Sunday, November 1, 2009

Rapuh atau tegar

KALSIUM bukan sahaja banyak di dalam susu dan produk tenusu,
malahan sayur, bijirin dan juga makanan
yang diperkaya dengan kalsium tambahan.
__________________________________________________________

ANDA pernah makan ketam? Hidupan laut dengan kulit sekeras batu ini tidak begitu mudah dimakan kerana ‘kulit’ itu sebenarnya adalah tulang yang melindungi keseluruhan badan ketam dan hidupan lain seumpamanya.
Tulang yang membentuk sistem kerangka badan juga wujud dalam bentuk berbeza mengikut keperluan dan spesies hidupan. 

Bagi manusia, sistem kerangka tulang berada di dalam badan (endoskeleton). Bagi sesetengah hidupan seperti ketam, udang karang dan kerang, kerangka tulangnya berada di luar (exoskeleton). 

Pertahanan dan sokongan;

Asas utama struktur tulang di dalam atau luar badan adalah untuk memberikan pertahanan dan bentuk pejal kepada badan. Tulang memberikan sokongan di samping bekerjasama dengan otot bagi memudahkan pergerakan.

Bagi sistem kerangka dalaman seperti pada manusia dan mamalia lain, tulang di dalam badan memudahkan pembesaran badan sambil mengekalkan keutuhan bentuk dan pergerakan badan. Bagi kebanyakan haiwan, termasuk manusia, sistem kerangka dalaman ini turut memberi perlindungan kepada organ-organ dalaman utama tanpa terlalu menjejaskan kemampuan bergerak, terutamanya bagi manusia berjalan dengan stabil di atas dua kaki. 

Kerangka dalaman juga membolehkan otot bertumpu kepada kaki, tangan dan bahagian sendi-sendi untuk pergerakan. Sambungan otot pada tulang turut menambah sokongan dan keutuhan bentuk badan khusus mengikut spesies, dan juga keturunan (bagi manusia). 

Sistem kerangka luaran pula lebih bertumpu kepada pertahanan, bukan sahaja dari musuh malahan dari persekitaran yang ekstrem seperti kekeringan melampau akibat kehilangan air (musim kemarau). Bagaimanapun, sistem kerangka luaran menyukarkan pertumbuhan dan haiwan seperti ketam terpaksa menyalin kulit setiap kali badannya membesar melebihi saiz kerangka luarannya.

Penyu dan kura-kura merupakan antara spesies yang mempunyai kedua-dua sistem kerangka, luar dan dalam. Secara evolusi, penyu dan kura-kura yang tidak mengalami perubahan besar sejak berjuta tahun lamanya dianggap menggunakan kedua-dua sistem kerangka sebagai pertahanan dari pemangsa. Sistem kerangka dalaman memberikan haiwan tersebut bentuk dan sokongan sementara kerangka luaran menyukarkan pemangsa mencapai bahagian dalaman badan.

Kuat dan lemah:

Setiap manusia dewasa mempunyai 206 tulang sementara kanak-kanak mempunyai 270 tulang. Seperti mana-mana struktur dalaman lain, kesihatan dan kekuatan tulang sering kali diabaikan dan diambil mudah berbanding kulit yang jelas kelihatan.

Selain memberi struktur dan perlindungan badan, tulang juga menyimpan sum-sum tulang yang menghasilkan sel darah merah dan sel darah putih (sel imuniti). Selain itu, tulang juga menjadi pusat simpanan mineral (terutamanya kalsium), mengimbangkan pH darah, simpanan lemak, menyahtoksin dan juga amat penting untuk pendengaran (tulang osikel - tulang paling kecil dalam badan dan tulang temporal kepala - tulang paling padat).

Seperti tisu badan yang lain, tulang mengalami hakisan akibat tekanan terhadap fungsinya dan perlu sentiasa diganti dengan tisu baru. Proses hakis dan ganti ini berterusan sejak kita lahir bagi memastikan tulang dapat menampung bentuk dan saiz badan. Namun, proses ini semakin perlahan dengan peningkatan usia dan terjejas teruk jika tidak mendapat bekalan mineral dan nutrien secukupnya.

Osteoporosis merupakan keadaan di mana kepadatan tulang seorang individu telah terjejas teruk sehingga terlalu rapuh untuk menampung keperluan badannya. Akibat tulang yang lemah dan rapuh, bentuk fizikal badan mungkin berubah (bongkok), menyukarkan pergerakan dan pastinya amat mudah retak dan patah, walaupun bagi aktiviti semudah bangun dari katil ataupun menaiki tangga. Jika telah mencapai tahap teruk, amat sukar untuk mengembalikan keutuhan, sokongan dan pertahanan tulang. 

