Sunday, October 3, 2010

Yang Maha Mencipta, Maha Mengadakan dan Maha Memberi Bentuk

Sumber Gambar : iloveislam

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini ingin berkongsi hasil mendengar ceramah tentang nama Allah Al-Khaliq , Al-Bari' dan Al-Musawwir

Al-Khaliq , Al-Bari' dan al-Musawwir mempunyai akar kata yang berbeza tetapi mempunyai persamaan daripada segi maknanya, kerana ketiga-tiga nama Allah ini mempunyai hubungan antara satu dengan yang lainnya yakni kerana ketiga-tiganya ada perkaitan tentang penciptaan dan pengadaan.

Al-Khaliq, nama Allah yang ke sebelas dalam senarai asmaul husna. Al-Khaliq (kalimat yang terbentuk daripada al-Khaliq seperti khaaliq - Yang Maha Mencipta diulang 8 kali sebagai nama Allah dan 150 kali yang berkaitan dengan makhluk (Khalaqa, yakhluqu, khaaliqun dan lain-lain).

Al-Bari' nama Allah yang ke dua belas disebut 1 kali sebagai nama Allah yang bermaksud Yang Mengadakan.

Al-Musawwir nama Allah yang ke tiga belas disebut 1 kali sebagai nama Allah yang bermaksud Yang Maha Memberi Bentuk Rupa (Yang Maha Membentuk).

Ketiga-tiga nama ini tidak boleh dipisahkan walaupun boleh dibezakan. Dalilnya ialah dalam ayat di bawah; ketiga-tiga nama itu Allah sebut secara tertib.

Allah berfirman dalam surah al-Hasyr [59] ayat 24

هُوَ ٱللَّهُ ٱلۡخَـٰلِقُ ٱلۡبَارِئُ ٱلۡمُصَوِّرُ‌ۖ لَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰ‌ۚ يُسَبِّحُ لَهُ ۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ

Bermaksud:
"Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Maha Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Maha Memberi Rupa Bentuk (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi dan Dialah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana."
Makna asal Khaliq yang berasal daripada akar kata kha la qa (Kha' Lam Qaf) ialah:
  1. mengukur atau menyukat,
  2. mengatur
  3. dan menciptakan daripada tiada
Allah berfirman dalam surah Al-A'la:

ٱلَّذِى خَلَقَ فَسَوَّىٰ

"Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya". (Al-A'la [87] : 2)

Khalaqa di situ ialah mencipta kemudian sawwa itu memberi rupa bentuk. Dalam erti kata lain ; sebelum makhluk ini dicipta, Allah SWT telah menentukan ukuran, sukatan (berapa kadar) dan menentukan bagaimana kewujudan penciptaanNya. Katalah jika Allah hendak menciptakan kita, Allah dah ukur, sukat dan menetukan bagaimana rupa kita sebelum kita wujud. Ini bermaksud bahawa setiap yang dicipta itu telah ada dalam ilmu Allah bagaimana rupanya apabila maujud nanti. Boleh diumpamakan seorang jurutera atau seorang arkitek yang telah ada dalam fikirannya rumah yang akan dibina. Mereka telah tahu di mana bilik-bilik, berapa tiang, berapa bilik tidur, apa bahan-bahan yang akan digunakan. Inilah yang dikatakan peringkat Khalaqa iaitu dalam peringkat berada dalam ilmu sebelum tercipta.

Ini bermakna dengan sifat khalaqa yang dimiliki oleh Allah SWT; semua makhluk atau ciptaan yang maujud di atas muka bumi ini semuanya telah wujud dalam pengetahuan Allah SWT sebelum tercipta dan apa yang wujud dalam ilmu Allah itu nanti akan wujud dalam kenyataan bila dikehendaki dan telah tiba masanya.

Kemudian peringkat kedua selepas ditentukan oleh Allah SWT, telah diukur dan disukat tentang kewujudan sesuatu yang hendak dicipta berada dalam ilmuNya lalu Allah menggunakan sifat al-Bari'.

Makna asal al-Bari' yang terambil daripada 3 huruf yakni ba' ra' dan hamzah (ba ra a) ialah memisahkan sesuatu daripada sesuatu. Contohnya orang sakit bila sihat maknanya sakit telah berpisah darinya. Sebab itu orang yang sembuh daripada sakit; orang-orang 'Arab akan sebut bari'.

Nabi Ibrahim as pula ketika berkata kepada kaumnya yang menyembah berhala:

قَالَ يَـٰقَوۡمِ إِنِّى بَرِىٓءٌ۬ مِّمَّا تُشۡرِكُونَ

" Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya". (al-An'am [6] : 78).

