Monday, April 23, 2012

Siapakah Orang-orang Kafir itu?


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji bagi Allah yang selayaknya dipuji. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan sekelian yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Dalam kuliyah tafsir surah al-Balad ayat 19 dan 20 Ustaz Kariman menerangkan siapakah orang kafir yang dimaksudkan oleh Allah dalam al-Quran.

Allah berfirman:

90:19
Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. - (Al-Balad 90:19) 
 90:20
Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya). (Al-Balad 90:20) 
Di dalam al-Quran Allah menyebut bahawa orang-orang kafir akan disiksa atau diazab dengan siksaan yang amat pedih dan kekal di dalam neraka. Jadi kafir yang mana?

Ustaz menyatakan bahawa orang kafir golongan pertama ialah orang yang memang  tidak percaya langsung akan ajaran Islam dan kerana dia tak percaya dia engkar dan dia tolak. Manakala golongan kedua ialah orang yang mengengkari ajaran Islam sama ada dengan ucapan ataupun perbuatan tetapi hati kecilnya membenarkan.

Menurutnya Imam Arrahib asfahani membuat kajian bahawa terdapat 6 makna kafara dalam al-Quran.

Dalam surah al-Baqarah ayat 89 Allah berfirman:

2:89
Dan tatkala telah datang kepada mereka sebuah Kitab (Al Quran) dari sisi Allah , yang mengesahkan/membenarkan (Kitab Taurat) yang ada pada mereka , sedangkan mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Dan tatkala telah datang kepada mereka apa yang mereka telah sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka mengingkarinya (kufur) dengannya; maka (dengan yang demikian), laknat Allah menimpa ke atas orang-orang yang kafir ingkar itu. (Al-Baqarah 2:89
Dalam ayat ini 3 kali perkataan kafir diulang iaitu:

1)  عَلَى ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ
atas kaum kafir musyrik 

2)  ڪَفَرُواْ بِهِۦ‌ۚ
mengingkarinya (kufur) dengannya

3)  ٱلۡكَـٰفِرِينَ
orang-orang yang kafir ingkar itu

Makna kafir bagi ketiga-tiga perkataan di situ tak sama;

1)  عَلَى ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ

Sebenarnya ayat ini menceritakan tentang ahli kitab di Madinah. Sebelum turunnya al-Quran, sebelum lahirnya nabi Muhammad SAW, ahli-ahli kitab sentiasa berdoa kepada Allah supaya Allah percepatkan janjinya menurunkan nabi terakhir dan al-Quran. Ini kerana telah tercatat dalam kitab mereka bahawa nabi terakhir sahajalah yang dapat membebaskan mereka daripada ditindas oleh orang-orang kafir musyrik.

Jadi orang-orang kafir yang dimaksudkan dalam kalimah di atas ialah orang-orang kafir musyrik yang telah lama memperhambakan dan menindas ahli-ahli kitab. Jadi ahli-ahli kitab ingin supaya terlepas daripada aniaya orang-orang musyrik.

Kafir pertama ini mereka langsung tak percaya agama, tak percaya hari kemudian, tak percaya syurga dan neraka.

2)  ڪَفَرُواْ بِهِۦ‌ۚ

Manakala kafir yang disebut dalam kalimah kedua ialah orang-orang yahudi dan nasrani (ahli kitab). Apabila nabi lahir dan al-Quran pun diturunkan; mereka ni kufur kepada nabi. Ini maknanya mereka percaya Nabi Muhammad sebab sebelum lahirnya Nabi Muhamad SAW, mereka dahpun dengar namanya disebutkan dalam kitab mereka, dan mereka nanti-nantikan tapi bila dah datang mereka kufur. Mereka enggan mengaku dengan mulut walaupun mereka tahu nabi itu betul-betul nabi. Inilah kufur kedua, mereka engkar walaupun hati mereka membenarkan.

