Monday, November 22, 2010

Bahasa apa yang kita guna semasa solat? - Sambungan


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.


Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Alhamdulillah kali ini dapat sambung tulis tentang bahasa yang digunakan dalam solat.

2) Bahasa Lisan (verbal Language)

Selain bahasa tubuh Allah ajar kita gunakan bahasa lidah. Dalam solat ada rukun wajib, ada rukun sunat, ada doa, ada pujian dan ada ikrar yang kita lafaz. Apabila kita angkat tangan takbir (body language) pada masa yang sama kita kata Allahu Akbar sambil berdiri tunduk, mata memandang ke tempat sujud; ketika ini apabila kita hayati (kita sedar bahawa Allah Maha Besar) kita telahpun dapat khusyuk. Cuba kita bayangkan ketika kita berkomunikasi dengan orang; ketika kita angguk untuk nyatakan kita setuju pasti kita kata; "ya! saya setuju". Orang itu pasti percaya kita setuju walaupun kita tak setuju. Jadi kita begitu jahat jika kita berkata tidak selari dengan bahasa tubuh kita dan yang ada dalam hati kita. Orang tak tahu; yang tahu hanya kita sendiri.

Dalam berkomunikasi dengan Allah tidak demikian. Apa jadi jika kita menghadap Allah ketika kita solat, kita berdiri, tunduk kemudian kata Allahu Akbar tapi kita tak hayati? Sepatutnya kita dah hancurkan segala sifat keakuan kita. Jika tadi dengan manusiapun kita mungkin rasa bersalah inikan pula dengan Allah SWT. Allah Maha Mengetahui.

Dalam solat kita banyak berkomunikasi dengan Allah SWT, bukan sahaja ketika kita kata Allahu Akbar, bahkan doa iftitah, al-fatihah dan banyak lagi. Ada pengakuan bahawa hidup mati kita hanya untuk Allah sekelian alam.

Bahasa tubuh dan bahasa lisan adalah bahasa universal sebab itulah Allah ajar atau tetapkan apa yang hendak diungkapkan dalam setiap gerakan. Kita tak dapat nak bezakan sama ada orang itu ruku' dalam senaman ataupun ruku' dalam solat jika kita tidak ketahui apa yang diungkapkan. Jika senaman tak ada bacaan dibuat, mungkin ruku' itu untuk hilangkan sakit pinggang. Begitu juga dengan berdiri jika kita pandang dari belakang kita tak dapat nak bezakan apakah orang itu bersenam ataupun solat.

Ungkapan dalam solat , pujian al-hamdulillah, ihdinassiratal mustaqim dan lain-lainnya Allah yang pilih. Jadi segala ungkapan pujian, mensucikan Allah dan doa permohonan yang Allah pilih itu adalah luas maknanya. Diungkapkan oleh kita dan ditambah pula bahasa tubuh yang penuh makna tentu akan membentuk keindahan bermunajat dalam solat, pasti kita lupa perkara-perkara lain. Pasti tidak lalai dalam solat. Dalam surah an-Nahl ayat 107 hingga 109 yang bermaksud:

(Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat dan kerana Allah tidak memberi hidayat petunjuk yang menyampaikan kaum yang kufur ingkar (kepada kebahagiaan di akhirat). (107) Mereka itulah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah Taala hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka dan merekalah orang-orang yang lalai. (108) Tidak syak lagi, bahawa mereka ialah orang-orang yang rugi pada hari akhirat kelak. (109)

Allah tak beri petunjuk kepada orang-orang yang lalai. Jika lupa mungkin Allah maafkan. Lalai ini adalah sifat orang kafir kerana mereka tak ambil berat, jika tak sengajapun sifat itu tercela. Salah satu maksud lalai ialah bila makna bahasa tubuh kita tak sama dengan bahasa lisan kita. Lihat ayat 167 surah ali-Imran yang bermaksud:

" ... Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan. (ali-Imran [3] : 167)

Ayat ini menyatakan ciri-ciri orang munafik, namun orang-orang yang boleh menjangkiti ciri-ciri ini ialah orang-orang mukmin bukannya orang kafir. Jadi dengan sebab itu fikirlah sejauh mana semasa kita angkat takbir kita telah merasakan kehinaan diri kita, ketika kita zikrullah tidak cukup dengan gerakan tubuh, mesti dengan lidah juga disertai dengan hati.