Maksud bari' di sini ialah s
esungguhnya Nabi Ibrahim berkata; aku membebaskan diriku daripada kamu; maknanya aku tak nak campur, aku pisah, tak mahu ikut terlibat dalam mensyirikkan Allah. Itulah makna ba ra a (bari').

Dalam al-Quran banyak sekali ayat-ayat yang menerangkan tentang kejadian manusia. Apabila manusia diciptakan daripada air yang hina (air sperma lelaki yang mempunyai kekuatan yang memancar) dan dipancarkan bercampur dengan ovum perempuan, asalnya sel itu satu sahaja, kemudian sel berpecah jadi 2, 4, 8, 16, 32 ..... (inilah dipisah, dipisah)... dan seterusnya sel-sel ini ada yang membentuk hidung, kulit, tulang, rambut, kaki dan lain-lain; (siapa yang mengagih-agihkan menjadi semuanya ini?). Ini adalah tugas al-Bari', tanpa sifat al-Bari' mungkin tidak sempurna penciptaan manusia. Mungkin akan ada hanya satu jenis sahaja; hidung sahaja, atau mulut sahaja atau tangan sahaja dan lain-lain lagi. Itulah kuasa al-Bari' - amat hebat al-Bari'. Allahu Akbar WalilLahil Hamd.

Apabila di kawasan keliling rumah ditanam dengan pelbagai tanaman, di sebelah cili ada peria, di sebalah peria ada tebu; kenapa cili pedas, peria pahit dan tebu manis; itulah kerja al-Bari' yang memisahkan rasanya pada tanaman atas tanah di halaman yang sama. Kerjanya sangat halus dan berlaku dengan teratur sekali, yakni memisahkan, jika tadi dalam peringkat khalaqa; Allah merancang dan peringkat al-Bari' dah mula nak wujudkan apa yang telah tercipta dalam ilmuNya. Jika pada peringkat khalaqa baru kita nampak kepala besar dalam beberapa minggu belum lagi sempurna (masih dalam bentuk yang kasar). Masa tu belum nampak cantik. Jika dalam pembinaan rumah pula baru nampak tiang, rangka bangunan yang belum siap lagi, tapi dah nampak ruang dapur dan segala ruang yang akan dibuat.

Selepas itu menjadi tugas Al-Musawwir. Makna asal Al-Musawwir yang berasal daripada akar kata sa wa ra (sad waw ra') pula ialah gambar, ataupun bentuk, rupa, yakni peringkat Allah SWT mencipta juga tetapi peringkat ketiga yakni menghalusi. Di situ janin tadi sudah mulai boleh dikenalpasti sama ada lelaki atau perempuan, telah nampak dengan jelas mata, telinga masyaAllah bila bayi dalam kandungan mencapai 9 bulan 10 hari (purata) ; bukan sahaja penciptaannya yang sempurna malah saraf-sarafnya telah diciptakan dengan amat halus; halus sungguh bentuknya. (Itulah peringkat musawwir) kalau rumah; peringkat memasang grill dan hiasan-hiasan yang lain.

Firman Allah SWT:

بَلَىٰ قَـٰدِرِينَ عَلَىٰٓ أَن نُّسَوِّىَ بَنَانَهُ ۥ

Maksud: "Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tetapi Allah SWT mampu mengembalikan semula bentuk garisan yang ada pada ibu jari (si mati)". (4) (Surah al-Qiyaamah [75] : 4 )

Peringkat Musawwir ini hinggakan tanda cap jari antara seseorang tidak sama antara satu dengan yang lainnya sejak nabi Adam as hingga ke hari ini.
Allah dah lukiskan sebelumnya bahawa manusia tak akan sama antara satu sama lain. Kalau kita disuruh melukis gambar 10 orang mungkin senang juga lagi tetapi bagaimana kalau 1 billion, 10 billion bukan itu sahaja malah suarapun tidak sama, paras rupa hinggakan kembarpun ada sedikit perbezaan. Tidak macam kita; jikapun kita seorang pereka fesyen yang hebat sekalipun, tidak mungkin kita dapat cipta busana yang pelbagai, balik-balik kita akan ambil semula pattern yang lama kemudian modify. Subhanallah.

Pada peringkat musawwir; kita akan dapati apa sahaja ciptaan Allah SWT tidak satupun yang tak sempurna. Setiap ciptaanNya kita akan nampak 3 unsur iaitu, kamal (sempurna), jamal (indah) dan jalal (agung). Bukan sahaja kita nampak kesempurnaan malah kita akan nampak keindahan dan juga keagungan Allah SWT.