Tak kiralah kafir yang mana, dua-dua jenis ini sama sahaja akan dilaknat oleh Allah SWT kerana satunya tak percaya agama, hari kiamat, syurga dan neraka manakala yang kedua dia percaya kerasulan nabi Muhammad tapi mengingkarinya atau menentangnya. Kepercayaan kepada kerasulan tak memberi apa-apa manfaat kerana sikap mereka, perbuatan mereka menentangnya. 

3)  ٱلۡكَـٰفِرِينَ

Kalimah ini bermaksud orang-orang yang tidak mengamalkan ajaran Islam walaupun orang itu membenarkan dalam hatinya.Ini kafir jenis ketiga.

Apa beza yang ketiga ini dengan yang kedua tadi?

Yang kedua tadi; dia mengingkari ajaran agama walaupun hati dia membenarkan. Manakala yang ketiga ini pula dia tak mengingkari, hatinya membenarkan, ucapan, perbuatan tak menentang cuma tak mengamalkannya. Kufur seperti ini ramai. Ramai percaya nabi, bersyahadah, percaya bahawa maksiat boleh bawa masuk neraka tapi dia tidak meninggalkan amalan yang membuat dia masuk neraka. Orang seperti inipun kafara. Orang begini tidak melakukan amalan yang membolehkannya masuk syurga.

Dalam surah al-Baqarah 104 Allah berfirman:

2:104
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu berkata: "raa'ina", (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: "unzurna", dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Al-Baqarah 2:104)
Ayat ni ditujukan kepada orang yang beriman bukan yang lain (khas untuk orang beriman). Di sini Allah menasihatkan orang-orang beriman jangan kata "raa'ina" sebaliknya katakanlah "unzurna".

Daripada segi makna jika ini bahasa Arab maksud raa'ina ialah jagalah kami, peliharalah kami, unzurna pula bermaksud lihatlah kami, pandanglah kami atau perhatikan kami.

Pada masa al-Quran diturunkan di Madinah khususnya ramai ahli-ahli kitab. Mereka mempunyai bahasa sendiri. Ada perkataan yang sama diucapkan oleh orang Arab dan oleh ahli kitab. Kalimah sama, tetapi maknanya berbeza. Ayat-ayat al-Quran diturunkan dalam perkataan Arab. Perkataan Arab dengan perkataan Yahudi kadang-kadang sama perkataan tetapi maksud lain, contoh raa'ina dalam bahasa Arab bermaksud  jagalah kami, peliharalah kami, unzurna pula bermaksud lihatlah kami, pandanglah kami atau perhatikan kami. tapi raa'ina bagi Yahudi maksudnya lain. Kalimat ini digunakan oleh yahudi untuk memaki-maki orang. Bila marah orang dia kata raa'ina.

Jadi Allah nasihatkan kepada orang mukmin jangan kata raa'ina walaupun dalam bahasa kamu maknanya baik tapi dalam bahasa Yahudi tak baik, nanti Yahudi dengar mesti dia kata orang mukmin ni kenapa pula maki-maki orang. Allah nasihatkan katalah unzurna, pandanglah kami ya Allah. 

Setelah orang-orang mukmin dilarang kata demikian; Allah perintahkan pula orang-orang mukmin "dengarlah oleh kamu (sami'na waat'ana)".

Seterusnya Allah kata "bagi orang-orang kafir siksa yang sangat pedih". Siapakah kafir dalam ayat ini? 

Di sini ustaz mengatakan bahawa jika dalam satu ayat; bila Allah sebut tentang orang-orang beriman pada awalnya dan sebut pula orang-orang kafir pada hujungnya; itu bukan bermakna ada dua golongan, bukan juga kafir Quraisy. Kafir di sini ialah dia mukmin yang percaya ajaran agama, dia tidak mendustakan tetapi dia tidak mengamalkan suruhan Allah. Orang mukmin seperti ini juga disebut kafir yang akan disiksa dengan azab yang pedih. Dia mukmin tapi kafir dalam istilah dipanggil kufur kecil tapi dosanya besar.