Kita bukan sahaja kena hafal apa yang hendak diungkapkan malah kita kena hayati dan mengerti, jangan pula kita lebih banyak menghafal tapi tak mengerti. Solat sah tetapi nilai solat kita kurang. Dalam bahasa sinikal jika kita tak faham atau mengerti apa yang kita cakap, kita seumpama burung kakak tua. Cuba kalau orang datang nak minta bantuan tetapi mintanya seperti membaca skrip, orang yang nak tolongpun pening, kemudian datang lagi, intonasinya sama saja pada kali berikutnya dan seterusnya. Sepatutnya jika susah mesti ada nada rayuan memohon pertolongan. Orang yang khusyuk; lama dalam berdoa.

Ini bermakna kita kena faham apa yang kita ungkapkan, bila kita capai dua bahasa ini yakni bahasa tubuh dan bahasa lisan kita insyaAllah akan capai khusyuk.

3) Bahasa Inteklektual.

Maksudnya bahasa dengan menggunakan pelbagai ilmu pengetahuan. Makamnya lebih tinggi. Semakin canggih perkara yang difahami semakin dalam pula makna yang dapat digali daripada apa yang terkandung di sebalik ucapan dan gerakan yang kita lakukan.

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (190) (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka." (Ali Imran [3] : 190 & 191)

Dalam ayat 190 & 191 surah ali Imran, dinyatakan ulul albab ialah:
  • Orang-orang yang mengingati Allah
  • Sama ada dalam keadaan berdiri, duduk, baring
  • Berfikir (mencari ilmu
  • Sehingga pengetahuan tentang penciptaan Allah bukan skadar kenal namanya, warna tetapi kenal segala-galanya
sehingga dia berkata : "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka."

Kita ambil contoh A, B dan C. Ketiga-tiga orang ini mempunyai pengetahuan yang berbeza. Ketika ketiga-tiga orang ini A, B dan C ini duduk di atas bukit dan merenung ke bawah, semuanya kagum menyaksikan keindahan panaroma, semuanya kata Subhanallah tetapi disebabkan pengetahuan tidak sama, subhanallah mereka mempunyai nilai yang berbeza. Maksudnya bila pengetahuan tentang sesuatu perkara itu lebih mendalam, maka ucapan mensucikan Allah itu lebih terkesan dijiwa. Apatah lagi jika kedudukan orang ini tinggi sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 18:

Allah bersaksi (bersyahadah), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (juga bersaksi mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Ali Imran [3] : 18)

Dalam ayat ini Allah sebut, DIA ; Allah, para malaikat dan orang-orang yang berilmu. Tentulah yang paling tinggi ialah Allah, kemudian para malaikat dan orang-orang yang berilmu berada di tempat seterusnya. Jika tidak berilmu bagaimana nak bersyahadah. Jika bersyahadah juga tanpa ilmu bermakna ikut-ikutan, jadi tidak tahulah sama ada kesaksian itu diterima atau tidak.

Para malaikat berada pada kedudukan yang tinggi, jika mereka memuji Allah kita tak dapat bayangkan betapa khusyuknya mereka. Lihat dalam surah an-Najm ayat 6 & 7 :

Wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat Jibril) yang amat kuat gagah, (5) Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian dia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, (an-Najm[53] :6 - 7 )
Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua dan malaikat-malaikat yang ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepadaNya dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. (19) Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti. (al-Anbiya' [21] : 19 - 20)

Daripada ayat-ayat di atas nyatalah bahawa para malaikat berpengatahuan tinggi tentang sifat-sifat Allah. Dengan sebab itu para malaikat khusyuk dalam ibadah mereka. Kita tak dapat nak bayangkan bagaimana khusyuknya para malaikat ketika bertasbih memuji Allah. Para malaikat sangat mengerti tambahan pula mereka terlalu dekat dengan Allah.

