Monday, December 9, 2013

Doa Nabi Musa 'alaihissalam

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

DOA yang diajar untuk kita ketika sulit dalam mendapatkan rezeki atau jodoh dan permasalahan yang lain. 

 DOA NABI MUSA 'ALAIHISSALAM 

MUNGKIN ramai di kalangan kita seolah-olah berputus asa bila berhadapan dengan masalah menjemput rezeki, mendapatkan jodoh atau menghadapi pelbagai kesulitan yang lain.

SEMUA ini telahpun dirasai oleh Nabi Musa as. Baginda dibesarkan di dalam istana Fir’aun, kemudian baginda lari kerana bimbang atau takut dibunuh oleh pengikut-pengikut Fir’aun. Baginda sampai pula ke tempat yang tidak mempunyai makanan dan minuman serta tidak pula mempunyai pekerjaan, tidak juga mempunyai isteri dan keluarga.

DI DALAM perjalanan baginda sampai ke sebuah telaga, ketika itu ada dua orang perempuan yang ingin mengambil air di telaga tersebut. Nabi Musa as membantu mereka, setelah itu Nabi Musa as beristirahat dan berdoa. Disebabkan doa tersebut keadaan jadi berubah.

SEKARANG ramai di kalangan kita meremehkan doa dan hanya berpegang dengan usaha tanpa doa.

USAHA dengan disertai doa jauh lebih baik daripada usaha yang tidak disertai dengan doa.

DOA Nabi Musa ketika itu ialah sebagaimana yang difirmankan Allah SWTdi dalam Surah al-Qasas: 

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
( القصص [ 28] : 24 )

(Rabbi inni limaa anzalta ilaiyya min khairin faqiir)

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian/sesuatu kebaikan yang Engkau berikan".(Al-Qasas [28] : 24)

SELEPAS BERDOA datanglah kepadanya salah seorang wanita yang telah dibantu mengambil air di telaga tadi, dan wanita itu berkata bahawa ayahnya memanggil Nabi Musa as untuk memberikan upah atas sesuatu yang telah dia lakukan, tetapi nabi Musa as menolak untuk menerima upah tersebut, dan ternyata nabi Musa as dinikahkan dengan salah seorang daripada wanita tersebut.

MAKA MARILAH kita mbil pengajaran daripada kisah ini dengan perbanyakkanlah doa di atas, insya~Allah segala usaha dipermudahkan Allah sama ada kita inginkan rezeki berupa wang ringgit, jodoh, atau apa sahaja urusan.

~Allah tempat kita minta pertolongan~

Monday, November 11, 2013

Yakin VS Rasa

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.



Perkongsian rengkas tentang apa yang disyarahkan oleh Ustaz Kariman dalam YouTube di atas ini.

Jika ditanya kepada semua muslimin dan muslimat tentang keyakinan terhadap Allah Yang Maha Mendengar dan Maha Melihat pasti semua akan jawab "ya" dengan penuh keyakinan.

Walaupun begitu cuba tanya pada diri sendiri adakah kita merasa bahawa Allah SWT mendengar dan melihat kita?

Belum tentu.

Orang yang hanya yakin bahawa Allah Maha Melihat tetapi tidak merasa yang dia dilihat oleh Allah SWT, dia pasti mencuri.

Orang yang hanya yakin bahawa Allah Maha Mendengar tetapi tidak merasakan Allah sentiasa mendengar ucapannya, dia akan mengumpat.

Kesimpulannya:

Orang jadi baik jika dia merasa dilihat oleh Allah, merasa Allah hampir bukan hanya yakin. 

Sama ada kita yakin atau tidak Allah tetap Maha Mendengar, Allah tetap Maha Melihat.

Sikap kita kepada Allah SWT tidak mengubah kemuliaan Allah.




Monday, September 16, 2013

Yang Maha Agung


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

N3 ini merupakan sebahagian yang pernah ditulis sebelum ini di SINI

Al-'Adzim ٱلۡعَظِيمُ ialah nama Allah yang ke 33 dalam senarai nama-nama Allah yang baik, Al-Asmaul husna.

Perkataan ٱلۡعَظِيمُ diulang sebanyak 100 kali dalam al-Quran merupakan satu jumlah yang bukanlah sedikit. Terdiri daripada 3 huruf iaitu 'ain, dza' dan mim.. Makna asalnya ialah AGUNG ataupun BESAR sama ada berkaitan dengan benda yang boleh dilihat dan dipegang ataupun yang abstrak seperti 'arasy Allah , akhlak dan sebagainya.

Tidak semua perkataan ini merujuk kepada nama Allah; ada juga yang ditujukan kepada sifat makhluk; contoh 'arasy 'adzim ('arasy yang agung) , khuluqin 'adzim (akhlak agung), ada ajrun 'adzim (sifat bagi pahala yang besar), sihir, tipu daya dan sebagainya.

