Friday, October 29, 2010

Nak Bawa Masalah atau Tak dalam Solat



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini ingin berkongsi tentang tajuk 'Khusyuk'. Semuanya ini adalah hasil mendengar ceramah tafsir berdasarkan tajuk (tafsir maudhu'i) yang bertajuk memahami makna khusyuk.

Istilah khusyuk ini sebenarnya bukan hanya kepada solat meskipun yang sering kita dengar kalimah ini kerap digunakan untuk solat.

Sebenarnya erti yang luas ialah merangkumi semua ibadah namun di sini ditulis dahulu tentang khusyuk dalam solat.

Orang-orang yang khusyuk dalam solat tanda-tandanya jelas kelihatan daripada ekspresinya yang tenang, tidak begitu tergesa-gesa dan kelihatan begitu sabar dalam melaksanakannya.

Dalam ayat di bawah ini khusyuk ialah ciri utama orang mukmin yang berjaya. Klik orang yang berjaya dan beruntung ialah orang khusyuk dalam solat.


Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (al-Mukminun [23] : 1- 2)

Kita boleh muhasabah diri kita, sama ada kita boleh mendapatkan khusyuk dalam solat atau tidak bedasarkan ayat-ayat yang akan diterangkan berikut:


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya". (al-Baqarah [2] : 45-46)

Ayat di atas ini boleh memberi makna khusyuk. Ada beberapa POIN penting untuk memahami khusyuk seterusnya mencapai khusyuk.

POIN PERTAMA adalah berkait rapat dengan perasaan amat memerlukan. Seseorang yang sedang merasakan amat memerlukan Allah, ibadah solatnya, puasanya dan zikir dan wiridnya sangat khusyuk. Ini berdasarkan:

وَٱسۡتَعِينُواْ
"Mintalah pertolongan"

MINTALAH, itu bermaksud hanya orang yang memerlukan sahaja akan meminta, jika dah boleh berdikari orang itu tak akan meminta.

Oleh sebab itu tanamkan sifat sangat memerlukan Allah, apatah lagi kita ini manusia yang lemah dan kita sangat memerlukan Allah.


"(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji". (Fatir [35] : 15)

ٱلۡفُقَرَآءُ

Ayat ini memberitahu kita kedudukan kita yang sebenar di sisi Allah. Al-Fuqara' ini maksudnya kita ini faqir dan amat berhajat kepada Allah. Seandai tulang belakang kita patah bayangkan apa yang kita boleh buat, makan, minum, bergerak semuanya memerlukan pertolongan orang lain. Faqir di sini bukan setakat memerlukan makan minum tetapi segalanya hinggakan nak mengerdipkan mata sekalipun kita tak berdaya jika tidak digerakkan Allah.

Allah Maha Kaya tak memerlukan atau berhajat kepada yang lain. Jadi janganlah kita merasakan kita boleh berdikari, bila malam kita boleh tidur janganlah terlalu yakin kita akan bangun esok harinya. Begitulah jika pada hari ini kita masih boleh mengetuk keyboard jangan terlalu yakin esok kita masih lagi dapat mengetuknya.

Jadi di sini, orang yang tidak ada keperluan payah untuk khusyuk, mungkin bila berdoapun seperti nak tak nak sahaja, laju dan tak fahampun apa maksudnya.

Kita kena merasa yang kita ini ada masalah. Mana mungkin kita tidak ada masalah cuma mungkin kita tidak peka kepada masalah. Contoh A, B, C dan D masing-masing ada anak. Semua perangai anak-anak mereka sama tidak ambil peduli tentang agama. A pandang ini masalah besar dan amat risau, B pula kurang sikit risaunya, C lagi kurang risaunya daripada B, manakala D langsung tak risau apa-apa dan D inipun sama seperti anak-anaknya.

Masalah kita sebenarnya terlalu banyak, apatah lagi kita banyak melakukan dosa. Hari-hari kita buat dosa. Sedangkan taubat kita entahkan cukup atau tidak. Bila kita bermuhasabah dengan ikhlas antara dosa dan taubat dan mendapati taubat kita kurang itulah masalah besar kita. Jadi bila nak mula solat dan merasakan dosa terlalu banyak daripada taubat sepatutnya kita dah rasa takut jadi bila berdoa dalam solat contoh bila berdoa dalam duduk atara dua sujud ketika kita kata Rabbighfirli kita rasa bergetar memohon keampunan daripada Allah.