Mudah2an kita dapat berusaha mempelajari dan mengerti maksud ayat-ayat dan doa yang kita ungkapkan dalam solat kita.

Setakat ini dahulu, mudah2an dapat sambung lagi menulis bahasa yang ke empat yang digunakan dalam solat jika diizinkan.. insyaAllah.. mudah2an memberi manfaat.

Tuesday, November 16, 2010

Bahasa apa yang kita guna semasa solat?


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Dalam Nak Bawa Masalah atau Tak Dalam Solat telah dituliskan kisah nabi Zakaria berdialog dengan Allah SWT ketika baginda mendirikan solat. Dalam surah Maryam pun ada tentang ini iaitu mulai ayat 2 hingga ayat 11. Kita kena cermati kisah ini dengan fikiran yang terbuka kerana apa yang terjadi kepada Nabi Zakaria itu mungkin pelik bunyinya sebab sebelum ini kita selalu diingatkan jangan bawa masalah dalam solat. Kita juga mungkin pelik mendengar dialog yang berlaku antara seorang hamba dengan Tuhannya itu agak panjang. Namun kita kena ingat bahawa Jibril as hanya utusan Allah, dan apa yang disampaikan olehnya hakikatnya ialah firman Allah. Berapa ramai di kalangan kita yang tidak menggunakan solat sebagai wasilah untuk mengemukakan masalah walaupun bukan tidak boleh berdoa di luar solat.

Apabila nabi Zakaria berdoa dan mengatakan:


إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ

"Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar (menerima) doa permohonan".


Maha Mendengar, Maha Memakbulkan hanya dua kali sahaja disebut di dalam al-Quran. Nama Allah (asmaul husna) yang sering dikaitkan dengan 'Sami'un' ialah 'Alim'. Tetapi dalam ayat ini Allah gandingkan dengan doa. Inipun bermaksud Allah berdialog dengan Nabi Zakaria ketika solat.

Para pengkaji bahasa al-Quran berpendapat:

Cara nabi Zakaria berdoa betul2 khusyuk, luar biasa sekali hatinya yang khusyuk bukan hanya semata-mata kumat kamit di mulut. Nabi kekasih Allah ini berdialog dengan jiwanya bermunajat terus kepada Tuhannya, kemudian Jibril as menyampaikan jawapan Allah kepadanya. Bila kita dengar Nabi Zakaria bertanya barangkali kita akan berfikir itu nabi bolehlah tapi al-Quran sebenarnya untuk diteladani seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.

Sebenarnya ada 3 cara Allah berhubung dengan hambaNya biarpun Nabi-nabi dan hamba orang awam yang tentunya hubungannya baik dengan Allah. Allah memberitahu kita bahawa Allah berkata-kata dengan pelbagai cara:

1) Wahyu

Kita ambil contoh daripada ayat-ayat firman Allah SWT seperti berikut:

وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ ٱللَّهُ إِلَّا وَحۡيًا أَوۡ مِن وَرَآىِٕ حِجَابٍ أَوۡ يُرۡسِلَ رَسُولاً۬ فَيُوحِىَ بِإِذۡنِهِۦ مَا يَشَآءُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ عَلِىٌّ حَڪِيمٌ۬

"Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi) atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja) atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana. (As-Shura [42] : 51)

Bukan sahaja Nabi, Maryampun dapat wahyu begitu juga dengan ibu Nabi Musa.

إِذۡ أَوۡحَيۡنَآ إِلَىٰٓ أُمِّكَ مَا يُوحَىٰٓ

"Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya": (Taha [20] : 38)

Bahkan lebah dalam surah an-Nahl.