Hilang sokongan:

Boleh dikatakan hampir keseluruhan sokongan tulang terhadap struktur dan pertahanan badan akan hilang bagi penghidap osteoporosis. Seperti biskut yang rapuh, tulang yang rapuh tidak dapat mengekalkan bentuk badan jika tidak mampu menampung beban graviti dan berat badan. Tulang yang rapuh juga dengan mudahnya retak, patah atau hancur, walaupun cuma dengan tekanan sederhana - sehingga mendedahkan organ-organ dalaman kepada bahaya kecederaan.

Osteoporosis boleh menyerang kebanyakan peringkat usia, tetapi lebih lazim di kalangan warga emas. Ia menyerang lelaki mahupun wanita, tetapi lebih banyak berlaku di kalangan wanita selepas mencapai menopaus (putus haid). Namun ini tidak bermakna lambat-laun semua warga emas dan semua wanita akan menghidap osteoporosis!

Hanya mereka yang tidak peduli atau gagal memantau tahap kesihatan tulang (termasuk lelaki dan golongan muda) akan tewas kepada osteoporosis.
Kesedaran:
Anlene di bawah syarikat induknya, Fonterra, antara jenama utama susu untuk bekalan optimum kalsium tulang telah mengambil inisiatif mengumpulkan maklumat tahap kesihatan tulang penduduk rantau Asia sejak 2005. Selain itu, Anlene turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan universiti tempatan dalam usaha memastikan tulang penduduk rantau ini kekal sihat dan kuat.

Malangnya, lebih satu pertiga daripada 1.8 juta individu yang turut serta dalam tinjauan serantau Anlene didapati berisiko tinggi membentuk osteoporosis. Kajian bersama antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Otaga, New Zealand pula mendapati kurang 50 peratus wanita negara ini mendapatkan bekalan kalsium secukupnya.

Satu laporan yang dikeluarkan Yayasan Osteoporosis Antarabangsa (IOF) sebelum ini menunjukkan kejadian retak atau patah tulang pinggul akibat osteoporosis di Malaysia paling banyak berlaku di kalangan kaum Cina, diikuti kaum Melayu dan India. Selain kekurangan kalsium, 71 peratus wanita Melayu yang telah putus haid turut didapati gagal mendapatkan bekalan Vitamin D secukupnya. 

Vitamin D dihasilkan kulit yang didedahkan kepada cahaya matahari dan diperlukan bagi meningkatkan penyerapan kalsium ke dalam tulang. Masalah kurang pengambilan kalsium dan vitamin D turut dikesan di kesemua 14 negara yang terbabit dalam laporan tersebut.

Pengurus Besar Fonterra Malaysia, John McKay memaklumkan imbasan tulang Anlene menunjukkan peningkatan bilangan mereka yang berisiko menghidap osteoporosis. 

“Data ini diperkukuhkan oleh laporan IOF yang menunjukkan peningkatan dua atau tiga kali ganda kejadian retak atau patah tulang pinggul di kebanyakan negara Asia sejak 30 tahun lalu.

“Negara-negara rantau Asia perlu mengambil langkah segera bagi memahami dan bertindak menentang penyakit yang boleh dicegah ini,” katanya.

Tambahnya, laporan IOF turut menyarankan pembentukan segera satu pangkalan data kebangsaan khusus untuk osteoporosis, termasuk kejadian retak atau patah yang berkaitan dengannya.

“Laporan tersebut turut menggesa lebih banyak langkah meningkatkan tahap kesedaran umum terhadap osteoporosis!”

Fonterra telah memainkan peranan aktif dalam kempen pendidikan dan pencegahan osteoporosis di Malaysia, termasuk dengan pelancaran kempen ‘Dengar kepada tulang anda’ yang disokong Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain meningkatkan kesedaran, kempen ini juga menawarkan khidmat imbasan tulang percuma di seluruh negara.

“Hasil tinjauan kami berbeza dari satu negara ke satu negara, tetapi sebilangan besar penduduk di setiap negara terbabit didapati berdepan dengan masalah kepadatan tulang yang rendah, dan pastinya turut berdepan dengan ancaman osteoporosis,” tegas McKay.

Apa yang pasti, jika terus diabaikan, osteoporosis bakal menjadi satu lagi penyakit boleh dicegah yang menyelubungi rantau ini seperti mana diabetes, strok, penyakit jantung serta HIV/AIDS yang telah mencengkam hidup sebilangan besar penduduk Asia.