Sebelum ini kita sering dengar, ketika kita angkat takbiratul ihram 'Allahu Akbar' tinggalkan masalah di belakang. Sepintas lalu ada kebenarannya, tetapi kena lihat apa masalah yang nak kena tinggal. Jika masalah makan tengah hari tadi tak sedap, atau masalah tadi bergaduh di jalan raya, itu tak bolehlah dibawa dalam solat.

Oleh itu kita perlu rakam dulu dalam memori kita apa masalah yang nak dibawa menghadap Allah, jika dosa ingat satu-satu perkataan yang kita ucapkan dalam solat, jika kita kata Allahu akbar segala rasa sombong, pandai dan hebat, semuanya hancur. Bila berdoa dalam duduk antara dua sujud ingat kesemua nama Allah asmaul husna, Allah al-Ghafur (Maha Pengampun), Allah ar-Rahman, Allah al-Jabbar, Allah ar-Rafi', Allah ar-Razzak, Allah al-Hadii, Allah al-'Afuww. Masalah kita mesti ada dalam 7 doa ini. Allahpun menyuruh kita memohon dengan menyebut namaNya dalam asmaul husna.


Marilah kita mula menghayati ketika kita duduk di antara dua sujud semasa solat. Dengan rendah hati kita nyatakanlah permohonan ampun kepada Allah. Boleh baca Hayatilah doa antara dua sujud di sini

Ketika ucap Rabbighfirli (Tuhanku!, ampunilah aku). Diamlah sejenak, buka diri kita untuk menerima ampunan daripada Allah.

Warhamni (dan kasihanilah aku). Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih sayang Allah yang tak terhitung besarnya. Ingatlah bahawa Allah Maha Pengasih akan sentiasa memberikan banyak kasih sayangNya kepada kita.

Begitulah berturut-turut sampaikanlah permintaan-permintaan berikut dengan merasakan sebagaimana tersebut di atas, satu persatu.

Wajburnii (tutuplah aib-aibku)

Warfa'nii (angkatlah darjatku)

Warzuqnii (berilah aku rezeki)

Wahdinii (berilah aku petunjuk)

Wa'Aafinii (sihatkanlah aku)

Wa'fuannii (maafkan aku)

Setelah selsai, diamlah sejenak lalu sampaikan rasa syukur kita. Betapa besarnya nilai sebuah doa ini. Jangan kita bazirkan begitu sahaja. Janganlah kita lafazkan dalam keadaan seperti kita tidak sedar atau seperti kita sedang berpura-pura memohon sesuatu sedangkan hati antara mahu dan tidak mahu. Jika begini selayaknyalah Allah menilai kita seperti itu.

Contoh yang mudah, katalah kita ingin berjumpa dengan orang yang kita rasakan hajat kita boleh ditunaikan, dan orang itu bersedia mahu berjumpa kita, namun bila kita bertemu dengannya, kita tak bercakap tentang apa yang kita hajati, kita hanya berbual sekadar menceritakan hal-hal lain. Akhirnya kita pulang dengan tangan kosong.

Kita tak perlulah bawa banyak sangat masalah untuk Allah selesaikan dalam satu solat. Elok cari masalah yang lebih utama. Syaratnya simpan dalam memori kemudian khasnya dalam doa duduk antara dua sujud tu mohon kepada Allah. Subhanallah, sangat makbul sebab Allah dah suruh mintalah pertolongan dengan solat. Tentang doa ini, sebenarnya banyak dalam solat kita apatah lagi solat keseluruhannya adalah doa, mulai daripada doa ifititah sampailah ke salam semuanya doa.

CERITA:

1) Kisah dalam Surah Ali Imran [3] ayat 37 hingga ayat 41


Maka dia (Mariam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Mariam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Mariam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Mariam menjawab; Ia adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira. (37) Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. (38) Lalu dia diseru oleh malaikat sedang dia berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): Bahawasanya Allah memberi khabar yang menggembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua dan juga akan menahan diri dari berkahwin dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh. (39) Nabi Zakaria berkata: Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul? Allah berfirman: Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya. (40) Nabi Zakaria berkata lagi: Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung). Allah berfirman: Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi. (41)