وَأَوۡحَىٰ رَبُّكَ إِلَى ٱلنَّحۡلِ أَنِ ٱتَّخِذِى مِنَ ٱلۡجِبَالِ بُيُوتً۬ا وَمِنَ ٱلشَّجَرِ وَمِمَّا يَعۡرِشُونَ


"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia". (An-Nahl [16] : 68)

Daripada ayat-ayat di atas dapatlah kita fahami bahawa istilah wahyu bukan hanya digunakan untuk nabi malah untuk semua manusia dan juga binatang atau makhluk ciptaanNya.

2) Daripada belakang hijab.

Ini berlaku kepada Nabi Musa as di Bukit Tursina dan Nabi Muhammad SAW di Sidratul Muntaha.

3) Perantaraan Malaikat seperti yang berlaku kepada Nabi Zakaria as.

Dalam al-quran tidak ada ayat-ayat yang menyuruh kita minta banyak-banyak daripada Allah tetapi yang banyaknya ialah berzikir banyak-banyak. Kemudian dulu pernah ditimbulkan bahawa doa ada dua, satu doa ibadah dan satu lagi doa masalah dalam Pengajaran Daripada Ayat 26 Surah Ali Imran. Kita hendaklah pastikan doa ibadah kita betul baru kita kemukakan masalah. Kemudian kita kena bersyukur dengan mengingat Allah banyak-banyak.

Apa pula bahasa yang patut kita guna dalam solat? Yakni semasa ingin berhubung dengan Allah SWT. Takkan bila nak kemukakan masalah kita tak guna bahasa.

Sebahagian ulama kontemprori ada menyatakan bahawa bahasa yang perlu kita gunakan dalam solat ada 4 semuanya:

Sebenarnya 4 jenis bahasa ini telahpun dicontohkan oleh Rasulullah SAW kepada kita, walau bagaimanapun kita sekadar belajar kaifiyat solat.

Sebagai contoh apabila Nabi kata : "Sallu kama raaitumuni usalli" yang bermaksud "Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat" (Hadis Muttafaqun 'Alaih), sebenarnya ramai yang memahami ikut tatacara luaran seperti cara berdiri, takbir, letak tangan atas tangan dan sebagainya, sedangkan Nabi menyuruh kita melihat semuanya yakni luaran dan dalaman. Yakni kena ikut apa yang nabi baca doa selepas takbiratul ihram, rukuk, sujud dan lain-lainnya. Diikuti pula dengan khusyuk. Ini kerana dalam bahasa 'Arab 'raaitu' itu lebih dalam lihatnya daripada 'nadzar' atau 'bashar', maksud semua kalimah ini adalah sama yakni 'lihat'. (NOTA: Harap faham apabila kalimah 'Arab jika ditulis dalam roman adalah lari sedikit daripada ejaan jawi atau 'Arab)

Kita faham hadis nabi terlalu dangkal. Jika kita faham kaifiyat sahaja maknanya terlalu dangkal kefahaman kita. Kita tak ikut cara berdoa seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW. Sebenarnya pengertian hadis memerlukan hadis lain dan ayat-ayat al-Quran untuk menerangkannya begitu juga ayat-ayat al-Quran ada ayat-ayat lain yang berkait dengannya. Ada kalanya kita tidak boleh memahami secara harfiyah kerana banyak ayat-ayat al-Quran dan Hadis mempunyai maksud yang tersirat.

1) Bahasa Tubuh (Body Language)

Mungkin selama ini kita anggap sepi tentang perkara ini. Dalam komunikasi sesama manusiapun ada bahasa isyarat; angguk, geleng; jika kita angguk maknanya ya, geleng pula maknanya tidak jadi tak mungkin kita angguk untuk mengatakan tidak. Begitulah dengan Allah apabila kita gunakan bahasa tubuh tentulah kita kena selarikan dengan apa yang ada dalam hati kita. Jika tak selari alangkah biadapnya kita, jika dengan sesama manusiapun kita dikatakan biadap seandainya kita angguk tapi yang sebenarnya kita ingin menyatakan tidak.

