita dah tak dapat mengharapkan siapa-siapa lagi contoh jika kita sakit, ubat dan doktor semuanya dah dicuba. Jika berhutang kita dah minta tolong kepada ramai orang semuanya tak dapat membantu. Ketika ini hatta orang-orang kafirpun akan khusyuk, lihat ayat di bawah:


"Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur". (Yunus [10] : 22)

Jadi kesimpulan bagi POIN pertama ini ialah cuba senaraikan masalah kita untuk dibawa dalam solat, supaya kita khusyuk dalam solat.

InsyaAllah jika ada kekuatan akan sambung lagi POIN KEDUA. Semoga bermanfaat.

NOTA: Artikel lain berkaitan dengan khusyuk boleh klik pada label khusyuk dalam solat.

26 comments:

Anonymous said...

Salam Kak Werdah,

Semoga akak sihat sentiasa.

Terima kasih kak sudi berkongsi sesuatu yang amat berfaedah ini. Akan cuba dimanfaatkan sebaik mungkin.

Saya tunggu poin kedua.

zulkbo said...

salam..
DOA adalah kunci utama.
selebihnya tawakkal..

Abd Razak said...

Salam kak Werdah...

Moga kakak sihat hendaknya..

Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

P/S : Tak berapa sihat ni, kak! Dah 2 hari sakit kepala..

aby said...

salam k werdah,
entri yg menarik,
tp bile berckp psl khusyuk ni,
aby rase warm up seblm bersolat tu amat penting, bermakna kite menyediakan diri utk solat. contoh.. seblm solat dia duduk membace quran atau berzikir utk seketika dan selps tenang baru kite mulekan solat ..

yg jd masaalahnye ..
kebanyakan kire bersolat ( termasuk aby ) hanya kerane kite nak melepaskan tuntutan wajib keatas kite. dalam keadaan tengah banyak tugasan, benti kejap, bersolat dan sambung balik keje...
silap2 dlm solat perkare2 keja masuk dalam fikiran .. tu yg solat bukan saje tk khusyuk malah di buat kelambut ..

apepun aby nak sambung ayat al mukminun setelah k werdah buat yg mule,
ayat
[9]
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
[10]
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -
[11]
Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.

aby suke surah ni ...

Unknown said...

SALAM,
TERIMA KASIH ATAS TAZKIRAH INI. KEKHUSYUKAN DALAM SOLAT MEMANG DIIMPIKAN. IBLIS LAKNAT SENTIASA BERUSAHA MENGGANGGU KITA.
LF TUNGGU N3 SETERUSNYA !

Ibnu Samaon Al-Kuala Lumpury said...

Salam ziarah kak.

Subhanallah.Entri yang bermanfaat.
Point membawa memori kedaifan kita ke dalam solat adalah suatu yang terlepas pandang.
Jazakillahu khairan jazaa.

Kami menunggu perkongsian kak seterusnya dengan izin Allah. wasalam.

ckg rash said...

Assalamu'alaikum,

Moga kesihatan makcik semakin baik untuk terus memberi peringatan pd yg lalai...

Benarlah solat yg tiada khusyuk umpama jasad yg tiada roh...

Ada masalah baru khusyuk & telah berkata Adl Dlahak ra, "Brgsiapa tidak diuji antara tiap2 40 hari dgn satu bala, kedukaan @ musibah, maka tidak ada kebaikan baginya di sisi Allah SWT"...

Werdah said...

Salam Ani.

InsyaAllah poin berikut akan kak usahakan dengan izin Allah jua.

Kak juga berteima kasih kepada kawan kak yang kerap juga ziarah kak dan memberikan maklumat-maklumat terbaru bila beliau selesai satu-satu kuliah tafsirnya.

Bila ustaz selalu berpesan sampai-sampaikanlah kepada yang tak hadir, jadi kak ambil peluang semoga Allah memberi kebaikan. Namun kak juga masih jauh tersasar daripada khusyuk ini. Diharapkan bila mengetahui serba sedikit dengan daya upaya yang Allah bekalkan kak juga ingin berusaha ke arah lebih baik.

Terima kasih kerana Ani sering mendoakan kesihatan kak. Semoga Ani juga demikian. Allahumma Amiin

Werdah said...

Salam Zulkbo.

Doa ada dua satu doa ibadah dan satu lagi doa masalah. Kedua-dua doa ini senjata orang mukmin. Bila berdoa dalam kedaan tidak khusyuk tidaklah Allah tunaikan. Itulah yang selama ini kita anggap kita dah berdoa. Jadi kita boleh bertawakkal selepas kita betul-betul dah luahkan kepada yang sudi memberi dan yakin si pemberi akan memberibarulah kita rasa tenang biarpun belum lagi terkabul.

Werdah said...

Salam Abd Razak.

Didokan agar sakit kepala segera dihilangkan dan semoga Allah merahmatimu.

Kak alhamdulillah sihat.

Itulah yang kita perlu rasa bahawa diri kita amat kerdil apatah lagi dalam solat memang banyak ucapan Allahu Akbar, tinggal lagi kita perlu merasainya termasuk diri kak, selalunya lalai.

Sedangkan Allah dah ingatkan Pawailun lil musalllin... nerakalh orang yang solat.. takut sungguh..

Werdah said...

Salam aby.

Apa yang aby cakap ni ada dalam syarahan ustaz ni. Sebab itulah Allah suruh kita bina hubungan saling ingat mengingati antara kita dengan Allah bukan saat nak solat sahaja.Allah suruh setiap masa, ada ayatnya, insyaAllah akan menyusul dalam poin berikutnya.