Di sini masalah Nabi Zakaria ialah dia tidak ada zuriat, sedangkan dia sedar dia telah tua, isterinya pula mandul, dia pula sebatang kara, dia risau tidak ada pengganti untuk meneruskan ajarannya. Mungkin berbulan-bulan atau bertahun-tahun Nabi Zakaria berdoa, jadi ketika dia nampak Mariam dapat rezeki di dalam Mihrab, dia bertanya kepada Mariam daripada mana semuanya ini. Dan dijawab oleh Mariam ; Ia adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira. Lalu Nabi Zakaria berdoa seperti dalam ayat 38 di atas. Bila Nabi zakaria berdoa yang menariknya doanya disambut dengan jawapan oleh malaikat seperti dalam ayat 39 iaitu Nabi Zakaria masih lagi dalam solat (Nabi Zakaria masih lagi sedang berdiri di Mihrab). Maksudnya Allah bagi tahu kepada Nabi Zakaria ketika dalam solat. Nabi Zakria pula berkomunikasi dengan Allah juga dalam solat dengan bertanya separti dalam ayat 40 dan Allah menjawabnya dalam ayat 41.

Dalam kisah ini bukanlah Nabi Zakaria berdialog secara berhadapan dengan Allah maksudnya melihat Zat Allah, tetapi Nabi Zakaria berdoa dengan begitu khusyuk dalam solatnya dan dapat merasa Allah berkomunikasi dengannya.

2) Kisah dalam ayat (al-Baqarah [2] : 144) . Nabi Muhammad saw pun pernah alami perkara seperti ini. Lihat ayat berikut:


"Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan". (al-Baqarah [2] : 144)

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah: Kami bersembahyang di Madinah menghadap Baitul Maqdis selama 16 belas bulan, dan setiap kali mendirikan solat menghadap Baitul Maqdis Nabi berharap sangat Allah mengutuskan Jibril as membawa wahyu menukarkan kiblat ke Kaabah dan Allah Maha Mengetahui akan hati Nabi yang sangat merindui Kaabah. Ini dialami oleh Nabi bukan sekali dua bahkan kerap dan agak lama. Sangat luar biasa, ketika Nabi sedang solat turunlah ayat di atas. Lalu Nabi terus menukar kiblat pada ketika itu juga. Jadi itulah doa dalam solat. Ini berlaku dalam Masjid Qiblatain.

Itulah POIN PERTAMA iaitu mintalah pertolongan. Nak dapat khusyuk mestilah ada rasa memerlukan lebih-lebih lagi besar hajatnya. Kita ini faqir, apatah lagi kita dah tak dapat mengharapkan siapa-siapa lagi contoh jika kita sakit, ubat dan doktor semuanya dah dicuba. Jika berhutang kita dah minta tolong kepada ramai orang semuanya tak dapat membantu. Ketika ini hatta orang-orang kafirpun akan khusyuk, lihat ayat di bawah:


"Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur". (Yunus [10] : 22)

Jadi kesimpulan bagi POIN pertama ini ialah cuba senaraikan masalah kita untuk dibawa dalam solat, supaya kita khusyuk dalam solat.

InsyaAllah jika ada kekuatan akan sambung lagi POIN KEDUA. Semoga bermanfaat.

NOTA: Artikel lain berkaitan dengan khusyuk boleh klik pada label khusyuk dalam solat.

Saturday, October 23, 2010

Ghurur

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Rasulullah S.A.W bersabda:

Sesungguhnya dalam diri manusia ada seketul jasad. Jika ia baik, akan baik seluruh amal manusia. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh amalnya. Ketahuilah ia adalah hati. (hadis riwayat Ahmad)

Salah satu penyakit hati yang perlu kita ambil perhatian ialah terpedaya oleh perasaan sendiri (al-ghurur)

Allah SWT mengingatkan kepada manusia tentang ghurur ini di beberapa tempat di dalam al-Quran. Manusia harus waspada tentang sifat ghurur ini kerana ia dapat menjadikan manusia lalai dan lupa kepada Allah SWT. Kata ghurur dan derivasinya banyak terdapat dalam al-Quran, ada berbentuk fi’il madhi, fi’il mudhari’, dan masdar.

Definisi al-ghurur.

