Thursday, March 17, 2011

4 Golongan Manusia

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, selawat serta salam buat Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan orang-orang yang istiqamah menuruti baginda.

Menurut Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah; berdasarkan  Iyyaka Na'budu wa Iyyaka Nasta'iin manusia diketegorikan kepada 4 golongan:

GOLONGAN PERTAMA: Ahli ibadah dan ahli isti'anah.

Mereka merupakan golongan yang paling ideal. Mereka ini paling kuat beribadah serta paling kuat berdoa. Inilah yang paling menepati gaya hidup seperti dalam ayat tersebut:

A005

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Al-Faatihah 1:5

Orang-orang seperti ini menjadikan ibadah kepada Allah sebagai tujuan hidup mereka yakni untuk mendapatkan keredhaan Allah, dan mereka sentiasa berdoa memohon agar Allah menolong dan memberikan taufik, sehingga mereka dapat melaksanakan ibadah itu.

Contoh orang seperti ini dalam al-Quran; selepas ibadah tak kira kecil atau besar ialah nabi Ibrahim as:

A127

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; (Al-Baqarah 2:127

Nabi Ibrahim as melakukan kerja-kerja menyusun batu-bata semata-mata menunaikan hak Allah, melaksanakan suruhan Allah untuk kepentingan manusia lain, selepas selesi melakukannya baginda berdoa.

Jadi kita jangan sekali-kali meninggalkan doa; kerana doa merupakan satu usaha supaya Allah mengambil peduli atau supaya Allah sentiasa memerhatikan kita, supaya Allah ambil berat akan kita. Allah berfirman:

A077

Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan memerhati / peduli/  menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak /melihat/ peduli/ menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu". (Al-Furqaan 25:77)

Mintalah upah daripada Allah, Allah suka bila kita minta. Jangan minta kepada orang/ manusia lain atau kepada jin. Namun kita kena faham bahawa kita mesti minta tapi Allah tak wajib bagi apa yang kita minta. Jangan pula merajuk tak mahu minta jika tak diberi. Nabi Muhammad SAW ketika tali kasutnya putuspun baginda berdoa.

Allah juga berfirman: 
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. (Ghaafir 40:60

GOLONGAN KEDUA: Lawan yang di atas tadi iaitu orang-orang yang tidak mahu beribadah dan tidak mahu memohon pertolongan kepada-Nya. 

Golongan ini tidak mengenal ibadah dan isti'anah. Tidak beribadah maknanya kufur manakala mereka tak berdoa kerana mereka merasakan boleh berbuat sesuatu tanpa pertolongan Allah SWT. Mereka menafikan kekuasaan Allah. Mereka fikir apa yang berlaku bukan kehendak Allah dan setiap apa yang mereka rancang pasti akan terjadi. Na'uzubillahi min zaalik. 

Mari kita renungi apa yang Allah firmankan kepada Nabi Musa as : "Wahai Musa, engkau berkehendak dan Aku ada kehendak dan tidak akan berlaku kecuali apa yang Aku kehendaki dan jika kamu tidak berserah kepada apa yang Aku kehendaki Aku akan jadikan engkau penat, letih dengan sebab apa yang kamu kehendaki sedangkan tidak akan berlaku melainkan apa yang Aku kehendaki".

Jadi janganlah menafikan peranan Allah, hendaklah kita mengaku lemah, tidak boleh hidup tanpa Allah.


GOLONGAN KETIGA: Golongan orang yang mahu beribadah tapi tak mahu isti'anah (tak mahu berdoa). 

Ada dua golongan yang terkenal dalam Islam iaitu Qadariyah dan Jabariyah (Kedua-dua golongan ini ditolak oleh kebanyakan ulama' Islam sejak dulu hingga kini):