Golongan pertama dan kedua tadi dipanggil kufur besar. Akidahnya rosak, amalannya hancur, kufur yang ketiga digelar kufur kecil, percaya Allah, percaya ajaran agama tidak menentangnya tapi tidak mengamalkannya.

Maksud kafir yang lain (ke empat) ialah tidak mensyukuri nikmat Allah, suka menyembunyikan, dalilnya dalam surah Ibrahim ayat 7:

14:7
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".(Ibrahim 14 :7) 
Menyalahgunakan nikmat Allah itupun kufur lawannya syukur. Pengertian syukur antaranya menggunakan nikmat sesuai dengan kehendak pemberi nikmat, nikmat mata digunakan sesuai dengan tujuan Allah kehendaki, umur atau waktu itu nikmat, jadi isikan dengan perbuatan yang dikehendaki Pemberi nikmat. Jika kita gunakan berlawanan dengan kehendak pemberi, itulah kufur. Ini banyak berlaku. Buktinya ketika mata masih terang, lidah masih fasih, bersila masih tahan, berdiri lama masih kuat, tak buat, bila mata dah tak nampak dah tak boleh baca al-Quran, keinginan datang meluap-luap, sering keinginan datang lambat, ketika banyak harta keinginan bersedekah berkongsi tak ada, bila bangkrup baru teringat, timing tak tepat . Lalu ketika dah tak boleh buat semuanya itu maka wiridlah kalau.. kalau.. dia ingat dengan hitung kalau dia dapat pahala..Subhanallah.

Makna  kelima : Kufur dalam erti kata tidak merestui / menyetujui, menyukai, perbuatan, orang buat benda tak elok (menyalahi agama) wajib kufur. Contoh orang tua yang tak merestui perbuatan mungkar anaknya itu wajib.

Lihat dalam surah al-muntahanah ayat 4 :

60:4

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur/tidak mengiktiraf/ ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali! (Al-Mumtahanah 60:4 
Orang mukmin kata kepada orang kafir bahawa kami tak setuju dengan kamu, kami tak suka perbuatan kamu atau perbuatan orang mukmin yang menyalahi agama. Hukumnya wajib.

Makna kufur ke enam; ialah petani, peladang, pekebun, penanam (orang ini al-Quran panggil kafir / kuffar)
Kenapa demikian? Lihat ayat di bawah:

57:20

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka/takjub/hairan dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Al-Hadiid 57:20) 

Makna asal kafara ialah menimbus, menutup lubang. Jadi penanam pun dipanggil kafir/kuffar.

Setelah memahami makna kafir seperti yang dijelaskan di atas, mari lihat kepada ayat di bawah:

90:19
Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. - (Al-Balad 90:19) 
Orang kafir dalam ayat ini yang pastinya adalah daripada golongan pertama dan kedua. Itulah golongan kiri.

Kufur jenis ketiga dan keempat dimasukkan juga ke neraka tapi tak kekal dalam neraka. 

Orang yang tak solat sebab malas dan dia tahu dia berdosa, itu kafir golongan ke tiga. Bila sebut mukmin muslim dia solat walaupun kadang-kadang tak selalu, hari Jumaat tak pergi, jemaah tak pergi tapi hari raya dia duduk di belakang iman, inipun tak tak termasuk dalam kategori pertama dan kedua.

Bila disebut  kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, pula ini bermakna ayat yang Dia firmankan / wahyukan, juga ayat yang Dia ciptakan / tidak wahyukan (bumi, langit dan isinya).

Supaya terbebas daripada terjerumus membuat kesalahan Ibnul Qayyim al-Jauziah seorang ulama yang cukup terkenal mengkaji ayat-ayat Allah menyatakan bahawa kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kamiada lima :

Kalau seseorang lakukan salah satu bolehlah dikatakan kufur kepada ayat-ayat Allah.