Dalam al-Quran ada kisah tentang bahasa tubuh, yakni apabila orang-orang munafik yang kecewa dan kesal kerana mereka harapkan orang-orang Islam kalah dalam peperangan; Allah nyatakan mereka menggigit jari (tanda marah, kecewa, terkilan).

Juga dalam kisah ashabul jannah (dua pemilik kebun), membalik-balikkan kedua tapak tangannya (menyesal):


"Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah dia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku! (al-Kahfi [18] : 42)

Dalam solat; bahasa tubuh ialah berdiri, angkat kedua tangan takbir, ruku', sujud, duduk antara dua sujud dan seterusnya semuanya gerakan yang ada makna. Malah maknanya amat dalam. Cendikiawan muslim banyak membuat kajian apa manfaat yang dapat diperoleh dalam setiap gerakan seperti meletak tangan atas tangan, ketika rukuk, sujud dan sebagainya.

Antara sekian banyak bahasa tubuh, yang paling penting ialah ruku' dan sujud hatta tidak boleh diganti yakni kita kena buat isyarat, berbeza jika tidak boleh berdiri, kita dibenarkan duduk dan berbaring. Ayat-ayat Allah banyak menyebutkan 'irka'u ma'as saajidiin' atau 'warka'issujud' walaupun ada juga 'iqaamussolah'. 'Irka'u ma'as saajidiin' atau 'warka'issujud' ini maksudnya 'orang yang solat'. Kenapa Allah sebut ruku' dan sujud untuk maksud dirikan solat? Sebabnya ruku' dan sujud adalah satu bentuk penghormatan atau simbol penghormatan yang paling sempurna iaitu dengan membongkokkan badan. Sebab itulah Islam tidak membenarkan kita hormat orang dengan dengan membongkokkan badan. Ruku' dan sujud hanya untuk Allah semata-mata. Dalam solat jenazahpun tidak ada rukuk dan sujud, kita cuma berdiri.

Sujud adalah simbol untuk menyatakan ketundukan kita dan kepatuhan kita kepada Allah SWT, hanya kepada Allah. Sewaktu ankanda baginda SAW Ibrahim wafat ramai yang kata gerhana matahari yang berlaku pada ketika itu yang menyebabkan anaknda baginda wafat lalu ramai yang sembah matahari, lalu Allah tegur:


"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah". (Fussilat [41] : 37)

Rasulullah saw juga ketika menceritakan tentang hak dan kewajipan suami isteri, kedua-duanya ada hak dan kewajipan yang besar. Rasulullah saw bersabda; daripada Abu Hurairah: "Kalaulah aku hendak menyuruh (jika dibenarkan) seseorang sujud kepada orang lain, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suami". Tetapi ini tidak dibenarkan sebab bahasa tubuh sujud ini hanya dibenarkan untuk Allah sahaja.

Ada kisah tentag bapa saudara Nabi, Jaafar bin Abdul Mutalib datang kepada Raja Najasyi yang ada kaitan dengan sujud sehingga Raja Najasyi memeluk Islam. Rasanya ramai dah tahu tentang ini. Namun jika ada kesempatan lain kali akan ditulis.

Soalnya adakah kita sedang memuliakan Allah dengan sebenar-benarnya ketika kita ruku' atau sujud? Adakah kita merasa bahawa diri kita benar-benar hina di sisi Allah ketika kita ruku' dan sujud? Pergerakan ini Allah yang tetapkan. Adakah kita buat semata-mata sebab disayaratkan? Subhanallah, body language ini amat penting, selagi tidak ada penghayatan tak bermaknalah solat kita.

Dalam al-Quran ada dua jenis sujud.