Segala perkembangan teknologi menghasilkan tulang sintetik, sel stem tulang mahupun sistem kerangka luar (exoskeleton) tiruan juga akan menjadi sia-sia kerana kita sebenarnya tiada cara lain bagi menggantikan sepenuhnya fungsi, sokongan dan peranan sistem kerangka tulang badan. Berikan sedikit perhatian kepada tulang anda, mulakan hari ini!

Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my.

........................................................................................................................

Pemakanan untuk tulang sihat: 

MAKAN, satu nikmat kehidupan bagi kebanyakan daripada kita tetapi makanan juga penting dan menjadi keperluan hidup. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa tulang kita juga merupakan tisu hidup yang perlukan makanannya tersendiri untuk terus ‘hidup’!

Sambil kita berjalan, melompat dan berlari, tulang kita turut melalui kitaran terhakis dan terbina semula dengan sendirinya. 

Seperti mana kita memerlukan makanan untuk terus hidup, tulang juga perlu diberikan nutrien yang diperlukannya untuk menggantikan tulang yang terhakis. 

Tahukah anda apa hidangan hebat untuk tulang? Kalsium dan vitamin D.

“Kalsium bukan sahaja penting untuk pembentukan tulang tetapi turut digunakan dalam fungsi badan lain seperti penyenggaraan saraf dan otot. 

“Badan kita juga akan mengambil kalsium dari tulang apabila berlaku kekurangan bekalan kalsium,” jelas Dr Winnie Chee, pakar diet dan Setiausaha Kehormat Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL).

*Pentingnya vitamin D

Vitamin D membantu dalam penyerapan kalsium. Sesungguhnya, badan kita menghasilkan Vitamin D apabila didedahkan kepada cahaya matahari. 

Jadi janganlah takut untuk menghabiskan sedikit masa di bawah matahari kerana ianya baik untuk tulang anda!
Namun begitu, anda perlu mengelak daripada pengambilan (kalsium dan pendedahan kepada cahaya matahari) berlebihan. 
Seperti perkara lain dalam hidup, amalkan kesederhanaan supaya anda dapat memenuhi keperluan tanpa perlu menghadapi kesan sampingan yang tidak sepatutnya.

Pengambilan kalsium perlu menepati cadangan pengambilan harian anda. Tahap umur yang berbeza memerlukan jumlah kalsium yang berlainan. 

Berapa banyak yang anda perlukan setiap hari? Anda boleh merujuk kepada cadangan pengambilan nutrien untuk kalsium dalam jadual berikut:

Bagi orang dewasa, anda memerlukan kira-kira 800 miligram (mg) hingga 1,000 mg kalsium setiap hari. 

Macam susah, bukan? Tetapi meminum segelas susu sehari (240 ml) sudah menyumbang kira-kira 250 ke 500 mg pengambilan kalsium harian anda. Dan susu bukan satu-satunya sumber kalsium yang sedia ada!

“Anda juga boleh mendapat kalsium dari makanan seperti sayuran hijau dan berdaun seperti kai lan dan pak choy Cina, produk berasaskan soya seperti taufu fah dan ikan bertulang lembut yang boleh dimakan seperti sardin dalam tin dan ikan bilis,” kata Dr. Chee.

Dan jangan lupa semua makanan bukan susu yang diperkaya dengan kalsium yang mudah didapati di pasaran hari ini. 

Kini, banyak minuman jus oren, malt dan yogurt, dan tidak lupa juga bijirin sarapan, biskut dan roti yang diperkaya dengan kalsium. 

Jadi memang terdapat banyak pilihan sewaktu memilih makanan yang kaya dengan kalsium. Tetapi ingat, bukan kalsium saja yang kita perlukan. 

Nutrien lain turut menyumbang kepada kesihatan tulang. Malah, mengambil cuma sejenis hidangan saja amat membosankan. 

Jadi, tambah selera anda dengan hidangan seimbang setiap hari dengan merujuk kepada piramid makanan.

Bijirin perlu membentuk asas diet anda. Ambil dari sumber seperti nasi, roti dan bijirin dan pilihlah yang diperkaya dengan kalsium yang baik untuk tulang. Dan teruskan dengan mengambil lima hidangan sayur dan buah-buahan setiap hari.

“Tulang kita sentiasa terhapus dan terbina dengan sendirinya dalam proses yang dipanggil pembentukan semula tulang. 

“Tetapi, apabila mencapai umur 50 tahun, kemerosotan tulang atau penghapusan berlaku lebih cepat dari pembentukannya. 

“Kajian menunjukkan individu yang mengambil banyak buah-buahan dan sayuran dalam diet mereka mempunyai kadar kehilangan tulang yang lebih perlahan dan kurang keretakan akibat osteoporosis,” jelas Dr. Chee.