Mari lihat dalam Surah al-Furqan ayat 30:

25:30
Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu yang ditinggalkan/diabaikan/tidak dipedulikan, tidak dipakai". (Al-Furqaan 25:30 
Rasul ni merujuk kepada Nabi Muhammad SSAW. Kalimah "mahjuraa" pula daripada perkataan hijrah. Hijrah pula maknanya meninggalkan sesuatu yang dibenci. Nabi SAW mengadu bahawa kaumnya meninggalkan al-Quran. Ini berlaku pada zaman turunnya al-Quran.

Ibnul Qayyim al-Jauziah kata maksud ditinggalkan di sini ialah:

1) Tidak mendengar bila dibaca kepadanya dan tidak mempercayainya - ini paling berat kerana jangankan nak mengamalkan nak mendengarpun tak mahu atau tak sudi.

2) Tidak mengamalkannya dan tidak mengetahui yang halal dan haram walaupun dia membaca dan mempercayainya - inipun berat sungguh kerana bila baca wailun likulli humazatill hingga akhir ayat lepas baca sadaqallahul adzim; kemudian orang ini baca pula ayat mahukah kamu makan daging saudara selepas baca dia sambung balik mengumpat, orang ni  mencaci, mengejek, mentertawakan, ancaman Allah sangat berat inipun termasuk al-laziina kafaru.

3) Mengabaikan al-Quran dalam menyelesaikan persengketaan, perbalahan - Contoh: Suami isteri jika berbalah kena kembali kepada al-quran pasti selesai masalah tetapi jika tak buat makna tak percaya 

4) Orang yang tidak melakukan usaha untuk dapat memahami maksud ayat al-Quran - Orang ini daripada dulu tahu baca tapi sampai sekarang tak berusaha untuk memahami. Inipun termasuk orang-orang yang mendustakan ayat-ayat al-Quran. Begitu juga orang yang khatam banyak kali tapi tak faham apa yang dibaca.

5)  Mereka yang tidak menjadikan al-Quran sebagai penawar penyakit rohani (khususnya) dan penyakit jasmani umumnya.

Kelima-lima ini susunannya menurun maknanya yang pertama yang paling berat, ertinya dosa orang yang baca al-Quran tapi tak faham kurang daripada dosa orang yang langsung tak mahu mendengar.. tapi kedua-duanya ini tergolong dalam golongan orang yang kufur dengan ayat-ayat Allah.

Ustaz mengingatkan bahawa bila kita dah baca al-Quran dan cuba memahami makna kita kenalah amal... jika tidak terhumban ke neraka... wal'iyazubillah...

90:20
Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya). (Al-Balad 90:20) 
Api ditutup rapat-rapat, mereka duduk di dalam, tak tutuppun dah teruk inikan pula tertutup kemudian tak berhenti-henti pula, makin bertambah-tambah, kalau dalam oven pasti akan meletup sebab lama.. 

Sekian, semoga bersabar membaca N3 yang panjang ini sambil kita muhasabah diri dalam golongan manakah kita? Sambil itu kita berusahalah memperbaiki diri. Semoga Allah memberikan kekuatan buat kita memperbaiki diri. Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah SWT. 

Sunday, February 26, 2012

Yang Memulai dan Mengulangi

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.


Segala puji bagi Allah yang selayaknya dipuji. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan sekelian yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Hari ini ingin kongsikan tentang asmaul husna al-Mubdiu dan al-Mu'iidu. Kedua-dua nama ALLAH (sifat-sifat ALLAH) ini perlu difahami secara serentak; maksudnya kena bincang sekaligus bagi memudahkan pemahaman dan perlu ingat bahawa Allah memberikan sendiri namaNya dan pasti ada hikmah Allah meletakkan nama-nama ini secara berdampingan. Lihat ayat-ayat di bawah:

A034
Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): "Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan/mengulangi adanya semula (pada hari kiamat)? "Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk kemudian Ia mengembalikan adanya semula (untuk menerima balasan); oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?" (Yunus 10:34
A004
KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dia lah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya/mengulangi (hidup semula sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur. (Yunus 10:4)
Kalimah ini tidak diketemukan dalam al-Quran, namun yang dapat kita temui ialah dalam bentuk fe'el (kata kerja).

