Tuesday, September 28, 2010

BERTEMU ALLAH SWT

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

MELIHAT WAJAH ALLAH TA'ALA YANG MAHA MULIA dengan jelas dan terang tanpa ditabiri dan secara berhadap-hadapan langsung tiada penghalang merupakan satu kenikmatan yang PERLU/WAJIB dijadikan cita-cita oleh setiap manusia yang beriman.

Sudah pasti semua orang ingin melihat wajah Allah yang selama ini sukar untuk dibayangkan rupa bentukNYA, hanya sekadar mengetahui melalui sifat-sifatNYA yang mulia.

Allah berfirman maksudnya:

"Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatat semuanya). (Al-Insiqaq [ 84 ] : 6)

Nikmat di akhirat bukanlah semata-mata nikmat kebendaan; yang paling utama ialah BERTEMU DENGAN ALLAH TA'ALA. Tujuan ayat di atas adalah untuk menyeru manusia suapaya giat berusaha, bekerja keras setekun-tekunnya dalam kehidupan. Di samping itu manusia juga dituntut supaya berusaha keras dan tekun dalam beramal supaya pada akhirnya dapat bertemu dengan Allah. Ini selaras dengan maksud manusia diciptakan untuk dibebani tugas yang berat yakni memakmurkan alam ini, manusia juga dimuliakan dengan menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi ini. Justeru itu untuk membolehkan manusia BERTEMU ALLAH tentu banyak kesulitan yang terpaksa ditempohi. Jika di dunia pun kadang-kadang sukar bagi orang bawahan untuk bertemu dengan orang yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi; inikan pula untuk BERTEMU ALLAH SWT.

Allah telah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah jalan yang wajib diikut, dilalui supaya dapat bertemu dengan Allah. Antaranya ialah dengan mengerjakan amal soleh dan sama sekali jangan mempersekutukanNYA. Firmannya yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". (Al-Kahfi [18] : 110)

Setiap manusia wajib berusaha supaya dapat menempuh jalan yang telah ditetapkan oleh Allah ini. BERTEMU ALLAH merupakan satu kenikmatan yang tak boleh dibandingkan dengan nikmat-nikmat yang lain sama ada yang ada di akhirat lebih-lebih lagi yang ada di dunia.

Ingin bertemu Allah untuk melihat wajahNYA yang mulia seakan-akan keghairahan kita untuk bertemu atau melihat bakal wajah isteri/tunang sewaktu ingin dipertemukan oleh kedua-dua orang tua, tentu sekali tidak sabar sambil membayangkan rupa parasnya siang dan malam.

Allah SWT berfirman:

"(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya". (Yunus [10] : 25 -26)

Diriwayatkan bahawa ketika Nabi Muhammad saw membaca ayat yang bermaksud "Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya"; baginda bersabda mafhumnya; "Jikalau para ahli syurga sudah masuk semuanya ke dalam syurga dan para ahli neraka sudah masuk semuanya ke dalam neraka, berserulah seorang penyeru: "Hai para ahli syurga, sesungguhnya umatmu semua ada suatu janji daripada Allah yang kini Allah hendak melaksanakannya untuk kamu semua." Mereka berkata: "Bukankah Engkau ya Allah sudah membuat berat timbangan amal kebaikan kita, juga memutihkan yakni membuat bersih cemerlang akan wajah kita, serta memasukkan kita dalam syurga dan menghindarkan kita daripada siksa api neraka? Seterusnya baginda saw bersabda: "Kemudian dibukakan tabir daripada pemandangan mereka lalu dapat melihat ALLAH, tiada satu kurniapun yang telah dilimpahkan oleh Allah kepada ahli syurga yang dianggap lebih disenangi daripada melihat wajah Allah, juga tiada satupun yang mereka nilai lebih sedap bagi pandangan mata mereka daripada itu". (H.R Imam Muslim)

Melihat zatNYA dengan mata kepala juga dijelaskan dalam al-Quran; firmannya yang bermaksud:

"Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya). Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya. (Al-Qiyaamah [75] : 20-23)

Pada hari kiamat nanti Allah swt akan menyingkap tabir antara zatNya dengan melihat secara berhadap-hadapan. Ini merupakan suatu pemandangan yang belum pernah dialami oleh satu makhluk apapun di dunia ini baik seorang manusia sama ada Nabi-nabi atau rasul-rasul atau malaikat atau jin. Jika Allah bersediapun untuk memperlihatkan wajahNya kepada manusia atau makhluk lainnya sudah tentu tak mampu nak melihatNYA; Allah berfirman:

"Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)." (Al-A'raf [ 7 ] : 143)

Ahli sunnah wal jamaah mengatakan bahawa tidak ada satu makhlukpun yang mampu melihat zat ALLAH di dunia ini, manakala bagi orang-orang yang beriman; mereka dapat melihat wajah ALLAH pada hari akhirat nanti. Oleh sebab itu amatlah rugi jika ada yang tidak mahu berusaha untuk MELIHAT atau BERTEMU ALLAH di akhirat kelak.