Teringat kisah kak mengajar dulu ada seorang pelajar kak, monitor kelas kak, tak lekang songkok di kepala, tiba saat azan dia akan minta ke surau.

Ya, dia seorang sahaja sedangkan cikgu dia yang seorang ni masih terikat dengan jadual kelas.

Subhanallah ketika ini kak terharu sangat ingatkan dia. Alhamdulillah masa tu tak pernah halang dia nak bersolat. Dia benar-benar hayati panggilan Allah.

Werdah said...

Salam LF

Kita semuanya sama, sayapun begitu,susahnya nak khusyuk. Itulah agaknya doa susah terkabul. Kalau mengikut ayat yang Allah bagi tau kepada Nabi kita bahawa Nabi Adam tergelincir adalah kerana Nabi Adam as tidak kuat keazamannya. Ada lagi Allah bagi tahu bahawa sebenarnya Iblis tidak sekuat manusia yang ikhlas, jadi kita kena latih banyak-banyak, bukan sehari dua atau sebulan dua tetapi kena latih hari-hari dan istiqamah supaya kita dapat khusyuk.(kena cari balik ayat-ayat tu)

Harapan saya juga supaya ada kekuatan lagi untuk menulis.

Mudah2an Allah membantu kita dalam melatih diri untuk khusyuk kepadaNya.

Werdah said...

Salam Ibnu Samaon.

Rasanya ramai yang terlepas pandang bab ini sebab dulu ramai yang mengupas hadis dan ayat-ayat al-Quran secara harfiyah.

Kakpun baru tahu fasal ni hinggalah dengar ceramah ni.

Untung jugalah ketika ini ramai juga di kalangan ulama yang belajar secara mendalam dan ingin berkongsi dengan kita.

Werdah said...

Salam ckg Rash.

Alhamdulillah makcik sihat. Terima kasih atas doa yang diungkapkan.

Benar tu, solat yang tidak ada roh dalamnya tidak diterima Allah.

Makcikpun bimbang tentang hadis tu. Apa tidaknya, masalah kesihatan berlanjutan. Namun makcik tak boleh buruk sangka dengan Allah, sebab kitapun tahu bahawa Allah adalah menurut sangkaan kita.

ummu said...

Salam Kak Werdah
sungguh Allah tu Dia nak dengar doa dan harapan kita kan kak.
cuma saya sebagai hambaNya ni je kadang kala rasamalu tak bertempat nak minta doa.
Terima kasih atas perkongsian akak .

piewahid said...

Salam kak,
t kasih kerana sentiasa memberi sokongan dan doa.

entri ini byk menyedarkan saya tentang beberapa pkara yg telah saya abaikan. sangat menyentuh hati. jazakallah khier...

Werdah said...

Salam ummu.

InsyaAllah lepas ni kita mohon kepada Allah agar DIA bantu kita untuk melatih diri mendapatkan khusyuk lalu kita boleh berdoa sepenuh hati. Perkara ini bukan boleh kita peroleh dengan mudah dalam sehari dua latihan.. banyak perkara yang menghalang kita untuk khusyuk.

Werdah said...

Salam piewahid.

Samalah dengan diri kak.. bila dapat sakit baru belajar semua ni.. mudah2an tidak terlamabat untuk berusaha.. mudah2an Allah mengampuni dosa-dosa kita. Allahumma Amiin

Kamsiah yusoff said...

kak
time solat tu la...time tinat hutang piutang..si polan tak bayar hutang kita lagi..itu la..ini la..ishhh banyak sungguh gangguan dan godaan syaitan utk mengalih tumpuan kita..

Werdah said...

Salam kamsiah.

Itulah yang kita kena pelajari, dan bila kita faham kita dapat melatihkan diri kita.. kak dah pernah tulis ttg manusia ini lebih kuat daripada syaitan dalam tajuk Allah al-'Adzim. Fasal hutang tu tak apa balah ke dalam solat minta pertolongan daripada Allah agar bebanan hutang kita dapat diselesaikan.

tehr said...

salam
entri yang sangat bermanfaat dan saya amat berterima kasih - syukur alhamdulillah

Guru said...

assalammualaikum kak werdah

alhamdulillah baru tahu teknik ini, memang sering hadapi masalah tak khusyuk dalam solat ni...

Werdah said...

Salam tehr.

Semoga kita dapat memanfaatkannya.

Werdah said...

Salam Normah.

Ustaz kata ramai yang terlepas pandang tentang mentafsirkan ayat-ayat al-Quran. Sebab itu kak suka dgr ceramah ustaz ni. Dia begitu teliti dalam mentafsirkan ayat-ayat. Syukur dapat belajar. Tinggal lagi nak praktis tu yang sukar.

abu muaz said...

yes, t.kasih.
ramai yang lupa makna bacaan...mungkin itulah solat tak kusyuk atau memang masalah hidup terbawa-bawa dalam solat.

Werdah said...

Salam Abu Muaz.

ya...itu salah satu punca tak khusyuk dalam solat sebab tu kena faham apa yang kita baca supaya kita tak jadi burung kakak tua yag tahu berkata-kata tp tak faham apa yang dia kata... tentang masalah hidup yang besar seperti sakit, anak tak menjadi dalam agama , rasa dosa banyak, itu perlu dibawa dalam solat.

Related Posts with Thumbnails