Tuesday, November 23, 2010

Emotional Language....


Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian bagi Allah sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad serta keluarga dan para sahabat.

N3 kali ini bicara tentang bahasa yang ke empat iaitu Bahasa hati/ perasaan /emosi (Emotional Language)

Inilah yang dapat menyempurnakan kekhusyukan dalam solat. Jika bahasa intelektual lebih kepada kefahaman dan tafakkur, bahasa HATI ini pula melalui RASA menimbulkan kesan resonansi yang besar pada jiwa seseorang lebih daripada kefahaman dan tafakkur.

Kita ambillah contoh, seseorang faham apa definisi sabar, dalil-dalil sabar, bila suruh rujuk ayat-ayat sabar dalam al-Quran dia tahu sebab dia ada ilmu hasil tafakkur dan mentelaah. Dia juga boleh tunjuk asal usul huruf sabar tetapi belum tentu dia dapat menghayati sabar apabila ditimpa musibah. Barangkali orang yang tak faham tentang sabar itu lebih tabah dan tenang bila hadapi musibah. Ini bermakna perasaannya lebih tersentuh daripada orang yang faham tadi tetapi tidak melibatkan rasa.

Satu lagi contoh, seorang anak yang tak tahu mengenang budi kepada kedua ibu bapanya sehingga dia melakukan banyak perkara derhaka dalam rutin sehariannya. Dia pula tidak sedar bahawa dia telah banyak melakukan penderhakaan. Setelah dia mempunyai anak, anaknya juga melakukan perkara yang sama terhadapnya sebagaimana dia lakukan kepada kedua ibu bapanya. Ketika itu barulah dia tersedar, sebab dia sudah berpengetahuan; lalu dia mengunjungi kedua ibu bapanya dan mohon ampun.

Dalam hal ini pasti dia gunakan ke empat-empat bahasa yang telah disebutkan sebelum ini. Pasti dia duduk berteleku di hadapan ayah atau ibunya, meletakkan kepalanya atas riba, minta maaf berkali-kali, terbayang pula dalam fikirannya terlalu besar jasa ayah bondanya, betapa besar pula pengorbanan yang mereka lakukan sejak dia kecil, terbayang juga betapa besar dosanya kerana selama ini tidak sedar telah menyakiti hati kedua-duanya, dan lebih dahsyat lagi dia dapat rasakan semuanya ini kerana dia telah rasa bagaimana sakitnya hati dia bila anaknya melakukan kederhakaan kepadanya. Hatinya begitu tersentuh. Dengan bahasa perasaannya yang ditonjolkan itu pasti ibu bapanya mengampunkannya apatah lagi sememangnya mereka amat menyayanginya. Cuba kalau dia gunakan satu bahasa sahaja; contoh : "Mak, saya minta ampun" tanpa teleku cuma berdiri di kejauhan. Apakah perasaan ibunya? Begitulah juga dengan Allah, jika kita hari-hari ucap astaghfirullah al-'adzim tanpa perasaan. Cubalah kita dapatkan mengamalkan penggunaan ke empat-empat bahasa ini dalam solat kita. Maksud BAHASA HATI terdapat dalam ayat berikut:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah". (al-Anfal [8] : 2)

Nabi Muhammad saw memberitahu kita bahawa al-Fatihah itu bahasa lisan, bermakna dialog dengan Allah, bila kita faham maksud dan kita bayangkan kehebatan Allah, keagungan Allah sebab kita dah belajar, maka hati bergetar. Pasti terdetik, "Subhanallah! aku ni kerdil, terlalu hina, banyak yang Allah dah berikan kepada aku yang sehina ini" kita sedar Allah masih menjawab. Dalam al-Fatihah itu sendiri jika kita berfikir siapalah kita di hadapan Allah yang sedang berdialog dengan kita pasti kita akan khusyuk yang luar biasa.