Menurut etimologi Al-ghurur mempunyai beberapa maksud contohnya:

1) Gharrahu - yaghuruhu - ghururan (Tertipu oleh diri sendiri) ; ghairuhu (tertipu oleh orang lain) ; gharra nafsahu - yaghurruha ( dia menipu atau tertipu oleh dirinya sendiri), contoh dalam ayat di bawah:

يَعِدُهُمۡ وَيُمَنِّيہِمۡ‌ۖ وَمَا يَعِدُهُمُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ إِلَّا غُرُورًا

"Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata". (an-Nisaa' [4] : 120)

Ayat ini menjelaskan bahawa syaitan memberikan janji-janji kosong kepada manusia, akibat daripada janji tersebut timbulah angan-angan kosong, padahal yang dijanjikan syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya belaka.

"Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka) dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata". (al-Isra' [17] : 64)

2) Segala sesuatu yang mengakibatkan dan menjerumuskan dalam penipuan (al-ghurur). Al-Jauhari berkata : "Kata al-ghurur mempunyai erti sesuatu daripada kehidupan dunia yang membuat seseorang tertipu.

Menurut istilah pula, al-ghurur bererti seseorang yang merasa bangga terhadap dirinya sendiri sehingga meremehkan dan memandang rendah segala sesuatu yang dilakukan oleh orang lain. Jika seseorang itu mempunyai perasaan seperti ini bermakna dia telah terpedaya oleh perasaannya.

Antara faktor penyebab al-Ghurur.

1) Tidak waspada dan muhasabah diri hingga menyebabkan bangga diri dan meremehkan orang lain. Oleh itu Allah berfirman menyuruh kita sentiasa muhasabah diri:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. (al-Hasyr [59] : 18)

2) Berlebihan dalam beragama.

Orang yang kadang-kadang melaksanakan tuntutan agama secara berlebihan, dan apabila terlalu lama dia melihat orang lain yang melaksanakan secara sederhana lalu dia mengganggap orang lain melecehkan agama.

Islam mengajar umatnya bersederhana dan tidak berlebihan dalam ibadah. Nabi pernah menegur pemuda yang ber'uzlah (mengasingkan diri); "Kamukah yang mengatakan begini dan begini. Demi Allah! Sesungguhnya aku adalah orang paling bertakwa dan takut kepada Allah tetapi aku melakukan puasa dan aku berbuka. Aku solat dan aku tidur serta bernikah. Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, dia tidak termasuk golonganku." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

3) Memperdalam ilmu tanpa mempergunakannya.

Orang ini begitu bersemangat memperdalami ilmu agama, namun dia tidak memperaktikkan apa yang dipelajarinya. Pada masa dia tekun belajar dia perhatikan orang lain yang dia anggap tidak peduli untuk mempelajarinya. Lalu dia menyangka bahawa orang lain tidak mahu bersikap sebagaimana dia melakukannya. Seterusnya timbullah perasaan meremehkan orang lain yakni dia terperesuk ke dalam sifat ghurur.

Inilah barangkali mengapa Nabi SAW menganjurkan kita berdoa; "Ya Allah! Aku berlindung kepadaMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, jiwa yang tidak pernah kenyang dan doa yang tidak terkabul". (Hadis Riwayat Muslim).

Islam menganjurkan kita mencari ilmu yang bermanfaat kemudian mengamalkannya, jika tidak diamalkan binasalah yang akan diperolehi.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya". (as-Saff [61] : 3)

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" (al-Baqarah [2] : 44)

Nabi SAW bersabda; "Pada hari Kiamat, seorang lelaki diajukan ke hadapan Allah SWT kemudian dilemparkan ke dalam neraka. Ia berputar-putar seperti keledai yang menarik penggilingan. Penduduk neraka berkumpul dan bertanya; "Wahai fulan, kenapa engkau seperti ini? padahal engkau dahulu memerintahkan kebaikan dan melarang kemungkaran kepada kami? Dia menjawab; Aku memrintahkan kebaikan kepada kamu tetapi aku sendiri tidak mengerjakannya. Aku melarang kamu mengerjakan kemungkaran tetapi aku melakukannya." (Hadis Bukhari dan Muslim).

4) Khusyuk dalam ketaatan tanpa mengingat dosa.

Dalam banyak perkara kita kadang-kadang benar dan kadang salah. Jika kita tidak sedar akan kesalahan kita, maka kita akan merasa bangga dan menyangka kita sahaja yang betul akhirnya kita khusyuk dalam ketaatan tapi kita lupa akan dosa kita. Akhirnya sikap ini juga akan meremehkan orang lain dan menjadi ghurur.