Allah dengan tegas menegur orang-orang yang cenderung kepada dunia sahaja yakni yang merasakan bahawa cukuplah dengan merasai kenikmatan hidup di dunia tetapi enggan berusaha untuk mencapai kebahagiaan hidup yang kekal. Allah berfirman maksudnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang redha (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan". (Yunus [ 10 ] : 7-8)

Dalam ayat yang lain pula, Allah swt menjelaskan bahawa balasan bagi orang-orang yang tidak menghendaki untuk dapat BERTEMU ALLAH ialah Allah akan membiarkan sahaja mereka itu dalam keadaan sesat:

"Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya". (Yunus [ 10 ] : 11)

Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh supaya kita berada di dalam golongan orang-orang yang istiqamah untuk bertemu Allah. Mohon perkenan Ya Allah! Amiin.

Sunday, September 26, 2010

Pada ibu jari ada tanda Kekuasaan Allah

Bismillahirrahmaniirahim.

Tahukah anda pada ibu jari anda ada tanda Kekuasaan Allah? Ini antara satu tajuk yang penting bagi kita ketahui. Barangkali ramai dah tahu sebenarnya. Lebih-lebih lagi semalam dalam Kosmo Online ada artikel tentang cap jari penentu potensi diri.


Pada ibu jari kita terdapat salah satu tanda keajaiban yang paling dekat dengan kita yang boleh dijadikan iktibar tentang kekuasaan Allah SWT. Itulah 'garisan urat jari' yang terdapat pada ibu jari kita.

Garisan ini menjadi tanda pengenalan yang tepat bagi seseorang. Garisan itu tidak sama antara seseorang dengan yang lain. Tidak sama bagi semua orang yang telah dilahirkan sejak dahulu hingga kini. Oleh sebab itu tandatangan melalui cap jari tidak boleh ditiru, ditipu atau dipalsukan bentuk rupanya oleh sesiapapun.

Pada ibu jari kita inilah Allah membuktikan bahawa DIA berkuasa membangkitkan semula manusia pada hari akhirat, termasuklah manusia yang telah lama mati dan telah hancur menjadi debu tanah. Ini bagi menjawab persoalan kaum yang ingkar akan adanya hari kiamat. Allah SWT telah menjawab persoalan mereka dengan firmannya yang bermaksud :

"Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? (3) Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tetapi Allah SWT mampu mengembalikan semula bentuk garisan yang ada pada ibu jari (si mati)". (4) (Surah al-Qiyaamah [75] : 3 - 4 )

Ini menggambarkan kepada kita bahawa pada ibu jari manusia terdapat sesuatu yang istimewa yang perlu diambil perhatian. Apakah rahsianya? Rahsianya ialah terbukti bahawa Allah Maha Berkuasa dan mampu melakukan kerja-kerja yang lebih rumit daripada menghidupkan yang telah mati.

Mengikut kajian, garisan yang ada pada jari tangan manusia yang dinamakan 'bananah'(hujung ayat ke empat surah al-Qiyaamah) mula terbentuk sejak minggu ke enam bayi dalam kandungan ibunya dan selesai pada pertengahan bulan ke lima. Pada saat itu keseluruhan garisan 'bananah' ini dapat dilihat dengan jelas dan akan kekal tidak berubah sehinggalah dia mati dan dihidupkan semula.

Sesungguhnya kejadian serta pembentukan 'bananah' itu sendiri ternyata amat sukar berbanding anggota lain. Tanda ini pula tidak sama, keadaanya pula amat unik dan ini telah menarik perhatian para pengkaji yang terdiri daripada para saintis.

Dikatakan bahawa pada tahun 1858 orang yang pertama mengkaji dan mengesan perkara ini ialah seorang doktor Inggeris bernama William Hirshal. Beliau dapat mengenal pasti bahawa kulit jari ini tertutup dengan garisan-garisan yang amat sukar untuk dijelaskan. Ada yang berbentuk melengkung atau setengah bulatan dan yang pasti garisan-garisan ini tidak sama antara seorang dengan yang lain.