Kumpulan seterusnya dalam menu piramid makanan adalah makanan yang kaya dengan protein seperti daging, ikan, ayam itik dan legum. 

Dua hingga tiga sajian sehari cukup untuk keperluan harian anda. 

Dan sudah tentu, lengkapkan hidangan sihat dengan satu hingga dua sajian produk berasaskan susu seperti susu dan keju setiap hari untuk tambahan kalsium. 

Akhir sekali, cuba kekalkan pengambilan gula, garam, lemak dan minyak pada tahap minimum.

Dr. Chee turut menggalakkan pengurangan pengambilan gula dan kafein. Menurutnya, pengambilan garam dan kafein yang berlebihan meningkatkan kehilangan kalsium dalam air kencing, dan akan digantikan dengan pengambilan kalsium dari ‘tabung simpanan badan’ - tulang anda sendiri!

Berat badan juga turut memainkan peranan dalam penjagaan tulang. Kekalkan berat badan yang ideal kerana malnutrisi bukan saja menjejaskan kesihatan tetapi tulang juga. 

Elakkan tabiat pemakanan yang tidak sihat seperti anoreksia, bulimia dan makan mengikut perasaan. Ianya tidak sihat dan merampas semua nikmat makanan yang dari lidah anda.

Siapa sangka menjaga tulang boleh juga memberikan nikmat hidup, bukan? Anda makan makanan yang enak dan berkhasiat dan pada masa yang sama menjaga tulang anda! 

Dan semuanya bermula dengan kesedaran bahawa tulang juga perlu makan, sama seperti semua benda hidup yang lain.

Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL) ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands Sdn. Bhd. dan Rottapharm Madaus. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat (Ultra Works) di talian 03-56300791 atau 03-56301668.

8 comments:

zai said...

Salam Kak Werdah..

Dari pengamatan zai sendiri melihat contoh kepada ibu zai..dia seorang wanita yang sangat aktif bekerja sendiri berniaga dan juga sudah mempraktikkan dari muda utk tidak terlalu banyak tidur diwaktu malam dan beliau banyak melakukan aktiviti-aktiviti berat ketika bekerja kerana bisnesnya itu seperti mengangkat palang besi utk dijadikan kerangka menyangkut baju2 perniagaannya dipasar malam dan pekan hari...

Dan zai perhatikan juga dia seorang yg sangat istiqamah didalam melakukan aktiviti ibadatnya dan juga gemar juga ke masjid utk bersembahyang berjemaah dan mendengar membaca kitab..alhamdulillah jika dibandingkan zai yang bekerja makan gaji dan emak..zai rasa kekuatan yg berada pada zai dibandingkan badannya yg berusia 50an rasa2nya dia sangat sihat..

Suatu waktu dulu emak pernah juga menderita sakit sendi dimana beliau tidak mampu berdiri lama-lama kerana mengalami kesakitan ditumitnya tapi selepas beliau mengerjakan haji pada tahun 1999 dan beliau telah berdoa bersungguh2 dihadapan kaabah utk kesihatannya..alhamdulillah sebaik saja beliau pulang dari mengerjakan haji sehingga ke hari ini..semua penyakitnya telah hilang..dari situ zai melihat sendiri kebesaran Allah diatas rahmat kasih sayangnya kepada hambanya yang benar2 beriman..

Zai sentiasa berdoa mudah2an kak werdah akan kembali sihat suatu hari nanti..yakinlah insyaAllah..

a kl citizen said...

assalammualaikum k.werdah

saya sekarang ni pun selalu sakit belah peha, dua2 belah, mencucuk2...
takut lah pulak osteoporosis...tak gi check doktor pun... takut

alang said...

Salam ziarah. InsyaAllah, setiap penyapit pasti ada ubatnya. Dan setiap musibah pasti ada hikmah. Moga cikgu sentiasa dilindungi olehNya. Amin.

Kamsiah said...

salam psahabatan
t/kasih atas info yg begitu berguna ni
yalah..makin meningkat usia,makin byk pulak penyakit yg tak diminta..pelik2 pulak tu
dan makin berusia jugak la..
tak boleh sesedap mulut nak ngap..ngap semua benda mcm remaja dulu,kan...

Werdah said...

Salam Zai,

Memang benar apa yg Zai cakapkan tu.. sesungguhnya solat adalah anugerah Allah buat hambaNya.. supaya manusia sabar, tenang dan sihat.. sgl pergerakan ada fadhilat dan segala ucapan ada makna tersirat.. zai, kak dah habis baca buku "Menyukat Solat Diri; terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd".

