Sunday, December 20, 2009

Bila Dah Kembali.. takkan kembali lagi

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

".. dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)". (Al-Hasyr [59] : 7)

Allah menyeru manusia agar memajukan diri dengan mengambil ajaran daripada Rasulullah saw kerana itulah cara terbaik bagi manusia meniti jalan ke syurga.

Di bawah adalah ayat-ayat daripada surah (As-sajadah [32] : 5 - 12):

Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Dia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku daripada perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa. (5) Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani; (6) Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; (7) Kemudian Dia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang; (8) Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: Roh ciptaanNya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. (9)


Mesej yang disampaikan oleh Allah dalam ayat-ayat di atas ialah Allahlah yang mentadbir segala sesuatu, dan DIAlah yang mencipta manusia daripada air mani yang busuk lagi menjijikkan apabila manusia melihatnya tertumpah di luar rahim; tetapi apakah manusia terfikir bahawa itulah kejadian mereka sehingga sanggup menderhaka kepada Allah swt dan juga RasulNya.

Dan mereka (yang kafir) itu berkata: Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baru? Betulkah demikian? (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya. (10) Katakanlah (wahai Muhammad); Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan). (11) Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin. (12) (As-sajadah [32] : 5 - 12)


Orang-orang kafir; mereka tidak percaya akan adanya hari kebangkitan dan pembalasan. Namun Allah mengingatkan melalui Nabi Muhammad saw bahawa nyawa akan diambil dan akan dikembailkan apabila datangnya hari akhirat.


Justeru Allah, menerusi ayat 12 surah As-Sajadah ini mengingatkan kita bahawa kita mesti patuh akan ajaran Allah swt dan Nabi Muhammad saw; kerana ada kena mengena dengan persoalan hari akhirat yakni ketika orang-orang yang berdosa menyesal dan ingin kembali ke dunia untuk melakukan kebaikan setelah mereka melihat betapa ngerinya keadaan di akhirat nanti. Ketika itu mereka menyesal kerana tidak berbuat kebaikan semasa di dunia, namun penyesalan itu sudah tidak berguna lagi.


Allah menyuruh kita ambil panduan daripada ayat ini; jangan menyesal ketika berada pada hari akhirat, kerana sesal kemudian tidak berguna. Allah menyuruh kita menyesal semasa berada di dunia ketika ini. Selagi kita hidup hendaklah kita memerhati dan meneliti syarat-syarat yang Allah tentukan bagi mendapat syurga yang kekal dengan nikmat yang tak terhingga yang tak pernah kita rasa, dengar dan lihat. semuanya telah Allah terangkan dalam al-Quran dan disampaikan melalui mulut Nabi kita Nabi Muhammad saw dengan memberi khabar gembira dan amaran-amaran.


Ayat 12 ini memberi gambaran apa yang berlaku pada hari akhirat nanti; yakni orang2 yg berdosa yang tidak mengerjakan suruhan Allah mengaku melihat akan balasan-balasan kepada pendosa di hadapan skrin yang ditayangkan kepada mereka. Ketika itu mereka berkata bahawa mereka telah insaf dan meminta supaya dipulangkan ke dunia agar boleh beramal dan mereka begitu yakin dapat mengamalkannya.


Adakah Allah mengizinkan mereka kembali ke dunia? Sedangkan dunia ketika itu sudah binasa, dan apakah jika mereka dikembalikan ke dunia mereka akan mampu menutup segala kelemahan-kelemahan dan menebus segala kesalahan mereka selama ini. Alangkah tertipunya manusia; ketika diberi peluang semasa hidup di dunia mereka melakukan segala-galanya menurut nafsu, mereka susah untuk bangun waktu subuh untuk solat subuh berjemaah; mereka biarkan telinga mereka dikencingi syaitan. Mereka lupa akan Allah ketika mencari rezeki, adakah rezeki mereka halal. Jika mereka solat adakah mereka tunaikan segala perjanjian yang dibuat semasa solat. Jika dalam doa iftitah mereka janji hendak memuji Allah banyak-banyak, pagi dan petang, janji bahawa hidup dan mati mereka hanya untuk Allah, dan lain-lain perjanjian semasa membaca al-Fatihah, semasa membaca selawat ketika tasyahhud dan ketika berdoa yang lain-lainnya; bila dah berakhir solat adakah janji-janji itu ditunaikan?


Pada kesempatan ini penulis mengingatkan diri sendiri dan pembaca agar menyelongkar banyak lagi rahsia-rahsia mengapa Allah menyuruh kita berbuat kebaikan dan melarang kita berbuat kejahatan. Ingatlah bahawa hidup kita di dunia ini hanya sementara. Bila dah kembali ke tempat asal kita takkan kembali lagi ke dunia yang fana ini.

No comments:

Related Posts with Thumbnails