Al-Mubdiu asal daripada 3 huruf iaitu ba' dal dan hamzah (ba da aa) yang maksudnya:

1)  Memulai sesuatu pekerjaan
2)  Sesuatu yang terpenting
3)  Nasib

Al-Mu'iidu pula asal daripada 3 huruf 'ain waw dan dal ('aada, ya'uudu, 'uud) yang maksudnya:

1) Mengulangi/kembali
2) Pendua bagi sesuatu/duplicate iaitu diulangi lagi, dibuat lagi... seterusnya dibuat lagi

Untuk memahami sifat atau nama-nama baik ini mari baca seterusnya:

PERTAMA: Al-Mubdiu iaitu memulai; ALLAHlah yang memulai segala ciptaan, ALLAHlah yang memberi kesan tidak ada, ALLAHlah sahaja yang menjadi penyebab segala yang maujud. Bila ALLAH kehendaki ada maka adalah.
"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi". (Yaa Siin 36:82)
Kita wajib yakin bahawa Allah sahajalah yang menjadi penyebab segala kejadian, jika tidak bermakna kita syirik kepada sifat Rububiyyah Allah. Syirik kerana yakin selain Allah yang menjadi penyebab berlaku sesuatu perkara.

KEDUA: Al-Mubdiu juga bermaksud Allah sahajalah yang MEMILIKI segala yang maujud (INNA LILLAHI WAINNA ILAIHI RAAJI"UUN) yakni segala sesuatu adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Jika DIA Menghidupkan DIA jugalah yang mematikan.

KETIGA; Allah akan mengulangi apa yang DIA telah ciptakan (Al-Mu'iidu). Contoh; jika pada hari ini ada seorang yang lahir dan ada seorang yang lain mati; bagaimana Allah ciptakan yang lahir itu begitulah pula sama caranya Allah ciptakan orang yang mati itu. Cara bekerja organ-organ dalam badan orang-orang terdahulu sama dengan cara bekerja organ-organ dalam badan orang yang ada pada hari ini. Sebab itulah organ boleh didermakan. Orang-orang dahulu perlukan Oksigen orang sekarangpun begitu. Bayangkan jika cara ciptaan Allah tak sama yakni sentiasa berubah-ubah apakah yang akan berlaku?. Jika berubah-ubah bagaimana akan ada pakar dalam bidang-bidang tertentu?. Jika hari ini pakar hidung buat kajian untuk masa kini tiba-tiba hari esok hidung tak sama lagi maka kepakaran itu tak dapat digunakan lagi.

Allah berfirman maksudnya:
"...... Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi " Sunnatullah " (undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan " Sunnatullah " itu. (Faatir 35:43
KEEMPAT: Allah bukan sahaja mengulangi ciptaan bahkan Allah juga mengulangi FUNGI ciptaan. Kulit dicipta untuk merasa cuaca (panas atau sejuk) nanti di akhirat Allah akan cipta kulit dengan fungsi yang sama.
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (An-Nisaa' 4:56)
Dalam ayat di atas Allah tak kata hidung, mulut sebabnya kulitlah yang boleh rasa panas dan sejuk, maknanya jika di dunia kulit yang merasa panas dan sejuk maka di akhirat nanti fungsinya tetap sama. Inilah juga salah satu tanda atau sifat kebesaran Allah yang Memulai dan Mengulangi (Harap baca di sini) untuk penjelasan pakar tentang struktur kulit.