Solat dalam Islam bukan statik tapi dinamik yakni fizikal terus bergerak, bersama dengan fikiran dan perasaan. Solat bukan seperti meditasi, jika sama mengapa tidak tidur sahaja kerana tidur boleh tenang. Allah tegur orang yang solat tetapi fikirannya kosong iaitu dalam ayat berikut:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.." (An-Nisa' [4] : 43)

Untuk ayat ini janganlah kita membatasi kefahaman kita dengan melihat sebab ayat ini diturunkan. Pada masa itu arak belum diharamkan jadi selepas minum arak mereka boleh imamkan solat. Sebab turun ayat ini ialah Imam 'Ali ra mabuk dan masa itu beliau jadi imam, ketika membaca surah al-Kaafiruun beliau tersalah baca hingga tertukar. Jadi, Allah tegur. Kini telah diharamkan arak, jadi kefahaman kita hendaklah jangan mengatakan bahawa arak masih boleh diminum cuma jangan hampiri solat.

Benar ayat ini ayat hukum tetapi yang menariknya jika orang solat dengan bahasa lisan tak selari dengan bahasa hati, maka solat yang didirikan itu boleh diumpamakan sebagai solat orang yang mabuk (walaupun tak minum arak), kerana dalam keadaan mabuk apa yang diucapkan lain dengan apa yang ada dalam hati.

Bahasa hati perlu dihayati, sebagai contoh jika kita pergi haji umpamanya, falsafah haji ialah latihan untuk mati. Oleh sebab itu Allah suruh buat wasiat, mohon ampun daripada sahabat dan lain-lain, sebab kita pergi ke sana kita bawa banyak dosa untuk Allah ampunkan kita. Bila kita perasan kita ni banyak salah, banyak dosa setinggi gunung tentulah kita berdoa dengan penuh harapan dan akan menagis bila hati terasa atau tersentuh. Jika kita tak menangis tentulah pelik. Begitu juga jika pandang KLCC dan Ka'bah perasaan kita sama sahaja tentulah pelik. Begitulah ketika hadir di Raudhah, melihat maqam Rasulullah dan lain-lainya. Apa yang kita rasa? Andainya perasaan kita sama sahaja seperti kita ziarah ke tempat-tempat lain tentulah kita tidak ada persaan iaitu hati kita masih keras.

Bahasa hati ini perlu dilatih, kerana semua perintah agama ialah untuk membersihkan hati.

Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya. (al-Mukminun [23] : 60 - 61)

Kesimpulan : Cara-cara bagaimana kita berinteraksi dengan Allah semuanya ada di dalam al-Quran, contoh; bagaimana nak dapatkan khusyuk; iaitu dengan memahami maksud ayat 106 hingga 110 surah al-Isra' iaitu surah ke 17. Ayat2 ini juga menunjukkan kepada kita tentang tingkatan khusyuk. Ada 4 semuanya.

"Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang dan Kami menurunkannya beransur-ansur. (106) Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk); (107) Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. (108) Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk. (109) Katakanlah (wahai Muhammad): Serulah nama "Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau solatmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu". (110)

Pengertian bagi ayat-ayat di atas (sebenarnya telah ditulis di sini) ialah bahawa Allah menurunkan ayat-ayat menerusi Malaikat Jibril as kepada Nabi Muhammad saw secara beransur-ansur supaya manusia dapat menghafal dan memahami maksud ayat-ayat; jadi untuk mendapatkan khusyuk kita kenalah menghafal dulu dan mengertikan dulu maksud ayat-ayat tersebut supaya bila kita solat dan baca ayat-ayat yang diwajibkan dalam solat kita faham, jadi dapatlah kita tumpukan perhatian sepenuhnya dalam solat.

Kedua bila kita dah faham dan kita serapkan dalam hati, jadi di sini maknanya kita tingkatkan lagi khusyuk; sehingga dapat menangis di hadapan Allah swt dalam doa-doa dan dialog kita. Tingkatan khusyuk yang paling tinggi ialah seperti yang dinyatakan dalam ayat 109 dan 110. Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, kerana mereka khusyuk. Manakala dalam ayat 110 mereka berdoa dengan menyeru nama-nama Allah yang baik (asmaulhusna)

Sebagai tambahan, untuk mencapai khusyuk dalam solat kita hendaklah usahakan supaya:

  • Menjadikan solat bukan semata-mata menggugurkan kewajiban.
  • Pelajari dan dan dapatkan kefahaman tentang solat yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad saw.
  • Sentiasa mengingati Allah dengan muhasabah diri yang banyak berdosa.