Golongan Qadariyah percaya bahawa 100% manusia mempunyai kebebasan memilih dan kekuatan untuk menentukan nasib mereka baik di dunia mahupun di akhirat nanti. Mereka percaya bahawa Allah menyerahkan segala-galanya kepada mereka. Mereka mengagongkan pemberian aqal oleh Allah sehingga mereka percaya apa perlunya berdoa. Mereka hanya perlu menyembah. Mereka berfikir Allah dah beri segala-galanya jadi buat apa mereka berdoa. Dengan lain perkataan; mereka percaya bahawa Allah telah melakukan apa yang ditetapkanNya kepada hamba dan Allah tidak perlu lagi memberikan pertolongan kepada hamba, kerana Allah telah menolong dengan menciptakan alat baginya sehingga dengan adanya pertolongan ini, hamba tidak perlu lagi memohon kepadaNya sebab Allah dah bagi. Mereka juga yakin jika Allah tak utuskan para Rasulpun mereka boleh berfikir amalan apa yang harus mereka lakukan untuk masuk syurga. Mereka ini lupa bahawa penjagaan Allah kepada makhlukNya melalui dua cara iaitu sunnatullah dan juga inayatullah. Bagi mereka jika sakit makanlah ubat tak perlu berdoa.

Jika golongan Qadariyah tadi mempercayai bahawa manusia diberikan aqal untuk menentukan untung nasib mereka, golongan Jabariyah pula percaya berlawanan daripada kumpulan Qadariyah. Mereka percaya bahawa semua gerak geri mereka dipaksa/ terpaksa. Allah telah setkan seperti itu sehingga disetkan apa yang akan berlaku kepada mereka di dunia dan di akhirat - tak ada pilihan. Jadi tak perlu minta, sebab Allah dah tahu apa yang diminta. Lagi pula Allah dah tetapkan pengakhiran hidup jadi tak perlulah minta. Bukankah tak perlu minta jika Allah dah bagi, lagi pula jika berdoa bermakna tak yakin bahawa Allah tahu apa yang kita kehendaki. Subhanallah!

GOLONGAN KEEMPAT: Orang-orang  yang tak mahu beribadah tapi rajin berdoa.

Tidak satupun permintaan atau suruhan Allah mereka buat tetapi mereka rajin / asyik mohon itu dan ini daripada Allah SWT. Ini tak betul. Doa mereka panjang-panjang, mereka cintakan Allah kerana mereka perlukan pertolongan Allah. Bila mereka diberikan nikmat mereka rasa dimuliakan jika tidak mereka rasa dihinakan. Mereka marah bila Allah tak tunaikan permohonan mereka.

(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!" (Al-Fajr 89:15) Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!" (Al-Fajr 89:16)

Kemuliaan dan kehinaan tidak berkisar kepada harta dan sebagainya. Allah membenarkan pemilikan harta seluas-luasnya kepada orang kafir, bukan kerana mereka mulia, dan membatasi harta kepada orang Mukmin, bukan kerana mereka hina. Segala puji bagi Allah atas semua ini, dan Dia Maha Kaya lagi Maha Terpuji. Jadi kebahagiaan dunia dan akhirat tetap kembali kepada iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in.



Orang-orang yang beribadah ada dua golongan iaitu PERTAMA : Ahli 'ibadah terpaksa ('Abid Karhun) KEDUA: Ahli ibadah secara sukarela ('Abid Tau'un) - boleh baca di SINI

Al-'ibadah didahulukan daripada isti'anah adalah untuk menunjukkan bahawa manusia kena beramal kerana Allah, untuk Allah dan bagi Allah. Itu jauh lebih utama daripada mengharapkan sangat upah daripada Allah SWT, walaupun Allah bersedia memberi upah dan membuka kurniaNya yang luas kepada manusia. Ini adalah peringkat ibadah yang paling tinggi. Mari kita lihat contoh di bawah:

Ada 3 orang Pembantu Rumah, A, B dan C. Ketiga-tiga Pembantu Rumah ini sangat rajin.

A  -  Sangat rajin kerana dia tahu itu tugasnya. Dia mesti tunaikan tanggugjawab dan memberikan hak kepada majikannya. Majikannya ada ke tak ada ke dia tetap menjalankan tanggungjawabnya. Dia menunaikan hak majikannya. Dia melaksanakannya lebih-lebih lagi bila diberitahu bahawa dia akan dinaikkan gaji jika rajin.

B  -  Sangat rajin, tetapi B ini rajin kerana dia takut kena marah oleh majikan, takut tak dinaikkan gaji.

C  - Sangat rajin lebih-lebih lagi dekat nak raya, sebab nak bonus, dan lebih rajin lagi jika di hadapan majikan, lain pula jika di belakang majikan.

Antara 3 ini tentulah A yang lebih baik. Dia menunaikan hak dan tanggungjawab sebab dia tahu itu tanggungjawabnya. 