Selain itu sifat kebesaran Allah yang Memulai dan Mengulangi; Allah sentiasa mengadakan sesuatu daripada lawannya; api lawannya air; hidup lawannya mati, malam lawannya siang. Dalam al-Quran Allah selalu nyatakan bahawa Dia ciptakan malam daripada siang, hidup daripada mati. Dalam ayat 80 surah Yaasiin Allah beritahu kita bahawa Dia ciptakan api daripada air yang sejuk; Allah berfirman:
"Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang berwarna hijau basah (hidup/basah/ada air) untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu".(Yaa Siin 36:80)
Dalam ayat di bawah:
"Daripada bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi." (Taha 20:55
Allah memberitahu tentang al-Mubdiu dan al-Mu'iidu bahawa Dia cipta kita daripada bumi dan akan masukkan kita ke dalam bumi dan kemudian akan keluarkan pula kita kali kedua daripada bumi. Kita hanya muncul sekejap sahaja atas bumi. Oleh itu Allah suruh manusia mainkan watak utama (khalifah) di atas muka bumiNya bukan sebagai pelakon tambahan. Jika berjaya mainkan watak utama di dunia, bila masuk semula ke dalam tanah manusia akan mulia. 

Kita berasal daripada air yang hina; jika tidak tertumpah dalam rahim tak ada siapapun yang suka. Sebab itulah Allah suruh bila dengan iradahNya dah jadi manusia; jadilah manusia yang mulia. Allah bagi kesempatan untuk memuliakan diri kita sangat sekejap. Sebelum kita ada di atas muka bumi ini kita tak tahu berapa lama berada di alam roh, kemudian berapa lama pula di alam barzakh. Di akhiratpun kita tak tahu berapa lama, yang kita tahu hanya semasa berada di dunia; itupun yang telah kita guna.

Sekarang al-Mubdiu dan al-Mu'iidu yang berkaitan dengan amalan: "Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!" (As-Saaffaat 37:96). Allah bukan sahaja sekadar cipta kita tetapi amalan kita juga. Apa sahaja perbuatan kita tak kiralah baik atau buruk Allah yang ciptakan, tinggal lagi pilihan di tangan kita. Jika kita buat baik balasannya baik; jika kita buat jahat balasannya tentulah hukuman. Mati bunuh diri atau mati kerana sakit semuanya dengan izin Allah tapi ingat! bila orang tu bunuh diri bermakna Allah cipta perbuatan tu tapi orang tu yang pilih dan bunuh diri natijahnya dosa besar.

Tentang balasan di akhirat; Allah akan ulangi apa yang berlaku di dunia, ingat semasa nabi Isra' mi'raj; nabi nampak manusia yang disiksa salah satunya hantuk kepala ke batu, sebaik sahaja berkecai Allah cantumkan seperti asal kemudian hantuk lagi, bila ditanya kenapa? Itu untuk orang-orang yang tak solat. Menurut ustaz  kepala yang dihantuk bukan anggota lain ialah kerana solat ni amalan berfikir. Semua orang mampu buat tapi kenapa tak nak buat. Solat tak seperti zakat yang perlukan duit, haji yang perlukan tenaga dan wang, puasa juga perlu sihat tubuh badan tapi solat bila sakitpun kena buat. Jika tak nak buat maknanya meringan-ringankan arahan Allah, otaknya yang kata tak perlu buat; saja-saja tak nak buat. Sebab itulah kepalanya yang dihantuk. Inilah pengulangan yang dimaksudkan, sunnatullah tak berubah..

Kemudian nabi berjalan lagi nampak pula orang yang potong lidah, lidah cantum kemudian balik potong lidahnya; perkara ni berlaku berulang-ulang . Ini kesalahan yang amat berat iaitu bercakap tak serupa bikin.
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (As-Saff 61:2 - 3)
Tentang harta pula Allah sebut dalam surah at-Taubah bahawa dahi, rusuk dan belakang diseterika. Harap dapat baca di link yang diberi ini, jika tulis di sini lagi panjanglah N3 kali ni. Ini menunjukkan apa yang akan berlaku di akhirat kepada orang yang bakhil sama seperti yang berlaku di dunia. Biasanya manusia bila didatangi peminta, reaksi mula-mula yang ditunjukkannya ialah dahi, berkerut-kerut menunjukkan tak suka orang datang meminta kemudian berpaling kiri atau kanan dan seterusnya membelakangi peminta.