Yang pasti ialah tanda 'bananah' ini sudah menjadi satu daripada cara untuk menangkap penjenayah.

Allah SWT telah mencabar manusia supaya melihat atau memerhatikan bagaimana DIA mampu melakukan kerja-kerja yang tidak boleh dibuat oleh manusia melalui firmannya:

"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? (53) .....Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu". (54)-( surah Fussilat [ 41 ] : 53 - 54)
Ya, yang pasti sekarang ini, banyak perkara yang diberitakan dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun dahulu telah ditemui oleh para pengkaji.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Ini adalah sebahagian petikan daripada artikel dalam Kosmo! Online tersebut:

"SELAMA ini memang ada kawan-kawan yang memuji esei-esei yang saya tulis. Mereka kata penulisan saya kreatif. Tapi, saya tidak tahu pula yang ia memang bakat yang ada dalam diri saya," kata Nor Azliza Ahmad Zaini, 27, yang merupakan pentadbir perakaunan di sebuah firma guaman. Gadis berkaca mata itu merupakan graduan diploma Sains.

"Kini, saya yakin dengan bakat itu dan berusaha untuk membangunkannya. Teruja sekali rasanya untuk menulis sebuah novel. Sudah lama saya berkeinginan melakukannya," ujar Nor Azliza ceria kepada Kosmo! saat ditemui di pejabat Airborne Discovery (AD), syarikat penganalisa bakat dan potensi diri menerusi cap jari di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Nor Azliza merupakan salah seorang pelanggan yang mendapatkan khidmat mengesan bakat diri di syarikat itu.

Cerita Nor Azliza melalui analisis cap jarinya, dia diberitahu dirinya lebih banyak menggunakan otak sebelah kanan yang membawa potensi kreatif berbanding otak sebelah kiri yang membawa kecenderungan logik, sains dan matematik.

"Hasil ujian cap jari itu agak mengejutkan kerana selama ini saya fikir saya lebih ke arah sains, tetapi saya rasa tidak mustahil sebab saya juga sedar yang saya boleh menulis sebelum ini. Cuma ia tidak dikembangkan kerana saya rasa ia mungkin kebolehan yang biasa-biasa sahaja.

"Memandangkan ia ada kaitan dengan unsur genetik mungkin saya peroleh sifat kreatif daripada ibu yang berbakat menggubah bunga," katanya.

Ujian cap jari yang dilakukan AD ialah satu analisis saintifik mengungkap kecenderungan genetik seseorang dengan mengukur biometrik menerusi cap jari. Ia merupakan kaedah terkini dalam mengenal pasti bakat, potensi dan perwatakan seseorang individu.

Boleh baca seterusnya di Kosmo: Cap jari penentu potensi diri

Artikel yang berkaitan di Berita Harian : Rahsia cap jari

Friday, September 24, 2010

Tahukah anda tentang binatang ini?

Bismillahirrahmanirrahim.

Barangkali ramai telah tahu tentang kisah binatang ini. Saya pula baru tahu beberapa hari lepas. Biarpun umur sudah dalam lengkongan 'mengintai-intai kematian', saya baru mengetahui ada binatang ini di dunia ini.

Inipun selepas dialog di bawah:

"Mak!, mak tau tak tentang cicak tokek?". Menantu bertanya.

"Cicak tokek? Apa tu?" Balas saya.

"Kata kawan cicak tu boleh dijadikan ubat HIV (Aids)".

"Mak cuba googles mak!" kata menantu lagi.

Tangan saya cepat menaip cicak tokek (kebetulan ketika itu sedang menghadap komputer) dan hasilnya klik dan gambarnya klik.


Apa yang ingin dikongsikan ialah tentang apakah hukumnya makan cicak tokek?.

Harganya juga mahal, apakah hukum berjualbeli cicak tokek?.



Sumber Gambar : SINI

Sumber Gambar : SINI dan SINI

Maklumat cicak ini juga boleh dibaca di Wikipedia

Dan di bawah ini disalin artikel daripada http://pemuda-tawau.blogspot.com/2010/04/hukum-jual-beli-binatang-tokek.html

Ada beberapa pendapat tentang hukum serangga, termasuk tokek dan cicak.