1) Sujud Ikram (memuliakan / hormat) - kisah malaikat disuruh sujud kepada Nabi Adam as.

2) Sujud Ta'abbud (menyembah) - usjudillah, warka'u ma'assajidin, ini maksudnya solat.

Solat pula terbahagi kepada tiga, 1/3 pada wudhuk, 1/3 pada ruku' dan 1/3 pada sujud. Hendaklah hjangan difahami secara harfiyah. Maksudnya jika baca kalimah ini terus sujud tanpa ada pergerakan lain. Semua gerakan berdiri, 'iktidal, duduk antara dua sujud, semuanya penting, namun ruku' dan sujud ini adalah cara atau simbol hubungan yang paling sempurna.

Masa ruku' dan sujud kita disuruh tasbih - mensucikan Allah, ketika yang lain-lain kita takbir membesarkan Allah dengan harapan kita merasa diri kita hina dina.

Solat adalah zikrullah apa yang kita ingat semasa ruku' dan sujud menentukan kualiti solat kita. Kebanyakan para sahabat sujud lama, bila bangun menangis kerana mereka merasa pergantungan/ memerlukan Allah SWT terlalu kuat.

Sabda Rasulullah saw "Sesungguhnya kedudukan hamba yang paling dekat dengan Tuhannya ialah orang yang sujud. Maka perbanyakkanlah doa olehmu ketika sujud" (Maksud ayat dalam gambar di atas)

Sampai di sini dahulu penulisan tentang bahasa yang kita gunakan dalam solat, insyaAllah sambung lagi. Mudah2an Allah berikan kekuatan dan kesihatan untuk menyambungnya.

Jika ada kekurangan dalam memahami apa yang ingin disampaikan, itu adalah kelemahan diri ini. Harap dimaafkan.

Selamat menyambut 'Idul Adha kepada semua pembaca yang Muslim.. semoga kita semua dapat meraih redha Allah. Allahumma Amiin.

Wednesday, November 3, 2010

Nak Sabar atau Tahan Ujian


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini sambung tentang tajuk 'Khusyuk'. Sebelum ini dibincangkan tentang mintalah pertolongan kepada Allah yang bermakna kita boleh bawa masalah kita dalam solat, namun kita kena bawa masalah yang besar-besar, dengan itu kita akan dapat khusyuk.

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya". (al-Baqarah [2] : 45-46)

POIN KEDUA ialah jika kita ingin khusyuk dalam solat kita hendaklah sabar. Khusyuk sangat erat dengan sabar. Hanya orang yang sabar sahajalah yang akan menikmati khusyuk.

Walaupun sabar mempunyai pelbagai definisi, namun dalam konteks khusyuk dalam solat ini ada dua pengertian:

1) Tidak tergesa-gesa atau tidak terburu-buru atau cepat.
2) Tahan diuji/tahan ujian.

Orang yang melakukan solat dengan tergsa-gesa pasti tak khusyuk. Fikirannya akan melayang memikirkan masalah yang wujud sebelum solat, bukan masalah yang dia telah rakamkan dalam memori seperti yang dibincangkan sebelum ini malah sebaliknya dia mengingatkan tugasan yang mesti diselesaikan dengan segera sebab ada time limit. Dalam hal ini perlu pilih antara dua sama ada nak selesaikan dulu tugasan ataupun nak solat. Jika nak solat juga dia perlulah tahan diuji, maknanya dia hendaklah jangan membawa masalah tugasan yang dia belum selesaikan itu. Banyak lagi contoh yang boleh diambil yakni mungkin menunggu panggilan telefon, menunggu ketibaan tetamu dan macam-macam masalah lagi.

Nabi Muhammad saw juga berpesan, jika tiba masa nak solat dan sajian telah terhidang, makanlah dulu supaya solat tak tergesa-gesa. Jika nak solat juga silakan tapi perlulah tahan jangan teringat-ingat akan hidangan tadi.