Daripada sini kita faham bahawa apa yang kita buat di dunia; akan diulangi di akhirat seperti yang diterangkan serba sedikit tadi. Allah beri balasan tentang apa yang kita buat bukan tentang apa yang kita minta. Jadi bila kita minta nak masuk syurga dan nak jauh daripada neraka maka amalan kita perlulah sesuai dengan syarat-syarat yang Allah letakkan.. jangan pula kita minta nak masuk syurga tapi amalan kita macam tak sabar-sabar nak masuk neraka (wal'iyazubillah).

Bagi yang buat baik pula elok kita lihat apa yang Allah ceritakan dalam surah al-Waaqi'ah, Allah berikan balasan kepada orang-orang yang menyebarkan salam, maknanya yang berbuat baik kepada sesama insan semasa di dunia, maka di akhirat mereka berada dalam syurga berhadap-hadapan, tak ada perkataan buruk selain perkataan baik-baik, masing mengucapkan salam. Sama tak apa yang berlaku di sana dengan di sini? jadi bila nak dapat yang baik maka kebaikan jugalah yang perlu kita buat. Kalau di dunia tak berupaya nak sebarkan salam, nak bagi kesejahteraan kepada orang maka tak dapatlah ucapan salam di sana nanti.

Sekian semoga memberi manfaat.

Monday, February 13, 2012

Tunjukilah kami!

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum...

Segala puji bagi Allah, pujian yang menyamai nikmat-nikmatNya dan mencukupi kelebihanNya. Wahai tuhan kami! BagiMu segala pujian sebagaimana layak bagiMu kedudukan keagungan dan kebesaran kekuasaanMu. Maha suciMu yang tak mampu kami mengira berapa banyak puji-pujian ke atasmu seperti yang Engkau puji ke atas diriMu sendiri. Maka layak bagiMu segala pujian sekiranya telah Engkau redhai dan bagiMu juga pujian selepas keredhaan itu.

Ya Allah! Sampaikan selawat serta salam ke atas junjungan nabi Muhammad, keluarganya, sahabatnya dan orang-orang yang mengikutinya sehingga ke hari kiamat.

Hari ini ingin sambung perkongsian pengajian tentang perkara pertama yang Allah suruh kita minta daripadaNya. Itulah doa permohonan kita dalam ayat ke enam surah al-Faatihah.

1:6

Tunjukilah kami jalan yang lurus. (Al-Faatihah 1:6)


Selepas Allah menyuruh kita untuk meminta hanya kepadaNya, Allah suruh kita minta petunjuk iaitu al-hidayah (huda). 

Di sini Allah memberitahu kita bahawa yang paling penting untuk kita minta (selepas iyyakana'budu waiyyaka nasta'iin)  ialah petunjuk (huda). Itulah yang terbesar yang perlu kita minta. Semua keperluan lain Allah dah sediakan tanpa kita mohon dan bila kita mohon Allah bersedia memberi.

Al-hidayah (huda) bermaksud:

1) Sesuatu yang menghantarkan kita kepada apa yang kita harap/hajatkan.
2) Sesuatu yang diberikan dengan cara yang lemah lembut.

Dengan itu pengertian al-hidayah daripada segi bahasa ialah sesuatu yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita dengan lemah lembut bagi mencapai apa yang kita hajatkan.

Dalam pengajian ini ustaz ada menerangkan bahawa dalam bahasa Arab; apa yang boleh kita pelajari daripada segi susunan perkataannya ialah, kadang-kadang selepas perkataan "huda" ada "ila" dan ada juga yang tak ada "ila" selepasnya ; contoh ihdina ni tak ada ila selepasnya tapi terus siraatalmustaqiim.

Jadi menurut ustaz susunan yang berbeza ini mempunyai pengertian yang berbeza.