Buku ni menyingkap sgl rahsia khusyuk dlm solat.. bersesuaian dgn CD IQAMUSSOLAH oleh Ustaz Kariman.. setiap bacaan dihuraikan makna tersirat membuatkan kita rasa terlalu kecil di hadapan Allah.

Zai, terima kasih atas motivasi Zai kpd kak ni..

Zai, Kak tak dpt lagi nak ke masjid sejak pembedahan tu.. kalau nak pergi kena ada yg bawa.. kmd nak naik tangga pulak.. kmd tak dapat solat berdiri.. hajat dulu tu besar bukan main.. jika pencen nak ke kelas2 pengajian.. nak ke surau atau masjid.. namun kak dah buat kesilapan dgn menyerah diri kpd pembedahan.. bukan sekali tetapi 2 kali.. pembedahan tak berjaya.. lain penyakit pula yg dapat..

namun kak bersyukur masih lagi boleh solat duduk, mengaji dlm keadaan baring, dgr CD2 pun dlm keadaan berbaring.. Alhamdulillah dpt pula kwn2 spt Zai.. mendoakan kak.. semoga kita diberi kekuatan oleh Allah dlm berusaha mendekatkan diri kpdNya.. Amiin

Zai.. sampaikan salam kak kpd mak Zai ya.. mudah2an Allah berkati mak Zai dan Zai sekeluarga. Amiin

Werdah said...

wa'alaikumussalam Normah.

Normah, kak ni kdg2 tulis nama Normah, kdg2 tulis a kl citizen.. hrp2 lepas ni kak nak panggil Normah je.. ok kan..

Kak rasa kak nak je g sekolah Normah tu jumpa Normah nnt insyaAllah ya!

Kak rasa Normah belum lagi ada osteoporosis tu.. mudah2an bukanlah sakit macam kak ni.. ungkin angin.. cuba pergi berurut dulu ke..

Dulu yg kesan slipped dics kak tu ialah tabib urut.. kak dah jenuh g hospital n klinik alih2 tabib ni yg kesan. Hukm pernah nak bedah lutu kak nak pasang besi tp tika tu kak tak nak.. alhamdulillah..

Jika boleh Normah pergilah cek di hospital kerajaan.. hospital swasta ni kdg2 dia org nak cepat je.. kak buat operation dua2 tu di hospital swasta..

Tanda2 sakit menyucuk2 tu bkn osteoperosis tp kemungkinan slip dics tu ada.. tp kak berdoa semoga jgnlah ditimpa penyakit spt ini.. jika ada penyakit ni akan jd OKU.. Mohonlah dp Allah perlindungan.

Panjang pula.. kak dpt osteopenia ni sbb selepas operation lama tak boleh bergerak dgn selesa. saki teramat sgt 24 jam, jd kurang berjalan, berbaring saja di tempat tidur sampai mkn pun sambil disuap.. pernah pakai pampers.. tulah yg jadi tulang rapuh.. tambahan pula dah tak ada rahim. tak taulah hormon wanita tu masih ada ke tak.. ovari masih ada.. tp kalau ikut umur dah menopos pun..

Pe pe pun Normah tak ada kut penyakit tulang rapuh ni, insyaAlllah.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Alang,

Terima kasih atas nasihat Alang tu.. sgl penyakit allah turunkan sekali dgn ubat dan penawarnya..

Mudah2an cikgu tabah dgn semuanya ini tak kiralah ujian ke.. kifarah ke.. mmh hikmahnya banyak.. salah satunya berkenalan dgn Alang.. dulu cikgu tak kenal Alang sekarang dhn berblog kita semacam mesra.. insyaAllah kita jumpa ya! semoga ikatan ukhwah berterusan! amiin

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Kamsiah..

Umur kak 20 tahun lebih tua dp Kamsiah.. takpalah panggil kak je.. jika pggl makcik kedengaran mcm tualah pulak!!! ewah ewah.. tak mengaku tua pulak tu.. ya lah rasa macam budak2 je..mcm sweet 17.. tak sedar betul kan!

Ya! mudah2an perkenalan in membawa kebaikan.. saling ingat mengingatkan dalam perjalanan menuju ke penghujung.. semoga kita tidak terlalai dan menyimpang daripada jalan yang lurus yang Allah sediakan untuk org2 beriman dan bertakwa.

Ttg penjagaan kesihatan mmg tetletak kpd kita.. jgnlah bila kita sihat kita kata kita pandai jaga badan kita... bila kita sakit kita kita itulah takdir!! Subhanallah.. Allah Maha Suci daripada apa yg diperkatakan.

Related Posts with Thumbnails