Begitu juga bila terasa nak buang air besar (maaf) atau angin seperti nak pecah perut kerana menahan, hendaklah dilepaskan dulu, supaya khusyuk, jika nak juga solat sabarlah, tahanlah supaya tak menganggu khusyuk.

Kita pasti telah mendengar riwayat bahawa Rasulullah saw pada satu ketika bila mengimamkan solat , Rasulullah saw mula dengan sangat perlahan tetapi selepas mendengar tangisan bayi nabi mempercepatkan solatnya. Nabi amat prihatin kerana Nabi bayangkan perasaan ibu bayi tersebut, pasti ibu itu tidak khusyuk.

Nabi juga pernah berkata bila cuaca panas teruk tunggulah sejuk (supaya solat tenang). Di Madinah dulu tidak ada penghawa dingin, kipaspun tak ada. Jadi jika waktu zohor amat panas jadi boleh solat selepas matahari agak tergelincir ke arah Barat. Subhanallah.

Bila lapar makan dulu, bila mengantuk tidur dulu supaya masalah ini tidak dibawa ke dalam solat. INGAT masalah yang perlu dibawa bukanlah masalah lapar dan mengantuk ini tapi yang besar-besar seperti yang dibincangkan dahulu. Sebelum solat kita letak dulu dalam fikiran kita masalah dan semasa berdoa dan memuji kita boleh terus kemukakan kepada Allah.

Ayat lain tentang khusyuk:

"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar". (al-Baqarah [2] : 153)

Jadi nak solat kena sabar tak boleh tergesa-gesa. Kadang-kadang kita menunggu panggilan telefon yang penting, bila sedang solat telefon berdering lalu kitapun solat dengan laju dan tak tahu apapun yang kita ucapkan dalam solat. Maka jadilah solat hanya untuk menggugurkan kewajipan. Subhanallah! Kita solat rajin Allah tak untung, kita tak solat Allah tak rugi. Begitu juga dengan khusyuk Allah Maha Kaya.

Bayangkan solat Nabi Zakaria. Selesai solat Nabi Zakaria lega. Sebab dalam solat dia dapat berkomunikasi dengan Allah. Dia mencurahkan rasa hatinya kemudian selepas dicurahkan segala rasa hati, Allah pula menjawab lalu Nabi Zakaria menemui kelazatan solat. Bayangkan jika tiap-tiap kali solat dapat kenikmatan seperti ini , kita rasa bahawa Allah itu amat dekat dengan kita dan bersedia mengabulkan segala permohonan kita, tidakkah kita rasa bahagia.

POIN KETIGA:

Untuk khusyuk dalam solat kita kena yakin bahawa kita akan bertemu dengan Allah ketika solat dan juga ketika kita di akhirat nanti.

Ketika solat yakin bertemu Allah, Nabi kata IHSAN, "Beribadah kepada Allah dalam keadaan seakan-akan kamu melihatNya. Jika kamu tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu".

Peringkat khusyuk ini sukar diperoleh kecuali setelah dapat mencapai yang pertama dan kedua sebelum ini iaitu dapat merasakan kita ini amat memerlukan Allah dan tidak tergesa-gesa. Nabi Zakaria merasa bertemu Allah dalam solatnya lalu selapas solat baginda lega kerana dia merasakan dapat mencurahkan segala isi hatinya kepada orang yang dia yakini dapat menolongnya.

(Kita tak boleh kata "Itu nabi! bolehlah!, tidak! al-Quran bukan untuk Nabi-nabi semata-mata, al-Quran untuk semua manusia, dan ayat-ayat Allah untuk kita semua . Allah berfirman :

"Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman". (Yusuf [12] : 111) .