Pertama: 

Jika ada ila selepasnya menunjukkan hidayah itu bersifat umum sebaliknya jika tak ada ila selepasnya bermaksud hidayah khusus

Kedua:

Yang ada ila, hidayah yang dinisbahkan kepada nabi dan rasul, sebaliknya yang tak ada ila dinisbahkan kepada Allah SWT.

Ketiga:

Yang ada ila  berkaitan dengan pelaku atau pemberi petunjuk bagi mendapatkan kebahagiaan dunia dan akhirat, sebaliknya yang tak ada ila bermaksud tergeraknya hati (terbuka hati) untuk melakukan amal / bukan lagi ditunjuk ajar bahawa ini boleh dan tak boleh kerana orang ini telahpun dapat petunjuk.

Keempat:

Petunjuk yang ada ila (huda ila)  ditujukan kepada mereka yang masih berada dalam kesesatan (atau belum berada di atas jalan yang benar), sebaliknya yang tak ada ila orang itu dah berada di atas jalan yang lurus/benar namun mohon tambahan petunjuk.

Lihat ayat-ayat di bawah ini:

42:52
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, (Asy-Syuura 42:52)

Dalam ayat di atas (Asy-Syuura 42:52) yang tak ada ila 

(Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami); dan yang ada ila 

(Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus)

Hidayah atau petunjuk ke jalan lurus itu bermaksud hidayah bersifat umum (sebab itulah ada ila selepas huda) yang memberitahu bagaimana manusia dapat mencapai kebahagian dunia dan akhirat. Itulah dengan tunjuk ajar apakah amalan yang perlu dibuat untuk ganjaran pahala dan apa yang perlu dielak bagi menjauhkan celaka.Di dalam al-Quran diberikan panduan-panduan. Ada dua perkara sahaja iaitu BUAT dan JANGAN BUAT. 

Rasul dah beritahu (yang ada ila selepas huda) perkara-perkara  BUAT dan JANGAN BUAT   ini, cuma ada yang menerima dan ada yang tidak. Ayat yang ada ila ini ditujukan kepada orang-orang yang masih berada dalam kesesatan.

Lihat ayat di bawah ini pula:

37:118

Dan Kami berikan hidayah petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus. (As-Saaffaat 37:118)

Dalam ayat (As-Saaffaat 37:118di atas tak ada ila, yang dimaksudkan keduanya itu ialah nabi Musa dan nabi Harun sememangnya dah ada hidayah dan Allah berikan tambahan hidayah.

Lihat pula ayat di bawah:

28:56
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). (Al-Qasas 28:56)
Dalam ayat di atas  (Al-Qasas 28:56ini tak ada ila dinisbahkan kepada Allah SWT. Allah yang berkuasa memberikan hidayah.


Allah dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim telah memberikan petunjuk ajar bukan sahaja sekadar disuruh memohon kepadaNya tetapi Allah memberitahu kita tentang apa yang terpenting yang perlu diminta. Ini kerana manusia mempunyai banyak keperluan dan Allah bagi tahu kita yang terpenting untuk kita minta ialah supaya Allah bukakan hati untuk menjalankan ibadah kepadaNya. Ini kerana walaupun manusia memohon dengan penuh keikhlasan dan Allah mengabulkan permohonan tetapi adakalanya belum tentu perkara yang dipohon itu baik buat manusia sebab bagi Allah dengan sifat rububiyyahNya akan bagi apa sahaja yang diminta sama ada baik ataupun tidak baik buat hambaNya.

NOTA: Mengambil masa yang agak panjang menyiapkan tulisan ini.. bimbang sukar difahami... tetapi intipatinya ialah perkara yang paling penting untuk kita lakukan ialah  ialah selalulah kita mohon tambahan petunjuk daripada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.. supaya kita mendapat hidayah taufiq Allah.. supaya kita menjadi rajin beramal. Berilmu tanpa amal menyebabkan kerugian dan penyesalan...dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang ini.
Related Posts with Thumbnails