HUJAH 1 : Kebanyakan ulama’ menyatakan bahawa serangga adalah haram, ini kerana ia termasuk binatang yang menjijikkan. Pengharaman serangga adalah termasuk dalam keumuman ayat 157 Surah Al A’raaf berikut:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَآئِثَ

“Dan ia menghalalkan yang baik dan mengharamkan atas mereka segala yang buruk (menjijikkan).."

Banyak ulama’ menyatakan bahawa standard barang yang menjijikkan ialah berdasarkan pendapat masyarakat umum, bila masyarakat umum menyatakan suatu hal itu menjijikkan maka itu haram, bila kebanyakan mereka menyatakan tidak menjijikkan maka itu halal. Dalam isu ini, semua orang menyifatkan cicak & tokek adalah jenis binatang yang menjijikkan. Melihat sahaja ekornya yang terputus dari badan, sudah ramai yang geli geleman.

Dengan demikian, cicak dan juga tokek tidak dapat dikategorikan sebagai hal yang baik (thayyibaat). Bahkan ia termasuk sebagai al-Khabaais. Bahkan Ibnu Hazem Al Andalusi menyatakan dalam (Al Muhalla 7/405) : “Cicak adalah salah satu binatang yang paling menjijikkan.”

As Syaukani menyatakan dalam (Nailul Authar 8/200) : “Cicak itu termasuk binatang melata yang mengganggu manusia, dan tokek adalah salah satu spesies daripadanya yang berbadan lebih besar.”

Kesimpulan awalnya, ulama’ telah menegaskan bahawa tokek adalah satu spesies & satu keluarga dengan cicak, dengan demikian hukumnya pun adalah sama.

معشر المسلمين رحمكم الله

HUJAH KE 2: Berkaitan dengan cicak dan tokek, Nabi SAW secara khusus telah memerintahkan kita untuk membunuhnya setiap kali kita melihatnya. Asas kepada hukum yang melibatkan binatang ialah :

Binatang yang diperintahkan untuk dibunuh tanpa melalui proses penyembelihan adalah haram dimakan, kerana seandainya haiwan-haiwan tersebut halal untuk dimakan maka tentunya Nabi SAW, tidak akan mengizinkan untuk membunuhnya kecuali setelah proses penyembelihan yang syar'i.

معشر المسلمين رحمكم الله

HUJAH KE 3 : Di dalam hadis yang lain dinyatakan pula membunuh cicak dengan pukulan yang pertama lebih banyak pahalanya berbanding pada pukulan kedua dan ketiga. Ini berdasarkan hadis di dalam Sahih Muslim, Nabi S.A.W. bersabda:

مَنْ قَتَلَ وَزَغًا فِى أَوَّلِ ضَرْبَةٍ كُتِبَتْ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ وَفِى الثَّانِيَةِ دُونَ ذَلِكَ وَفِى الثَّالِثَةِ دُونَ ذَلِكَ رواه مسلم

“Barang siapa yang membunuh cicak dengan sekali pukulan, maka ia mendapatkan pahala seratus kebaikan, dan bila ia membunuhnya pada pukulan kedua, maka ia mendapatkan pahala kurang daripada itu, dan bila pada pukulan ketiga, maka ia mendapatkan pahala kurang daripada itu.” (Riwayat Muslim).

PERSOALANNYA sekarang , para pemburu & penggemar tokek pasti akan menyalahi 2 hujah kenabian ini. Apa tidaknya? Bukankah Nabi menyuruh kita membunuh tokek ini? Tapi penggemar tokek sanggup untuk membina sangkar yang selesa demi memelihara tokeknya. Bahkan tokek ini akan dijamu makanan yang lazat & berzat demi membina tumbesarannya agar melebihi 300 gram ke atas. Hal ini tidak ubah bagai layanan terhadap seorang atlit bina badan pula. Sekali lagi manusia mencabar larangan kekasih Allah sebenarnya.