Syarat untuk dapat IHSAN, kena sentiasa membina suasana saling berhubungan dengan Allah, saling mengingati. Kena sedar Allah itu dekat, sedar Allah sedang melihat diri kita dalam apa jua keadaan kita, di dalam setiap aktiviti yang kita lakukan, kena sedar bahawa kehidupan kita ini adalah ketentuan Allah swt dan barulah kita mampu mencapai khusyuk dalam solat. Ini bermaksud kita khusyuk dalam semua ibadah kita seperti yang kita ungkapkan dalam solat. Solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah sekelian alam.

"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, pasti Aku mengingati kamu, dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur . (al-Baqarah [2] : 152)

Dalam ayat di atas Allah kata, ingatlah kamu akan Aku pasti Aku ingat kamu. Jadi mustahklah kita sentiasa pertahankan hubungan ini. Semasa solat kita berdoa, berzikir, begitu juga selepas solat yakni kita kena pertahankan dengan syukur bukan kufur. Ini bermakna sepanjang masa kita kena ingat Allah, sebelum tidur berdoa, bangun, makan, masuk ke bilik air dan pendek kata dalam semua ibadah kita termasuk dalam mencari rezeki, kita ingat Allah.

"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai". (al-A'raaf [7] : 205)

Dalam ayat di atas, lalai adalah berkaitan dengan hati, jika kita lalai bermakna kita tidak ingat Allah, Allah pula suruh kita sentiasa sebut serta ingat namaNya dalam hati (maksudnya jika kita berzikir tak perlu dengan suara yang keras dan laju sehingga kita tak faham apa sebenarnya yang kita ungkapkan - jangan jadi burung kakak tua). Kemudian dalam ayat itu Allah sebut pagi dan petang, itu maknanya sepanjang masa kita kena ingat Allah, bukan pada waktu solat semata-mata, dan kita tak boleh lalai daripada mengingati Allah. Jadi mengekalkan hubungan saling mengingati ini amat penting. Bila kita yakin kita bertemu Allah kita juga yakin doa kita akan dimakbulkan dan kita jadi lega.

CERITA:

"(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Sulaiman ditunjukkan kepadanya pada suatu petang, satu kumpulan kuda yang terpuji keadaannya semasa berdiri, lagi yang tangkas semasa berlari. (Kerana lekanya dengan pertunjukan itu) maka Nabi Sulaiman berkata: Sesungguhnya aku telah mengutamakan kesukaanku yang baik kepada lebih daripada mengingati (ibadatku kepada) Tuhanku, sehingga (matahari) melindungi dirinya dengan tirai malam. (Kemudian Nabi Sulaiman berkata kepada orang-orangnya): Bawa balik kuda itu kepadaku; maka dia pun tampil menyapu betis dan leher kuda itu (seekor demi seekor)". (Sad [38] : 31 - 33)

Dikisahkan bahawa Nabi Sulaiman as pada suatu petang leka dengan latihan perang untuk kuda-kudanya yang tangkas hingga Nabi yang mulia itu terleka untuk mengingati Allah swt. Dalam ayat itu Allah gunakan perkataan hubbul khair (kesukaan yang baik) yakni semasa menyaksikan pertunjukan itu, kuda-kuda yang digunakan ialah kuda untuk perang fi sabillillah.. Jadi baik di sini ialah melatih kuda supaya tangkas berlari. Jadi di sini yang menghalang kita untuk khusyuk ialah hobi. Kita dinasihatkan supaya berhati-hati dengan hobi kita. Hobi yang baik sekalipun menyebabkan kelalaian apatah lagi hobi yang tidak baik.

Untuk kali ini saya berhenti di sini. Mudah2an dapatlah disambung lagi tentang khusyuk ini. Sesungguhnya saya juga masih lemah dalam hal khusyuk ini. Mudah2an dengan memahami serba sedikit tentang permasalahan khusyuk ini kita dapat memperbaiki diri kita supaya kita tidak tergolong di kalangan orang-orang yang lalai. Sebab Allah dah kata;

Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat; (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai dalam solatnya (al-Ma'uun [107] : 4 -5)

Sekian semoga memberi manfaat.

Related Posts with Thumbnails