Samalah juga  jika orang beramal kerana Allah, dia takut renggang dengan Allah. Dia tak fikir apa yang Allah akan bagi kepadanya. Dia hanya tahu bahawa tanggungjawabnya ialah melakukan ibadah kerana Allah.

Sekian dulu untuk kali ini. Semoga memberi manfaat.

NOTA: Untuk makluman rakan-rakan yang pernah memberikan komen di sini serta pembaca senyap, sudah hampir dua tahun saya berblog dan kini saya ambil keputusan untuk berehat daripada berblog dan kemungkinan ini adalah entri terakhir saya. Jika terdapat kesalahan saya semasa memberi komen dan sebagainya saya mohon berbanyak-banyak ampun dan maaf. Saya juga mengucapkan terima kasih atas perhatian dan sokongan rakan-rakan dan pembaca selama ini. Didoakan semoga Allah mengurniakan kebaikan yang banyak buat kita semua di dunia dan akhirat , insyaAllah. 

Wabillahittaufik wal hidayah...wassalam.

11 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum Kak Werdah,

Pertamanya merasa sedih kerana kak werdah dah nak berhenti berblog, saya rasa ianya satu kerugian pada saya. Saya harap walaupun akak tak berblog lagi semoga blog kak werdah ni masih boleh kami singgah untuk menimba sedikit sebanyak ilmu yang ada di sini.

Kedua, semoga akak diberikan ketenangan dan kesejahteraan serta kesihatan yang baik dalam kehidupan akak yang mendatang. Jumpa lagi di alam maya yer kak.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ani.

InsyaAllah kak tak tutup blog ini, kerana blog ini ada maklumat yang boleh dimanfaatkan, terdapat maklumat rawatan untuk sakit jasmani dan rohani,untuk dikongsikan dengan rakan-rakan yang mengalami masalah yang sama jika ada.

Mudah2an ikatan ukhwah antara kita tetap berkekalan.

Boleh emel kak di werdahalim@yahoo.com

InsyaALLAH.Amin.

zulkbo said...

Salam Kak..
terima kasih perkongiannya
amat berguna sebagai panduan
ilmiah..

Ros Illiyyuun said...

Assalamualaikum :)


Semoga sentiasa dalam peliharaan-Nya

Pelbagai kategori manusia wujud ye.Semoga kita semua berusaha untuk menjadi yang terbaik,iaitu golongan yang pertama.

Erm, saya pun sedih bila Makcik nak berhenti 'blogging'. Walau kita tak pernah bersua muka, namun rasa silaturrahmi itu sudah lama wujud di hati ini.

Apapun, saya faham mesti ada sebab yang tidak dapat dielakkan ye. Harap dapat berhubung lagi selepas ini. Salam ukhuwwah yang berpanjangan dari saya.

kyo_9 said...

ideologi orang gaji tuh memang terbaek!

combi said...

assalamualaikum kak werdah
sedihnya akak nak berhenti berblog
mungkin ada sebab tertentu akak nak berhenti...
saya doakan akak sihat2 selalu ya.

ummu said...

kak werdah alamak tadi saya tengah buka email saya yang lain dah terkeluar nama lain.
saya suka dengan analogi pembantu rumah itu.
terima ksih ya kak atas ukhuwah ini meski tidak pernah bersua wajah dan rupa...sedih

Si Rusty Dusty said...

assalamualaikum.blog anda begitu menarik.....
saya harap ada lagi tentang keesaan Allah anda publishkan di sini ya 6_^

Unknown said...

SALAM,
DIDOAKAN KESEJAHTERAAN DUNIA DAN AKHIRAT UTK KAK WERDAH. MOHON TIDAK BERHENTI BERSIARAN. LF BANYAK MEMPEROLEHI MANFAAT

terokai seni said...

assalamualaikum

apa yang penting, kita telah melaksanakan sedikit usaha untuk berkongsi ilmu dan kebaikan buat menyempurnakan 3 bekalan untuk dibawa ke kubur kelak

azvic said...

Assalamuaalikum maksu,

Terima kasih atas perkongsian ini, serba sedikit menyedarkan diri yang masih tidak sempurna..

semoga kita semua dapat keberkatan daripada ilmu ini dan maksu mendapat keredhaan Allah.. aamiin..

Thanks maksu!

Related Posts with Thumbnails