معشر المسلمين رحمكم الله

HUJAH KE 4 : Tokek termasuk kategori binatang yang jahat @ fuwaisiq. Imam Muslim meriwayatkan :

عن سعد بن أبي وقاص :أن النبي [ص] أمر بقتل الوزغ وسماه فويسقا رواه مسلم

Diriwayatkan dari sahabat Sa’ad bin Abi Waqqas RA, bahwa Nabi SAW, memerintahkan agar kita membunuh cicak, dan beliau menyebutnya sebagai fuwaisiq (binatang jahat). (Riwayat Muslim)

Para ulama’ antaranya ialah Imam An Nawawi telah menjelaskan bahawa hikmah sebahagian binatang ini digelar dengan (fasiq atau fuwaisiq) adalah dikeranakan binatang-binatang tersebut menyalahi keumuman binatang melata lainnya, dalam hal kehalalan atau larangan membunuhnya. (Nailul Authar 5/80)

Oleh kerana itu para ulama’ menegaskan bahawa setiap binatang yang digelar sebagai binatang fasiq atau fawasiq atau fuwaisiq, halal untuk di bunuh, baik di tanah halal atau tanah haram, baik ketika sedang berihram atau tidak. Pada beberapa riwayat lain, antaranya Ibnu Majah menjelaskan mengapa keluarga cicak digelar fuwaisiq :

كَانَ يَنْفُخُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ

“Dahulu cicak itu meniup-niup (api agar semakin marak membakar) nabi Ibrahim ‘alaihissalam.” (Riwayat Bukhari)

معشر المسلمين رحمكم الله

Bila penjelasan ini telah dapat diterima, maka dapat disimpulkan bahwa memperjual-belikan tokek, cicak dan yang serupa tidak dibenarkan ataupun haram. Yang demikian itu dikeranakan setiap yang haram, pasti haram pula untuk diperjual-belikan:

إنَّ الله إِذَا حَرَّمَ عَلَى قَوْمٍ أَكْلَ شَيءٍ حَرَّمَ عَلَيهِمْ ثَمَنَهُ

“Sesungguhnya bila Allah telah mengharamkan atas suatu kaum untuk memakan sesuatu, pasti Ia mengharamkan pula atas mereka hasil penjualannya.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan dinyatakan sebagai hadits shohih oleh Ibnu Hibban)

معشر المسلمين رحمكم الله

Antara beberapa persoalan tambahan yang perlu direnungi oleh mereka yang berminat menceburi perniagaan Haram ini ialah :

1- Sejauhmana kebenaran bahawa tokek ini digunakan sebagai bahan utama untuk penawar penyakit AIDS? Atau ia hanya propaganda yang sengaja digembar-gemburkan untuk memperbodohkan umat Islam. Apabila Islam telah mengaramkannya & Nabi pula mengarahkan agar haiwan ini terus dibunuh, masakan masih ada penawar pada tubuh haiwan ini?

2- Apakah benar ada tokek yang saiznya begitu luar biasa hingga mencapai berat yang heboh diceritakan ? saya khuatir andai saiz dan syarat yang dikenakan oleh pembeli itu adalah syarat yang mustahil untuk disediakan.

3- Adakah benar tokek ini bisa membawa pendapatan yang lumayan, atau ia hanya sekadar cerita-cerita yang bersifat sebagai aji no-moto sahaja? Kalaulah ia bisa kaya, rasanya sudah lama penduduk di Pulau Banggi, di Kudat sana bergelar jutawan, kerana tokek memang banyak membiak di sana.. Inilah pendapat yang menurut hemat saya dan sebatas ilmu yang saya miliki, hujah yang paling kuat dalam permasalahan ini. Adalah diharapkan masyarakat Islam di Tawau ini, dapat mengelakkan diri, daripada terlibat dengan aktiviti bisnes yang menghimpunkan pelbagai unsure pengharaman ini.

Memang kita digalakkan untuk menceburi sesuatu yang baru. Tetapi, seandainya telah wujud beberapa dalil & hujah yang melarangnya, bererti, perkara tersebut telah menjadi Haram dengan sebab yang mendatang tadi.

Wallahu a’alam bisshowab.

Boleh baca dalam forum tentang halal atau tidak cicak ini di http://202.71.110.81/portal/forums/showthread.php?t=156610&page=4

Sebelum penulisan ini dipublish saya sempat membaca tentang Bolehkah Haiwan Ini Di Makan?

Saya hanya menyampaikan apa yang saya baca, tentang persoalan hukum eloklah kita bertanya kepada yang arif. Namun saya yakin apa yang dikemukakan oleh Pemuda Tawau itu ada kebenarannya.

Saya juga berpesan kepada menantu, jika ada yang terkena HIV ini biar melalui apa cara sekalipun janganlah berubat atau makan binatang ini ; usahlah menambahkan saham yang boleh membinasakan lagi hidup kita.

Mencari yang halal adalah fardhu bagi setiap umat Islam.

Related Posts with Thumbnails