Kita kena perhatikan setiap makhluk ciptaan Allah dengan 3 unsur tadi. Dengan itu kita akan merasa bahawa setiap ciptaan Allah itu tidak sia-sia, semuanya ada tujuan dan hikmahnya.

Berkaitan dengan khalaqa Allah berfirman maksudnya:

ٱلَّذِىٓ أَحۡسَنَ كُلَّ شَىۡءٍ خَلَقَهُ ۥ‌ۖ وَبَدَأَ خَلۡقَ ٱلۡإِنسَـٰنِ مِن طِينٍ۬
"Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya (memperelokkan) dan dia telah memulakan kejadian manusia berasal dari tanah;" (as-Sajdah [32] : 7)
Ayat ini memberitahu kita hahawa tidak ada satupun ciptaanNya yang tak sempurna. Semuanya 'ahsana' - Allah memperelokkan ciptaanNya, Allah memperindahkannya. Oleh itu apa sahaja ciptaanNya adalah elok sempurna (kamal, jamal dan jalal). Bila kita dah nampak ke tiga-tiga unsur ini, kita akan berjaya memanfaatkannya.

Satu soalan, kenapa bila Allah dah berfirman seperti dalam surah as-sajdah di atas tadi, masih ada orang yang cacat? Jika Allah dah memperelokkan ciptaanNya bererti tidak ada cacat. Bagi menjawab persoalan ini; sebetulnya cacat atau tidak itu hanyalah daripada kacamata kita manusia; daripada pandangan Allah SWT tidak begitu. Cacat atau tidak itu adalah relatif. Sebagai contoh katalah sejak dulu manusia hanya ada sebelah tangan sahaja tidak dua; bila tiba-tiba bayi lahir ada dua tangan tentulah kita akan kata bayi itu cacat. Banyak perkara yang kita nilai tidak sempurna hanya kerana perkara itu lain daripada kebiasaan.

Ini adalah sebahagian daripada penerangan tentang Allah Al-Khaliq , Al-Bari' dan Al-Musawwir. InsyaAllah jika berpeluang akan ada sambungan.

Hayatilah firman Allah dalam surah at-Tiin di bawah :



Maksudnya:
"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Demi buah tiin dan zaitun, (1) Dan gunung Tursina, (2) Serta negeri (Mekah) yang aman ini; (3) Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (4) Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, (5) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. (6) (Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? (7) Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim? (8) "

Sekian semoga memberi manfaat.

8 comments:

Anonymous said...

Salam Kak Werdah,

Terima kasih. Banyak manfaat dan ilmu yang diperolehi dan N3 akak ni.

Semoga Allah yang Maha Penyayang mengurniakan akak kesihatan yang berterusan supaya akan dapat terus berkongsi ilmu dengan kami ni.

terokai seni said...

cukup jelas... membuka minda untuk singkap balik diri kita.. tima kasih atas info yang meningkatkan keimanan kita kepada al-Khaliq

hentian said...

maha suci allah tuhan sekalian alam...

Werdah said...

Salam Ani.

Terima kasih banyak atas doa permohonan Ani untuk kesihatan kak. Semoga Allah mengabulkan doa permohonan kita dan Ani juga diberikan kekutan dan kesihatan oleh Allah Rabbul 'aalamin. Allahumma amiin.

InsyaAllah akan cuba berkongsi selagi diizinkan Allah. Kakpun masih belajar.Banyak lagi yang tak tahu.

Werdah said...

Salam Cemomoi.

Alhamdulillah, kakpun banyak menambah pengetahuan bila dengar ceramah ustaz ni, selalu baca buku atu majalah tentang asmaulhusna tidak ketemui penjelasan seperti ini.

Werdah said...

Salam IM

Semoga Allah tetap menambahkan hidayahNya kepada kita.. Allahu Akbar.

Unknown said...

Alhamdulillah..beroleh ilmu yang sangat2 berguna dn bermanafaat untuk di ketahui dn di amalkn..cukup jelas beserta dengan firman Allah S.W.T dn contoh2 yang banyak..Syukran sudi kongsi ilmu di sini.. moga sentiasa dlm rahmat kasih sayang Allah..Aamiin..Aamiin..Aamiin Yaa Robbal 'Aalamiin...Insya Allah

khairiazlina said...

Alhamdulillah. BarakAllahufeeki kerana berkongsi ilmu. Baru daoat lihat dgn jelas perbezaan ketiga-tiga dan bagaimana mereka berkait

Related Posts with Thumbnails