Persediaan untuk mencapai khusyuk dalam solat:

Sentiasa ingat akan waktu solat dan siap siaga sebelum waktunya seolah-olah ingin bertemu kekasih hati. Telah sedia dengan wudhuk yang sempurna, pakaian dan tempat solat yang bersih. Matikan telefon bimbit dan selesaikan urusan yang boleh membuatkan kita tak sabar dalam solat dan zikrullah.

Ketika mendengar azan, bersegera dengan diri, fikiran dan hati dan mendirikan solat mengikut apa yang telah dihuraikan sebelum ini.

Nota: Jika kita solat berjemaah, kita terpaksa ikut imam, kita tak boleh panjangkan rukun apabila imam telah mengubah rukun. Jadi khusyuk akan lebih dapat dicapai apabila kita lakukan solat sunat di rumah.

CERITA: (Barangkali ramai dah baca kisah ini)

Dikisahkan bahawa ada seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk dalam solatnya. Namun, dia sentiasa bimbang jika ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih baik ibadahnya, tujuannya supaya dapat memperbaiki dirinya yang selalu dirasanya kurang khusyuk.

Pada suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Asam dan bertanya:

“Wahai Aba Abdurrahman (nama gelaran Hatim), bagaimanakah caranya tuan mendirikan solat?”

Hatim berkata:

“Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir dan batin.”

Isam bertanya :

“Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu?”

Berkata Hatim:

“Wudhuk zahir sebagaimana biasa, membasuh anggota wuduhk dengan air. Manakala wudhuk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara iaitu:

  • Bertaubat.
  • Menyesali akan dosa yang telah dilakukan.
  • Tidak tergila-gila dengan dunia.
  • Tidak mencari atau mengharapkan pujian daripada manusia.
  • Meninggalkan sifat bermegah-megahan.
  • Meninggalkan sifat khianat dan menipu.
  • Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata lagi,

“Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di kananku, neraka di kiriku, malaikat maut berada di belakangku. Dan kubayangkan pula bahawa seolah-olah berdiri di atas titian Sirat dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku ( kerana aku rasa akan mati selepas solat ini), kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam solat aku faham maknanya, kemudian aku ruku’ dan sujud dengan tawadhuk (merasa hina), aku bertasyahud (tahiyyat) dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku solat selama 30 tahun.

Apabila Isam mendengar menangislah dia sekuat-kuatnya kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Sekian. Mudah2an memberi manfaat.

8 comments:

terokai seni said...

tima kasih info yang sangat bermanfaat ni... ati sokmo mabuk ketika mengadap Ilahi "ya Allah ampunkan dosa kami yang selalu alpa dalam melaksanakan ibadah kepada-Mu ya Allah"

aby said...

salam k werdah ..
terkedu aby bace,
terase solat aby mcm kuku kt hujung kaki jer bile di nyatakan psl kesempurnaan solat tuu ..

apepun tq atas info diatas ...

tehr said...

salam
syukur dan terima kasih kerana sanggup menulis panjang lebar untuk berkongsi

Werdah said...

Salam cemomoi.

Orang yang menulis inipun sama keadaannya.. risau sangat. Sebenarnya Ustaz ni berpesan selepas solat kita wirid memuji Allah dan beristighfar banyak-banyak kenangkan kekurangan kita dalam mendirikan solat (ayat hujung surah an-Nasr Allah suruh istighfar walaupun nabi kita masa tu dapat masuk kota Mekah).. kemudian pesannya lagi baca doa nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang mereka ucapkan selepas mereka selesai bina ka'bah.

memang ramai di kalangan kita tak dapat capai khusyuk ni..

Werdah said...

Salam aby

Kak juga rasai demikian.. nak kena bersungguh-sungguh menghayati apa yang dituliskan di sini. Sungguh bimbang.

Werdah said...

Salam tehr

Syukur juga kerana dapat berkongsi, semoga memberikan manfaat kepada kita semua yang terlalu kurang khusyuk dalam solat kita. Dan semoga Allah mengampuni kita semua.

abu muaz said...

salam.
tak habis baca semua ...
apa pun t.kasih atas info ini..

akan sambung baca kembali malam nanti

Werdah said...

Salam Abu Muaz..

Tulisan yang panjang..itupun telah diringkaskan (7 per 9 CD semuanya yang setiap satunya lebih daripada satu jam).. sedang memikirkan bagaimana nak tulis ringkas.. mudah2an diizinkan... insyaAllah

Related Posts with Thumbnails