Al-'Adzim ٱلۡعَظِيمُ yang dikaitkan dengan nama Allah dalam al-Quran ada ketikanya berdiri dengan sendiri dan ada ketikanya dirangkaikan dengan kalimat lain, sebagai contoh yang dirangkaikan dengan kalimat lain ialah dalam ayatul kursi surah al-Baqarah ayat 255 yakni ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ   [(Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) ]. 


"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya." (al-Baqarah [2] : 255)

Kita perlu memahami bahawa:

1) Allah al-'Adzim bermaksud; Allah Zat yang wajib wujud atau yang kewujudannya wajib dan menjadi sumber kewujudan segala yang maujud. Allah wajib wujud; wujud benda-benda lain adalah kemungkinan, mungkin boleh wujud dan mungkin tidak. Allah berfirman dalam surah al-Hadid [57] ayat 3


Maksudnya: "Dialah Yang Awal dan Yang Akhir dan Yang Zahir serta Yang Batin dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Hadid [57] : 3)

Di sini kita lihat betapa agungnya Allah. Bagaimana Allah tidak agung jika sifat Allah itu sendiri berlawanan. 

DIAlah yang awal yakni tidak didahului oleh sesiapa dan DIAlah juga yang akhir, maksudnya DIA sentiasa ada ketika segala yang maujud telah tiada. DIA juga zahir (nampak) dan (sangat jelas). Mengapa tidak? Segala yang kita lihat dalam alam ini adalah bukti kewujudanNya pada masa yang sama Allah Maha tersembunyi (batin - tiada siapa yang dapat melihatNya).

Dalam hal ini semua makhluk yang ghaib kita tak dapat melihatnya kecuali jika Allah memperlihatkan kepada kita. Contoh; alam barzakh, neraka dan syurga serta siksaan di alam akhirat. Nabi Muhammad SAW pernah diperlihatkan oleh Allah syurga, neraka dan alam barzakh semasa Isra' dan mikraj. 

SATU SAHAJA yang kita tak boleh lihat walaupun jika diperlihatkan kepada kita yakni ALLAH SWT YANG MAHA AGUNG.

BETAPA AGUNGNYA ALLLAH. Allah kata DIA bersedia untuk memperlihatkan dirinya kepada Nabi Musa as. Nabi Musa as pernah meminta kepada Allah SWT untuk melihat Allah tetapi apabila Allah bertajalli (memperlihatkan) kepada bukit, bukitpun hancur. Begitulah AGUNGnya Allah SWT.

2. Allah al-'Adzim bermaksud Allah lebih agung daripada yang lainnya, Allahuakbar pula bermaksud Allah lebih besar. 

Ada orang kata Allah berada di langit, jika betul maknanya langit lebih besar daripada Allah. Maha Suci Allah, Allah tak perlukan tempat sebab DIA AGUNG. Yang lain-lainnya semuanya kecil. Maqam Allah sangat mulia, ucapanNya (firmanNya) sangat mulia. Jadi membaca al-Quran lebih mulia daripada membaca surat khabar. Jangan jadikan al-Quran no 2 yakni lebih mengutamakan membaca surat khabar daripada al-Quran. Jika ini berlaku maknanya kita tidak mengagungkan Alllah SWT sebaliknya mengagungkan surat khabar.

3. ALLAH Al-'Adzim ialah Allah yang Agung kerana segala yang ada di langit dan di bumi tunduk kepadaNya sama ada secara sukarela atau terpaksa termasuk bayang-bayang.

Bagi memahami perkara ini, mari kita lihat Firman Allah berikut:


"Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk (bernyawa) yang ada di beberapa langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. (Ar-Ra'd [13] : 15)

Sujud secara terpaksa di sini contohnya ialah dilahirkan lelaki atau wanita, kulit putih atau hitam, Melayu, Cina dll, mengantuk, terjaga; semuanya ini terpaksa. Yang dimaksudkan dengan bayang-bayang kitapun turut sujud pada waktu pagi dan petang ialah bila pagi bayang-bayang panjang, kemudian tengah hari menjadi pendek, bila petang kembali panjang semula. Inipun terpaksa kerana tak boleh dipinda atau diubah mengikut cita rasa kita. Begitulah patuhnya makhluk sama ada yang bernyawa atau tidak bernyawa kepada kehendak Allah.

"Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, daripada makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya)." (An-Nahl [16] : 49)

BETAPA KERDILNYA KITA... ALLAHU! Perbanyakkanlah mensucikan Allah Yang Maha Agung, Maha Tinggi, Bertasbihlah dengan Nama Tuhnmu Yang Maha Tinggi dan dengan segala kepujian.



Related Posts with Thumbnails