Allah SWT memuji orang-orang yang taat tetapi selalu merasa khuatir ketaatannya tidak diterima Allah. Firmannya bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Tuhan mereka. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhan mereka. Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan dan merekalah orang-orang yang akan segera mendapatnya". (al-Mu'minun [23] : 57 - 61)

'Aisyah ra bertanya; "Ya Rasulullah! Apakah maksud 'orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar?'. Rasulullah menjawab mereka adalah orang-orang yang melaksanakan solat, puasa dan bersedekah serta merasa takut kepada Allah 'Azza Wajjala" (Hadis Riwayat Tarmizi)

Rasulullah saw juga mengingatkan umatnya agar selalu mohon kepada Allah selepas melakukan sesuatu perkara supaya tidak terjebak dalam ghurur. Baginda bersabda, "Amal soleh seorang daripada kamu tidak akan dapat menyelamatkan pelakunya". Para sahabat bertanya: Dan engkau juga tidak wahai Rasulullah? Jawabnya benar, hanya jika Allah melimpahkan rahmatNya kepadaku. bersikap luruslah, lakukan kebaikan pada pagi dan petang serta sebahagian malam. Milkilah niat kuat kerana niat itu membawa kamu sampai kepada tujuan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Abdullah bin Ma'ud menggambarkan hal ini dengan jelas; "Sesungguhnya mukmin sejati itu adalah orang yang melihat dosanya seperti orang yang duduk di bawah sebuah gunung dan khuatir gunung itu akan runtuh dan menimpanya. Seorang pendosa adalah yang melihat dosanya seperti lalt terbang di depan hidungnya." Dia berkata sambil mengisyaratkan (menepis dan menghalau) (Hadis Riwayat Bukhari)

5) Cenderung kepada kehidupan dunia.

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (al-Hadid [57] : 20); baca juga Ali Imran [ 3 ] : 185).

"Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (al-Kahfi [18] : 45)

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan) dan yang reda (berpuas hati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami. Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah Neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan". (Yunus [10] : 8)

Keperluan menjaga hati supaya manusia dapat merasai kesenangan, kesusahan, kegembiraan serta kesedihan kerana hati yang sudah mati tidak akan merasai semua itu kerana sibuk meninggalkan perintah Allah, jauh sekali menyesalinya.

Hati yang mati tidak boleh memahami antara kebaikan dengan keburukan, hak dan batil, tauhid dengan syirik. Justeru, manusia yang berfikir ialah manusia yang mempunyai hati dan dapat memahami.

Memohon pertolongan Allah SWT agar terhindar daripada penyakit ghurur merupakan satu kaedah yang berkesan dan seterusnya melenyapkan penyakit ini. Ini kerana Allah SWT hanya akan menolong dan melindungi orang-orang yang memohon pertolongannya.

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (al-'Ankabut [29] : 69)

Sumber rujukan : Buku Merawat 7 Penyakit Hati terbitan Pustaka Azhar


Tuesday, October 19, 2010

Proses Membaikpulih/prolotherapy

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, selawat serta salam buat junjungan Nabi Muhammad saw, keluarga serta para sahabat dan pengikutnya.

Alhamdulillah pagi tadi ke Klinik Keluarga dan Surgeri di PJU, Pusat Perdagangan Pelangi di Petaling Jaya.

Baru inject di tiga tempat iaitu di pinggul sebelah kiri. Tidaklah sakit seperti yang dibayangkan sebelum ini. Sebelum sesi inject doktor Zul terangkan semua perkara tentang rawatan ini. Rawatan prolotherapy sebenarnya kebalikan daripada ubat penahan sakit dan steroid. Jika kita makan ubat tahan sakit, proses pemulihan dihentikan. Kita akan rasa kurang sakit bila makan ubat seperti voltaren atau celeberax dan sebagainya. Bila kesan ubat hilang kita akan sakit semula. Prolotheraphy pula membaikpulih sel-sel atau rawan yang telah kendur.

Amat berharap rawatan kali ini berhasil. Rasanya banyak kali nak kena inject. Bila balik, cari dalam youtube. Rupanya banyak yang dipaparkan di sana. Yang di bawah ini dibuat oleh Dr. Ross A. Hauser, Illinois.






Related Posts with Thumbnails